GribblesDapatkan keputusan saringan Kanser, Kencing Manis, Kolesterol dan banyak lagi sepantas 1-3 Hari sahaja. Hanya di Gribbles

SCAM KESIHATAN: BELI SUPPLEMEN SAYA DIJAMIN KANSER PAYUDARA ANDA AKAN SEMBUH

Acap kali di dada akhbar, media sosial dan gerai-gerai tepi jalan kelihatan penjualan produk kesihatan tradisional atau supplemen kesihatan yang menjamin penyembuhan 100% penyakit tanpa perlu berjumpa dengan doktor selepas mengamalkannya.

Dalam keadaan terdesak, ramai pesakit dan ahli keluarga mereka terjerat dalam perangkap samar sang scammer.

Terbaru, scammer kesihatan mewar-warkan pula khasiat vitamin atau supplemen yang mampu menyembuhkan KANSER PAYUDARA TAHAP EMPAT.

Wallawe…saya rasa saya ingin berhenti mejadi doktor dan bertukar angin menjadi penjual produk supplemen mujarab ini. Confirm LAKU KERAS jika saya yang menjualnya. Kanser tahap empat pon boleh sembuh dengan hanya pengambilan vitamin atau supplemen sahaja. Hebat sangat tu!

Pasti pakar-pakar kanser atau onkologi gembira dengan berita ini. Namun mengapa pula saban hari, klinik kanser di setiap hospital tetap penuh dan melambak-lambak pesakit sabar menanti ?
Keratan iklan di atas merupakan contoh iklan di internet, yang menawarkan produk yang dikatakan mampu merawat penyakit kanser payu dara.

pic2

Pasca minum Jus Delima terus sembuh Kanser Payudara tahap 2. Dahsyat!

=====
RINGKASAN TENTANG KANSER PAYUDARA
=====

Perkataan kanser diambil dari bahasa latin “crab”. Umumnya 1 billion sel kanser diperlukan untuk membentuk selonggok tisu kanser bersaiz 1 diameter dan berat 1 gram. Oleh itu, kanser adalah sukar dan lewat dikesan melalui teknik pengimejan.Menurut Laporan Daftar Kanser Kebangsaan ‘National Cancer Registry’ 2002.[1]

Kanser payudara merupakan kanser utama di kalangan wanita di Malaysia, 1 dalam 19 wanita adalah berisiko. Berbanding 1 dalam 8 wanita di Eropah dan Amerika Syarikat. Kanser payudara bermula dari sel payudara. Kanser payudara adalah biasa pada wanita dan hanya 1% lelaki mendapat kanser ini.

Antara faktor yang menjadikan seseorang berisiko menghidap kanser payudara seperti
1. permulaan kitaran haid yang awal (kitar haid bermula pada umur kurang 11 tahun),
2. menopaus pada umur yang lewat (kitar haid berhenti pada umur lebih 55 tahun),
3. tidak pernah melahirkan anak,
4. penggunaan terapi hormon gantian secara berpanjangan (melebihi 5 tahun)
5. kelahiran anak pertama pada usia melebihi 30 tahun.

Memandangkan kanser payudara amat tinggi di kalangan penduduk Malayisa maka tidak hairanlah banyak ‘jerung-jerung liar’ yang cuba membaham mangsa dengan pelbagai janji manis palsu tentang kesembuhan penyakit kanser.

pic

Sebagai contoh gambar pertama di atas, menyatakan sejenis produk supplemen yang didakwa berjaya merawat kanser payudara pesakit. Pernyataan tersebut disokong dengan testimoni yang dikatakan datang daripada pengguna produk tersebut yang mendakwa telah sembuh sepenuhnya daripada penyakit kanser yang dialami.

Manakala iklan kedua di bawah, memaparkan sebuah anekdot, kisah berkenaan seorang pelanggan yang meminum Jus Delima dan kemudiannya disahkan oleh doktor beliau telah sembuh daripada kanser payu dara tahap 2 (selepas muntah-muntah beserta darah).

pic2

=====
TESTIMONI, WAYANG UNTUK MENGABURI MATA MANGSA
=====

Seperti mana yang pernah saya bongkarkan tentang ciri-ciri scam kesihatan, salah satu teknik berkesan yang digunakan para scammer jerung adalah menggunakan TESTIMONI.

Testimoni adalah kaedah retorik dengan penggunaan bahasa dan ayat yang mampu mempengaruhi fikiran pembaca untuk mencuba produk tersebut. Testimoni (pengakuan) pengguna-pengguna yang kononnya pernah menggunakan produk tersebut, diselitkan dengan cerita-cerita keajaiban produk dan penggunaan bahasa saintifik yang mengagumkan pasti menarik minat pembaca untuk mempercayai keberkesanan produk yang diiklankan.

======
BENARKAN PRODUK SUPPLEMEN MAMPU MENYEMBUHKAN PENYAKIT KANSER?
=====

Soalan ini pernah ditanyakan oleh seorang peserta Seminar Kesedaran Kanser Kelantan 2017 kepada Pakar Perunding Pembedahan Payudara Hospital Raja Perempuan Zainab 2 Kota Bharu baru-baru ini.

Saya adalah penganjur kepada program seminar tersebut.

Secara ringkasnya jawapan pakar bedah tersebut adalah TIDAK BENAR!

Dakwaan bahawa penyakit kanser payudara boleh sembuh dengan hanya mengambil supplemen sahaja adalah satu PENIPUAN.

Mengapa?

Pertama,rawatan-rawatan kanser payu dara yang diluluskan oleh Kementerian Kesihatan merupakan rawatan-rawatan yang telah terbukti secara kajian saintifik mampu merawat penyakit tersebut.

Sebagai contoh rawatan yang telah terbukti adalah rawatan pembedahan untuk membuang tisu kanser, kemoterapi dan terapi sinar radiasi.

Produk-produk yang diiklankan oleh peniaga yang mendakwa mampu menjadi penawar kanser payu dara kesemuanya tidak mempunyai bukti saintifik yang mampu menyokong dakwaan mereka. Bukti saintifik yang dimaksudkan adalah kajian kesan produk tersebut ke atas pesakit melalui percubaan klinikal (clinical trial).

Yang kedua, pengiklanan berkenaan sesuatu produk yang didakwa mampu menyembuhkan penyakit WAJIB mendapatkan kelulusan Lembaga Iklan Ubat, Kementerian Kesihatan Malaysia.

Setiap iklan yang diluluskan akan diberikan nombor kelulusan pengiklanan contoh: KKLIU/1234/ABCDE.

Dan yang terakhir, pengiklanan berkenaan rawatan sebarang jenis kanser adalah dilarang sama sekali di bawah Akta Ubat (Pengiklanan & Jualan) 1956 [3]

Berdasarkan Seksyen 3(1) akta tersebut, adalah menjadi satu kesalahan untuk mengiklankan salah satu daripada 20 jenis penyakit berikut:

  • Penyakit/kerosakan buah pinggang
  • Penyakit/kerosakan jantung
  • Kencing manis
  • Sawan
  • Lumpuh
  • Batuk kering
  • Asma
  • Kusta
  • Barah/kanser
  • Pekak
  • Ketagihan dadah
  • Hernia
  • Penyakit mata
  • Tekanan darah tinggi
  • Sakit mental
  • Kemandulan
  • Frigidity (masalah kurang berminat melakukan hubungan seks/kesukaran mencapai orgasma)
  • Lemah fungsi seks/mandul
  • Penyakit venereal (penyakit yang berjangkit melalui hubungan seks)
  • Penyakit saraf yang berkait dengan hubungan seks.

Mereka yang terlibat dalam mengiklankan produk ubat tanpa kelulusan Lembaga Iklan Ubat atau mengiklankan produk/servis yang mendakwa mampu merawat atau mencegah 20 jenis penyakit di atas boleh didakwa di mahkamah.

Sekiranya didapati bersalah, hukuman bagi mana-mana kesalahan tersebut ialah denda maksimum RM3000 atau penjara tidak melebihi setahun atau kedua-duanya bagi sabitan kali pertama. Bagi pesalah yang melakukan kesalahan berulang, denda maksimum RM5000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya boleh dikenakan ke atas pesalah.

=====
KESIMPULAN
=====

Produk-produk yang diiklankan sebagai penawar kanser payudara atau apa-apa jenis kanser sekalipun tidak mampu menjamin penyembuhan kanser seperti yang didakwa.

Kanser payu dara atau semua jenis penyakit kanser merupakan penyakit yang memerlukan rawatan dan pemantauan rapi oleh pengamal perubatan yang bertauliah. Oleh itu, pengguna diingatkan agar tidak mudah terpengaruh dengan iklan-iklan palsu yang menawarkan penyembuhan terhadap penyakit. Elakkan diri daripada menjadi mangsa penipuan dan taktik kotor pemasaran produk.

Setiap pesakit juga digalakkan mendekatkan diri kepada Maha Pencipta agar sakit tersebut dijadikan kafarah dosa-dosanya serta mudah-mudahan dikurniakan penyembuhan buat dirinya.

[optin-cat id=”2106″]

Rujukan:
1. http://www.myhealth.gov.my/kanser-payudara/
2. Akta 290, Akta Ubat (Penjualan dan Pengiklanan) 1956.
3. http://www.mmgazette.com/iklan-penawar-kanser-payudara-retorik-realiti-khairul-naim-bin-zainal-abidin/

Apa Komen Anda?