GribblesDapatkan keputusan saringan Kanser, Kencing Manis, Kolesterol dan banyak lagi sepantas 1-3 Hari sahaja. Hanya di Gribbles

Adakah Pesakit Kencing Manis Boleh Berpuasa di Bulan Ramadhan?

 

Soalan:
Adakah pesakit Kencing Manis wajib puasa dan apakah syarat-syarat nya?

Jawapannya:

1. Ibadah Puasa dan Diabetes Mellitus

Majoriti ahli perubatan menyatakan bahawa pesakit kencing manis (Diabetes Mellitus) tidak diwajibkan berpuasa. Hujah ini dikuatkan lagi dengan persidangan fekah perubatan yang berpusat di Morocco/Maghribi pada tahun 1987 yang menyatakan bahawa pesakit kronik seperti Kencing Manis adalah diharuskan berbuka puasa.

Majlis fatwa kebangsaan juga pernah mengeluarkan kenyataan bahawa pesakit kencing manis yang tidak terkawal adalah diharuskan berbuka puasa. Mereka wajib menggantinya sebilangan puasa yang ditinggalkan andai kata kencing manis mereka terkawal pada sautu hari nanti atau membayar fidyah jika berlaku sebaliknya.

2. Al Quran juga ada menyebutkan bahawa bagi mereka yang sakit adalah diharuskan berbuka puasa sabagaimana firman Allah SWT dalam surah Al Baqarah ayat 183-184 bermaksud;

Hai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertakwa, 184. (iaitu) dalam beberapa hari yang tertentu. Maka Barangsiapa diantara kamu ada yang sakit atau dalam perjalanan (lalu ia berbuka), Maka (wajiblah baginya berpuasa) sebanyak hari yang ditinggalkan itu pada hari-hari yang lain. Dan wajib bagi orang-orang yang berat menjalankannya (jika mereka tidak berpuasa) membayar fidyah, (iaitu): memberi Makan seorang miskin. Barangsiapa yang dengan kerelaan hati mengerjakan kebajikan, Maka Itulah yang lebih baik baginya, dan berpuasa lebih baik bagimu jika kamu mengetahui.

3. Walaubagaimanapun kebanyakkan dari pesakit kencing manis akan sedaya upaya melakukan ibadah puasa mereka. Kajian ringkas saya menunjukkan bahawa lapan puluh peratus dari pesakit kencing manis di negara kita akan menjalani ibadah puasa. Mereka akan cuba semahu mungkin berpuasa walaupun hukum dibenarkan berbuka puasa dinyatakan kepada mereka.

4. Berikut adalah beberapa nasihat kepada pesakit kencing manis yang ingin meneruskan ibadah puasa pada bulan yang mulia ini.

Paling penting buat pesakit di luar sana adalah mengetahui status kencing manis anda. Sebelum anda nekad untuk berpuasa, sila berjumpa dengan pegawai perubatan dan jalani beberapa ujian ringkas. Ini penting bagi mengetahui status kencing manis anda. Pegawai perubatan akan mengkategorikan anda sebagai pesakit kencing manis kepada 4 tahap risiko.


I. Tahap Risiko Rendah, kriterianya seperti berikut:

  1. Pesakit kencing manis yang stabil dan terkawal (rujuk d).
  2. Pesakit kencing manis yang belum lagi menggunakan ubat-ubatan kencing manis. Cukup dengan mengawal pemakanan mereka dan paras gula dalam darah adalah terkawal (rujuk d).
  3. Atau/dan mereka yang hanya mengambil sejenis ubat kencing manis, namum paras gula dalam darah adalah terkawal (rujuk d).
  4. Bacaan gula samada waktu puasa atau setelah makan antara 4.0 mmol/l hingga 7.0 mmol/l.
  5. Tiada langsung komplikasi bahaya Kencing manis seperti serangan angin ahmar, Serangan jantung, kegagalan fungsi buah pinggang dan kerosakan sistem saraf.

*Nota: Paras gula ini bukan indikasi tepat yang menyatakan anda berada dikategori terkawal atau tidak- Sila berbincang dengan pegawai perubatan untuk maklumat yang lebih jelas.

II. Tahap Risiko Sederhana.

  1. Pesakit yang menggunakan suntikan insulin jenis ‘tindak-balas-segera’ (Short Acting Insulin).
  2. Bacaan gula samada waktu puasa atau setelah makan antara 7.0 mmol/l hingga 10.0 mmol/l.

III. Tahap Risiko Tinggi: 

  1. Pesakit yang telah disahkan oleh pegawai perubatan mengalami sakit buah pinggang.
  2. Pesakit yang telah mengalami komplikasi Kencing manis seperti serangan jantung, kegagalan buah pingang, angin ahmar dan kerosakan sistem saraf.
  3. Pesakit yang tinggal berseorangan dan mengambil ubatan kencing manis jenis insulin atau Sulfonylurea (Sejenis ubang kencing manis yang mempunyai resiko tinggi untuk menurunkan paras gula dalam darah terlalu cepat-hipoglisemia).
  4. Orang tua yang sudah tiada daya.
  5. Pesakit yang mempunyai penyakit-penyakit kronik yang lain.

IV. Tahap risiko Sangat tinggi:

  1. Mengalami serangan hipoglisemia atau ketoasidosis (Hiperglisemia) dalam tempoh 3 bulan sebelum Ramadhan. Atau mengalami koma dalam kedua-dua keadaan tersebut.
  2. Mempunyai sejarah hipoglisemia yang kerap atau tidak pandai mengenali tanda-tanda hipoglisemia.
  3. Pesakit yang sukar mengawal paras gula dalam tempoh 6 bulan berturut-turut (Bacaan paras gula waktu puasa >10.00 mmol/l)
  4. Pesakit Kencing Manis jenis I.
  5. Pesakit kencing manis yang menjalani dialysis.
  6. Pesakit kencing manis yang hamil dan diberi ubat insulin.
  7. Pesakit yang umur kurang dari 12 tahun.

Pesakit yang berkategori I dan II boleh meneruskan puasa setelah mendapat khidmat nasihat pegawai perubatan. Manakala bagi kategori III tidak dibenarkan puasa. Jika ingin meneruskan puasa, dinasihatkan membuat pemantauan rapi oleh anggota kesihatan. Manakala kategori IV tidak dibenarkan langsung berpuasa.

Untuk kepastian dan penjelasan lebih jelas, sila berjumpa dengan doktor anda untuk memahami status dan permasalahan anda.

Kongsikan artikel ini kepada sahabat-sahabat, ahli keluarga dan sesiapa sahaja yang menghidap penyakit kencing manis.

Sumber:

Fb.com/drsuhazeli
www.suhazeli.com

Apa Komen Anda?