GribblesDapatkan keputusan saringan Kanser, Kencing Manis, Kolesterol dan banyak lagi sepantas 1-3 Hari sahaja. Hanya di Gribbles

Ayuh ! Masa untuk Berubah !

Mengenali Sifat-sifat Gerakan Islam

Oleh: Dato’ Harun Taib, Ketua Dewan Ulama Pas Pusat

Setiap pertubuhan atau jemaah atau gerakan samada jemaah Islam atau yang sewaktu dengannya mestilah memiliki sifat-sifat tertentu. Dengan sifat-sifat tersebut maka sebuah jemaah itu dikenali dan dapat dibezakan daripada yang lain.

Apakah yang dimiliki oleh jemaah Islam dan prinsip-prinsip yang dipeganginya yang membezakan dari segala jemaah atau pertubuhan lain yang berfahaman kemanusiaan. Sifat-sifat jemaah Islam sebenarnya telah ditentukan oleh Allah SWT dan Rasul SAW. Antaranya ialah:

1. Ia menyakini bahawa Islam adalah satu-satunya kekuatan yang dapat membangunkan semula umat. Dapat membebaskan semual golongan mustadh’afin dan menyelamatkan manusia daripada kehancuran.

2. Ia lahir daripada kesedaran penyokongnya sendiri. Tidak dipengaruhi oleh mana-mana golongan sama ada timur atau barat. Lahirnya kerana tuntutan al-Quran dan Sunnah seperti firman Allah SWT:

“Dan hendaklah di antara kamu ada segolonganyang menyeru kepada kebaikan dan menyuruh berbuat yang makruf dan mencegah dari yang mungkar. Dan mereka itu orang yang beruntung” [Ali Imran: 104]

Sabda Rasulullah SAW:

“Wajiblah kamu bersama jemaah Muslimin dan pimpinan mereka” [Riwayat As-Syaikhan]

3. Ia menyakini akan kesejagatan Islam sebagaimana firman Allah SWT:

“Dan tiadalah kami mengutuskan Engkau (Muhammad) melainkan untuk menjaga rahmat bagi sekalian alam” [Al-Anbiya’:107]

Kedatangan Islam ialah untuk memberi kebahagian kepada sekalian makhluk terutamanya terhadap manusia. Ianya tidak ditentukan hanya kepada bangsa Arab, Melayu dan Turki, bahkan ianya untuk seluruh manusia.

4. Ia memperjuangkan Islam secara menyeluruh. Firman Allah SWT:

“Wahai orang-orang yang beriman, masuklah kamu ke dalam agama Islam secara menyeluruh. Dan jangan kamu menuruti jejak langkah syaitan. Sesungguhnya syaitan itu musuh kamu yang nyata” [Al-Baqarah:208]

5. Ia mengutarakan kebenaran yang tunggal dalam sejarah perjuangan Islam iaitu golongan memperjuangkan apa yang diperjuangkan oleh ahli Sunnah Wal Jamaah sebagaimana sabda Rasulullah SAW:

“Akan terus wujud segolongan umatku yang berani melahirkan kebenaran, tidak akan memberi mudarat kepada mereka oleh orang yang menyanggahinya sehingga datangnya perintah dari Allah” [Riwayat Bukhari]

Inilah amalan dan sikap Jamaah Islamiyyah. Ia berterus terang di dalam menyatakan kebenaran walaupun di saat-saat orang lain membisu seribu bahasa. Biarpun tindakan demi tindakan dikenakan terhadap anggotanya, namun Jamaah Islamiyyah tetap dengan perjuangannya sekadar yang termampu dilakukan olehnya.

6. Ia bersifat terbuka agar dapat menyatukan setiap anggota jemaah pada prinsip dan dasar walaupun berbeza dalam perkara furu'(cabang). Firman Allah SWT:

“Katakanlah wahai Muhammad: ‘Wahai ahli kitab, marilah kepada satu kalimah yang bersamaan antara kami dengan kamu iaitu kita semua tidak menyembah melainkan Allah dan kita tidak menyekutukan dengannya sesuatu jua pun. Dan jangan pula sebahagian dari kita mengambil sebahagaian yang lain untuk dijadikan orang-orang yang dipuja dan didewa-dewakan selain dari ALLAH’ Kemudian jika mereka (ahli Kitab) berpaling maka katakanlah kepada mereka: ‘Saksikanlah kamu bahawa sesungguhnya kami adalah orang ISLAM'”. [Ali Imran;64]

7. Ia memiliki ciri-ciri hizbullah (parti Allah) seperti berikut:

a) Cintakan Allah dan Allah cintakan mereka.
b) Merendah diri sesama mukmin.
c) Bersikap tegas dengan orang-orang yang tidak mukmin.
d) Berjihad pada jalan Allah dan tidak takut kepada celaan orang yang mencelanya.
e) Memberi kesetiaan kepada Allah, RasulNya dan para Mukmin.
f) Mendirikan solat.
g) Menunaikan zakat dan
h) Sentiasa ruku’ kepada Allah.

Sifat-sifat yang tersebut di atas itu selari dengan Firman Allah SWT dalam surah Al-Maidah ayat 54-56:

“Wahai orang yang beriman, sesiapa di antara kamu berpaling tadah dari agamanya (murtad) maka Allah akan mendatangkan suatu kaum yang ia kasihkan mereka dan mereka juga bersifat lemah lembut terhadap orang yang beriman dan berlaku tegas terhadap orang kafir, mereka berjuang dengan bersungguh-sungguh pada jalan Allah dan mereka tidak takut kepada celaan orang yang mencela. Yang demikian itu adalah limpah kurnia Allah yang diberikan-Nya kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya kerana Allah Maha Luas limpah kurnia-Nya lagi meliputi pengetahuan-Nya.” [Maidah;54]

“Sesungghnya penolong kamu hanyalah Allah dan Rasul-Nya serta orang-orang yang beriman yang mendirikan solat dan menunaikan zakat sedang mereka rukuk (tunduk menjunjung perintah Allah).” [Maidah;55]

“Dan sesiapa yang menjadikan Allah dan Rasul-Nya serta orang-orang yang beriman itu penolongnya (maka berjayalah dia) kerana sesungguhnya golongan (yang berpegang kepada agama) Allah itulah yang tetap menang” [Maidah;56]


8. Ia berjuang secara amali tidak hanya teori semata-mata dan ia mengembangkan sayap keseluruh lapisan masyarakat walaupun daripada latar belakang yang berbeza dan tidak hanya untuk golongan tertentu sahaja. Sabda Rasulullah SAW:

“Akan terus wujud segolongan umatku yang berjuang di atas kebenaran dan berterus terang sehinggalah ke hari akhirat” [Riwayat Muslim]

Kesimpulan

Berdasarkan kepada prinsip-prinsip gerakan Islam seperti yang dibentangkan di atas, maka dapatlah kita membuat keputusan bahawa mana-mana gerakan Islam yang wujud mestilah mempunyai asas dan matlamat penubuhannya. Ia ditubuhkan di atas kesedaran sendiri, bukan di dorong oleh rasa tidak puas hati kepada gerakan Islam yang lain yang telah sedia ada. Untuk lebih jelas dan yakin lagi, bahawa gerakan Islam mestilah mempunyali tujuan-tujuan sebagaimana berikut :
1. Memperjuangkan wujudnya di dalam negara ini sebuah masyarakat dan pemerintahan yang terlaksana di dalamnya nilai-nilai hidup Islam dan hukum-hukumnya menuju keredhaan Allah.
2. Mempertahankan kesucian Islam serta kemerdekaan dan kedaulatan negara. Untuk merealisasikan semua tuntutan itu, Jamaah Islamiyyah mestilah mempunyai usaha-usaha seperti berikut :

  • Menyeru ummat manusia kepada syariat Allah dan sunnah RasulNya melalui dakwah secara lisan, tulisan dan amalan.
  • Memperjuangkan Islam sebagai aqidah dan syariat serta menjadikannya sebagai panduan berpolitik dan bernegara serta memperkenalkan nilai-nilai keislaman dalam usaha menegakkan keadilan dan kemajuan di segenap bidang termasuk pemerintahan dan pentadbiran, ekonomi dan sosial serta pelajaran dan pendidikan.
  • Memupuk dan memperkuatkan lagi Ukhuwwah Islamiyyah dan menyuburkan rasa perpaduan dikalangan rakyat bagi memelihara kehidupan politik dan masyarakat yang sihat dan berkebajikan.
  • Mengajak dan menggalakkan badan-badan, pertubuhan~pertubuhan dan orang-orang perseorangan bagi mengenali dan memahami serta memperjuangkan hidup Islam.
  • Menyediakan rancangan~rancangan dan bertindak bagi memperbaiki susunan serta institusi-institusi masyarakat, bentuk politik dan keadilan ekonomi dan negara untuk membela kepentingan ummat Islam dan rakyat seluruhnya.
  • Menyertai dan bekerjasama dengan badan-badan, persatuan~persatuan, atau pertubuhan-pertubuhan yang tidak berlawanan tujuannya dengan gerakan Islam bila mana dan selama mana ianya mustahak dan sesuai serta tidak bercanggah dengan syariat Allah.
  • Memperjuangkan hak dan kepentingan umat Islam di negara ini tanpa mengabaikan tanggungjawab melaksanakan keadilan terhadap seluruh rakyat dan tanggungjawab mewujudkan keharmornian antara kaum di dalam negara ini.

Oleh itu, tunggu apa lagi ? Marilah bergabung bersama gerakan Islam yang ditegakkan di atas nas dan dalil dan bukannya tertegak kerana emosi dan perbalahan. Masalah kelemahan adalah merupakan perkara biasa bagi mana-mana pertubuhan yang perlu bagi kita ialah jangan kita mudah berputus asa dan merasa lemah semangat bila menghadapi permasalahan. Ayuh bersatu !

*** Nota dipetik daripada akhbar alternatif Malaysia sewaktu musim panas yang lepas.

Ibn Abd Rahim

Dublin 8

Apa Komen Anda?

2 Comments