GribblesDapatkan keputusan saringan Kanser, Kencing Manis, Kolesterol dan banyak lagi sepantas 1-3 Hari sahaja. Hanya di Gribbles

Apakah Yang Perlu Anda Lakukan Jika Berjumpa Doktor?

Seringkali kita terbaca di ruangan akhbar atau luahan hati masyarakat tentang rasa tidak puas hati setelah berjumpa dengan doktor mereka. Pada masa yang sama ada juga komen-komen yang positif yang memuji staf-staf kesihatan yang memahami masalah mereka.

Tentu ada faktor-faktor yang mempengaruhi perbezaan pendapat di atas.

Di dalam artikel ini saya ingin berkongsi tip-tip mudah yang boleh anda amalkan untuk temujanji bersama doktor anda atau mana-mana ahli Kesihatan Bersekutu (jururawat, fisioterapi, farmasi dan sebagainya).

Tip # 1 : KOMUNIKASI

Dalam dunia perubatan ada pepatah mengatakan “99% of making an accurate Diagnosis comes from history taking” atau diterjemahkan sebagai “99% daripada membuat diagnosis yang tepat adalah berdasarkan pengambilan sejarah kesihatan pesakit”.

Sistem pembelajaran akademik dan latihan praktikal kedoktoran di Malaysia kebiasaannya dilakukan dalam Bahasa Inggeris, Bahasa Indonesia, Bahasa Arab, Poland dan Rusia. Hal ini boleh menimbulkan jurang bahasa dan pemahaman di antara doktor dan masyarakat Malaysia yang secara umumnya yang  berbahasa Malaysia, Mandarin, Kantonis dan Tamil terutamanya bagi mereka yang berada di luar bandar.

Masalah komunikasi ini memberi implikasi yang memudaratkan sekiranya ia membawa kepada diagnosis yang salah dan ujian pemeriksaan yang dilakukan juga adalah tidak tepat, seterusnya akan membawa kepada rawatan dan ubat-ubatan yang tidak tepat.

Adalah menjadi sesuatu perkara yang sering berlaku contohnya, pada  jam 3 pagi, Doktor A (yang bekerja di Jabatan Kecemasan) telah menemuramah pesakit, setelah mengambil sejarah perubatan pesakit beliau merujuk kepada Doktor B (pakar kardiologi) untuk rawatan selanjutnya. Doktor B seterusnya datang dan berjumpa pesakit, kemudiannya berkata semula kepada Doktor A, “ Tadi awak cakap pesakit ada chest pain (sakit dada), ni bila saya tanya betul-betul pakcik tu cakap rasa senak kat bahagian atas perut sahaja”.

Situasi di atas adalah contoh yang paling ketara di mana penggunaan perkataan “sakit” yang sering kita gunakan untuk menerangkan – sengal, pedih, lenguh, kurang selesa dan sebagainya adalah tidak begitu tepat untuk menerangkan apa yang sebenarya dialami oleh pesakit.

Perkataan sakit di dalam Bahasa Inggeris (medical) adalah ‘Pain’. Jika pesakit mengatakan, “Saya mengalami sakit dada”, ia adalah sesuatu yang amat berbeza berbanding sekiranya dia hanya mengalami “Chest discomfort” di mana yang lebih tepat dia perlu mengatakan bahawa “Dada saya rasa kurang selesa”.

Antara contoh-contoh lain yang sering berlaku apabila pesakit yang mengalami sesak nafas atau rasa “tidak cukup udara atau oksigen” juga sering mengatakan bahawa beliau berasa sakit dada.

Doktor juga perlu memainkan peranan penting untuk mengenal pasti – apakah sebenarnya yang mahu disampaikan oleh pesakit.

Contoh-contoh di atas bukanlah bertujuan untuk menyalahkan pesakit kerana doktor dan pengamal perubatan akur bahawa pesakit bukanlah dilatih secara professional untuk mengenalpasti tanda-tanda yang mereka alami. Ini adalah tanggungjawab bagi para doktor untuk menganalisis misteri simptom-simptom pesakit. Hal ini bertujuan untuk mewujudkan kesedaran pada masyarakat sahaja sebagai membantu doktor anda untuk lebih efisien.  Oleh itu,  pesakit perlu ‘berusaha’ sedikit untuk memilih perkataan yang lebih tepat untuk menerangkan simptom (tanda-tanda) penyakit mereka.

Tip # 2: Tidak melakukan ‘shopping doctor’

Sekiranya anda mempunyai penyakit kronik (chronic illness) seperti Penyakit Jantung Koronari, Diabetes Mellitus, darah tinggi dan sebagainya cuba elakkan berjumpa doktor dari klinik atau hospital yang berlainan. Ini kerana pada masa kini, kebanyakan hospital di Malaysia tidak mempunyai sistem perkongsian maklumat pesakit, maka Hospital A tidak ada maklumat terperinci mengenai masalah pesakit dan nama senarai ubatan yang diambil dari Hospital B.

Hal sebegini akan menimbulkan kerumitan bagi pihak hospital untuk memberi rawatan yang optimum kepada anda. Selain itu, ia juga boleh membawa risiko berbahaya sekiranya anda diberikan ubat yang ‘contra-indicated’ (tidak boleh diambil bersama) tetapi telah diberikan oleh doktor yang berlainan hospital. Pesakit juga boleh diberi ubat yang sama tetapi berlainan dos oleh dua hospital berbeza.

Oleh yang demikian, untuk memudahkan doktor membantu anda sekiranya anda dirujuk ke hospital yang berlainan hendaklah pastikan anda memaklumkan kepada doktor ubat-ubatan yang diambil dari hospital lain. Cara yang paling mudah adalah dengan menyediakan senarai nama ubat yang anda ambil.

Sumber: mmgazette

Apa Komen Anda?