GribblesDapatkan keputusan saringan Kanser, Kencing Manis, Kolesterol dan banyak lagi sepantas 1-3 Hari sahaja. Hanya di Gribbles

5 Panduan Penting Buat Ibu Hamil Sebelum Menempuh Perjalanan Jauh atau Percutian Panjang

5 Panduan Penting Buat Ibu Hamil Sebelum Menempuh Perjalanan Jauh atau Percutian Panjang

Tips Penting Ibu Hamil Untuk Perjalanan Jauh

 

=====

Melihat sambutan yang menggalakkan pada post “Terberanak Selepas Perjalanan Pulang Beraya” maka saya kongsikan panduan penting buat ibu hamil yang ingin pulang beraya.

Sebelum itu, saya telah menerima pelbagai soalan daripada netizen berkenaan kesesuaian mereka menempuh perjalanan jauh semasa sedang hamil.

Adalah salah jika mengatakan tidak kepada ibu hamil untuk perjalanan jauh” menurut Professor Frank A. Chervenak, Ketua Jabatan Obstetrik dan Ginekologi Weill Medical College of Cornell University in New York City. Ujar beliau lagi:

Anda perlu melihat kepada setiap situasi berdasarkan keadaan pesakit tersebut.

Paling penting adalah berbincang dengan doktor dan pihak kesihatan yang merawat ibu hamil. Jika doktor anda bimbang akan keselematan kandungan anda, maka anda wajib berasa bimbang juga tentang kandungan anda dan menilai samada perjalanan itu berbaloi atau tidak” tambah beliau lagi.

Panduan ini melibatkan dua komponen iaitu panduan umum dan panduan khusus.

=====
#1 Panduan Umum
=====

Sebelum memulakan perjalanan:

  1. Waktu terbaik untuk ibu hamil merancang perjalanan jauh adalah pada fasa kedua kehamilan antara 14 – 28 minggu. Sekiranya ibu dan bayi dalam kandungan sihat maka anda dibenarkan sehingga 36 minggu untuk menempuh perjalanan jauh. Kebanyakkan masalah kandungan berlaku pada fasa pertama dan fasa ketiga kehamilan.
  2. Ibu hamil yang berisiko tinggi dan tidak digalakkan menempuh perjalanan jauh adalah:
    1. Ibu yang mempunyai masalah darah tinggi tidak terkawal.
    2. Ibu hamil yang mempunyai masalah ‘Preeclampsia’ atau ‘Hampir Sawan’.
    3. Ibu hamil yang pecah air ketuban pra matang. (premature rupture of membranes)
    4. Ibu hamil yang mempunyai kontraksi pra matang (preterm labour)
    5. Ibu hamil yang mengandung anak kembar.
    6. Ibu hamil yang dinasihatkan oleh doktor untuk tidak menempuh perjalanan jauh atas faktor keselamatan diri dan kandungan.
  3. Sila bertemu dengan doktor dan berbincang mengenai rancangan perjalanan jauh anda sebelum memulakan perjalanan. Apakah perkara yang perlu dibincangkan bersama dengan doktor anda?
    1. Apakah tujuan perjalanan tersebut?
    2. Di manakah destinasi hala tuju perjalanan tersebut?
    3. Berapa lamakah tempoh perjalanan tersebut?
    4. Apakah perancangan aktiviti anda apabila selamat sampai ke destinasi?
    5. Di manakah lokasi penting sebagai pusat rujukan kesihatan sekiranya berlaku sebarang masalah berkenaan kehamilan anda?
    6. Adakah selamat jika menempuh perjalanan jauh saat kehamilan menghampiri tarikh bersalin (due date)?
  4. Pastikan buku pink/merah klinik kerajaan atau kad rawatan susulan kehamilan swasta dikemaskini dan dibawa ke mana-mana anda berada. Hatta nak membeli belah pun WAJIB bawa buku tersebut ibarat seperti membawa kad pengenalan anda. Ini amat penting sekiranya berlaku kes kecemasan.
  5. Siapkan ubat-ubatan, vitamin kehamilan dan kit kecemasan di dalam beg anda sebagai persiapan sepanjangan tempoh perjalanan.
  6. Jika umur kandungan 28 minggu dan ke atas, siapkan juga satu beg kecil perkakas bayi semasa berpantang. Ini bagi menangani risiko kelahiran bayi samada cukup bulan atau pra matang sekiranya berlaku selepas menempuh perjalanan jauh. Juga boleh simpan sehelai seluar bersalin Mamapride, seluar bersalin yang mesra aurat dan patuh syariah di dalam beg anda sebagai persediaan bersalin pada bila-bila masa dan dimana-mana sahaja.
  7. Kenalpasti lokasi klinik kesihatan dan hospital yang terdekat di sepanjang perjalanan agar memudahkan urusan anda sekiranya berlaku sebarang hal kecemasan. Para suami, sila simpan koordinat lokasi hospital atau klinik kesihatan di sepanjang perjalanan anda di dalam Google Map atau WAZE beserta nombor telefonnya.
  8. Perjalanan yang paling selamat adalah wajar diutamakan. Sebagai contoh perjalanan menggunakan lebuhraya adalah lebih selamat berbanding jalan biasa walaupun ianya lebih jauh sedikit berbanding jalan biasa.
  9. Para ibu hamil boleh meminta klinik kesihatan yang menjaga anda untuk memaklukmkan kepada klinik kesihatan di kampung/destinasi yang dituju berkenaan kepulangan/ketibaan anda ke sana.
  10. Dapatkan perlindungan takaful/insurans (jika ada) buat ibu hamil sekiranya berlaku kes kecemasan di sepanjang percutian.

kit travel buat ibu hamil

Semasa Perjalanan:

  1. Berehat selepas menempuh perjalanan jauh setiap 2 jam. Ibu hamil digalakkan mengosongkan pundi kencing pada waktu ini bagi menurunkan tekanan pada organ tersebut yang boleh meningkatkan risiko kontraksi. Selain itu, guna masa rehat ini untuk berjalan dan meregangkan badan serta melancarkan aliran darah terutama pada bahagian kaki.
  2. Segarkan diri dengan pengambilan air yang secukupnya. Perjalanan jauh amat memenatkan. Sekiranya mampu semasa perjalanan jauh, boleh berpuasa namun sebaiknya berbincang dengan doktor terlebih dahulu.
  3. Pakai pakaian yang longgar. Elakkan pakaian ketat seperti seluar jeans ketat yang boleh menggangu pengaliran darah di kawasan kaki.
  4. Elakkan menempuh perjalanan jauh pada waktu puncak kesesakan trafik. Kesesakan trafik boleh berlaku di atas jalanraya, di stesen bas, di lapangan terbang dan di mana-mana sahaja hatta di klinik kesihatan mahupun di hospital pada musim perayaan ini. Periksa aliran trafik di laman sesawang seperti PLUS, LPT dan sebagainya.
  5. Jika ibu hamil mempunyai tanda-tanda bahaya di bawah ini, sila ke klinik kesihatan/hospital berdekatan pada kadar segera!
    1. Pendarahan daripada jalan bawah (Vaginal Bleeding)
    2. Kontraksi atau sakit perut (Contractions or Abdominal/Pelvic Pain)
    3. Pecah Air Ketuban ( Water Breaks)
    4. Tanda-tanda Preeclapmsia (Sakit Kepala berterusan, kabur penglihatan secara tiba-tiba, sesak nafas, bengkak kaki dan tangan)
    5. Muntah-muntah dan cirit birit yang teruk.
    6. Sakit atau lenguh pada kaki terutama di kawasan betis, bengkak dan panas serta kemerahan. (Tanda-tanda DVT).
    7. Pergerakan janin yang amat tidak aktif.

Alhamdulillah, anda selamat sampai ke destinasi yang dituju. Eh nanti dahulu! Periksa dahulu tips di bawah sebelum memulakan aktiviti percutian anda.

=====
Panduan Selepas Perjalanan Selesai
=====

  • Singgah ke klinik kesihatan/desa terdekat untuk pemeriksaan kehamilan anda. Lagi awal selepas anda selamat sampai adalah lebih baik. Bawa sekali buku pink/merah/kad swasta bersama untuk memudahkan urusan.
  • Pastikan rawatan berkala yang diusulkan oleh pihak klinik kesihatan disambung atau dilaksanakan oleh anda hatta apabila bercuti ke kampung. Sebagai contoh, pemeriksaan berkala tekanan darah seminggu sekali atau selang sehari sekiranya dimaklumkan.
  • Simpan nombor telefon jururawat atau doktor bertugas atas panggilan di klinik kesihatan yang berdekatan di kampung / destinasi bercuti anda  selain nombor telefon klinik sendiri. Ini amat penting sekiranya berlaku kes kecemasan.
  • Pastikan pergerakan janin sekurang-kurangnya cukup 10 pergerakan sehari dan tanda pergerakan tersebut di dalam buku pink apabila anda selamat sampai ke destinasi.
  • Jika ibu hamil mempunyai tanda-tanda bahaya seperti yang di atas, sila ke klinik kesihatan/hospital berdekatan pada kadar segera. Tangguh dahulu percutian and dan utamakan keselamatan ibu dan bayi di dalam kandungan.

=====
#2 Panduan Khusus: Perjalanan Menaiki Kereta
=====

Panduan Menaiki Kereta Bagi Ibu Mengandung

  1. Ibu Hamil wajib memakai tali pinggang keledar. Kaedah pemakaian tali pinggang keledar yang betul adalah tali pinggang bawah di letak melintang di kawasan atas peha dan di bawah perut manakala tali pinggang atas melalui ruang antara buah dada dan kawasan atas dada. Elakkan tali pinggang keledar membelit kawasan perut atau kandungan.Pemakaian Tali Pinggang Yang Betul
  2. Penggunaan Beg Udara yang betul adalah penting. Jika anda duduk di hadapan, tolak kerusi ke belakang semaksimanya dan condongkan badan sedikit untuk meningkatkan jarak di antara perut dan beg udara.
  3. Berehat setiap dua jam selepas perjalanan jauh. Lakukan senaman kaki untuk meningkatkan perjalanan darah terutama di kaki dan kosongkan pundi kencing anda untuk mengurangkan tekanan pundi kencing.
  4. Pemakaian pakaian yang longgar amat sesuai untuk perjalanan yang jauh.
  5. Lakukan senaman kaki hatta ketika anda sedang menikmati perjalanan jauh.
  6. Ibu hamil tidak digalakkan memandu pada tempoh yang lama dan berseorangan. Dapatkan pemandu kedua dan berikan tanggungjawab majoriti pemanduan kepada pasangan atau teman perjalanan anda.
  7. Disarankan menggunakan alat sokongan tulang belakang atau bantal yang sesuai bagi mengelakkan masalah sakit belakang pada ibu hamil yang sering terjadi selepas perjalanan jauh.
  8. Elakkan memandu dengan laju. Jika pasangan atau teman memandu, pesan kepada mereka untuk memandu dengan berhemah.

=====
#3 Panduan Khusus: Perjalanan Udara
=====

Panduan Perjalanan Udara Ibu Hamil

  1. Maklum kepada pihak lapangan terbang dan syarikat penerbangan bahawa anda sedang mengandung. Ini amat penting untuk memudahkan pihak mereka membantu anda seperti menyediakan ruangan khas, menyediakan pengangkutan di dalam lapangan terbang dan lain-lain.
  2. Perjalanan udara kebiasaannya dibenarkan pada 36 minggu kehamilan dan ke bawah. Periksa syarat perjalanan untuk ibu mengandung dengan syarikat penerbangan anda kerana ada syarikat yang amat ketat syaratnya dan memerlukan pelbagai dokumen sebelum ibu hamil dibenarkan menaiki pesawat.
  3. Dapatkan surat pelepasan/kebenaran doktor hatta kandungan masih fasa kedua kehamilan bagi mengelakkan sebarang kesulitan. Bawa bersama buku pink/merah/kad swasta anda. Peraturan syarikat penerbangan adalah berbeza-beza.
  4. Pemakaian tali pinggang keledar adalah amat penting dan sama dengan pemakaian bagi kereta. Ketatkan tali pinggang keledar terutama jika berlaku pergolakan udara (air turbulance).
  5. Jika melibatkan perjalanan yang panjang, lakukan pergerakan dan senaman kaki untuk meningkatkan perjalanan darah terutama di kawasan kaki.
  6. Pilih tempat duduk bersebelahan dengan ruang berjalan kaki untuk memudahkan pergerakkan anda.
  7. Elakkan makanan yang tinggi gas  dan minuman karbonat sebelum menaiki penerbangan. Gas mengembang pada tekanan rendah di dalam kabin dan ini boleh menyebabkan perut meragam sepanjang penerbangan. Antara contoh makanan yang tinggi gas, sayur: timun, bunga kobis, bawang, kentang dan kekacang. Buah-buahan pula adalah pisang, apricot, tembikai, buah pic, prunes dan epal.
  8. Ibu Hamil tidak digalakkan menaiki pesawat untuk perjalanan udara jika:
    1. Umur kandungan adalah 36 minggu dan ke atas.
    2. Mempunyai masalah uri di bawah (placenta praviea) atau risiko kelahiran pra-matang.
    3. Jika doktor telah menasihatkan agar tidak menaiki pesawat untuk perjalanan jauh berpandukan kepada keadaan kesihatan anda.

=====
#4 Panduan Khusus: Perjalanan Air (Kapal/Bot/Feri)
=====

Panduan Menaiki Kapal Bagi Ibu Hamil

  1. Maklum kepada pihak jeti dan syarikat perkapalan bahawa anda sedang mengandung. Ini amat penting untuk memudahkan pihak mereka membantu anda seperti menyediakan ruangan khas dan servis lain dan juga bertanya jika mereka mempunyai perkhidmatan buat ibu mengandung jika berlaku kecemasan.
  2. Sila berbincang dengan doktor sekiranya anda memerlukan ubat bagi menangani masalah mabuk laut.
  3. Jika melibatkan perjalanan yang panjang, dapatkan air secukupnya dan lakukan senaman seperti dicadangkan bagi perjalanan udara/darat.
  4. Dapatkan surat pelepasan/kebenaran doktor hatta kandungan masih fasa kedua kehamilan bagi mengelakkan sebarang kesulitan. Bawa bersama buku pink/merah/kad swasta anda. Peraturan syarikat perkapalan dan jeti adalah berbeza-beza. Dapatkan kepastian sebelum anda menaiki kapal.
  5. Kenalpasti kedudukan pelampung dan pintu kecemasan bagi mengelakkan kekalutan jika berlaku sebarang malapetaka.

=====
#5 Panduan Khusus: Perjalanan Dengan Bas
=====

Panduan Menaiki Bus Bagi Ibu Hamil

  1. Maklum kepada pihak syarikat bas dan pemandu mereka bahawa anda sedang mengandung sekiranya mereka mempunyai perkhidmatan untuk membantu anda.
  2. Jika bas dua tingkat, pilih kerusi di tingkat bawah. Ini kerana tingkat atas bas lebih terhuyun hayang terutama melalui kawasan berliku seperti di Jalan Grik-Jeli dan boleh menyebabkan motion-sickness.
  3. Segarkan diri dengan pengambilan air yang secukupnya. Perjalanan jauh amat memenatkan.
  4. Pemakaian pakaian yang longgar amat sesuai untuk perjalanan yang jauh.
  5. Lakukan senaman kaki untuk meningkatkan perjalanan darah terutama di kaki dan kosongkan pundi kencing anda untuk mengurangkan tekanan pundi kencing semasa hentian rehat.
  6. Elakkan bergerak secara solo. Sebaiknya mempunyai teman di sepanjang perjalanan.
  7. Pilih tempat duduk bersebelahan dengan ruang berjalan kaki untuk memudahkan pergerakkan anda.

Semoga panduan yang terperinci ini akan mempermudahkan urusan perjalanan pulang beraya atau percutian anda. Sekiranya anda mempunyai cadangan atau tips tambahan, sudilah kongsikannya di ruangan komen.

“Paling penting adalah berbincang dengan doktor atau jururawat yang menjaga anda sebelum memulakan perjalanan jauh.” 

-Dr Afiq Rahim-

Semoga bermanfaat dan kongsikan kepada para ibu hamil dan pasangan mereka ye.

Dr Afiq Rahim

Selamat Pulang Beraya dan Rancang Perjalanan Anda Sebaiknya.

Rujukan:

  1. Denise Mann, Dos and Don’ts of Traveling While Pregnant, http://www.webmd.com/baby/features/traveling-while-pregnant#1
  2. American College of Obstetricians and Gynecologists, Travel During Pregnancy, https://www.acog.org/Patients/FAQs/Travel-During-Pregnancy
  3. Government of Canada, Travelling while pregnant, https://travel.gc.ca/travelling/health-safety/travelling-pregnant
  4. Travel During Pregnancy – Topic Overview, http://www.webmd.com/baby/tc/travel-during-pregnancy-topic-overview#1
  5. Gas (Flatus) Overview, Gas (Flatus)-Topic Overview – WebMD
  6. Is It Safe To Travel By Bus, http://www.momjunction.com/articles/safe-travel-bus-pregnancy_0078686/#gref
  7. Travelling While Pregnant, https://onlinedoctor.lloydspharmacy.com/blog/travelling-while-pregnant/

Apa Komen Anda?