GribblesDapatkan keputusan saringan Kanser, Kencing Manis, Kolesterol dan banyak lagi sepantas 1-3 Hari sahaja. Hanya di Gribbles

Apakah ini titik noktah buatku ?

Salam perjuangan,

“Maka saya dengan ini membubarkan saf kepimpinan sesi 2009-2010”

Saya melabuhkan tirai tanzim yang saya terajui selama satu penggal sewaktu Mesyuarat Agung Tahunan PPIMI kali ke-30 yang berlangsung di Malaysian Hall, Dublin.

Sukar untuk mengungkapkan kata-kata apatah lagi menggambarkan naluri rasa pada ketika itu. Bercampur-baur perasaan pada ketika itu.

Adakala terasa gembira mengenangkan satu amanah telah terlucut daripada bahu dan adakala terasa ingin menangis pabila mengenang rasa takut jika amanah yang telah dipikul itu gagal dilaksanakan dengan sempurna.

Saya mula menyertai tanzim PPIMI pada tahun 2007 dengan dilantik sebagai Ketua Lajnah Penerangan dan Perhubungan, LPP kemudian memikul amanah selaku Ketua Lajnah Kebajikan, LK sehinggalah saya ditaklifkan pada sesi lepas sebagai Presiden PPIMI 2009-2010 menggantikan saudara Ariff Fahmi.

Terasa baru semalam saya menyertai tanzim dan kini saya meninggalkan pejabat pada kedudukan paling tinggi dalam persatuan. Masih terngiang ditelinga kata-kata Presiden PPIMI 06-07, saudara Haikal Ghazali yang membuat ramalan tentang karier siasah kampus saya:

Dalam masa 3 tahun lagi, hang akan jadi Presiden PPIMI

Kemudian, kami ketawa. Saya tidak menyangka ramalannya tepat.

Oh, sukar melupakan pengalaman bekerja  itu.

Pengalaman yang mengajarku erti dipimpin dan memimpin. Pengalaman yang mengajarku berurusan dengan emosi. Pengalaman yang mengajarku untuk berfikiran jauh dan terbuka. Pengalaman yang mengajarku betapa lemah dan kerdilnya diriku ini disisi Rab-ku. Pengalaman bersiasah. Pengalaman yang memberi sebuah dimensi baru dalam kehidupanku dan sejuta pengalaman yang terlalu banyak untuk dikongsikan di sini.

Pengalaman mendewasakan kita

Pengalaman itu ibarat dayung yang digunakan ketika kita merentas kehidupan dunia yang penuh pancaroba. Pengalaman tidak akan diperoleh di dalam bilik tidur mahupun di bilik kuliah. Pengalaman itu hanya boleh dikutip diluar sana apabila kita mula menerima amanah dan bergaul dengan manusia.

Pengalaman ibarat bayang-bayang kita. Pengalaman akan sentiasa mengekori dan menghantui kita. Ada manusia yang menjadi phobia kerana pengalaman ngeri dan ada manusia yang menjadi fanatik kerna pengalaman yang indah.

Orang yang terlalu banyak pengalamannya atau ‘Otai’ maka tindakan atau refleksnya kurang. Ini kerana mereka terlalu kerap berfikir baik buruk sesuatu perkara itu. Terlalu banyak menilai sesuatu berdasarkan pengalaman lalu sehingga membantutkan usaha atau idea-idea menarik yang dilontarkan kepada individu itu.

Manakala orang muda, semangatnya berkobar-kobar, berdegar-degar kata-katanya malahan kadangkala itu kurang siuman tindakannya kerana cetek pengalaman dalam diari kehidupannya. Begitu hebat gelora jiwa sang pemuda.

Itulah kitaran kehidupan.

Kita bermula sebagai seorang yang naif kemudian merangkak sebagai orang yang belajar, kemudian berlari sebagai orang yang memahami tetapi akhirnya berhenti sebagai orang yang Berpengalaman.

Saya masih belajar

Saya mengklasifikasikan diri sebagai orang yang masih belajar. Saya masih perlu menuntut ilmu kehidupan. Ilmu yang sangat diperlukan oleh setiap insan hatta  orang yang cetek ilmu akademiknya. Masih jauh bagi saya untuk mencapai tahap memahami apatah lagi untuk bergelar ‘Otai’ dalam sesuatu bidang itu.

Saya masih perlu belajar untuk berada lebih jauh

Bagi saya, orang yang paling banyak mengutip pengalaman bukanlah orang yang berada paling atas mahupun paling lama dalam bidang itu tetapi orang yang berusaha, bekerja dan mencari bersungguh-sungguh pengalaman itu.

Dan yang paling penting hanya mereka yang ikhlas akan memperolehi pengalaman yang bermanfaat buat dirinya.

Ada yang menyarankan agar saya terus kekal sebagai presiden kerana pengalaman sebelum ini?

Ada yang mencadangkan agar saya bergerak lebih jauh daripada posisi yang telah saya lepaskan ini?

Maafkan diri yang kerdil ini.

Saya mengenal batas kemampuan saya. Bukan ingin berehat atau melarikan diri daripada amanah apatah lagi perjuangan seterusnya tetapi keterbatasan ini kelak bakal membawa musibah kepada banyak pihak jika terus dipikul malahan menjadi liabiliti buat saya di akhirat nanti.

Namun ingin saya perjelaskan, ini bukan noktah terakhir buat saya sebaliknya noktah sebelum saya membuka lembaran kehidupan baru yang lebih mencabar.

Kehidupan seorang PEJUANG.

Mantan Presiden PPIMI,

Dublin 8

Apa Komen Anda?

5 Comments