GribblesDapatkan keputusan saringan Kanser, Kencing Manis, Kolesterol dan banyak lagi sepantas 1-3 Hari sahaja. Hanya di Gribbles

|8 PERKARA BERGUNA YANG AKAN MEMBANTU MANGSA TRAUMA PASCA MUSIBAH|

Kejadian kebakaran yang berlaku di Hospital Sultanah Aminah Johor Bharu telah menyentak ramai pihak.

Seluruh negara berkabung atas malapetaka yang menimpa hospital penuh sejarah tersebut sehingga menggorbankan 6 orang pesakit di wad ICU.

Tidak dilupakan kisah-kisah ‘HEROIC’ doktor, jururawat, attendan dan seluruh staff hospital yang bertungkus lumus menyelamatkan pesakit daripada mangsa kebakaran tersebut.

image

Bencana dan malapetaka boleh berlaku di mana-mana, pada bila-bila masa, kepada sesiapa dan dalam pelbagai jenis bentuk.

Setiap kali berlaku bencana / malapetaka, mangsa-mangsa berkemungkinan tinggi mengalami simptom yang dipanggil “Post Traumatic Stres Disorder’ atau PTSD.

Kadangakala, simptom PTSD boleh berlarutan sehingga menjadi masalah mental yang lebih serius seperti Depressi, Hallusinasi dan pelbagai lagi.

Lebih-lebih lagi jika bencana/malapetaka tersebut mengorbankan orang tersayang atau apa sahaja yang dekat di hati mangsa.

Anda boleh membantu ahli keluarga dan rakan-rakan menghadapi bencana dengan meluangkan masa bersama mereka dan mendengar dengan teliti.

Kebanyakan orang pulih dengan lebih cepat apabila mereka merasa berhubung dengan orang lain yang mengambil berat tentang mereka.

Sesetengah orang memilih untuk tidak bercakap tentang pengalaman mereka manakala orang lain mahu berkongsi pengalaman pahit.

Sesetengah pihak pula dengan hanya meluangkan masa dengan orang yang terdekat walaupun tanpa bercakap sudah cukup bermakna.

Sebagai cara mengatasi masalah ini, maka Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah melaksanakan program PSYCHOLOGICAL FIRST AID (PFA) atau Pertolongan Cemas Psikologi bagi menangani masalah psikologi pasca bencana/musibah.

Di sini ada beberapa maklumat tentang memberi sokongan dan bantuan. slide1

=====
1. APA ITU PERTOLONGAN CEMAS PSIKOLOGI ATAU PSYCHOLOGICAL FIRST AID (PFA)?
=====

slide2PFA dicipta untuk membantu sesiapa sahaja dalam memberi pertolongan terapi mental kepada mangsa-mangsa bencana.

Fungsi utamanya adalah untuk memberi pertolongan agar mangsa yang trauma akibat bencana dapat kembali melakukan aktiviti harian seperti biasa kembali.

Pendekatan ini boleh digunakan oleh sesiapa sahaja termasuk
individu yang berisiko tinggi untuk terdedah dengan masalah kesihatan mental.

OBJEKTIF PFA:
• Mengurangkan tekanan emosi akibat krisis kehidupan.
• Membantu klien memenuhi keperluan asas semasa krisis.
• Memberi sokongan kepada klien supaya kembali kepada fungsi optima.

======
2. KENAPA ADA INDIVIDU TIDAK MAHU MENERIMA BANTUAN ?
======

slide3

  • Berasa malu atau lemah.
  • Tidak mahu hilang kawalan.
  • Ingin mengelakkan dari berfikir atau berperasaan tentang pengalaman pahit.
  • Tidak mahu membebankan orang lain.
  • Menyangka bahawa orang lain akan berasa kecewa atau menghukum.
  • Tidak tahu apa yang mereka mahu.
  • Meragui samada orang lain memahami atau ia boleh membantu.
  • Merasa berputus asa kepada pertolongan.

======
3. KEMAHIRAN ASAS MENOLONG MANGSA TRAUMA AKIBAT BENCANA
=====

slide4

Sebelum kita menghampiri mangsa bencana dengan niat untuk membantu dan menenangkan mereka, kita perlulah mempunyai beberapa kemahiran asas untuk menolong mereka.

Kemahiran asas ini termasuk:

1. Mendengar Secara Aktif
Mendengar secara aktif bermaksud memberi perhatian terhadap perkara-perkara berikut: Isi kandungan yang diperkatakan/dibincangkan, perasaan yang dilahirkan melalui tingkah
laku tanpa lisan (contoh: mimik muka sedih), perasaan yang dinyatakan secara lisan (contoh: saya rasa sedih).

2. Bahasa Badan
Bahasa badan menampakkan bahawa diri tidak berpura-pura dan menerima dalam menjalankan sesi dan telah bersedia untuk mendengar apa yang dikatakan oleh mangsa.

3. Intonasi Suara
Intonasi suara memberikan maksud yang tersirat iaitu perasaan terhadap mesej yang disampaikan. Intonasi suara perlu sesuai
mengikut keadaan. Contohnya, suara yang perlahan digunakan untuk suasana yang sedih.

4. Soalan Terbuka
Perbincangan, huraian, meminta penjelasan contohnya seperti “Bagaimana peristiwa itu boleh berlaku?”

5. Soalan Tertutup
Mendapatkan jawapan yang khusus, dijawab dengan satu atau dua jawapan sahaja contohnya seperti, “Siapa yang melakukannya?”

6. Parafrasa
Penyataan semula kenyataan atau mesej yang disampaikan oleh mangsa dan mengulanginya untuk mendapatkan kepastian.

Mangsa: “Saya memang begitu serius dengan rakan-rakan.”

Fasilitator: “Jadi anda begitu serius sekali dengan rakan-rakan anda.”

7. Refleksi
Memahami makna sesuatu peristiwa yang cuba disampaikan oleh mangsa dengan menggunakan perkataan yang ringkas, padat dan tepat.

Mangsa: “Saya rasa keliru dan sedih kerana saya diketepikan …”

Fasilitator: “Anda rasa kecewa di atas apa yang berlaku …”

8. Rumusan
Mengumpulkan semula faktor/isi penting yang disebutkan oleh mangsa.

======
4. APAKAH CARA TERBAIK UNTUK MEMBANTU?
=====

slide13

  • Menyapa individu bermasalah berkenaan.
  • Pilih masa dan tempat yang sesuai untuk berbual.
  • Bertanya khabar secara hormat.
  • Bercakap secara tenang dan perlahan-lahan.
  • Lebihkan mendengar daripada banyak bertanya.
  • Berkomunikasi secara sabar, responsif dan sensitif.
  • Memperakui perkara yang dirasai individu berkenaan.
  • Tanyakan perkara yang boleh anda bantu.
  • Berbicara secara tenang dan terbuka.
  • Bincangkan topik selain isu kesihatan mental semata-mata.
  • Galakkan individu tersebut untuk mendapat tidur yang cukup, makan secara sihat dan bersenam.
  • Tidak menggalakkan penggunaan alkohol dan ubat penenang.
  • Galakkan individu untuk mendapatkan bantuan segera sekiranya mereka berisiko untuk mencederakan atau membunuh diri.

=====
5. APAKAH TINDAKAN PERLU DIELAKKAN SEMASA MEMBANTU MANGSA
=====

slide14

  • Melabel reaksi mangsa sebagai ‘gejala’.
  • Memberikan komen-komen yang kurang membantu seperti “Lupakan sahaja”, “Sabar sahajalah”, atau “Saya yakin tidak lama lagi anda akan ok”. Komen sebegini boleh menyebabkan individu itu merasa lebih teruk.
  • Berkata “Saya faham apa yang anda rasakan” atau “Orang lain (menghadapi) lebih teruk lagi”. Jika anda sebenarnya tidak memahaminya ini boleh memperkecilkan perkara yang dialami individu itu.
  • Menyalahkan individu itu di atas perkara yang dialaminya.
  • Berjenaka tentang masalah mental yang dihadapinya.
  • Memaksa beliau untuk berbincang dengan anda jika mereka belum bersedia.
  • Berbincang tentang keinginan membunuh atau mencederakan diri kerana apabila seseorang berbincang sebegini, ia sebenarnya sedang meminta pertolongan.
  • Memanggil mangsa sebagai pesakit mental.
  • Menggunakan perkataan yang mengandungi stigma seperti ‘psiko’, ‘mental’ atau ‘gila’.
  • Cepat marah apabila nasihat anda tidak diikuti. Ini tidak membantu

=====
6. BAGAIMAN JIKA BANTUAN DAN SOKONGAN MENTAL TIDAK BERKESAN?
=====

slide15

  • Beritahu mangsa bahawa kajian menunjukkan orang yang mengelakkan diri dari dibantu akan melambatkan pemulihan.
  • Galakkan diri mereka untuk terlibat dalam kumpulan yang membantu orang lain pulih dari pengalaman pahit.
  • Galakkan mereka untuk bercakap dengan ustaz, golongan agama, kaunselor atau pasukan perubatan dan menawarkan diri untuk membantu.
  • Dapatkan bantuan orang lain supaya semua orang berpeluang untuk sama-sama memberi sokongan.

=====
7. CARA-CARA MENENANGKAN STRESS SELEPAS DITIMPA BENCANA
=====

slide16

Ketegangan dan keresahan adalah perkara yang kerap berlaku selepas kejadian huru-hara atau bencana. Ia juga menambah lagi bebanan sedia ada yang perlu dilalui untuk proses pemulihan.

Tidak ada jalan mudah untuk menangani masalah-masalah selepas bencana, tetapi meluangkan masa anda pada siang hari untuk menenangkan diri melalui senaman-senaman relaksasi boleh membantu anda untuk tidur, meningkatkan daya tumpuan serta mengembalikan tenaga untuk menghadapi hari-hari mendatang.

Ini termasuklah senaman relaksasi otot, senaman pernafasan, meditasi, berenang, regangan, yoga, berdoa, senaman fizikal, mendengar alunan muzik yang lembut, menikmati alam sekitar yang nyaman dan sebagainya.

Berikut adalah beberapa senaman pernafasan yang boleh membantu anda:

1. Tarik nafas anda perlahan-lahan (satu ribu satu, satu ribu dua, satu ribu tiga) melalui hidung dan memenuhi ruang paru-paru anda secara selesa.

2. Dengan tenang beritahu diri anda, “badanku dipenuhi dengan ketenangan”. Hembuskan perlahan-lahan nafas anda (satu ribu satu, satu ribu dua, satu ribu tiga) melalui mulut anda dan kosongkan paru-paru anda sekosongnya.

3. Katakan kepada diri anda “badanku sedang melepaskan segala ketegangan yang ada”

4. Ulang perbuatan di atas lima kali perlahan-lahan mengikut keselesaan anda.

5. Lakukan senaman ini seberapa banyak yang anda perlukan.

=====
8. CARA-CARA MENENANGKAN KANAK-KANAK/REMAJA YANG DITIMPA BENCANA
=====

slide17

Kanak-kanak yang trauma memerlukan perhatian dan belaian kasih sayang yang lebih selepas ditimpa bencana. Apa yang perlu dilakukan untuk membantu kanak-kanak yang malang:

1. Duduk dan bercakap dengan mereka pada paras yang sama dengan mata kanak-kanak tersebut.
2. Gunakan bahasa yang mudah difahami mereka.
3. Apabila bercakap dengan remaja, layan mereka seperti seorang dewasa.

Aktiviti yang boleh dilakukan

(A)Senaman pernafasan.

1. Katakan kepada mangsa “Mari kita lakukan cara bernafas yang berlainan yang boleh membantu menenangkan tubuh kita”

2. Letakkan satu tangan di atas perut kita seperti ini (tunjukkan caranya)

3. Okay, kita akan tarik nafas melalui hidung. Semasa menarik nafas, kita akan isikan banyak udara dan perut kita akan jadi buncit seperti ini (tunjukkan)

4. Kemudian kita keluarkan nafas melalui mulut. Apabila kita hembus nafas, perut kita akan jadi kempis seperti ini (tunjukkan)

5. Cara kita tarik nafas adalah secara perlahan-lahan mengikut saya
membilang hingga tiga. Saya juga akan membilang hingga tiga apabila kita menghembus nafas secara perlahan-lahan.

6. Mari cuba bersama-sama.

Atau anda juga boleh mencuba permainan ini untuk membantu kanak-kanak malang tersebut.

(B)Tiup belon dengan menggunakan buih sabun

(C) Tiup belon dengan menggunakan chewing gum

(D) Tiup gumpalan kertas atau gumpalan kapas di atas meja

(E) Ceritakan satu kisah di mana kanak-kanak itu membantu anda meniru seorang karakter di dalam cerita anda untuk menarik nafas panjang.

slide18

[optin-cat id=”2106″]

RUJUKAN
1. http://www.mmgazette.com/dignity-in-mental-health-psychological-first-aid-pfa-dr-nazariah-aiza-harun/
2. http://sokongmental.blogspot.my/2013/03/risalah-psychological-first-aid-selepas.html
3. PFA Mental Health Book by MOH

Apa Komen Anda?