GribblesDapatkan keputusan saringan Kanser, Kencing Manis, Kolesterol dan banyak lagi sepantas 1-3 Hari sahaja. Hanya di Gribbles

SCAM KESIHATAN SIRI 7: SCAMMER MENGGUNAKAN ISTILAH SAINTIFIK ATAU TERMA SAINS UNTUK PENGIKLANAN PRODUK TIPU MEREKA]

[AWAS! BERHATI-HATI DENGAN PRODUK PSEUDOSAINS YANG MENGGUNAKAN ISTILAH SAINTIFIK ATAU TERMA SAINS UNTUK PENGIKLANAN PRODUK TIPU MEREKA]
.
Ada banyak produk yang cuba menggunakan istilah sains untuk tujuan pemasaran. Produk-produk ini kebiasaanya dipasarkan secara terus kepada pengguna menggunakan “istilah saintifik” dan testimoni mereka mendakwa bahawa produk ini telah terbukti secara saintifik berkesan merawat atau menyelesaikan masalah pengguna.
.
Walau bagaimanapun, jika kita ragu-ragu (salah satu daripada sifat-sifat yang diperlukan dalam usaha mengkajinya secara saintifik) maka dengan meneliti dakwaan-dakwaan ini, kita akan mendapati bahawa kebanyakan dakwaan keberkesanan produk-produk ini tidak memenuhi standard ketat secara metodologi saintifik yang dapat diterima secara universal.
.
=====
Pengguna Mudah Tertipu Dengan Terma Sains
=====
.

Sebagai pengguna, kita mesti berhati-hati supaya tidak terkeliru atau lebih teruk lagi, tertipu dengan “tuntutan” yang dibuat oleh penjual untuk memasarkan produk-produk ini. Mereka akan sering menggunakan istilah berbunyi saintifik dan frasa seperti “teknologi nano”, “sel stem”, ” ion “,” elektron” dan “metabolisme “.
.
Terma-terma saintifik tidak bermakna bahawa produk itu terbukti secara saintifik. Malangnya, ramai pengguna mudah ditipu apatah lagi mempercayai bulat-bulat, dan seterusnya membeli produk tanpa penelitian lanjut. Pada hakikatnya manfaat yang didakwa tidak mempunyai bukti saintifik yang kukuh kerana mereka tidak menjalankan kaedah yang ketat yang diperlukan dalam proses penyelidikan dan pembangunan sesuatu produk secara saintifik.
.
Yang paling menyedihkan adalah apabila mereka yang pakar dalam bidang tersebut melalui percubaan dan pengetahuan mereka untuk untuk membuktikan kesilapan dakwaan yang dicanang oleh pengamal pseudosains telah dipandang hina oleh segelintir masyarakat. Lebih malang, mereka mendakwa ahli-ahli sains yang ikhlas menyelamatkan masyarakat daripada terus ditipu ini, dituduh cemburu dengan kejayaan mereka dan cuba menjatuhkan perniagaan mereka.
.
Kemudian demi meraih simpati pengguna dan menutup pekung penipuan mereka maka sentimen bangsa dan agama akan dibiolakan kepada umum seperti “Inilah dia, asyik nak jatuhkan bangsa Melayu sahaja” atau “Inilah usaha untuk menjatuhkan ekonomi umat Islam. Marilah menyokong perniagaan umat Islam” dan banyak lagi konotasi simpati untuk mengaburi permainan mereka.
.
Untuk sesuatu produk yang mendakwa bahawa manfaatnya adalah berdasarkan penyelidikan yang mereka lakukan maka ianya wajiblah mematuhi kaedah saintifik dan perubatan yang betul sebelum dibenarkan penggunaannya ke atas manusia. Hanya dengan meletakkan istilah perubatan atau saintifik di dalam ayat-ayat iklan dan menyenaraikan beberapa testimoni bukanlah ukuran atau bukti bahawa produk tersebut telah terbukti berjaya atau selamat digunakan secara saintifik.
.
Penyelidikan perubatan adalah satu proses yang sangat ketat yang melibatkan peringkat seperti piawaian, ujian berasaskan makmal ke atas haiwan yang melibatkan ujian seperti ‘Genotoxicity’, ‘General Toxicity’ dan ‘Reproductive toxicity’ dan menggunakan data pra-klinikal untuk ujian klinikal (untuk memastikan keselamatan dan keberkesanan produk kepada manusia).
.
Kebanyakan produk-produk ini pada hakikatnya adalah tidak “saintifik” dan cuba berselindung menggunakan falsafah atau strategi “pseudosains” untuk mengelirukan pengguna.
.
=====
Apa itu Pseudosains?
=====

Pseudosains adalah satu bentuk KEPERCAYAAN ATAU AMALAN PALSU tetapi DISANGKA BENAR bersandarkan kajian-kajian saintifik yang tidak wujud atau tipu atau tidak terbukti atau lemah.
.
Pseudosains adalah satu bentuk baru strategi perniagaan atau pemasaran pada zaman ini dalam usaha pengamal atau peniaga mengaburi mata pengguna demi melariskan jualan produk mereka.
.
=====
Ciri-Ciri Pseudosains
=====
.
Pseudosains tidak mempunyai ketegasan dalam metadologi kajiannya. Oleh itu, adalah mudah untuk mengenal pasti dan membezakan ciri-ciri pseudosains dari perihal sains yang sebenar.
.
Ciri pertama terletak pada matlamat produk pseudosains adalah untuk mendapatkan keuntungan. Ianya bertentangan dengan objektif sains yang mana asasnya adalah untuk mendapatkan pemahaman yang menyeluruh tentang kehidupan di dunia ini. Sains membawa kepada pemahaman yang lebih baik di dunia, tetapi dalam banyak kes, pseudosains membawa kepada salah faham dan kekeliruan.
.
Kita juga maklum bahawa tidak ada banyak pembangunan di bidang yang berkaitan dengan pseudosains. Ilmu Pengetahuan cepat berkembang dan disebarkan melalui penyelidikan dan penerbitan, yang kemudiannya boleh dibaca, disemak dan ditiru oleh orang lain. Ini adalah satu proses yang berterusan secara dinamik, tetapi malangnya proses ini tidak ada di dalam pseudosains.
.
‘Peer Review’ adalah satu kemestian dalam semua penyelidikan saintifik. Langkah di dalam displin metodologi sains ini mula diperkenalkan oleh Ishaq bin Ali al-Rahwi dalam abad ke-9, apabila beliau menekankan bahawa semua data saintifik dan sebarang penemuan mestilah dikaji semula bagi memastikan kesahihannya. Walau bagaimanapun, pseudosains pastinya mengelakkan kaedah’peer review’ ini.
.
Apabila dakwaan yang dibuat oleh pseudosains dipertikaikan oleh orang lain, ianya dilihat sebagai satu ancaman dan pengamal pseudosains sering menolak hujah dengan emosi dan bukan dengan bukti fakta atau kajian sahih. Ini adalah berbeza dengan penyelidikan saintifik yang tulen, di mana kes-kes yang tidak konsisten diterima sebagai penemuan untuk dilakukan penyelidikan lanjut dalam mencari penjelasan yang memuaskan bagi perkara yang tidak konsisten tersebut.
.
Kita juga maklum bahawa pemerhatian dan data yang digunakan dalam pseudosains tidak pernah didedahkan. Sebaliknya, setiap dakwaan keberkesanan produk mereka adalah berdasarkan testimoni semata-mata. Apabila wujud percanggahan antara apa yang didakwa dalam pseudosains dan apa yang diterima secara meluas dan benar di dalam bidang sains, pandangan saintifik oleh ahlinya pasti akan diketepikan mentah-mentah oleh pengamal dan penyokong mereka.
.
Satu lagi ciri-ciri pseudosains adalah bahawa prinsip ‘governing’ tidak pernah diumumkan dan sebarang usaha untuk melakukan penyelidikan semula oleh orang lain tidak boleh dilakukan.
.
Ini amat berbeza dengan apa yang ditekankan oleh Ibn al-Haytham, Bapa Moden Kaedah Saintifik, yang menyatakan bahawa data eksperimen dan kebolehulangannya (reproducibility) adalah penting dalam pembangunan ilmu pengetahuan saintifik.
.
Antara ciri-ciri lain pseudoscience adalah produk tersebut dibangunkan oleh individu atau kumpulan yang tidak berada dalam arus perdana penyelidikan dan pembangunan saintifik dan tidak terlibat dalam penyelidikan saintifik yang tulen. Dengan kata lain, mereka di sebalik produk-produk tersebut, tidak mempunyai latar belakang sains atau yang berkaitan.
.
Pseudosains sering menggunakan personaliti dan artis terkenal untuk mewujudkan persepsi bahawa produk tersebut adalah sah. Sama ada personaliti ini sebenarnya digunakan dan percaya akan keberkesanan produk-produk ini atau mereka hanya dibayar untuk mempromosikan produk-produk tersebut maka ianya adalah sesuatu yang boleh dipersoalkan.
.
Satu lagi ciri-ciri pseudosains ialah penjelasan yang diberikan oleh pihak penjual atau pengeluar sering kabur dan samar-samar. Untuk orang biasa, penjelasan ini mungkin kedengaran saintifik semata-mata disebabkan oleh penggunaan istilah saintifik. Walau bagaimanapun, konsep dan konteks penjelasan mereka kebiasaannya jauh menyimpang daripada asas ilmu sains dan sering kali mengelirukan kita.
.  
=====
Pandangan Islam Terhadap Produk Pseudosains
=====
.
Islam melarang keras sebarang bentuk penipuan, terutamanya di dalam pemasaran dan penjualan produk, baik dari segi kuantiti dan kualiti.
.
Dari segi kuantiti, al-Quran menyatakan dengan jelas dalam ayat 1 hingga 4 dari Surah al-Mutaffifin:

“Kecelakaan besar bagi orang-orang yang curang (dalam timbangan dan sukatan), (1) Iaitu mereka yang apabila menerima sukatan (gantang cupak) dari orang lain mereka mengambilnya dengan cukup, (2) Dan (sebaliknya) apabila mereka menyukat atau menimbang untuk orang lain, mereka kurangi. (3) Tidakkah mereka menyangka bahawa mereka akan dibangkitkan (hidup semula sesudah mati)? (4)”

Merujuk kepada kualiti produk yang dijual, dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah dan direkodkan dalam Sunan Abi Dawud dan Sahih Muslim, Nabi Muhammad pernah menegur penjual makanan yang menyembunyikan gandum yang lembap kerana terdedah kepada hujan di bawah timbunan gandum yang tidak rosak.
.
Nabi Muhammad SAW Bersabda bahawa,

“Mereka yang menipu adalah bukan daripada kami (yakni bukan daripada umat Islam).”

Oleh itu, adalah jelas bahawa Islam tidak membenarkan sebarang bentuk penipuan atau penipuan, sama ada dari segi kuantiti atau kualiti, apabila pemasaran dan penjualan produk.
.
Produk yang dijual menggunakan dakwaan berasaskan pseudosains jelas satu bentuk penipuan dan tidak amanah. Orang ramai yang telah dikelirukan untuk mempercayai bahawa produk-produk ini mempunyai ciri-ciri atau faedah tertentu secara saintifik atau perubatan tetapi pada hakikatnya dakwaan tersebut adalah tidak terbukti sama sekali.
.
Apa yang lebih teruk adalah produk-produk ini tidak diuji dari sudut keselamatan dan keberkesanannya. Ini akan meletakkan pengguna pada risiko yang tinggi untuk terjadinya kecelakaan atau kemudaratan ke atas diri mereka.
.
Akhir sekali, pengguna dinasihatkan tidak mudah terpengaruh dan dikelirukan oleh tuntutan palsu pengamal pseudosains ini. Bertanyalah kepada AHLInya jika kita ragu-ragu dengan dakwaan mereka.
.
Artikel asal: Dr Shaikh Mohd Saifuddeen Shaikh Mohd Salleh, Fellow Kanan dan Pengarah Pusat Sains dan Pengajian Alam Sekitar.
Terjemahan dan Suntingan: DAR

[optin-cat id=”2106″]
Sumber: The STAR, http://bit.ly/bahayapseudosains
.
#DAR
#perangmelawanpseudosains
#scamkesihatan

Apa Komen Anda?