7 Mitos Kanser Payudara Yang Popular

7 Mitos Kanser Payudara Yang Popular

19th March 2018 0 By Dr Afiq Rahim

7 Mitos Kanser Payudara Yang Popular

Seorang Pakar Runding Payudara dan Onkoplastik di Pusat Perubatan Tropicana, Dr. Tan Gie Hooi menerangkan bahawa kepercayaan dan mitos mengenai kanser payudara telah sebati di kalangan rakyat Malaysia dan perlu dihapuskan dengan fakta sebenar supaya pesakit dapat rawatan dengan baik.

Ianya juga disokong oleh Pakar Bedah Endokrin dan Payudara di Kota Bharu, Datuk Dr Imi Sairi Ab Hadi yang ditemubual oleh wartawan baru-baru ini bahawa tentang mitos-mitos yang sering berlegar di kalangan pesakit kanser payudara.

mitos kanser payudara

Berikut antara mitos-mitos yang sering dikongsikan oleh pesakit kepada pakar-pakar perubatan:

Mitos 1: Payudara tidak boleh terkena benda tajam kononnya kanser akan merebak
——-

Mitos ini menyebabkan wanita yang mempunyai benjolan di bahagian payudara mereka enggan membenarkan pengambilan sampel tisu untuk pengesahan kanser.

Ini sekali gus melambatkan proses pengesahan dan rawatan kanser.

Mitos 2: Jika disahkan menghidap kanser payudara, mastektomi (pembedahan membuang payudara) akan terus dilakukan tanpa pilihan lain.
——–

Sebagai contoh, ramai yang percaya jika disahkan menghidap kanser payudara, mastektomi (pembedahan membuang payudara) akan terus dilakukan tanpa pilihan lain.

Ini membuatkan mereka lebih rela hidup dengan kanser atau menjalani rawatan alternatif kerana tidak rela hidup tanpa payudara.

Sebenarnya ada pilihan lain terutama bagi mereka yang didiagnosis di peringkat awal seperti tahap kosong yang mana hanya sel kanser dan sekelilingnya sahaja yang akan dibuang.

Jika mastektomi dilakukan sekalipun, masih ada cara mengembalikan bentuk payudara dengan pembedahan rekonstruktif payudara dengan menggunakan isi bahagian badan seperti punggung ataupun perut.

Mitos Kanser Payudara

Faktor Risiko Terjadinya Kanser Payudara

Mitos 3: Deodoran antipeluh meningkatkan risiko kanser payudara.
——–

Fakta: Apabila mencukur, akan ada luka kecil dan bahan dari deodoran seperti aluminium dikatakan akan memasuki ke badan atau ia dikatakan menyekat liang roma yang menyebabkan peluh dan toksin tidak boleh keluar.

mitos deodoran punca kanser

Pada tahun 2004 pula, paraben ditemui pada tisu kanser payudara yang turut dikaitkan dengan deodoran antipeluh yang mana paraben mengandungi bahan seperti hormon estrogen yang lemah, hormon yang diketahui boleh menyebabkan pertumbuhan sel payudara (normal dan kanser).

Setakat ini kajian klinikal yang dilakukan tidak membuktikan ada kaitan kanser payudara dan deodoran antipeluh.

Sebenarnya toksin utama di dalam badan kita dikumuh keluar dari hati dan ginjal, bukan mengikut kulit yang mana sedikit sahaja.

Malah kajian epidemiologi secara terperinci berkenaan isu ini yang diterbitkan pada tahun 2002 membandingkan 813 wanita dengan kanser payudara dan 793 wanita tidak mempunyai kanser payudara – menunjukkan tidak ada kaitan antara risiko kanser payudara dan penggunaan deodoran antipeluh.

Salah faham berkenaan deodoran antipeluh juga timbul apabila sesetengah doktor menyarankan untuk tidak menggunakan deodoran pada hari melakukan mamogram. Ini kerana  deodoran mengandungi aluminium, logam yang akan kelihatan pada mesin imbasan mamogram yang boleh menyebabkan kekeliruan ketika pengesanan dijalankan.

Mitos 4: Lelaki tidak mendapat kanser payudara.
——–

Fakta: Kanser payudara pada lelaki biasanya dikesan sebagai ketulan keras di bawah puting dan areola. Peratusan kematian pesakit kanser payudara dalam kalangan lelaki lebih tinggi daripada wanita kerana kesedaran yang kurang.

Setiap tahun dianggarkan kira-kira 2,190 lelaki didiagnosis dengan kanser payudara dan 410 mati akibatnya. Walaupun peratusan ini masih kecil, lelaki juga perlu memeriksa diri mereka secara berkala dengan melakukan peperiksaan sendiri payudara semasa mandi dan melaporkan apa-apa perubahan kepada doktor mereka.

Mitos 5: Hanya mereka yang mempunyai sejarah keluarga mengalami kanser payudara berisiko menghidapinya.
——–

Fakta: Hanya lima peratus hingga 10 peratus daripada kanser payudara yang dianggap berpunca dari keturunan iaitu disebabkan oleh gen tidak normal yang turun dari ibu bapa kepada anak.

Sedangkan, 90 peratus penghidup kanser payudara mendapatnya dari faktor risiko lain yang sebahagian besarnya disebabkan oleh gaya hidup dan faktor persekitaran.

Mitos 6: Mamogram boleh menyebabkan kanser payudara merebak dari radiasi dan tekanan ketika mamogram.
———-

Fakta: Mamogram kekal sebagai standard pengesanan awal kanser payudara.

Mampatan payudara semasa mamogram tidak menyebabkan kanser tersebar.

Malah pendedahan radiasi dari mamogram amat kecil dan risikonya adalah amat rendah.

mitos kanser payudara

Mitos 7: Semua benjolan yang ditemui pada payudara bersifat kanser.
———-

Fakta: Hanya sebilangan kecil ketulan payudara yang menjadi kanser.

Tetapi jika anda mendapati benjolan berterusan di payudara anda atau perhatikan apa-apa perubahan dalam tisu payudara, ia tidak boleh diabaikan.

Kesimpulan
———

Setiap ketulan atau benjolan atau sebarang kelainan pada payudara wajar di pandang serius oleh kaum Hawa.

mitos kanser payudara

Tanda-tanda Kanser Payudara. Kredit: ProfHariz.com

Dapatkan pemeriksaan payudara di klinik kesihatan atau swasta berdekatan anda dengan segera.

Pastikan setiap kelainan tersebut disahkan samada kanser atau bukan kanser.

Paling penting, dapatkan nasihat dan pandangan pakar kesihatan yang bertauliah berkenaan sebarang masalah berkaitan kesihatan terutama masalah payudara.

Elakkan diri menjadi mangsa penipuan atau scam kesihatan.

#DAR

#mitoskesihatan

#scamkesihatan

Sumber: Klik sini

Apa Komen Anda?