GribblesDapatkan keputusan saringan Kanser, Kencing Manis, Kolesterol dan banyak lagi sepantas 1-3 Hari sahaja. Hanya di Gribbles

10 Website/Blog Kesihatan Yang Sahih dan Sesuai Dijadikan Rujukan

Pada zaman teknologi digital ini, semua informasi ada di hujung jari kita. Resepi memasak, cara membuat duit secara atas talian, bagaimana berkebun, teknik pemasaran digital dan segala-galanya yang berkisar tentang kehidupan dan keperluan manusia.

Kajian di Malaysia mendapati trend mencari informasi kesihatan di atas talian semakin meningkat terutama di kalangan wanita.

Namun timbul persoalan adalah sejauh mana informasi yang diperolehi itu adalah sahih dan benar serta daripada sumber berautoriti?

Dalam bidang perubatan dan kesihatan, mendapatkan informasi yang sahih dan tepat adalah amat penting tidak kira untuk anggota kesihatan mahupun orang awam.

Informasi yang salah boleh mengundang mudarat yang besar apatah lagi dalam bidang kesihatan kerana informasi tersebut boleh mengakibatkan KECACATAN dan MAUT.

Lebih malang, informasi kesihatan yang salah dan menyimpang daripada website/blog picisan yang disertakan promosi produk kesihatan telah menjadi sumber rujukan utama. Kemudian informasi tersebut disebarkan kepada orang awam lain tanpa usul periksa dan diperakui kesahihan info tersebut.

Oleh itu, saya senaraikan 10 Website/Blog Kesihatan yang insyallah informasinya sahih berpandukan kajian dan panduan serta sesuai dijadikan sumber rujukan buat orang awam di Malaysia.

  1. Portal MyHealth

    Portal MyHealth
    Portal MyHEALTH ialah satu perkhidmatan dalam talian yang disediakan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia di bawah Aplikasi Perdana MSC Telekesihatan. Majoriti informasi kesihatan yang sahih wa rajih ada disediakan di portal tersebut.  Ianya satu portal yang lengkap sesuai dijadikan panduan umum buat masyarakat berbanding blog tanpa latar belakang perubatan yang diakhiri infonya dengan menjual produk-produk supplemen yang kononnya dapat menyembuhkan penyakit.

    Klik di sini untuk melayari laman sesawang Portal MyHealth: www.myhealth.gov.my/

  2. Info Sihat

    Info Sihat KKM
    Contoh bahan promosi kesihatan yang dibangunkan mereka

    Portal Info Sihat pula dibangunkan oleh Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia untuk pengguna atas talian. portal mereka bertujuan menyediakan sumber media untuk tujuan promosi kesihatan. Melalui portal ini, pengguna boleh mengakses dan memuat turun pelbagai jenis media seperti video, audio, poster, risalah, buku kecil, bahan pameran, flyerbanner dan persembahan power point.

    Bahan ini sesuai digunakan oleh individu, kumpulan, institusi, agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan atau pihak swasta dalam meluaskan intervensi promosi kesihatan di pelbagai peringkat dan setting. Penggunaan bahan pendidikan kesihatan diharapkan berupaya meningkatkan keberkesanan aktiviti yang dirancang ke arah mencapai matlamat kesihatan yang ditetapkan.

    Klik di sini untuk melayari laman sesawang mereka: www.infosihat.gov.my 

  3. Malaysian Medical Gazette

    Malaysian Medical GazettePortal atas atas talian ini adalah kerjasama pakar-pakar perubatan dan anggota kesihatan lain untuk memberi kesedaran dan pendidikan kesihatan kepada masyarakat. ianya diasaskan oleh Dr Dhesi Baha Raja, pakar kesihatan awam.  Keunikan portal ini adalah informasi yang disediakan adalah daripada pakar-pakar perubatan bertauliah dan maklumat yang dikongsikan pula mudah difahami.

    Klik di sini untuk melayari laman sesawang mereka: www.mmgazette.com/

    The Diagnosa

    The Diagnosa
    Ini adalah laman sesawang yang menjelaskan penyakit-penyakit anda setelah didiagnosa oleh doktor perubatan. Portal ini diasaskan oleh Dr Abdul Latif Saad dan panelis mereka adalah doktor perubatan.

    Klik di sini untuk melayari laman sesawang mereka: thediagnosa.com/

  4. Root of Science

    root of science
    Barisan panelis Root of Science terdiri dari individu dari pelbagai latar belakang, bidang kepakaran dan pekerjaan. Ada yang bekerja dalam bidang professional, ada juga yang berkhidmat dalam bidang akademik. Walaupun latar belakang berbeza, mereka bersepakat untuk sama-sama menyebarkan kesedaran sains di kalangan masyarakat Malaysia dengan menggunakan bahasa mudah, santai dan senang diterima.

    Klik di sini untuk melayari laman sesawang mereka: rootofscience.com

  5. Doktor Budak

    Doktor Budak
    Laman sesawang ini mengumpulkan pakar-pakar kanak-kanak yang bertauliah dan berdedikasi. Mereka merungkai misteri penyakit-penyakit berkaitan anak anda serta menjelaskan permasalahan kesihatan kanak-kanak dalam bahasa yang mudah difahami. Semua pertanyaan anda akan dilayan oleh pakar kanak-kanak di atas talian.

    Klik di sini untuk melayari laman sesawang mereka: www.doktorbudak.com/

  6. Suhazeli.com

    Dr Suhazeli Abdullah
    Siapa tidak kenal Dr Suhazeli Abdullah. Seorang pakar perunding perubatan keluarga dan pejuang tegar anti-scam kesihatan bersama saya. Apa sahaja isu semasa berkaitan salah faham perubatan di media sosial akan dijawab beliau dengan segera. Beliau bukan sahaja aktif di media sosial dan dunia blogging tetapi juga aktif di lapangan melalui aktiviti sukarelawan dan badan-badan NGO. Seorang tokoh kesihatan yang wajar diikuti masyarakat dan menjadi inspirasi buat doktor-doktor muda.

    Klik di sini untuk melayari laman sesawang beliau: suhazeli.com

  7. Kpkesihatan.com

    Blog Ketua Pengarah kesihatan Malaysia
    Datuk Dr Noor Hisham Abdullah adalah Ketua Pengarah Kesihatan Kementerian Kesihatan Malaysia sejak 2013. Beliau juga merupakan Pakar Perunding Pembedahan Payudara, Endokrin dan Pembedahan Am di Hospital Putrajaya. Dua informasi latar belakang ini sudah jelas menunjukkan ketokohan beliau dalam bidang perubatan. Blog beliau iaitu kpkesihatan.com ini sering memuatnaik kenyataan akhbar atau awam yang sudah pasti disahkan oleh pasukan kesihatan di negara kita. Sekiranya tuan puan mencari kenyataan akhbar daripada KKM tentang isu semasa berkaitan kesihatan, boleh merujuk blog rasmi beliau ini.

    Klik di sini untuk melayari laman sesawang beliau: kpkesihatan.com

  8. Drcheputeh.com

    Dr Che Puteh Osman
    Beliau merupakan pensyarah kanan dan penyelidik dalam bidang kajian kimia hasilan semula jadi di Universiti Teknologi MARA (UiTM). Beliau mendapat ijazah pertama di dalam bidang Kimia Gunaan dan PhD dalam bidang kimia hasilan semulajadi dari Universiti Teknologi MARA (UiTM).

    Beliau telah menyelia lebih 20 pelajar ijazah pertama dan 5 pelajar ijazah lanjut. Minat penyelidikan beliau adalah pengenalpastian sebatian kimia semula jadi dari pokok dan potensinya sebagai ubatan. Beliau sering berkongsi kajian herba dan kegunaannya dalam perubatan di media sosial dan di blog beliau. Selain itu beliau juga rajin membongkar pemalsuan informasi berkaitan herba dan perubatan yang sering digunakan oleh scammer kesihatan untuk menjual produk scam mereka.

    Klik di sini untuk melayari laman sesawang beliau: www.drcheputeh.com

  9. klinikdrjuhaidah.com

    Dr Raja Juhaidah
    Dr Raja Juhaidah R Abdullah adalah pakar perbidanan dan sakit puan yang kini sedang berkhidmat di Hospital Columbia Asia Puchong. Beliau rajin berkongsi informasi tentang kesihatan wanita, ibu mengandung dan sewaktu dengannya melalui blog beliau iaitu klinikdrjuhaidah.com. Dalam servisnya pula, beliau menekankan tentang  ‘Minimal Access Surgery’ iaitu pembedahan laparoskopi dan Hysteroskopi disamping “Feto-Maternal medicine. Beliau juga adalah penyokong kuat Breastfeeding dan Bersalin Secara Normal.

    Klik di sini untuk melayari laman sesawang beliau: klinikdrjuhaidah.com

Ada ramai lagi di luar sana namun saya memilih mereka yang aktif di dunia blogging dan sering mengemaskini laman sesawang mereka. Sekiranya tuan puan mempunyai cadangan laman sesawang atau blog kesihatan lain yang bertauliah dan sahih, boleh kemukan di ruangan komen di bawah.

Oleh itu, dapatkan informasi kesihatan yang sahih dan tepat. Elakkan informasi yang meragukan apatah lagi, di hujung artikelnya disertakan penjualan produk-produk scam kesihatan kononnya dapat membantu menyelesaikan masalah kesihatan anda.

Sekiranya anda merasakan artikel ini bermanfaat buat anda, sila kongsikannya kepada sahabat dan ahli keluarga yang lain pula.

DAR

Hidup Penuh Manfaat

#scamkesihatan

#DAR

Apa Komen Anda?