GribblesDapatkan keputusan saringan Kanser, Kencing Manis, Kolesterol dan banyak lagi sepantas 1-3 Hari sahaja. Hanya di Gribbles

3 Analogi Menarik Sempena Nuzul Al Quran Yang Bakal Menyentap Anda.

Salam Ramadan Kareem,

Alhamdulillah, umat Islam kini telah hampir ke Fasa ketiga Ramadan iaitu Pelepasan daripada Api Neraka. Cuma diri ini masih tertanya:

Apakah dosa-dosa kita telah diampunkan oleh Allah SWT sewaktu Fasa kedua Ramadan ?

Bagaimana pula Rahmat yang dijanjikan oleh Allah SWT dalam Fasa pertama Ramadan kepada kita?

Layakkah diri kita menerima Rahmat daripada Allah ?

Adakah diri ini berubah semakin baik menuju Fasa ketiga ?

Adakah hati berasa nikmat beribadah, berasa tenang bersama-Nya, berasa rindu bertemu-Nya ?

Jika semua di atas masih belum terjawab maka beristighfarlah wahai mahkluk yang lemah dan hina,

Sesungguhnya masa masih ada buat kita,

sebelum nyawa berada di peti suara…..

Sedikit perkongsian ilmu daripada tazkirah yang disampaikan Hj Mohd Azmi Abdul Hamid (Presiden TERAS) atau lebih mudah disapa dengan Cikgu Mi bersempena Nuzul Quran di Masjid Nurul Ehsan, Langgar, Alor Setar :

Al-Quran itu penawar kepada semua penyakit rohani, jasmani, sosial, siasah, baitul muslim dan sebagainya. Beliau menggunakan analogi yang saya kira menarik dari sudut pandangan pengamal perubatan. Kisah doktor, pesakit dan ubat yang diambil.

 

=====

Analogi 1

Seorang doktor berpesan kepada pesakit Tekanan Darah Tinggi  atau Hypertension : “Ambil ubat ini, baca arahan betul-betul dan makan mengikut sukatan yang diberikan.”

Apabila patient itu pulang maka dia ambil ubat yang diberi, dia baca arahan itu betul2 “Makan 3 kali sehari sebanyak 2 biji setiap kali makan” Kemudian dia letak ubat itu tanpa menjamahnya.

Apabila masuk waktu makan ubat seterusnya, dia ambil ubat itu, dia baca dan letak kembali tanpa telan. Begitulah seterusnya untuk kali ketiga tetapi ubat tetap tidak dijamahnya.

Akhirnya blood pressure dia exceed 200/100 dan pesakit itu menemui ajal.

Pengajaran 1:

Begitulah umat Muhammad masa kini. Al-Quran sering diambil, dibaca tetapi tidak difahami. Apabila tidak difahami maka bagaimana penyakit rohani, sosial dan lain-lain dapat diubati sedangkan penyakit-penyakit ini semakin kronik.

Dr Muhammad Iqbal, pujangga Pakistan pernah berkata :

“Sewaktu aku kecil, aku selalu membaca al-quran selepas subuh. Lalu ayah masuk ke bilikku dan bertanya apa yang sedang aku lakukan. Aku berkata yang aku sedang membaca al-Quran. Kemudian dia keluar daripada bilikku.

Keesokannya dia masuk ke bilikku sewaktu aku membaca al-quran dan bertanya soalan yang sama maka jawapan yang sama aku berikan. Begitulah hari-hari seterusnya sehingga aku marah kerana bertanya soalan yang sama.

Lalu dia bertanya apakah aku memahami isi kandungan al-quran itu. Maka aku menjawab “Tidak”.

Maka engkau belum membaca al-Quran” tegur ayahku….

Firman Allah SWT:

“Ini adalah sebuah kitab yang kami turunkan kepadamu penuh dengan berkat supaya merka memperhatikan ayat-ayatnya dan supaya mendapat pelajaran orang-orang mempunyai fikiran.” (As-Sod;29)
Seterusnya Allah menerangkan lagi:

“(Setelah diterangkan yang demikian) maka adakah mereka sengaja tidak berusaha memahami serta memikirkan isi al-Quran ? Atau telah ada di atas hati mereka kunci penutup (yang menghalangnya daripada menerima ajaran Al-Quran.” (Muhammad;24)

Mari kita renungi kembali pernah kita cuba memahami al-Quran? Pernahkah kita menangis ketika membaca al-Quran? Alangkah ruginya jika kita gagal merasai Roh Kalamullah itu. Kerana roh itulah yang dapat membimbing kita mengharungi fitnah duniawi kelak.

=====

Analogi 2

Doktor berpesan kepada “pesakit Tekanan Darah Tinggi atau  Hypertensivenya Ambil ubat ini. Baca arahannya dan makan mengikut sukatan”.

Apabila pulang, pësakit itu ambil ubat itu, baca arahannya “Makan 3 kali sehari sebanyak 2 biji setiap kali makan” dan makan hanya sebiji.

Kemudian waktu kedua dia makan sebiji lagi dan waktu ketiga dia tak jamah pon ubat dia sebab terlupa. Pesakit hanya ambil ubat apabila dirasakan perlu sahaja.

Akhirnya penyakit dia tak sembuh-sembuh jua.

Pengajaran 2

Itulah nasib masyarakat kita. Agama hanya diambil mengikut sukatan sesuka hati. Bagi mereka Islam berkisar pada hukum taharah, nikah, haji, puasa, zakat dan solat sahaja.

Sedangkan di dalam al-quran ada banyak lagi ilmu dan hukum yang boleh diambil dan dipraktikkan. Hukum-hakam seperti muamalat, hudud, syariah, siasah, perang, bersosial ditolak tepi dan perundangan Kufar juga yang diagungkan.

Cabang ilmu dalam al-quran terlalu banyak. Daripada yang ilmu yang nyata sehingga ilmu ghaib semua telah diberi oleh Allah untuk kita menerokainya.

Di dalam Al Qur’an  terdapat kata-kata tentang ilmu  dalam berbagai bentuk (‘ilma, ‘ilmi, ‘ilmu, ‘ilman, ‘ilmihi, ‘ilmuha, ‘ilmuhum) terulang sebanyak 99 kali. Adab-adab di dalam al-Quran juga dah jelas untuk kita mengaplikasikan dalam kehidupan seharian tetapi budaya sonsang juga yang kita pilih.

Mengapa sukar untuk kita memilih Islam sebagai cara hidup kita. Bagaimana kita hendak merawat penyakit sosial yang semakin teruk di kalangan muda mudi, merawat jenayah yang semakin menjadi-jadi, merawat penyelewengan kuasa oleh sang penguasa yang bajet tau serba-serbi dan bagaimana segala masalah ini dapat diatasi jika Islam yang kita amalkan hanya sekadar secupak gantang beras sahaja.

Allah SWT berfirman,

“Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah kamu ke dalam Islam secara menyeluruh dan janganlah kamu mengikuti langkah-langkah syaitan. Sesungguhnya syaitan itu adalah musuh kamu yang nyata”. (Al-Baqarah:208)

=====

Analogi 3

Doktor berpesan kepada pesakit Tekanan Darah Tinggi atau Hypertensivenya: Ambil ubat ini. Baca arahannya dan makan mengikut sukatan.”

Apabila pulang, pesakit itu mengambil ubat itu, baca arahannya “Makan 3 kali sehari sebanyak 2 biji setiap kali makan” dan makan 3 biji sebab rasa nak cepat baik.

Kemudian waktu kedua dia makan 4 biji lagi dan waktu ketiga dia jamah 10 biji terus sebab esok dan lusa patient dah malas nak makan.

Akhirnya pesakit mengalami tekanan darah terlalu rendah atau hypotension. Bacaan BPnya 70/50 maka komplikasi kesihatan lain pula datang.

Pesakit itu menemui ajal kerana komplikasi yang banyak akibat kerosakan organ dalaman kesan pengambilan ubat tidak mengikut arahan.

Pengajaran 3:

Begitulah juga sunnahnya jika kita tidak bersabar dan menokok tambah apa yang al-Quran tidak sebut di dalamnya.

Hukum hakam jadi celaru sehingga Islam dipersenda oleh agama lain. Lihat agenda ISlam Had-hari yang dicanang-canang dahulu.

Dalam al-quran dah ditegaskan bahawa agama Allah itu satu. Kerana itulah wajib dipertahankan keaslian agama ini.

Jangan ada orang menokok atau menambah, meminda atau mengubah, kelak akan dimurkai Allah. Tiada Islam yang lain melainkan apa yang dibawa oleh Rasulullah SAW dan nabi-nabi sebelum itu. Firman Allah SWT:

“Sesungguhnya agama (yang benar dan diredai) di sisi Allah adalah Islam…” (Ali-Imran:19)

Seterusnya Allah berpesan lagi :

“Dan barangsiapa yang mencari agama selain daripada Islam, maka tidak sama sekali akan diterima (oleh Allah) daripadanya, dan ia pada hari akhirat kelak termasuk dalam golongan orang-orang yang rugi.” (Ali-Imran:85)

Cuba kita lihat apa berlaku jika Islam itu ditokok tambah atau ditolak tepi di Malaysia? Berjayakah sistem itu dalam memberi kestabilan umat Islam di Malaysia?

Peratusan jenayah berat semakin mengganas, masalah sosial semakin meruncing, Rasuah semakin sebati, perpaduan kaum semakin renggang, Kes Murtad semakin tinggi, purata kes Cerai pula 3 kali sehari, peratus graduan Muslim daripada Serenti meningkat hari demi hari dan bermacam-macam masalah lagi sehingga tak larat nak sebut di sini. Semakin banyak kerosakan yang berlaku di sekeliling kita hari ini berbanding kebaikan jika Islam tulen tidak ditegakkan dan digunapakai dalam wilayah kita.

Kesimpulan

Jalan keluar bagi semua kekalutan ini adalah Islam yang syumul dan lengkap. Jawapan kepada semua masalah di atas tadi ada di dalam Al-Quran dan Sunnah Rasulullah SAW. Telah jelas bahawa hanya Islam sahaja yang mampu mengeluarkan manusia daripada kegelapan kepada cahaya. Firman Allah SWT:

Dialah yang menurunkan ayat-ayat yang terang (Al-Quran) kepada hamba-Nya (Muhammad) untuk mengeluarkan kamu dari kegelapan kepada cahaya. Dan sungguh, terhadap kamu Allah Maha Penyantun, Maha Penyayang” (Al-Hadid:9)

Marilah kita kembali kepada Al-Quran dan Sunnah kekasih Allah SWT secara menyeluruh dan fahamilah isi kandungan al-Quran. Sabda baginda SAW:

“Aku tinggalkan kepada kamu 2 perkara yang sekiranya kamu berpegang pada kedua-duanya, kamu tidak akan sesat selama-selamanya iaitu kitabullah (Al-Quran) dan sunnahku” (Riwayat Imam Malik).

http://problemamuslim.files.wordpress.com/2009/05/quran.jpg

Semoga hidayah Allah sentiasa menyinari hati kita dan menunjukkan kita ke jalan yang lurus.

Dr Afiq Rahim

Lipat gandakan usaha di fasa terakhir Ramadan.

Apa Komen Anda?

One Comment