GribblesDapatkan keputusan saringan Kanser, Kencing Manis, Kolesterol dan banyak lagi sepantas 1-3 Hari sahaja. Hanya di Gribbles

Beruntungnya kamu… part 1

Hidup ini senang dan indah apabila Allah �memercikkan kemurahan-Nya kepada kita. Nikmat kehidupan ada dalam pelbagai bentuk. Sabda Rasulullah SAW:

” Dan ingatlah kamu tentang lima perkara sebelum datang lima perkara: masa Muda sebelum tua, masa sihat sebelum sakit, masa kaya sebelum miskin, masa lapang sebelum sibuk, �dan masa hidup sebelum mati” [Riwayat Al Imam Al Hakim]

[5+before+5.jpg]

Itulah nikmat hidup yang setiap manusia cari di dunia ini. Namun nikmat terbesar kurnian Allah kepada kita adalah nikmat Iman, Islam dan Ihsan. Kehidupan tanpa iman dan ihsan akan menjadikan seorang muslim hina di sisi Allah walaupun dia disanjung tinggi oleh manusia.

Melangkah-Melihat-Menginsafi

Salah satu nikmat yang saya syukuri sehingga ke hari ini adalah nikmat menuntut ilmu perubatan di Ireland. Alhamdulillah, bidang perubatan telah banyak mengajar saya menghargai dan mensyukuri hampir kesemua nikmat yang telah disabdakan oleh baginda SAW seperti di atas.

Nikmat muda sebelum tua dan sihat sebelum sakit:

Seorang pesakit berumur 23 tahun telah hadir ke wad kecemasan Hospital Mullingar, Ireland kerana menghidap penyakit stroke / angin ahmar. Stroke jarang menyerang pesakit di usia 35 tahun ke bawah kecuali atas beberapa sebab yang tertentu.

Pada umur 23 tahun, dia telah lumpuh separuh badan kanan buat sementara waktu. Proses penyembuhan pula memakan masa yang berbulan lama dan memerlukan kesabaran serta mentaliti yang kuat.

Hasil daripada ujian, kami mendapati pesakit mengambil dadah berbahaya serta pengambilan alkohol yang berlebihan.

Saya ‘bersimpati’ kepada pesakit kerana dia telah mensia-siakan masa mudanya dengan perkara yang tidak berfaedah yang akhirnya mendatangkan musibah kepada diri sendiri.

[tok.JPG]

Bayangkan jika Allah tarik kedua-dua nikmat itu daripada kita sekarang ini. Apakah kita sudah mampu menanganinya ? Sudahkah kita bersedia dengan semua ini ?

Sabda Rasulullah SAW:

” Dua nikmat yang manusia terpedaya dengannya adalah waktu sihat dan masa lapang” [Riwayat Imam Bukhari]

Nikmat kaya sebelum miskin

Pelajar perubatan di UK dan Ireland yang ditaja oleh kerajaan boleh dikatakan antara golongan yang beruntung. Bayangkan pada umur 20 – 25 tahun, kita telah menerima elaun bulanan sebanyak 935 euro bersamaan hampir RM 5K. Itu tidak termasuk elaun perkakas, peralatan dan yang lain-lain. Gaji itu menyamai gaji basic seorang pengurus syarikat atau mereka yang telah bekerja dengan kerajaan 10 tahun ke atas apabila mula bekerja dengan gred UG41.

Saya sering berpesan kepada diri dan sahabat-sahabat agar sentiasa bijak dalam berbelanja. Ini kerana elaun yang kita terima adalah duit RAKYAT. Elaun itu amanah rakyat agar kita berbelanja untuk mempermudahkan urusan kita di sini.

Poor and Rich

Kita tidak tahu takdir kita selepas ini bagaimana. Apakah kita akan terus bertahan di medan perjuangan ilmu ini atau tidak. Saya pernah menasihati seorang sahabat agar tidak terlalu boros berbelanja.

Katanya ” Di sini barang lebih murah daripada di Malaysia. Sementara duit tengah banyak, baik ‘melabur’ di sini” Lebih kurang begitulah ayatnya.

Kurang setahun selepas itu, Allah takdirkan dia gagal dalam pelajaran dan dia quit daripada medical school kami. Menurut perjanjian dengan pihak penaja, pelajar dikehendaki membayar keseluruhan jumlah wang yang telah digunakan semasa belajar jika gagal dalam pelajaran. �Tidak saya ketahui nasibnya bagaimana sekarang. Semoga Allah meluaskan rezeki buatmu sahabatku.

Bayangkan pada usia yang muda, anda mempunyai hutang setengah juta ringgit atau satu juta ringgit? Itu belum anda berkahwin, mempunyai anak-anak, bisness dan sebagainya lagi.

Sabda Rasulullah SAW bermaksud:

�Tidak berganjak langkah kaki seseorang hamba pada hari pembalasan kelak sehingga mereka ditanya empat soalan iaitu umurnya ke mana diperuntukkan, usia muda ke mana dihabiskan, hartanya daripada diperoleh dan ke mana dibelanjakan dan ilmunya apakah diamalkannya.� (Hadis riwayat at-Tirmizi)

Bersambung….

Hamba-Nya,

Dublin 8, Ireland

Apa Komen Anda?

One Comment