Adakah Kerajaan Perlu Membenarkan Penjualan Ganja Secara Terbuka?

Dadah adalah musuh nombor satu di Malaysia. Hingga kini, kita masih gagal mencari formula berkesan untuk menangani isu berkaitannya.

Penggunaan heroin masih berleluasa. Kebelakangan ini pasaran tempatan dibanjiri pula dengan pelbagai jenis dadah sintetik.

Itu belum lagi dikira masalah penyalahgunaan vape, ketum, shisha dan sebagainya.

=====
Mengapa Kerajaan Sebelum Ini Enggan Memberi Perhatian Kepada Ganja?
=====

Kerajaan sebelum ini enggan memberi perhatian kepada cadangan menghalalkan ganja ini kerana masanya sangat tidak sesuai.

Ganja (marijuana) berasal daripada beberapa spesis tumbuhan kanabis, seperti Cannabis Sativa, Cannabis Indica dan Cannabis Inderalis.

Tumbuhan ini mengandung­i lebih 460 bahan kimia di dalamnya. Tiga bahan utama yang memberikan kesan kepada individu yang menggunakannya adalah 9-delta- tetrahidrocannabinoids, cannabinol dan cannabidiol.

=====
Kegunaan Ganja Dalam Perubatan
=====

Isu Ganja di Malaysia
Cannabis Oil

Tumbuhan ini mempunyai ba­nyak aplikasi dalam perubatan tradisional, sama seperti pokok ketum. Antaranya sebagai ubat penahan sakit, penawar demam panas dan bahan untuk menambah selera makan.

Ganja juga dikatakan berkesan bagi mengurangkan sembelit, kegelisahan, kekejangan otot dan merawat penyakit sawan.

Malangnya, ganja lebih popular di Malaysia sebagai bahan yang disalahguna berbanding sebagai ubat-ubatan.

Penagih mengambil ganja untuk ‘high’ atau euforia, menghilangkan malu atau memudahkan ‘interaksi sosial’, serta mengu­rangkan stres.

Hakikat sebenar, tidak mengubat stres tetapi sekadar mengaburi atau mengurangkan simptom semata-mata.

Stres atau tekanan tetap akan ada bila kesan ganja itu hilang beberapa jam kemudian. Jika diambil secara berterusan dan berkala, risiko ke­tagihan akan meningkat.

=====
Keburukan Ganja
=====

Isu Ganja di Malaysia
Pengambilan Ganja Tanpa Kawalan adalah Merbahaya

Telah banyak kajian di dunia yang menunjukkan keburukan mengambil ganja.

Kesannya bukan sahaja dari segi ketagihan, malah merangkumi pelbagai aspek termasuk sosial, kognitif, tingkah laku dan kecelaruan mental.

Ganja boleh menyebabkan gangguan memori jangka pendek, konsentrasi, imbangan dan koordinasi. Kesannya ke atas sistem imunisasi manusia mengurangkan daya tahan terhadap infeksi atau jangkitan kuman.

Lebih membimbangkan adalah bukti kajian yang menunjukkan pengambilan ganja pada umur belasan tahun akan mengurangkan kecerdasan minda (IQ) seseorang individu dan meningkatkan risiko untuk mendapat kecelaruan jiwa jenis psikotik apabila dewasa kelak.

=====
Populariti Ganja di Malaysia
=====

Di Malaysia pula, ganja menduduki tempat ketiga dalam senarai penggunaan dadah paling popular selain opiat dan me­tamphetamin (Statistik Agensi Anti Dadah Kebangsaan 2014).

8.58 % daripada jumlah penagih yang dikesan di negara ini menggunakan ganja sama ada sebagai penagih baru mahupun penagih berulang.

Jika dikaji secara mendalam, ganja sebenarnya telah berkurang popularitinya sekarang berban­ding era 60an dan 70an.

Ramai anak muda beralih kepada heroin dan dadah sintetik.

Ketum pula mengambil alih tempat ganja sebagai ‘pintu permulaan ketagihan’ terutama di Malaysia.

=====
Keberkesanan Ganja Dalam Perubatan Moden
=====

Isu Ganja di Malaysia
Medical Cannabis

Kebelakangan ini, ganja kembali mendapat perhatian dunia terutama kerana keberkesanannya dalam mengubat beberapa penyakit ter­tentu.

Menurut kajian yang dilakukan di beberapa negara Barat termasuk Amerika Syarikat, Kanada dan England, ganja didapati efektif untuk menghilangkan rasa loya dan muntah dalam kalangan pesakit kanser, merangsang selera makan pesakit AIDS, mengurangkan ketegangan dan kesakitan pesakit sklerosis berbilang (multiple sclerosis).

Ganja juga dikatakan berkesan sebagai ubat penahan sakit untuk pesakit kanser terutama bila digabungkan dengan ubat penahan sakit yang sedia ada. Terdapat juga kajian yang menunjukkan bahawa ganja berkesan untuk merawat jenis sawan tertentu (Dravet Syndrome).

=====
Kebenaran Penggunaan Ganja Secara Terbuka di Negara Barat
=====

Atas alasan inilah, banyak negara membenarkan penggunaan ganja. Antaranya Amerika Syarikat, Belanda, Kanada, England, Australia, Israel dan Republik Czech dan Portugal. Namun apa yang jelas, pindaan undang-undang yang membenarkan penggunaan ganja bukanlah menyeluruh.

Peruntukan ini terhad untuk tujuan perubatan semata-mata. Dalam erti kata lain, ganja dibenarkan bukan untuk rekreasi atau untuk disalah guna.

Di sinilah salah faham timbul dalam kalangan mereka yang i­ngin melihat ganja dihalalkan di negara ini.

Jika akta melibatkan ganja diubah, tetap tidak mengubah statusnya untuk kegunaan umum.

Ganja tidak akan boleh ditanam secara persendirian tetapi perlu dihasilkan dalam keadaan terkawal.

Bentuk ganja yang digunakan untuk rawatan pula bukan daun daripada pokok ganja, sebaliknya terhad kepada ganja sintetik yang diubah kepada bentuk pil, suntikan atau semburan seperti yang digunakan beberapa negara di Eropah.

=====
Kesimpulan Tentang Isu Ganja
=====

Secara kesimpulan, penggunaan ganja dalam bidang perubatan masih di peringkat kajian. Itupun hanya terhad kepada penyakit tertentu dan dalam bentuk yang berbeza daripada yang digunakan dalam kalangan penagih.

Usah terlalu ghairah memberi cadangan menghalalkannya jika belum memahami secara mendalam mengenainya. Kesejahteraan rakyat perlu diambil kira.

Banyak lagi isu yang belum selesai. Mungkin lebih baik, tenaga dan masa kerajaan fokus ke arah membasmi dadah berbanding cadangan untuk menggalakkannya.

Hayati rangkuman isu Ganja di Malaysia melalui video di bawah:

Apa Komen Anda?