GribblesDapatkan keputusan saringan Kanser, Kencing Manis, Kolesterol dan banyak lagi sepantas 1-3 Hari sahaja. Hanya di Gribbles

10 Catatan Kedua DAR Pasca Bah Perang di Kelantan yang WAJIB anda TELUSURI!

Sakinah dikala Angin Kencang

29/12/14

Catatan ke-11

=======================

Jam 1.30 pagi.

Dua orang ibu telah sampai dan memberitahu mempunyai simptom-simptom bersalin. Saya meminta Sister Norlaila dan SN Nik untuk melakukan pemeriksaan lanjut sementara saya dan Dr Faizal berdoa agar fasa bersalin masih awal. Saya sedar jika berlaku komplikasi di sini, kami tiada alternatif pengangkutan ke HUSM melainkan terpaksa berhadapan dengan sebarang kemungkinan.

Selesai melakukan pemeriksaan, seorang ibu yang telah mempunyai 3 orang anak telah keluar sedikit air ketuban/PROM manakala seorang lagi dalam fasa awal kelahiran. Kami semua berasa lega. Kami meminta mereka merehatkan diri sementara kami pula bergilir-gilir melakukan pemantauan ke atas pesakit.

Sebelum kami mengambil port untuk berehat, suami ibu kepada 3 org anak itu berkata kepada SN saya:

“Biasanya, dia ni beranak cepat”

Aduh, tamparan buat kami. Namun, kami hanya mampu tawakal kepada-Nya. Hanya Dia yang akan mempercepatkan atau melambatkan sesuatu perkara.

Jam 6.30 pagi.

Saya dikejutkan Dr Faizal. Saya terus bangkit kerna khuatir niat beliau memanggil saya adalah untuk membantu bersama menguruskan ibu bersalin tersebut. Oh rupanya untuk solat Subuh. Saya benar-benar kepenatan hingga tidak sedarkan diri bagai diberi sedatif kuat. Usai solat, kami melakukan melakukan pemeriksaan sekali lagi. Alhamdulillah kedua-dua pesakit sudah tidak mempunyai contraction. Namun saya tidak mahu mengambil sebarang risiko.

Saya menghubungi bilik gerakan banjir dan memohon sebuah bot. Ya sebuah bot bukan helikopter. Saya berpendapat, keadaan saya tidaklah terlalu kritikal dan biarlah bantuan udara diberikan kepada mereka yang benar-benar memerlukan. Cukuplah saya telah banyak menyusahkan mereka semalam.

Klinik saya didatangi ramai staff kesihatan yang bekerja di merata tempat tetapi ingin melapor diri dan membantu di sini kerana jalan darat khabarnya masih tidak boleh dilalui. Hinggalah Sister Izura hadir dan memaklumkan kami satu berita gembira.

Jalan darat akhirnya boleh dilalui melalui ‘retok’/jambatan kecil Che Deris. Itupun dengan menggunakan kenderaan 4×4 sahaja. Satu berita yang sangat mengujakan saya. Segera saya memaklumkan kepada bilik gerakan akan situasi semasa kami. Kemudian pihak tentera menghubungi saya. Mereka bersedia untuk masuk dengan trak besar 3 tan bersama bantuan makanan namun saya memaklumkan hanya jeep tentera sahaja boleh melalui ‘retok’ tersebut. Kedua-dua pihak hampa.

Jam 10 pagi.

Pasukan saya bersiap sedia untuk membawa kedua-dua ibu keluar daripada zone bahaya ke HUSM dengan menaiki land rover klinik. Di tengah kesibukan kami untuk bergerak ke sana, tiba-tiba sebuah kereta berhenti di hadapan saya. Turun seorang ibu mengandung memegang erat perut dan pinggulnya.

“Nak beranak ke?” Tanya saya dan ibu itu segera mengangguk dan mengiyakan pertanyaan saya.

Hormon Adrenaline saya telah kehabisan. Saya dengan perasaan tenang membawanya masuk ke kamar bersalin dan meminta SN Osnita melakukan pemeriksaan. Alhamdulillah, ibu itu juga dalam peringkat awal bersalin. Segera saya memuatkannya di dalam land rover sempit itu. Mereka perlu bersabar dengan sedikit kesempitan tersebut. Saya menghantar Dr Faizal menemani mereka dan seterusnya pulang ke pangkuan keluarga tercinta di Pengkala Chepa.

Saya meneruskan misi kami pada hari ini. Memandangkan kekuatan ke’tenteraan’an dan jentera kesihatan saya bertambah, saya mengagihkan beberapa skuad Jururawat Masyarakat/JM untuk nursing di kesemua pusat pemindahan dan memburu ibu-ibu mengandung yang sudah ‘term’. Saya mahu mereka yang berisiko untuk bersalin, dievakuasi ke tempat lebih selamat/berdekatan dengan hospital bersalin. Alhamdulillah, kami menjumpai beberapa orang yang terkandas akibat banjir dan segera menasihatkan mereka untuk berpindah ke tempat yang lebih selamat.

Klinik Kesihatan Badang beroperasi seperti sedia kala dengan kekuatan sedia ada. Beberapa orang ahli skuad kesihatan yang setia berjuang memberi khidmat kesihatan bersama saya selama 5 hari berturut-turut sebelum ini dibenarkan pulang ke pangkuan keluarga tercinta yang berada di seberang sungai. Ops Pembersihan dilakukan di bangunan ibu anak yang terjejas teruk akibat banjir dan selut lumpur.

Dr Haza dan suami juga hadir melapor diri untuk membantu saya. Tidak lama selepas itu Dr Haziah, MO in charge KK Badang juga hadir setelah terkandas di luar kawasan kami akibat kenaikan air yang mendadak di rumahnya di Baung. Saya kembali menyerahkan tampuk pemerintahan ke tangan beliau dan memohon diri untuk berehat sebentar pada tengahari.

Banjir semakin surut disemua tempat tetapi bencana masih belum pulih di Kelantan. Ada sebahagian tempat masih ditenggelami air, terputus bekalan elektrik, telefon dan makanan dll. Seorang staff kami ‘stranded’ di rumah beliau kerna jalan runtuh dan air masih di paras pinggang serta terputus segala-galanya. Saya meminta driver kami menghantar bantuan makanan kepada dia sekeluarga agar dapat terus survive dan bertahan sekurang-kurangnya sehingga selesai gelombang ketiga.

Bekalan makanan di kedai runcit dan beberapa pusat pemindahan juga telah kehabisan. Begitu juga petrol dan beberapa barang keperluan bayi. Beberapa penduduk kampung mengambil inisiatif meredah sungai dengan menaiki bot pancung untuk membeli petrol di stesen minyak di seberang. Harga petrol yang dijual di dalam botol di sekitar Badang pula melambung tinggi tetapi penduduk yang terjejas jelas tiada pilihan.

Banjir telah surut tetapi kami kini berdepan cabaran pasca bencana. Bekalan bahan mentah sangat berkurangan malahan jika ada dijual pada harga yang keterlaluan. Menjelang sesi persekolahan yang bakal dibuka januari depan, masih ramai mangsa terperangkap di sekolah tersebut kerana kediaman mereka masih dinaiki air bah. Peralatan sekolah musnah teruk manakala persiapan ke sekolah turut terjejas.

Dari sudut kesihatan, wabak penyakit bawaan air kini dalam pemantauan kami. Begitu juga penyakit berjangkit seperti Leptospirosis, Denggi dan Malaria yang dijangka akan mula menyerang selepas ini. Jentera dan fasiliti kesihatan juga musnah teruk. Semua sistem perkhidmatan seperti bank dll bakal tergendala untuk seketika.

Kami bagai dilanda tsunami kecil dan sangat-sangat memerlukan bantuan dan sokongan daripada rakyat Malaysia.

Jutaan terima kasih kepada semua agensi kerajaan dan sukarelawan yang berjuang tanpa henti membantu mangsa-mangsa banjir di seluruh negara. Juga kepada dermawan yang terus menerus menyumbang. Ternyata kemanusiaan masih belum mati di kalangan masyarakat majmuk di Malaysia.

Teruskan menyumbang apa yang anda mampu. Tuhan pasti akan membalas dengan lebih banyak kebaikan kepada anda.

Salam Pasca Tsunami.

Ikhlas,

Dr Afiq Rahim, DAR

——————————————————————————————————————–

 

Mehnah Pasca Mini Tsunami

30/12/14

Catatan ke-12

===================

Air bah telah kebah hampir di kebanyakan tempat di Kota Bharu dan Kelantan secara amnya. Jumlah mangsa yang pada mulanya mencecah hampir 40,000 di daerah Kota Bharu sahaja juga telah berkurang hampir separuh pada hari ini. Di mukim Badang sendiri, mangsa banjir yang pada mulanya mencecah 4000, kini menurun sehingga 103 mangsa di satu daripada lima pusat pemindahan yang mula ditutup selepas kebanyakan mangsa dibenarkan pulang. Namun cuaca yang kadangkala gelap beserta angin kencang serba sedikit memberi kegusaran di benak hati kami.

Saya dan skuad mobile klinik kesihatan Badang telah pergi melawat aset-aset kami di klinik desa yang terjejas teruk akibat banjir besar dan juga melakukan khidmat pemeriksaan kesihatan di beberapa kem pemindahan di sini. Sepanjang perjalanan kami, ternyata kemusnahan yang dashyat terutama kepada infrastruktur seperti jalanraya dan perkhidmatan eletrik serta bekalan air yang pastinya menelan belanja berjuta ringgit untuk dibaiki. Jika keadaan di sini sudah bagaikan serba sedikit seperti pasca tsunami di Acheh, saya tidak dapat menggambarkan bagaimana situasi semasa di Manek Urai dan K.Krai yang jauh lebih malapetaka.

Anda bayangkan, kebobrokan arus deras daripada banjir besar tersebut telah mencipta anak sungai baru merentasi jalanraya yang runtuh berdekatan dengan SK Kedai Buloh 1 menyebabkan kami terputus hubungan darat ke dunia luar. Maka tidak hairanlah jika trak besar tentera juga tidak berani melalui kawasan tersebut.

Kehidupan kami tetap perlu diteruskan selepas bencana ini. Mangsa pulang ke rumah masing-masing dalam keadaan hiba dan runsing. Persiapan persekolahan anak-anak yang baru dibeli telah dilarikan arus deras. Ada juga di sesetengahkan kawasan bukan sahaja peralatan di dalam rumah musnah bahkan rumah itu sendiri hanyut diapungkan oleh banjir besar. Yang tinggal hanyalah tangga batu dan tiang menjadi tunggul di daratan sebagai tanda tragedi hitam di dalam lipatan sejarah kehidupan sebahagian mangsa banjir di Kelantan. Kerugian? Tidak terhitung banyaknya.

Jalan ke bandar kini boleh dilalui setelah jalan yang rosak teruk di Tok Sadang dibaiki dengan timbunan pasir dan batu. Penduduk mengambil peluang membeli keperluan rumah tetapi hampa kerana sebahagian pasaraya dan kedai masih lagi ditutup setelah kerugian beribu ringgit akibat kedahsyatan bah kali ini. Stesen minyak pula ibarat gula yang dihurungi kereta-kereta yang kehabisan petrol dan sanggup beratur panjang.

Namun dicelah-celah kehimpitan serba seribu masalah akibat bah besar ini, masih ada manusia yang masih terus meneruskan melakukan kemurkaan tuhannya. Kejadian pecah dan curi di beberapa kedai dan pasaraya ketika banjir di Kelantan adalah satu tindakan yang sangat tidak wajar bagi saya. Saya masih gagal memikirkan apakah keperluan mereka mencuri produk kecantikan dan beberapa barangan elektronik ketika situasi gawat begini. Mudah-mudahan mereka bertaubat dan memperolehi hidayah kelal.

Klinik Kesihatan Badang juga telah beroperasi seperti sediakala. Alhamdulillah, setelah tujuh hari berkhidmat tanpa henti, cuti saya yang dibekukan sebelum ini di’cair’kan semula oleh boss saya, Dr Haziah. Saya memerlukan moral boost daripada keluarga tercinta di Pasir Puteh. Dua malam sebelumnya, saya menangis mendengar celoteh anak sulung saya. Rindu seorang ayah kepada keluarganya.

Namun, kerehatan yang diperolehi bukanlah untuk saya bersenang lenang pada jangka masa panjang. Insyallah esok, saya akan melapor diri dan bersama dengan NGO, Pertubuhan Amal Perubatan Ibnu Sina Malaysia aka PAPISMA untuk meneruskan misi bantuan kemanusian kepada mangsa banjir di Kelantan. Mungkin juga akan menjenguk sahabat saya Dr Adibah Abdullah, di Kuala Krai jika berkesempatan.

Saya akan terus berkongsi sehingga segalanya selesai.

Oh ya, kini catatan saya turut dirakam lensa kamera, akhbar dan agensi berita. Ada sebahagian berita yang saya rasakan agak terpesong daripada jalan cerita asal yang saya sampaikan. Oleh itu, kepada pembaca budiman, sila rujuk kembali jalan cerita original di wall saya atau sahabat-sahabat yang sudi berkongsi pengalaman ini.

Teruskan menderma dan berdoa. Jika kehidupan ketika banjir lebih memerlukan doa dan makanan, kehidupan selepasnya memerlukan wang dan moral untuk kelangsungan hidup.

Juga takziah kepada ahli keluarga mangsa tragedi nahas pesawat AirAsia QZ8501.

Terima kasih kepada rakyat Malaysia yang prihatin.

Salam Bayu Kerinduan

Ikhlas,

Dr Afiq Rahim, DAR

———————————————————————————————————————

Padang jarak padang terkukur

31/12/14

Catatan ke-13

=======================

Dahsyat, Daif dan Derita!

Itulah yang mampu saya ungkapkan setelah hari pertama saya bersama misi bantuan kemanusiaan PAPISMA ke Kuala Krai. Kemusnahan yang berlaku adalah beyond our imagination. Anda yang tidak berada di sini pasti sukar mengerti kedahsyatannya. Siapa sangka kawasan berbukit ini boleh banjir besar sehingga puncak bukit menjadi sebuah pulau. Kedalaman air banjir tersebut ibarat kedalaman Tasik Banding di Perak.

Perjalanan saya, Dr Zuraizi, Dr Firdaus, Brother Syakir dan Borther Qomad daripada bandar Kuala Krai sehingga Kg Manjor, Manik Urai mempersembahkan sebuah drama kehidupan yang sangat menyayat hati. Mangsa banjir duduk sugul di tepi jalan menagih simpati dermawan untuk mendapatkan bantuan. Harta benda, rumah semuanya hancur di belah badai banjir. Mereka hanya tinggal sehelai sepinggan.

Di Kg Manjor, kisah mereka sangat memilukan. Keseluruhan kampung lenyap sekelip mata akibat tsunami sungai di kawasan perbukitan. Hendak ke sana sahaja ibarat melalui dasar di sebuah kolam dalam. Keseluruhan dunia kami dipekati warna coklat sahaja. Hampir 60 keluarga hilang tempat berteduh. Cerita mereka di saat menghadapi banjir lumpur itu juga meruntun jiwa.

“Semuanya berlaku dengan pantas doc. Kami tidak sempat menyelamatkan apa-apa” jawapan standard hampir semua penduduk.

“Kami berlari ke atas bukit menumpang di rumah mokcik Soh. Jam 3 pagi, air naik di dalam rumah tersebut sehingga paras pinggang. Kami tak sangka air boleh naik ke sini. Maka kami terpaksa pula mengharung air dan mendaki bukit di awal pagi” cerita seorang pakcik berumur lewat 60an.

Di pulau baru tersebut, ada yang terputus bekalan makanan selama 3 hari. Yang bernasib baik dapat membawa dapur memasak sekali ketika berpindah. Ada juga mangsa menceritakan detik cemas kepada skuad kami sewaktu di atas sana.

“Di atas sana, sewaktu menyandar ke pokok, tiba-tiba pokcik terasa sesuatu yang sejuk sedang menjalar di leher pokcik. Segera pokcik mencampaknya dan terkejut mendapati ia adalah seekor ular kapak bodoh” cerita seorang pakcik tua lagi.

“Anak pokcik diketip seekor lipan dan mengadu sesak nafas dan sakit tekak selepas itu. Kami tidak mampu berbuat apa-apa untuknya. Mujur dia selamat”.

Saya mengesyaki anak pokcik itu telah mendapat anaphylaxis reaction akibat disengat lipan tetapi Allah itu Maha Kuasa dan Dialah juga yang memanjangkan nyawa seseoramg itu. Itulah antara cerita sadis mangsa banjir di Manik Urai. Hanya mereka yang berada di sini mengetahuinya.

Jika di Badang saya telah merasai kesusahan berada di ground zero, di sini pengalaman sayu mereka lebih menginsafkan saya. Ternyata mereka lebih tabah menghadapi ujian-Nya. Bantuan penyelamat juga sukar akibat arus deras dan kekurangan anggota untuk operasi pemindahan. Mereka juga telah terputus bekalan elektrik, komunikasi dan air bersih hampir seminggu.

Namun, disebalik mendung pastinya ada mentari. Malaysia beruntung kerana mempunyai ramai dermawan. Banyak NGO dan orang perseorangan tampil menghulurkan bantuan kepada mangsa tetapi terdapat masalah dalam pengagihan tersebut. Berdasarkan pengamatan kami dan diskusi bersama local people kami merumuskan:

  1. NGO/orang perseorangan perlu dipandu penduduk tempatan yang lebih arif tentang situasi dan kawasan yang mana perlu menerima bantuan.
  2. Bantuan yang diberi dalam bentuk kotak perlu di atur semula agar pembahagian yang adil kepada mangsa.
  3. Mangsa memerlukan beras, sardin, minyak masak dan wang untuk meneruskan fasa baru kehidupan. Yang lain-lain telah banyak disumbangkan.

Ada sesetengah kawasan pedalaman masih gagal dihubungi dunia luar akibat banjir lumpur atau halangan di atas jalan yang menghubungkan penempatan mereka seperti balak dan rumah yang tersadai akibat dihanyutkan arus deras.

Benar, saya sendiri sukar mempercayai apa yang saya lihat di sana tetapi jika tuhan berkata “Qun Fayakun” maka jadilah bah coklat di kawasan beraltitud tinggi. Pastinya tahun 2015 adalah tahun yang suram kerana sumber rezeki seperti getah dan sawit turut musnah. Kuala Krai, Tanah Merah dan Kota Bharu memerlukan pembedahan plastik dan rekonstruksi yang menelan berjuta ringgit untuk dipulihkan seperti asal.

Insyallah esok akan terus berbakti kepada rakyat marhaen di Kuala Krai.

Ayuh teruskan menyumbang ke dana banjir Papisma atau mana-mana NGO lain. Mereka sangat-sangat memerlukan sokongan anda.

P/s: saya mengalami masalah line telco di sini. Mungkin catatan seterusnya sedikit lambat.

Salam Ambang 2015

Ikhlas membantu,

Dr Afiq Rahim, DAR

———————————————————————————————————————

 

Bulat air kerana pembentung,

Bulat manusia kerana muafakat.

1/1/15

Catatan ke-14

=======================

Jam 1.30 pagi,

Skuad misi kemanusiaan PAPISMA dinahkodakan oleh Komander Dr Syed Khalid, pegawai perubatan sarjana kanak-kanak HUSM, mula mengambil tempat untuk berehat selepas seharian meredah lumpur memberi bantuan kepada mangsa banjir di sekitar bandar Kuala Krai dan Manik Urai. Ketika baru sahaja saya hendak melelapkan mata, kami disapa seorang lelaki tidak dikenali di pusat logistik kami:

“Assalamualaikum, kami daripada syarikat Sabasun Hypermarket Terengganu tiba untuk menghantar bantuan”.

Selama hampir 3 jam kami memunggah barang di awal dinihari daripada lori 3 tan ke dalam stor kami. Sungguh pemurah taukey pasaraya tersebut hinggakan bantuan yang diberikan seperti tidak akan putus. Sehingga saya membuat andaian;

“Pintu lori yang gelap ini seperti menghubungkan kita direct dengan stor mereka di Terengganu. Bekalan tak putus-putus daripada tadi ni” disambut gelak ketawa teman seperjuangan.

Syarikat tersebut menderma beras, kicap, gula, selimut, tikar dan bermacam-macam lagi. Akhirnya jam 3.30 pagi, kami selesai memunggah barang bantuan tersebut. Letih? Bukan kepalang lagi nafsu tidur kami akibat keletihan yang teramat sangat.

Jam 6.30 pagi

Selepas hanya 3 jam merehatkan diri, kami bangun dan mengerjakan solat subuh berjemaah di rumah Dr Hasmizan, pakar ENT Hosp K.Krai. Usai santapan rohani dan gastronomi, kami pulang ke pusat logistik kami untuk misi pengagihan bantuan seterusnya. Saya bergerak bersama cikgu Rosli, orang tempatan dan menjejaki penduduk kampung yang terjejas teruk di sekitar Kg Peria. Penduduk meneruskan usaha pembersihan dan pembaikian tempat berteduh mereka. Selut dan lumpur sudah sebati dengan warna kulit mereka. Namun penduduk mempunyai masalah bekalan air untuk operasi tersebut dan juga mesin pump air untuk menembak lecekan lumpur yang semakin kering di dinding dan lantai rumah masing-masing. Seorang makcik tua mengadu kepada saya:

“Sudah tiga hari mokcik minum air longkang sahaja yang turun daripada jalan raya diatas” Allah sayu saya mendengarnya.

Pada sebelah petang, kami menghulurkan bantuan ke Kg Bahagia yang terletak di seberang Sg. Kelantan. Sewaktu kami menelusuri pusat bandar Kuala Krai, ternyata kemusnahan dan kerugian besar dapat dilihat kepada penduduk, peniaga dan juga pihak kerajaan. Beberapa kedai dan pasaraya terpaksa melelong atau memberi sahaja stok barangan yang rosak diselami air. Balai Bomba dan Ibu pejabat polis, juga musnah teruk termasuk aset seperti kereta dan motosikal peronda dll.

Di Tetangga Krai, manusia berpusu-pusu mengangkut dan memunggah barang ke dalam bot panjang untuk diagihkan di seberang. Penghulu Kg Bahagia memaklumkan bantuan sudah banyak dan mereka kini memerlukan pasukan perubatan untuk membuka klinik di sana. Katanya sejak 3 hari lepas, padang rumput di sekolah sana ibarat sebuah mini lapangan terbang dengan helikopter mendarat sekurang-kurangnya 3 kali sehari menghantar bantuan. Terdapat juga ahli keluarga yang baru pulang daripada Kuala Lumpur terpaksa menunggu bot yang terhad untuk dibawa menyeberangi sungai yang masih berarus deras. Di sana juga, mata saya tertarik dengan kehadiran NGO Taiwan Disaster Rescue yang barangkali dijemput oleh dewan perniagaan Cina di negara kita. Mereka segak berkelengkapan lengkap dengan peralatan menyelamat.

Tsunami banjir telah menjemput rezeki yang melimpah ruah kepada mangsa di sini. Namun, masalah utama di sini adalah koordinasi pengagihan bantuan kemanusiaan. Lebih malang, saya sangat terkilan apabila segelintir ahli parti hijau,biru dan merah telah mempergunakan bantuan ikhlas rakyat Malaysia untuk memenuhkan tembolok kepartian masing-masing. Terdapat pengagihan diberikan ekslusif hanya kepada penyokong parti masing-masing menggunakan sumbangan orang awam. Di saat mangsa banjir sangat terdesak untuk kelangsungan hidup, parti-parti politik mengambil kesempatan untuk meraih sokongan parti. Kerana itu saya sangat senang berurusan dengan NGO seperti PAPISMA, IKRAM, IMARET, 4X4 team dll yang lebih telus dari sudut pengagihannya tanpa mengira warna politik dan kulit.

Mangsa kini sangat-sangat memerlukan shelter/khemah untuk berteduh setelah kediaman mereka dihapuskan oleh ombak banjir. Kepada anak-anak Kelantan yang berasal daripada kawasan banjir, kami menyeru anda untuk pulang bertemu dengan keluarga anda yang terjejas teruk akibat musibah ini. Hulurkan sokongan moral dan tenaga untuk membersihkan rumah ibubapa anda/ jiran tetangga. Pasca banjir, mereka sangat memerlukan kata-kata motivasi untuk trauma yang mereka hadapi dan pastinya individu yang terbaik untuk menenangkan mereka selepas kaunselor/pakar psikiatri adalah anak-anak/ahli keluarga mereka sendiri.

Barang-barang yang kini mangsa perlukan adalah shleter/khemah besar, beras, portable stove/dapur, tangki air besar untuk setiap kampung, bot-bot untuk menyeberang sungai dan peralatan sekolah. Keperluan mereka sebenarnya adalah berfasa. Contohnya, Fasa awal mereka memerlukan makanan, kedua kelengkapan membaiki/buat rumah baru, ketiga persiapan persekolahan dan begitulah seterusnya.

Sebenarnya banyak lagi yang ingin dicoretkan di sini tetapi seluruh tubuh saya telah ‘cramp’. Insyallah pengalaman lain akan saya kongsikan di dalam buku nanti.

Esok, Insyallah akan ke sekitar Kota Bharu atau mungkin kawasan lain yang terjejas teruk.

Terima kasih kepada semua sukarelawan, NGO, agensi kerajaan dan semestinya our unsung heroes yang lain. Semoga usaha kita semua diberkati dan dirahmati Allah.

Salam Muafakat

Dr Afiq Rahim, DAR

——————————————————————————————————————–

Kredit kepada PAPISMA

Erti Syukur

3/1/15

Catatan ke-15

===========

Jumaat, 2/1/15.

Saya pulang daripada misi kemanusiaan di K.Krai jam 1 pagi. Alhamdulillah sempat bertemu dua mata dengan Prof. Dr Harmy, vvvip PAPiSMA di markas kami sebelum bertolak pulang. Nikmat mandi pada pagi itu tidak terkata kerana 2 hari saya sudah tidak mandi akibat kebejatan air di K.Krai. Keesokan paginya saya mengalami kekejangan otot ketika bangun subuh. Seluruh otot saya terutama biceps dan betis mengalami cramp ibarat saya baru mengikuti kelas intensif di gym. Saya memohon maaf kpd team kerana perlu merehatkan diri. Saya sedar tulang empat kerat saya telah dipaksa bekerja keras selama 8 hari berturut-turut dan melangkaui batasan kekuatannya. Maaf kepada semua pihak terutama mangsa banjir, saya tidak dapat membantu kalian pada hari tersebut.

Sabtu 3/1/15

Pagi itu, saya bergegas ke markas kami untuk bersama Dr Yusnihisyam dan zaujahnya ke Gual Ipoh, Tanah Merah. Sewaktu menelusuri kehidupan pasca banjir di bandar Tanah Merah, hanya airmata yang mampu berkaca di kelopak mata. Tiada kata-kata yang mampu mengungkapkan perasaan yang membukam di jiwa ketika itu.

Setibanya di pusat operasi banjir Gual Ipoh, kami diberi tugasan untuk mengadakan klinik statik di Kg Kusial, sebuah perkampungan yang terletak di tebing sungai Kelantan. Jalan cerita dan episod duka di Manik Urai kembali berputar sepanjang perjalanan kami ke sana. Banjir lumpur menenggelamkan keseluruhan tanaman dan memusnahkan kediaman mangsa. Namun, disaat kehibaan itu tidak terperi, hadir insan-insan daripada pelbagai NGO dan orang perseorangan yang menghulurkan bantuan membersih rumah dan menghantar bekalan keperluan kepada penduduk di sana.

Kami berhenti di sebuah kedai kopi tidak bernama di hadapan balai polis Kg Kusial Baru. Belum sempat kami memunggahkan barang, mangsa berpusu-pusu ke arah kami untuk mendapatkan khidmat kesihatan. Rata-rata mereka mengalami masalah kekejangan otot, sakit urat, luka dan penyakit kulit. Saya sempat menemu bual penduduk kampung tersebut bertanya khabar dan cerita banjir mereka. Seorang pakcik dalam lingkungan 50 an menceritak detik cemasnya ketika air bah naik membaham daratan:

“Ketika air bah naik, pokcik risau akan kereta yang masih belum sempat diselamatkan. Pokcik berdiri di atas kereta pokcik kerana air sudah berada paras pinggang ketika itu. Dengan tangisan sendu, pokcik melaungkan azan dengan niat agar kereta pokcik dan penduduk lain tidak terjatuh ke dalam sungai.”

“Selepas air surut, pokcik terperanjat. Kereta pokcik masih ada di situ bersama yang lain. Walhal kedudukan kereta itu betul-betul di tepi sungai. Kereta mangsa lain di bandar habis ditolak arus deras tetapi kereta pokcik masih kekal disitu walaupun diselimuti oleh lumpur tebal”

Allah…betapa hebatnya kuasa tuhan ketika itu. Memang benar, hanya yang bertawakal dengan ikhlas kepada-Nya akan dibantu oleh Allah SWT. Hati ini menangis mendengar cerita-cerita hiba mereka yang lain. Ternyata, mereka memerlukan pihak untuk berkongsi masalah dan mendengar kisah menyayat hati mereka. Insyallah team daripada kami, KKM dan NGO lain akan menghantar kaunsellor dan psychologist untuk terapi trauma mereka.

Saya tertarik juga dengan sikap beberapa penduduk di situ yang mana disaat rumah dan keperluan lain musnah dihanyutkan banjir, mereka masih boleh meminta agar bantuan berlebihan di hantar ke kawasan yang lebih memerlukan atau masih kurang menerima bantuan.

“Cukuplah nak, bui ke orang lain pula” ayat-ayat itu benar-benar memberi keinsafan kepada saya. Mereka lebih tabah mengharungi dugaan ini. Sememangnya tuhan itu maha Adil dengan ujian yang menimpa mangsa-mangsa banjir. Setiap mangsa ditimpa ujian yang berbeza-beza. Ada mangsa yang kehilangan rumah masih mampu senyum dan berjenaka dengan kami.

Itulah tawa dalam tangisan.

Di sana, kami sempat juga bertemu Dr Rahimie Sayutti daripada Klinik Primer Cherang dan isteri yang turut sama turun padang membantu mangsa-mangsa banjir. Mereka mensasarkan penempatan yang masih kurang menerima bantuan. Ya, masih ramai lagi NGO, individu dan agensi kerajaan yang dalam perjalanan ke sini untuk menginfakkan tenaga, masa dan harta demi mangsa banjir di Kelantan. Syabas di atas usaha murni tuan-tuan dan puan-puan.

Ramai pihak bertanya kepada saya, kawasan mana lagi yang belum dijejaki untuk menghantar bantuan. Saya menjawab, hampir kesemua tempat telah dikenalpasti. Persoalan seterusnya yang saya lontarkan:

“Adakah semua mangsa di kawasan yang dilawati telah mendapat bantuan dengan adil dan saksama?”

“Adakah masih wujud jurang perbezaan daripada sudut bantuan yang diberikan?”

Persoalan di atas saya tinggalkan kepada saya dan anda semua untuk diamati dan dicarikan solusi terbaik. Insyallah, jika kita ikhlas membantu dan sama-sama bersatu, Allah akan menunjukkan jalan buat setiap permasalahan kita.

Besar kemungkinan, ini adalah misi terakhir saya. Insyallah saya akan terus menulis dan berkongsi samada di dalam buku dan di laman media sosial.

Untuk mengikuti aktiviti PAPISMA dan gambar-gambar kisah pilu mangsa banjir serta suka duka dalam misi bantuan kemanusiaan kami, anda boleh like page kami di sini : https://m.facebook.com/papisma…

Anda juga boleh terus menerus menyumbang ke dana bantuan kemanusiaan ke akaun berikut:

Tabung Banjir Papisma

Nama Bank: Bank Islam Malaysia Berhad

Nama Akaun: TETUAN PAPISMA KELANTAN

Nombor Akaun: 03018010152059

Untuk pertanyaan lanjut, SMS/Whatsapp Dr Su:012 9555842

Tabung ini BUKAN tabung peribadi saya. Ianya milik PAPISMA 100%. Jika anda ingin menyumbang menerusi tabung lain, tidak mengapa. Sumbanglah dengan ikhlas dan kepada organisasi yang diyakini.

Bersama kita meringankan beban mangsa-mangsa banjir di Kelantan khususnya dan seluruh Malaysia amnya.

Salam Syahdu Keinsafan

Dr Afiq Rahim, DAR

———————————————————————————————————————

 

Refleksi Bah Kelantan 2014

6/1/15

Catatan ke-16

=======================

Telah lebih seminggu bencana bah besar menggemparkan negara kita. Bukan sedikit kerugian yang terpaksa ditanggung oleh mangsa-mangsa, peniaga, kerajaan negeri mahupun pusat. Anggaran mungkin berbillion ringgit terpaksa dilaburkan semula. Berapa lama masa diperlukan untuk mengembalikan imej ceria bandar Gua Musang, Kuala Krai, Tanah Merah dan Kota Bharu seperti dahulu kala sukar untuk dihitung. Mungkin berbulan-bulan bahkan tidak mustahil bertahun.

Anggaran kematian akibat lemas kerana musibah ini?

Masih belum boleh dipastikan. Jika banjir setinggi bangunan sekolah dua hingga tiga tingkat di Manik Urai dan Kuala Krai, agak-agak tuan-tuan dan puan-puan berapakah jumlah mangsa yang mati lemas? Tiada? Hmm….biarlah pihak berkuasa yang menyiasat situasi terkini tersebut. Mati kebuluran? Setakat ini, hanya khabar angin.

Gelak ketawa anak-anak kecil berlumpuran sambil berlari dan memegang makanan sentiasa terngiang-ngiang di gegendang tympanic membraneku semasa misi bantuan ke sana. Merekalah pengubat duka nestapa keluarga yang masih dihurung pilu mengenangkan nasib malang yang menimpa mereka. Sudahlah kehidupan sebelum ini pun hanya kais pagi, makan pagi, kais petang, makan petang, kini mereka jatuh papa kedana mengharapkan ihsan manusia lain.

Namun di sebalik musibah ini, wujud segelintir manusia yang masih tidak takut akan kemurkaan tuhannya walaupun malapetaka telah berlaku di negerinya. Ada yang berlakon menjadi mangsa untuk mendapat habuan yang ingin diagihkan, ada pula yang menjadi lanun daratan ketika banjir dengan merompak kedai dan rumah, ada pula yang masih berideologi politik tirus dengan menghalang bantuan kemanusian ke tempatnya, ada pula pihak yang cuba men’curi’ bantuan NGO lain untuk diserahkan atas nama sendiri/kumpulannya, ada mangsa pula yang masih ‘tamak’ dan tidak mempedulikan jiran tetangga lain yang jauh lebih malang dan bermacam-macam lagi ragam manusia yang tercela di sisi tuhan-Nya.

Kasihan, sungguh kasihan melihat ragam sekumpulan manusia yang masih berpaksikan nafsu duniawi ketika peringatan Allah seolah-olah dipandang enteng. Jika Tsunami Acheh berjaya menyatukan puak-puak yang bertelagah dan mewujudkan keharmonian yang gersang di bumi yang pernah menerima jolokan Serambi Mekah, adakah kita memerlukan Tsunami sebesar itu supaya dapat menyatukan hati-hati manusia yang kering dan kegelapan ini di negeri Serambi Mekah kita pula? Apakah kita sedang meminta bala yang lebih dahsyat akibat perilaku kita yang menjengkelkan itu agar ia dapat menyedarkan kita semua?

Insaflah wahai manusia !

Telusurilah ibrah bencana ini dengan sepenuh penghayatan.

Ya, manusia itu namanya pelupa. Dua-tiga tahun daripada sekarang, kita akan memperhebatkan persiapan menghadapi bencana. Segala peralatan dan kekuatan jentera dikerahkan dan dalam keadaan siap siaga. Akan tetapi, selepas 5 tahun, tiada apa-apa yang berlaku maka manusia itu akan mula alpa. Persiapan tersebut semakin longgar dan mengalami ketirisan. Besi yang ditempa pada awalnya semakin berkarat dimamah cuaca dan usia menanti bala yang seterusnya. Mesyuarat yang berdegar-degar dan berkobar-kobar pada awalnya menjadi suam-suam kuku selepas 10 tahun bencana berlaku. Persiapan dan perbincangan selepas itu hanya sekadar memenuhkan kalendar dan bajet tahunan kita.

Itulah yang berlaku sebelum ini. Kita meneladani musibah banjir besar dan Tsunami Acheh 2004 dengan sepenuh penghayatan tetapi hanya selepas 10 tahun, ketika kita lalai daripada amanah kita maka Tuhan menurunkan bala sekali lagi buat kita semua melalui Alam Semesta.

Bersambung….

DAR

Semoga cahaya hidayah milik kita…

——————————————————————————————————————–

Kredit kepada PAPISMA

Refleksi Bah Bahagian 2

7/1/15

Catatan ke-17

==================

Sambungan

 

Walaupun bencana ini mengundang kesedihan, kepiluan dan kesengsaraan kepada rakyat Kelantan tetapi penderitaan ini juga terkesan oleh rakyat Malaysia keseluruhannya. Ibarat dicubit peha kiri, peha kanan juga terasa. Namun begitu, rakyat negeri ini sememangnya tabah dan mempunyai pergantungan yang tinggi terhadap Rab.

Kisah seorang makcik yang hanya meminta telekung dan sejadah untuk keperluan solatnya dan secebis makanan untuk menggalas perutnya walaupun kediamannya ranap dihempap banjir dan ditolak arus deras telah menyentuh genta rasa ramai pihak. Makcik itu redha akan ketentuan ilahi. Baginya hidup perlu diteruskan tetapi yang penting jangan sesekali putus asa ke atas rahmat tuhan.

Begitu juga dengan kisah beberapa keluarga di Kg. Manjor semasa saya melawat mereka di sana. Raut wajah mereka seperti bencana yang telah berlaku ibarat liku-liku ujian biasa yang ditemui sepanjang lebuhraya kehidupan. Tiada yang meraung menjerit sambil mempersoalkan “kenapa aku diuji sebegini”, tiada rintihan pilu di tunggul daratan tanda tempat persemadiaan mereka sekeluarga, tiada kegilaan yang dahsyat akibat post traumatic stress disorder/ PTSD tetapi yang hanya ada adalah ucapan ini “Kami Redha” atau “Inilah ujian buat kami”.

Masih tergambar di retina mata saya, raut wajah seorang ibu yang bertanya kepada anaknya

“Eh, bukan inikah rumah kita?” sambil berseloroh lalu dibalas dengan senyuman manis anak gadisnya.

“Bukan mak, tu….rumah kita” sambil menunjuk ke arah sebuah rumah papan yang ranap menyembah bumi kecuali yang tinggal hanyalah atap bumbung sebagai tanda beberapa meter daripada tangga batu asal rumah mereka. Tiada tangisan hanya nada sedih sahaja. Barangkali mereka telah kemarau air mata selepas puas menangisi nasib masing-masing sepanjang banjir melanda.

Perilaku keluarga itu membuat jiwa saya bergetar dan takjub melihat kekuatan luar biasa mereka. Jika saya diuji sebegini, saya juga belum pasti apakah tindakbalas saya. Lebih hebat, mereka turut mengajak saya dan krew singgah ke teratak sementara mereka yang hanya bersebelahan jalanraya utama Kuala Krai – Gua Musang di atas sana. Bagi mereka, tetamu perlu dilayan dan dihormati sebaiknya hatta dalam keadaan serba daif sekalipun. Pengalaman menikmati ‘candle light dinner’ bersama mangsa banjir di sana ditemani cerita-cerita menyayat hati mereka akan tersemat kemas di minda saya.

Benar, pasti ada yang meraung merintih tetapi jika anda ke sana, mangsa banjir lebih sibuk membina kehidupan baru pasca bencana daripada duduk meraung mengenang nasib malang yang menimpa mereka. Tanyalah peserta misi kemanusiaan yang ke sana membawa bantuan. Rata-ratanya pasti bersetuju dengan kenyataan saya ini.

Bagi agensi kerajaan, NGO mahupun individu perseorangan yang mengembleng tenaga dan kudrat atas dasar prihatin kepada mangsa banjir, setinggi penghargaan saya rakamkan. Ternyata kemanusian masih belum mati di hati rakyat Malaysia. Melihat bantuan bertan-tan sepanjang jalanraya ke kawasan bencana membuatkan hati ini berbunga gembira. Jelas, Tuhan itu Maha Adil. Dia menguji kami tetapi Dia jugalah yang memberi rezeki yang melimpah ruah kepada kami juga. Yang pasti mentari akan muncul lagi selepas mendung berarak pergi. Hinggakan ada mangsa gembira dengan kurnian ilahi ini seraya berkata:

“Lo ni lagi mewah daripada hok sebelum banjir tu doktor”.

Benar pakcik tetapi kegembiraan ini mungkin hanya sementara. Selepas sebulan, apakah kebanjiran bantuan kemanusiaan ini akan surut seperti surutnya air di Sungai Kelantan? Saya berharap, bantuan ini akan berterusan dan berkala sekurang-kurangnya untuk setahun demi mengembalikan kehidupan normal mangsa banjir dan memulihkan ekonomi setiap bandar yang terjejas teruk akibat malapetaka dahsyat ini.

Jadi, bantuan apa yang kini mangsa banjir perlukan?

Bersambung lagi…..

DAR

———————————————————————————————————————

 

Relfeksi Bah Bahagian 3

8/1/15

Catatan ke-18

=================

Sambungan

Saya bertalu-talu menerima mesej di dalam Facebook mahupun aplikasi WhatsApp daripada pelbagai pihak bertanya bantuan sebagaimana lagi yang kini diperlukan oleh mangsa banjir. Khabarnya bekalan makanan dah terlalu banyak dan pelbagai lagi andaian.

Seperti catatan sebelum ini, bantuan yang kami perlukan adalah secara berfasa atau berperingkat. Fasa Kritikal iaitu sejurus pasca musibah dahsyat itu memerlukan bekalan makanan, ubat-ubatan dan keperluan asas seperti air bersih dan elektrik kini beransur pulih di semua daerah yang terjejas. Alhamdulillah semua pihak mengembleng tenaga dan berusaha mencari di mana mangsa lagi yang masih belum mendapatkan bantuan. Anda boleh lihat kesungguhan mereka di wall Raja Shamri, NGO dan jentera kerajaan yang tanpa jemu menjejaki mangsa sehingga ke atas bukit mahupun di kawasan pedalaman. Saya masih teringat kata-kata peserta persatuan kenderaan pacuan empat roda, 4×4 yang membantu kami

“Lagi tak boleh pergi, lagi kami teruja nak ke sana” begitulah semangat seorang sukarelawan.

Kekuatan, pengalaman dan kerjasama bersama mereka inilah yang membolehkan sumbangan anda sampai ke tangan mangsa-mangsa kebuluran di kawasan ceruk yang tak terjangkau dek akal.

Fasa kedua pula adalah keperluan tempat tinggal, pembersihan kawasan kediaman dan premis kerajaan seperti sekolah, klinik mahupun hospital. Begitu juga proses menceriakan kembali bandar-bandar yang kini diselubungi debu dan selut tebal selepas banjir lumpur yang melanda. Bandar-bandar ini kini kusam ibarat berada di bandaraya megalopolis Cairo, Mesir atau bandar negara padang pasir yang lain. Kusam, lesu dan berdebu. Itulah gambarannya. Namun, fasa in juga semakin beransur pulih atas usaha para sukarelawan yang ringan tulang membantu mangsa mempercepatkan peralihan fasa ini yang dijangka mengambil masa yang panjang untuk diperkemaskan. Saya juga menyokong tindakan kerajaan mengajak peserta Program Latihan Khidmat Negara, PLKN untuk sama-sama membersihkan premis pendidikan, kerajaan mahupun kawasan kediaman rumah orang upaya/ warga emas. Melihat bas-bas yang membawa peserta ini mengimbau kenangan 10 tahun lalu di mana kumpulan saya adalah kumpulan pertama projek nasional ini dan saya telah diposkan ke Sabah. Pada hemat saya, tepat sekali tindakan kerajaan mengembleng tenaga anak muda ini untuk disalurkan ke saluran positif dan bermanfaat seperti ini. Ini dapat memupuk semangat prihatin, tolong menolong dan bekerjasama.

Kini, fasa seterusnya mula menjengah kami iaitu keperluan persekolahan dan peluang pekerjaan. Untuk sesebuah keluarga yang mempunyai anak-anak yang bersekolah, pastinya ini adalah dilema yang merungsingkan ibu dan ayah. Bukan sedikit duit yang diperlukan untuk mempersiapkan anak-anak mereka menjadi manusia berpendidikan dan berguna suatu hari nanti. Apatah lagi persiapan yang telah siap dibeli berratus ringgit, telah hanyut dan ditenggelamkan pula tsunami lumpur. Peralatan sekolah juga banyak yang rosak terus selepas menjadi pusat pemindahan atau ditenggelami bah. Namun, jiwa anak-anak kecil ini tetap membara untuk menuntut ilmu. Biar papa harta asalkan jiwa dan akal kaya. Semoga musibah ini tidak mematahkan semangat mereka menggapai impian di hari dewasa kelak.

Begitu juga nasib kebanyakan ketua keluarga berpendapatan rendah sebelum ini yang kini menghadapi ‘migrane’ memikirkan pekerjaan apa pula terbentang di hadapan mereka demi sesuap nasi dan survival hidup keluarganya selepas banjir besar ini. Kebanyakan tanaman dan ladang, lingkup akibat banjir ngeri ini. Tahukah anda majoriti keluarga di kawasan terlibat bencana ini, Allah murahkan rezeki pasangan suami isteri di sana dengan anak-anak yang ramai. Sudah pasti, mereka perlukan wang dan pekerjaan untuk menampung kehidupan sebuah keluarga yang besar.

Nah….di sinilah pula peranan kerajaan negeri dan pusat untuk duduk semeja dan bermuafakat membantu mangsa banjir dengan menyediakan kembali peluang pekerjaan buat mangsa-mangsa banjir yang kehilangan periuk nasi mereka. Saya juga tabik spring langkah pihak bank seperti AmBank yang menangguhkan bayaran balik pinjaman perumahan dan kenderaan kepada mangsa-mangsa banjir. Sekurang-kurangnya beban kewangan mereka dapat diringankan untuk kelangsungan hidup selepas ini.

Fasa selepas ini berkemungkinan persediaan menghadapi musim sejuk.

Eh mana ada Salji di kawasan Khatulistiwa!

Benar tetapi Jabatan Meteorlogi meramalkan beberapa kawasan terutama di Pantai Timur akan dilanda tiupan angin monsoon kencang bersuhu rendah sehingga Februari. Angin sejuk ini datang daripada Tanah Besar China yang kini sedang dilanda salji. Malam tadi, kami ditemani sorakan katak dan hujan ribut yang melanda. Awan Cumolonimbus menutupi langit kami memekatkan kepekatan malam yang dingin. Saya terbayang apakah keadaan keluarga yang hanya beratapkan khemas kanvas tanpa insulasi haba yang sebaiknya. Mereka kesejukan. Jika tahun lepas suhu di Kuala Krai mencecah hampir 20 darjah celcius, pada tahun ini, jabatan Meteorologi meramalkan suhu di sana berkemungkinan serendah 17.5 darjah celcius. Ya Allah, bantulah mangsa-mangsa di sana. Mereka kini berdepan situasi seperti di kem pelarian di Syria dan Jordan ketika musim sejuk.

Pagi tadi dalam perjalanan untuk bertugas di Klinik Kesihatan Kijang, bait-bait sebuah lagu daripada corong radio menangkap telinga saya yang hampir tepat menggambarkan perasaan dan suasana pagi kami yang kelam diselimuti awan gelap. Liriknya berbunyi begini:

 

Matahari bangunlah, indahkan hari ini,

Engkau perlu hidupkan semula mimpi kami,

Matahari bangkitlah, Indahkan hari ini,

Engkau perlu hidupkan semula cinta kami….

 

Liriknya sangat mendalam dan bergetar jiwa membayangkan perasaan mangsa-mangsa pasca banjir ini.

Bersambung lagi sekali…….

(Asyik bersambung je, bila nak habis episod refleksi ni?)

(Nama pun refleksi, jadi banyak perkara perlu dimuhasabahkan 😉

 

DAR

———————————————————————————————————————

 

Refleksi Bah Bahagian 4
11/1/15
Catatan ke-19
==================

Sambungan,

Ayah saya dan skuad cakna Jabatan Kerja Raya Negeri Kedah berkonvoi ke Kelantan hujung minggu lalu bersama misi bantuan psikososial dengan kekuatan lebih seratus orang tentera beserta jentera berat untuk operasi penyucian di premis-premis milik kerajaan dan staff kementerian tersebut.

Ya, semenjak bah melanda, bantuan datang mencurah-curah daripada anggota kerajaan, NGO, badan korporat dan orang perseorangan yang turut sama turun padang membantu untuk meringankan beban yang terpaksa ditanggung oleh rakyat Kelantan. Kementerian kesihatan sendiri sejak hari pertama pasca banjir telah menghantar berpuluh pasukan perubatan bersama pelbagai jentera dan kelengkapan kerajaan lain ke setiap daerah yang terjejas bagi membantu dari sudut rawatan kepada mangsa banjir ataupun operasi pembersihan di klinik kesihatan yang rosak teruk dilanda badai pada 24-26 Disember lalu. Mereka sama-sama merasai penderitaan kami.

Malam tadi, ayah sempat singgah ke teratak kami untuk bertemu dan bergurau senda bersama cucundanya sebelum berangkat pulang ke Kedah. Lalu saya mengambil kesempatan bertanya pendapat orang lama sepertinya kerana beliau seorang kakitangan kerajaan yang arif dan berpengalaman luas tentang perihal bangunan dan struktur. Saya bertanya apakah pendapat beliau tentang situasi sekarang dan bantuan sebagaimana lagi diperlukan mangsa pada masa ini.

Ayah memulakan bicaranya: “Bantuan Cuci”

“Mereka memerlukan sebuah lori tangki besar yang boleh membawa bergelen-gelen air dan alat waterjet untuk operasi pembersihan. Bekalan makanan dan pakaian kini telah melimpah ruah jadi mereka dah tak perlu bekalan tersebut. Mereka kini lebih memerlukan tenaga kerja yang ramai dan sokongan utiliti yang konsisten iaitu air dan elektrik untuk operasi mencuci.”

“Pasukan ayah yang dalam 20 orang pun hanya mampu membersihkan dua buah rumah sahaja sehari di Kg. Kusial, Tanah Merah. Masalah ketiadaan air untuk mencuci dan jika ada pula tekanan air sangat rendah adalah masalah yang kritikal. Solusinya, kami terpaksa menyedut air daripada sungai masuk ke lori tangki lalu di bawah ke kawasan kemusnahan banjir untuk operasi cuci”

Ayah menyambung ceritanya lagi: “Ada sebuah rumah di sana, tuan rumah tersebut duduk termenung di luar rumah seperti tidak tahu berbuat apa-apa. Barangkali mengalami trauma dan kemurungan setelah rumah dan barang perniagaannya dimusnahkan banjir lumpur”

“Masuk sahaja ke dalam rumahnya ibarat masuk ke dalam gua. Gelap dan bau busuk teramat sangat itu menusuk hidung dan psikologi kami. Ibarat gas ammonia yang terperam bertahun lamanya di dalam itu hinggakan kami yang berada di dalam rumah itu pun sakit kepala akibat bau tengik semasa operasi pembersihan dijalankan.”

Mangsa banjir juga mengalami dilema dan trauma lain. Hendak menjemur peralatan di luar rumah, takut penyangak daratan merompak barang mereka. Sudahlah kerugian beribu ringgit, hendak tambah lagi kekusutan yang sedia ada. Jika tidak dijemur dan dibawa keluar barang-barang di dalam rumah maka operasi mencuci tersebut pasti akan tergendala. Pening-pening.

Begitu juga dengan premis pendidikan yang katanya memerlukan jangka masa yang panjang untuk pulih seperti sedia kala. Walaupun sesi persekolahan telah dibuka dan kakitangan sekolah serta pelajar yang terjejas akibat banjir diberi kelonggaran yang banyak agar dapat terus berjuang menuntut ilmu, hakikatnya mereka perlukan terapi moral secara berkala, sokongan padu kementerian, badan korporat dan NGO serta kekuatan jentera yang ramai untuk membersihkan kawasan persekolahan mereka. Memerhatikan bahan bacaan berlumpuran, bangunan sekolah yang kusam, taman permainan yang musnah sudah cukup memberikan perasaan depresi kepada saya, inikan pula kepada para guru dan pelajar yang akan menghadap pemandangan negatif tersebut setiap hari sehingga pulih sepenuhnya.

Ayah juga melihat masalah sanitasi yang meruncing, pengurusan sampah yang tidak terurus dan sistem perparitan yang musnah teruk bakal menjemput wabak penyakit yang serius jika tidak ditangani segera pihak berkuasa tempatan, PBT. Penyebaran wabak penyakit melalui vektor LILATI (lipas, lalat dan tikus) dan faktor kebersihan yang dipandang enteng masyarakat di sini pasti meningkatkan risiko penyakit seperti taun/cholera, denggi, tuberculosis/TB, leptospirosis/kencing tikus, meliodosis, penyakit kulit dan keracunan makanan/food poisoning. Masalah ini adalah sesuatu yang perlu dipandang serius oleh semua pihak daripada kerajaan pusat sehingga ke mangsa banjir. Namun, operasi untuk menguruskan masalah ini memerlukan dana yang besar dan kebanyakkan anggota dan jentera milik PBT turut terjejas akibat bah dahsyat ini. Sekali lagi, kerjasama erat di antara kerajaan negeri, pusat dan syarikat swasta diharapkan dapat menghidupkan kembali peranan pihak berkuasa tempatan yang kini tempang setelah musibah ini.

Antara salah satu cara membendung masalah ini adalah dengan mewujudkan perkampungan sementara atau menempatkan mangsa-mangsa banjir ini ke pusat latihan khidmat negara, PLKN berserta kemudahan asas yang lengkap. Hanya beberapa penempatan sementara sahaja kini telah dibina di Gua Musang dan Kuala Krai. Saya berharap, perancangan ini dapat diperluaskan ke semua mukim yang terjejas agar risiko wabak dapat dibendung segera sebelum menjadi pandemik dan tidak terkawal.

Ayah juga sempat berkongsi pengalaman sahabatnya yang berjumpa dengan seorang pakcik di sana ketika menyampaikan bantuan di sana.

“Pakcik itu bersyukur sangat dapat kitab Al-Quran. Dia nak yang itu sahaja daripada kami. Barangkali bantuan lain dia dah ada banyak.”

Jiwa mereka kekosongan ibarat tin buruk selepas bencana alam yang tragik ini dan perlu diisi segera.

Ayah dan skuadnya telah berangkat pulang pagi Isnin melalui jalan Grik-Jeli yang kini telah siap dibaiki untuk kegunaan awam. Pastinya, pengalaman sukarelawan yang membantu mangsa banjir di Kelantan akan membekas di jiwa mereka. Kenangan seumur hidup bagi mereka. Keperitan, kesedihan dan penderitaan itu benar-benar dirasai setiap lapisan masyarakat. Mudah-mudahan ibrah dan hikmah itu dapat dibawa pulang ke kampung halaman masing-masing agar dapat dikongsikan bersama rakyat marhaen di luar negeri Cik Siti Wan Kembang. Kesimpulan daripada pengamatannya sepanjang di lokasi kemusnahan banjir:

“Tsunami di Acheh membadai daratan dan surut dalam sekelip mata tetapi Tsunami lumpur di sini membadai dan menenggelamkan daratan selama tiga hingga lima hari berturut-turut. Kemusnahannya juga sedahsyat di Acheh!”

Lagi-lagi Bersambung …….;)

Dr Afiq Rahim, DAR

———————————————————————————————————————

 

Refleksi Bah Bahagian 5

16/1/15

Catatan Terakhir

===================

Temporari Depresi.

Saya mengalami tanda-tanda awal depresi sehari usai pulang daripada misi sukarelawan di Tanah Merah minggu lalu. Puncanya? Mungkin faktor kepenatan dan mungkin juga faktor cuaca. Saya barangkali ‘burnout’ minggu tersebut. Sejurus mendapat arahan untuk kembali bekerja semula di klinik daripada jabatan kesihatan dan cuti para staff terpaksa dibekukan sekali lagi atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan, maka saya terus melapor diri meneruskan perkhidmatan yang diperlukan.

Fizikal ini tidaklah terlalu penat tetapi mental saya benar-benar “exhausted”. Saya perlu mencari satu tempat yang damai dan tenang untuk merehatkan minda ini tetapi malangnya ia masih mengingati peristiwa hitam itu yang kadang kala terbawa-bawa ke dalam mimpi.

“Rileks arr bro, patient hang tak mati pon” bisik qarinku.

Ya, jika patient saya mati di hadapan saya pada ketika itu nescaya saya lagi benar-benar rasa bersalah. Bukan saya tidak pernah menghadapi saat Sakaratulmaut menjemput roh-roh pesakit saya di hospital Selayang dahulu terutama ketika bertugas di Jabatan Kecemasan yang mana setiap hari, kami disajikan dengan kes-kes kecemasan dan kritikal tetapi perasaan berada di Ground Zero ketika banjir besar dengan peralatan dan staff yang serba kekurangan adalah sangat berbeza jika dibandingkan dengan kelengkapan di hospital atau pada hari biasa di klinik kerajaan. Disaster Drill yang kami jalankan juga berlainan dengan realiti yang kami hadapi.

Saya juga setuju, terdapat juga kawasan terjejas banjir yang lain yang mana mangsa dan pasukan perubatan berhadapan situasi cemas seperti pesakit sawan, mahu melahirkan anak, dipatuk ular berbisa dan lain-lain lagi. Namun bolehkah anda bayangkan situasi kami dalam jangka masa hanya empat hari, kami berhadapan situasi getir selang empat hingga enam jam sekali. Bermula dengan kemalangan ngeri di kawasan banjir, kemudian disusuli anak kecil yang nyawa-nyawa ikan setelah sawan, kanak-kanak yang mengalami denggi berdarah dengan shock, dua ibu yang melahirkan anak beserta komplikasi teruk, pesakit mengalami stroke secara tiba-tiba, pesakit dialisis yang sudah tidak keruan kerana masalah hyperuremia/toksin yang terlalu tinggi dan seribu satu masalah lain di klinik kami ketika musibah banjir besar baru-baru ini.

Namun, setiap ujian yang diutuskan tuhan menjadikan kami tabah dan sabar menghadapinya. Pencipta kita itu Maha Pengasih. Hanya Dia yang tahu kekurangan dan kekuatan kita. Ketika kami buntu mencari solusi dan di penghujung limitasi keupayaan kami, Dialah yang memberikan kami ilham dan sinar harapan. Sekurang-kurangnya kami di Badang masih perlu bersyukur kerana dapat berkomunikasi dengan bilik gerakan banjir untuk mendapatkan bantuan. Jika saya di Dabong atau Manik Urai bersama dengan semua ujian yang Tuhan turunkan kepada skuad saya barangkali kami memerlukan terapi psikologi selama sebulan atau lebih untuk memulihkan semangat yang lesu dan jiwa yang kekosongan. Kerana itu saya mengatakan Tuhan itu Maha Adil. Di kawasan yang terputus alat komunikasi dan segala bekalan utiliti yang lain, sahabat-sahabat perubatan saya diuji dengan permasalahan lain. Di tempat saya, ujian kami sesuai dengan situasi dan keadaan semasa kami. Tiada siapa berani mendabik dada bahawa ujian dia adalah berat sekali kerana perkara itu jauh sekali di dalam pengetahuan hamba-Nya yang lemah dan daif.

Cuaca mendung selama beberapa hari turut memainkan faktor kemurungan kami. Bangun pagi melihat awan gelap berarak lalu menghadirkan trauma dan pergolakan emosi kepada kami, staff kesihatan dan mangsa-mangsa banjir. Ke tempat kerja merasa longlai, rumah masih lagi belum pulih atau dibersihkan, banyak peralatan musnah perlu dilupuskan, ke klinik dan hospital berhadapan pula pesakit yang turut kemurungan dan pelbagai lagi masalah kesihatan lain. Itulah cabaran staff kesihatan dan agensi kerajaan lain di Kelantan yang tanpa jemu memberi khidmat 24 jam kepada penduduk setempat walaupun diri sendiri dihurung pelbagai masalah setelah banjir lumpur ini. Mujurlah setiap badan kerajaan memberi bantuan “awang import” daripada negeri lain untuk membantu kami menyelesaikan masalah di pejabat dan memberi ruang kepada kami untuk menyelesaikan masalah sendiri.

Kini, kami dalam proses rehabilitasi pasca banjir. Semua pihak sedang bertungkus lumus mengembleng tenaga menawarkan perkhidmatan sukarelawan dan bantuan yang diperlukan kepada mangsa banjir. Kelukaan dan keremukan emosi, mental dan fizikal kami sedikit demi sedikit terubat dengan kasih sayang serta keprihatinan yang dizahirkan oleh rakyat Malaysia yang lain. Namun semangat sukarelawan dan bantu-membantu itu usahlah kendur setelah beberapa purnama berlalu pergi. Kami benar-benar mengharapkan keprihatinan anda untuk satu jangka masa yang panjang.

Mengapa? Saya mahu anda membayangkan bagaimana keadaan kami ketika ini.

Negeri Cik Siti Wan Kembang ini ibarat seorang pesakit kritikal yang kini ditempatkan di wad ICU hospital bersama beberapa inotropes/ubat menstabilkan tekanan darah setelah shock/tekanan darah turun mendadak, alat intubasi pernafasan bersama berpuluh tangki oksigen, pendarahan serius di dalam otaknya, patah seribu tulang belulangnya beserta beberapa kepingan logam yang terpaksa di paku ke atas tulang yang remuk itu serta kesan lebaman yang parah di beberapa organ utamanya setelah mengalami kemalangan ngeri bersama beberapa pesakit lain (negeri lain yang terlibat banjir).

Itulah gambaran buat mereka yang hanya dapat memerhati keadaan azali kami daripada jauh. Kami benar-benar perlukan bantuan dan kasih sayang anda.

Oleh itu, teruskanlah menyumbang kepada mangsa banjir. Salurkanlah bantuan itu kepada pihak yang berhak menerimanya melalui tabung atau NGO atau badan kerajaan yang telus. Tegurilah dan nasihatilah kami akan kealpaan dan kekhilafan kami yang lalu. Mudah-mudahan kita semua dapat mengambil ibrah dan teladan daripada peristiwa pahit ini

Saya juga menulis bukan kerana mencari publisiti atau nama. Catatan ini lahir seperti bait-bait lirik lagu Ramli Sarip, Bukan Kerana Nama:

“Aku menulis bukan kerana nama,

Kerana sifat KASIH,

Pada SESAMA INSAN,

Dan menyatakan KASIH SAYANGKU….”

Mohon maaf sekiranya selama penulisan ini saya ada terkasar bahasa atau tinta ini telah mengguris qalbu dan perasaan mana-mana pihak. Yang baik kita jadikan teladan dan mana yang buruk, kita jadikan sempadan.

 

Terima kasih kepada staff kesihatan yang bersama saya ketika banjir terutama staff Klinik Kesihatan Badang.

Terima kasih kepada agensi penyelamat dan kerajaan yang tanpa jemu berkhidmat.

Terima kasih kepada para sukarelawan yang membantu seikhlas hati.

Terima kasih kepada ahli keluarga yang sentiasa di belakang saya.

Terima kasih kepada para dermawan dan rakyat Malaysia kerana keprihatinan anda.

Terima kasih semua.

 

Akhir kalam, nantikan pula buku koleksi catatan dengan pelbagai kisah-kisah pengalaman banjir saya yang mendebarkan. Juga, titipkan doakan agar buku ini dapat disiapkan seawal dan sebaiknya serta berupaya mengetuk pintu hati kemanusiaan setiap insan.

Jazakallahu khairan kathira.

Assalamualaikum wbt.

Ikhlas berjuang,

Dr Afiq Rahim DAR

Apa Komen Anda?