GribblesDapatkan keputusan saringan Kanser, Kencing Manis, Kolesterol dan banyak lagi sepantas 1-3 Hari sahaja. Hanya di Gribbles

SCAM KESIHATAN SIRI 8: Terapi Ozon – Artis Tempatan Meluahkan Kekesalan Mempromosikan Rawatan Ini.


=====
Apa itu Gas Ozon
=====

Ozon adalah secara umumnya adalah gas kontroversi kerana gas ini sangat berguna dalam stratosfera bumi dengan menyerap radiasi berbahaya iaitu Radiasi Ultraviolet B dan C. Namun, gas ini adalah toksik untuk sistem badan manusia terutamanya kepada paru-paru dalam bentuk troposfera.

Ozon wujud sebagai gas yang diperbuat daripada tiga atom oksigen dengan struktur kitaran (cyclic structure). Ianya secara berterusan terhasil dan diuraikan dalam bentuk molekul oksigen (O2). Proses ini dimangkinkan oleh reaksi kimia daripada Cahaya Ultraviolet yang berfrekuensi tinggi secara terus daripada matahari.

Terapi ozon telah digunakan untuk merawat pelbagai jenis masalah perubatan termasuk anggota badan yang kekurangan oksigen (chronic ischaemic limb), jangkitan kuman, sakit tulang belakang (low back pain due to disc problems), masalah berkaitan mata (age-related macular degeneration) dan bermaca-macam lagi[1].

=====
Ciri-Ciri Ozon Terapi dan Mekanismenya dalam Perubatan
=====
.
Ozon adalah lebih padat 1.6 kali ganda dan 10 kali ganda lebih larut di dalam air berbanding oxygen.[1] Ianya adalah gas yang tidak stabil yang tidak boleh disimpan dan perlu digunakan segera kerana jangka hayatnya (half-life) hanya  40 minit pada 20 °C sahaja. Kepekatan ozon pula diukur dalam u/ml atau gms/L oksigen.

5% atau 70 u/ml adalah kepekatan maksimum ozon yang sering digunakan dalam aplikasi perubatan klinikal. Kepekatan yang lebih daripada itu akan merosakkan sel-sel darah merah dan menghalang pertumbuhan sel-sel sihat.[2]

Mesin yang menjana ozon menghasilkannya daripada oksigen tulen yang disalurkan melalui voltan yang tinggi.[1] Kemudian mesin penjana mengumpul campuran gas yang terdiri daripada kurang 95% oksigen dan tidak lebih daripada 5% ozon. Udara perlu dinyahkan kerana toksik nitrogen dioksida (N2O2) akan terbentuk yang merbahaya kepada kesihatan manusia.

Mesin penjana ozon pula perlulah diperbuat daripada bahan yang berkualiti tinggi dan daripada alat-alat yang tahan ozon seperti keluli tahan karat, gas neutral dan Teflon.

Bagaimana mekanisme terapi ozon masih kekal sebagai andaian atau hypothetical. Penjelasan tentang kesannya pula mungkin berpunca daripada pembentukan Reactive Oxygen Species(ROS) semasa proses pengozonan yang berfungsi sebagai penggalak fisiologi di dalam pelbagai proses biologi.[1]

=====
Bagaimana Kaedah Rawatan Terapi Ozon?
=====

1. Saluran Darah (Direct intra-arterial and/or intravenous injection).
Campuran Oksigen-Ozon disuntik secara perlahan-lahan ke saluran arteri / vena menggunakan picagari hypodermic. Cara ini sering digunakan untuk masalah saluran darah (arterial circulatory disorder)[1].

2. Melalui Lubang Dubur (Rectal insufflations)
Campuran Ozon dan Oksigen dimasukkan melalui lubang dubur dan diserap melalui usus. Ini antara cara yang selamat dan sering digunakan dalam rawatan penyakit usus, kanser, masalh berkaitan HIV dan pelbagai lagi[1].

3. Suntikan pada Otot (Intramuscular injection)
Campuran Oksigen dan Ozon disuntik ke dalam otot dan sering digunakan di dalam rawatan penyakit alahan dan keradangan [5].

4. Kaedah menyerupai dialisis (Major and minor autohemotherapy)
Kaedah ini antara yang popular di Malaysia di mana prosesnya adalah dengan mengeluarkan sejumlah kuantiti darah (biasanya dalam 10mls untuk kecil (minor) dan 50mls (untuk major) daripada salur darah. Kemudian, darah tersebut dicampur dengan campuran ozon-oksigen dan disalurkan balik ke badan pesakit melalui saluran darah. Kaedah ini sering digunakan untuk merawat penyakit radang sendi, kanser, jantung dan penyakit HIV[1].


5. Air yang DiOzonkan (Ozonated water)
Gas Ozon dilarutkan ke dalam air dan digunakan hanya pada kawasan luaran untuk penyakit seperti terbakar (burn), proses penyembuhan kulit dan di dalam perubatan gigi (disinfectant for dental surgery)[3][4].

6. Suntikan Pada Sendi (Intra-articular injection)
Gas Ozon dilarutkan di dalam air dan campuran tersebut disuntik ke sendi yang bermasalah untuk rawatan radang sendi, rheumatoid dan masalah sendi lain [6].

7. Beg yang berisi gas Ozon (Ozone bagging)
Ini adalah kaedah yang tidak menyakitkan di mana campuran ozon dan oksigen ditiup ke dalam beg dan diletakkan di sekitar anggota badan yang ingin dirawat. Kemudian campuran itu akan diserap melalui kulit. Kaedah ini sesuai merawat ulcer pada kaki, gangrene, jangkitan kulat, melecur/burn dan luka yang lambat sembuh.[8]

8. Minyak Yang DiOzonkan (Ozonated oil)
Hasil campuran minyak zaitun dan gas ozone dijadikan bam untuk sapuan pada kulit sahaja[1].

Terdapat banyak lagi kaedah untuk rawatan menggunakan terapi ozon ini. Namun timbul persoalan, adakah terapi ozon ini terbukti berkesan dan selamat dipraktiskan?

=====
Adakah Terapi Ozon Berkesan dan Selamat Digunakan?
=====

Terdapat beberapa kajian yang mempunyai ‘Low Level Evidence’ yang boleh mengaitkan keberkesanan terapi ini untuk masalah kesihatan yang tertentu. Sebahagian kajian pula hanya melibat penyakit-penyakit tertentu sahaja dan tidak mempunyai bukti yang kukuh untuk merawat penyakit lain.[1]

Deklarasi Madrid Tentang Terapi Ozon yang dianggotai oleh para pakar yang berkaitan dengan rawatan ini daripada seluruh dunia telah menyatakan bahawa terapi ozon lebih kepada rawatan sampingan kepada rawatan moden. Mereka sendiri mengakui bahawa kombinasi rawatan asas/moden bersama terapi ozone secara teorinya boleh berjaya tetapi kekurangan data klinikal untuk menyokong keberkesanannya[9].

Dari sudut keselamatan pula, walaupun terapi ini adalah kurang menyakitkan dan mempunyai komplikasi yang rendah, namun terdapat banyak perkara perlu dipertimbangkan sebelum boleh mengatakan bahawa rawatan ini adalah SELAMAT.

Terdapat kajian yang membuktikan bahawa komplikasi berpunca daripada kaedah rawatan terapi ozon boleh membahayakan nyawa manusia [7] dan menyebabkan berlakunya kecederaan pada saraf periferi (peripheral nerve root injury)[6]. Peralatan yang digunakan pula perlu mendapat kelulusan pihak berwajib dan sentiasa diselia dengan baik.

Aplikasi kaedah rawatan ozon tidak membenarkan suntikan terus ozon ke dalam saluran darah kerana berisiko tinggi menyebabkan gumpalan udara di dalam darah (air embolism) yang boleh menyebabkan stroke dan mati [9].

Semasa menerima rawatan ozon juga, pesakit dinasihatkan tidak mengambi supplemen yang mengandungi vitamin C dan E kerana akan menggangu interaksi ozon di dalam darah seterusnya mengurangkan keberkesanannya[9].

Baca: –> Artis Terkenal Menyesal Mempromosikan Terapi Ozon

=====
Kesimpulan
=====

Terapi Ozon adalah salah satu daripada ‘Medical Act’ dan hanya anggota perubatan bertauliah sahaja dibenarkan untuk menjalankan prosedur ini.

Kombinasi rawatan moden dan terapi ozon secara relatifnya memberi kesan kepada penyakit-penyakit tertentu sahaja bergantung kepada kaedah rawatan. Namun, lebih banyak kajian klinikal diperlukan untuk mengesahkan keberkesanannya.

Pusat Rawatan Terapi Ozon pula perlulah mematuhi syarat-syarat dan panduan yang digariskan oleh pihak berwajib serta arahan di dalam Deklarasi Madrid iaitu [9]:

1. Dikendalikan oleh doktor perubatan yang mempunyai ilmu dan latihan di dalam terapi ozon.
2. Menggunakan peralatan yang sesuai seperti yang digariskan oleh pihak berwajib tempatan.
3. Menggunakan Oksigen yang disediakan oleh pihak yang berautoriti.
4. Mengaplikasi secara ketat protokal dan garis panduan untuk setiap kaedah rawatan ozon.
5. Untuk menyediakan borang persetujuan rawatan (Informed Consent) yang wajib ditandatangani oleh pihak doktor dan pesakit. Pesakit perlulah dijelaskan setiap informasi berkenaan rawatan ini oleh pihak klinik.
6. Menyediakan sistem ventilasi yang mengikut protokol di pusat rawatan.
7. Troli kecemasan yang lengkap dan terkini perlu disediakan dan sentiasa dikemaskini.
8. Bagi kaedah rawatan suntikan Ozon melalui tulang belakang, ianya perlu dilakukan di hospital sahaja.
.

Terapi ozon bergantung kepada pelbagai faktor yang boleh dikawal untuk keberkesanan rawatannya seperti penyediaan saintifik dan teknik ozonoterapist, kaedah yang digunakan, kualiti ozon dan aplikasi konsep ‘Good Clinical Practise’.

Faktor-faktor yang diluar kawalan pula mempengaruhi keberkesanan rawatan ini adalah seperti status kesihatan dan keupayaan tubuh badan pesakit semasa menerima rawatan.

Testimoni tidak boleh diambil pakai sama sekali di dalam hal ini kerana ianya adalah faktor yang di luar kawalan.

Pada masa ini (berdasarkan diskusi dan bacaan saya), KKM masih tidak meluluskan sebarang permohonan klinik untuk menyediakan terapi ozon kepada pesakit mereka.

Walaupun terapi ini dikhabarkan tidak merbahaya dan komplikasi akibat rawatan ini amat rendah, ada pelbagai perkara yang perlu dipertimbangkan sebelum pengguna boleh mencuba rawatan alternatif ini.

Kes-kes komplikasi seperti kecederaan urat saraf (peripheral nerve root injury) telah dilaporkan setelah pengguna menerima rawatan tersebut. Dalam kebanyakkan kes pula, alat dan pengendali rawatan ini dilaksanakan oleh pihak yang tidak bertauliah dan tiada kemahiran langsung tentang perubatan terutama jika berlaku kecemasan.

Oleh itu adalah disarankan agar para pengguna mengelakkan diri daripada mencuba perkhidmatan ini sehingga pihak kesihatan melulus atau mengeluarkan garis panduan perkhidmatannya seperti mana garis panduan bekam dan garis panduan rawatan alternatif yang lain.

Sila kongsikan artikel ini untuk manfaat pihak lain.

Hidup Penuh Manfaat.
DAR

=====
Rujukan
=====
1. Kamaruzaman H F, Thye S L, Ozone Therapy-An Update. Health Technology Assessment, MOH. 2011.
2. Bocci V A. Scientific and Medical Aspects of Ozone Therapy : State of the Art. Archives of Medical Research. 2006;37:425-435.
3. Rosales F A H, Fernández J L C, Figueras J T, et al. Ozone Therapy Effects on Biomarkers and Lung Function in Asthma. Archives of Medical Research. 2005;36: 549-554.
4. Azarpazhooh A, Limeback H. The application of ozone in dentistry: A systematic review of literature. Journal of Dentistry. 2008;36:104-116.
5. Paoloni M, Di Sante L, Cacchio A, et al. Intramuscular Oxygen-Ozone Therapy in the Treatment of Acute Back Pain with Lumbar Disc Herniation. SPINE. 2009;34(13):1337-1344.
6. Ginanneschi F, Cervelli C, Milani P, et al. Ventral and dorsal root injury after oxygenozone therapy for lumbar disk herniation. Surgical Neurology. 2006;66:619-621.
7. Gazzeri R, Galarza M, Neroni M, et al. Fulminating Septicemia Secondary to OxygenOzone Therapy for Lumbar Disc Herniation. SPINE . 2007;32(3):121-123.
8. Martínez-Sánchez G, Al-Dalain S M, Menéndez S, et al. Therapeutic efficacy of ozone in patients with diabetic foot. European Journal of Pharmacology. 2005;523:151-161.
9. Madrid Declaration On Ozone Therapy, International Meeting of Ozone Therapy Schools, Madrid, July 22, 2014.

Apa Komen Anda?