GribblesDapatkan keputusan saringan Kanser, Kencing Manis, Kolesterol dan banyak lagi sepantas 1-3 Hari sahaja. Hanya di Gribbles

7 PENYAKIT YANG SERING TERJADI SEMASA BERPUASA DAN CARA MENGATASINYA. YANG KE-5 DAN TERAKHIR MEMANG WIN!

Ramadhan semakin menghampiri.

Bulan puasa ini pastinya ada pesakit yang akan mengalami masalah menjalani ibadah berpuasa.

Bahkan yang sebelum ini sihat wal afiat, makan melantak, asyik main game depan TV/handset pon tiba-tiba dapat gastritis semasa bulan ramadhan ini (alasan nak buka pose la tu…)

Saya kongsikan beberapa penyakit yang sering berlaku kepada anda ketika berpuasa dan bagaimana cara mengatasinya.

Mudah-mudahan dengan informasi ini dapat membantu kita menjalani ibadah dengan cemerlang pada tahun ini.

=====
1. Heartburn (Pedih Ulu Hati)
=====

Pedih Ulu hati DAR

Persekitaran perut adalah sangat berasid. Ianya direka untuk mencerna makanan dan membunuh bakteria. Perut dan esofagus (tekak) biasanya dilindungi daripada asid ini dengan jus/cecari khas yang dikeluarkan oleh badan sendiri dan ‘injap’ / pintu antara kedua-dua organ tersebut.

Jika asid dihasilkan terlalu banyak atau injap di bahagian bawah esofagus ‘rosak’ atau mengalami kebocoran, anda mungkin mengalami pedih ulu hati aka Heartburn.

Puasa biasanya akan mengurangkan jumlah asid yang dihasilkan di dalam perut. Akan tetapi berfikir tentang makanan atau baunya boleh membuatkan otak menghantar signal kepada perut lalu menghasilkan lebih banyak asid. Oleh itu jika terdapat peningkatan asid di dalam perut maka pedih ulu hati boleh menjadi masalah besar semasa puasa.

=====
Cara Mengatasinya
=====

Mereka yang mengambil ubat untuk masalah pencernaan atau gastritis seperti antasid (Contohnya Gaviscon), antihistamin (contohnya Zantac) atau PPI (Contohnya Losec, Zoton atau Nexium) dinasihatkan untuk terus mengambil ubat-ubat tersebut tetapi perlu diambil pada waktu bersahur.

Bagi mengurangkan pedih hulu hati atau sendawa teruk, anda perlu makan secara sederhana dan mengelakkan makanan berminyak, goreng atau makanan yang sangat pedas semasa bersahur mahupun berbuka.

Anda juga dinasihatkan mengurangkan pengambilan kafein dan / atau berhenti
merokok. Minyak daun pudina juga dapat membantu mengurangkan masalah ini. Tidur dengan kepala anda dinaikkan beberapa bantal dan menurunkan berat badan juga boleh membantu mengelakkan pedih ulu hati.

=====
2. KAWALAN GULA YANG TERUK BAGI PESAKIT DIABETES
=====

Slide3
Mereka yang menyuntik insulin dinasihatkan untuk tidak berpuasa terutama bagi yang sering mengalami masalah hipoglisemia (kekurangan gula) dan/atau mempunyai masalah penyakit kronik yang lain seperti kegagalan buah pinggang, darah tinggi dan sebagainya.

Ini kerana implikasi kesihatan, baik dalam jangka pendek dan panjang, terlalu besar samada jika mengambil suntikan mahupun tidak.

Pesakit diabetes perlu memastikan mereka berjumpa dengan doktor sebelum Ramadan untuk merancang perjalanan Ramadan mereka dengan selamat. Sebarang kemungkinan kepada perubahan rejim ubat mereka akan dibincangkan bersama agar komplikasi tidak timbul semasa berpuasa bagi yang berupaya dan komplikasi jika mengambil risiko sendiri untuk tetap berpuasa bagi yang tidak digalakkan berpuasa.

Jika tidak, kawalan gula pesakit akan menjadi tidak terkawal dan boleh membahayakan kesihatan mereka.

Pemantauan secara berkala terhadap bacaan gula amat digalakkan bagi mengelakkan gula berada pada tahap yang rendah (hipoglisaemia).

Hipoglisemia jika tidak dirawat boleh menyebabkan pengsan atau sawan. Antara tanda-tanda kekurangan gula adalah:
✔ Sakit Kepala,
✔ Berpeluh,
✔ Fikiran bercelaru,
✔ Lapar yang teramat,
✔ Lumpuh,
✔ Pengsan.

Jika anda mengesyaki tanda-tanda tersebut, pesakit perlu segera berbuka puasa dan mengambil minuman manis.

Ubat Tablet Jangka panjang seperti Glibenclamide (Daonil) meningkatkan risiko
hipoglisemia dan perlu ditukar kepada ubat tablet jangka pendek atau dikurangkan dosnya.

Pesakit kencing manis dengan komplikasi, seperti sakit jantung, strok, retinopati (penyakit mata), nefropati (penyakit buah pinggang) atau neuropati (penyakit saraf kaki / tangan dengan kebas / kehilangan deria rasa) perlu mendapatkan nasihat doktor sebelum berpuasa bagi mengelakkan masalah yang tidak diingini

=====
3. SAKIT KEPALA
=====
Slide4
Ini adalah masalah yang biasa dan berpunca daripada pelbagai sebab. Sakit kepala semasa puasa kebiasaannya disebabkan oleh dehidrasi atau kelaparan, rehat yang tidak mencukupi, atau kekurangan bahan ketagihan yang biasa diambil samada di dalam kopi/teh mahupun di dalam rokok bagi perokok.

Diet yang sederhana dan seimbang, terutamanya tidak tertinggal bersahur, mengambil air yang mencukupi dan jika perlu mengambil dos ubat penahan sakit seperti paracetamol, dapat membantu mengurangkan risiko terjadinya sakit kepala semasa berpuasa.

Sakit kepala juga dapat dielakkan dengan mengelak daripada terlalu terdedah di bawah cahaya matahari, memakai topi / payung semasa berada di luar, memakai cermin mata hitam untuk mengurangkan silau pada siang hari dan meregangkan otot-otot yang tegang selepas penat bekerja.

Pesakit yang mengalami masalah MIGRAIN pula perlu merancang untuk mengurangkan risiko terjadinya penyakit tersebut semasa berpuasa dengan mengambil diet yang sesuai dan ubat-ubatan yang betul.

Jika sakit kepala berlarutan dan semakin teruk, segeralah berjumpa dengan doktor untuk pemeriksaan lanjut.


=====
4. Dehidrasi / Kekurangan Air
=====
Slide5
Dehidrasi adalah kejadian yang biasa berlaku semasa berpuasa. Badan kita akan sentiasa kehilangan air dan garam kalian melalui pernafasan, berpeluh dan air kencing. Faktor kehilangan air dalam badan pula bergantung kepada:

  • cuaca panas
  • berapa banyak air anda minum ketika sahur
  • aktiviti fizikal di siang hari
  • keupayaan buah pinggang untuk mengekalkan air dan garam.

Pencegahan adalah lebih baik daripada mengubati.

Walau bagaimanapun, jika anda kurang mengambil air mineral ketika bersahur maka risiko untuk dehidrasi adalah tinggi semasa berpuasa. Risiko ini juga lebih tinggi di kalangan orang tua dan mereka yang mengambil ubat kencing seperti diuretik.

Antara tanda-tanda dehidrasi adalah:
✔ berasa tidak sihat
✔ keletihan yang ketara
✔ kekejangan otot
✔ pening dan dunia rasa seperti berpusing
✔ Fikiran bercelaru
✔ pengsan

Jika anda tidak dapat untuk berdiri kerana pening, atau anda
bercelaru, anda perlu segera mengambil air pada kuantiti yang sederhana seeloknya air yang mengandungi gula dan garam seperti air isotonik.

Jika anda pengsan kerana dehidrasi, kaki anda perlu diangkat melebihi para kepala anda oleh orang lain, dan apabila anda terjaga, anda
perlu segera direhidrasi seperti yang digariskan di atas.

=====
5. Sembelit
=====
Slide6
Sembelit boleh menjadi masalah yang sangat menggangu untuk muslim melaksanakan ibadah berpuasa. Cara mengelakkan adalah mudah. Antaranya:
✔ Mengambil air secukupnya semasa berbuka dan ketika bersahur,
✔ Memakan makanan yang berkhasiat dengan banyak buah-buahan dan
sayur-sayuran di dalam diet anda,
✔ Meningkatkan kandungan serat daripada makanan anda menggunakan buah betik dan oat.

Jika masalah berterusan, ubat anti-sembelit diperlukan untuk membantu penhyatinjaan atau dapatkan pemeriksaan lanjut di klinik kerajaan dan swasta.

=====
6. Stress
=====
Slide7
Kekurangan makanan dan air, perubahan rutin harian dan tempoh tidur yang pendek semua boleh meningkatkan tekanan perasaan kepada seseorang.

Oleh itu adalah penting untuk menangani sebarang kemungkinan terjadinya punca
tekanan perasaan untuk mengurangkan kesannya yang merbahaya kepada kesihatan dan orang sekeliling.

Antara cara yang dapat membantu mengurangkan stres di bulan Ramadan pada perspektif kesihatan adalah:

✔ Tidak mengambil lebih kerja daripada apa yang anda mampu lakukan terutama ketika berpuasa,
✔ Tidak melakukan aktiviti sukan di bawah panas terik matahari,
✔ Mengawal kemarahan.
✔ Menahan diri daripada merokok, kerap ke pusat membeli belah dan bergosip.

Manakala terapi spiritual adalah paling berkesan merawat dan mengurangkan stress seperti memperbanyakkan berzikir, membaca quran, bersedekah, solat terawih, solat tahjud, sentiasa berlumba membuat kebaikan, bersangka baik dan berfikiran positif amatlah dituntut sepanjang bulan yang mulia ini.

=====
7. Obesiti
=====

Slide8

Aneh, tetapi benar!

Bagi mereka yang tidak berhati-hati, makanan yang diambil ketika sahur dan berbuka boleh membawa kepada berat badan yang tidak diingini.

Obesiti mempunyai banyak komplikasi yang tersendiri. Adalah ironi jika anda mendapat berat badan berlebihan atau obes semasa di bulan puasa ini.

Akan tetapi jika anda tidak mendekati puasa dengan disiplin dan kesungguhan untuk berubah ,peluang untuk menambah saham akhirat, menurunkan berat badan dan menjadi lebih sihat adalah sia-sia.
Jangan lupa klik LIKE dan SHARE informasi ini supaya lebih ramai yang beroleh manfaat.

Slide9
=====
Rujukan
=====
1. Ramadhan Health Guide – A Guide to Healthy Fasting, NHS, 2007
2. Practical Guide to Diabetes Management in Ramadhan, Ministry of Health Malaysia.
.
#DAR
#MedTweetMy
#penyakitsemasaberpuasa

Apa Komen Anda?