GribblesDapatkan keputusan saringan Kanser, Kencing Manis, Kolesterol dan banyak lagi sepantas 1-3 Hari sahaja. Hanya di Gribbles

Beruntungnya kamu… part 2

Kebelakangan ini saya menerima begitu banyak berita kematian. Kadang kala diri ini terasa begitu dekat dengan tarikh kematian sedangkan amalan, amanah dan ibadah masih belum saya laksanakan dengan baik.

Nikmat hidup sebelum mati

Pohon Kemboja by aris_abdullah.
Pohon kemboja: Penghias taman Barzakh

Minggu lepas, saya menerima dua khabar menginsafkan. Satu dari Germany dan satu dari Malaysia.�Kedua-duanya kembali ke rahmatullah pada usia yang muda.

1. Pada hari Rabu minggu lepas, Allahyarhamah Hazirah Abdul Rahman, pelajar Mara di Germany yang di serang penyakit Melioiosis telah menghembuskan nafasnya yang terakhir di sebuah hospital di Germany.

**Melioiosis (also called Whitmore disease or Nightcliff gardener’s disease) is an infectious disease caused by a Gram-negative bacterium, Burkholderia pseudomallei, found in soil and water ~ sumber wikipedia.

Pada awalnya saya menerima khabar daripada seorang pelajar Czech yang memohon bantuan untuk melancarkan tabung sumbangan melalui PPIMI untuk membantu meringankan kos perubatan Hazirah di Germany.

Tidak sampai seminggu, saya menerima email �tentang kematian Hazirah dan telah disahkan oleh sahabat-sahabat di sana.

Saya duduk termenung seketika apabila menerima berita itu. Tiba-tiba terasa kesal. Tiba-tiba saya terasa bersalah. Bersalah kerana tidak sempat menyegerakan tabung itu untuk kegunaan allahyarhamah di sana.

Maafkan saya kerana tidak sempat untuk menyumbangkan apa-apa buatmu. Hanya doa yang mampu kami kirimkan kini.

2. Pagi Jumaat yang lalu, saya menerima pula berita yang menghibakan apabila seorang kenalan dari Nottingham, UK terlibat dalam kemalangan ngeri melalui akhbar nasional dan sahabat-sahabat di UK.

Allahyarham Mohd Ariff bin Abdul Kadir�bersama ayahanda dan bondanya serta rakannya telah kembali ke alam barzakh kerana terlibat dalam kemalangan jalanraya 4 jam selepas akad nikahnya.

ariff1
Majlis akad nikah allahyarham Arif

Saya tidaklah mengenali arwah dengan rapat tetapi entah mengapa kematian beliau terasa seolah-olah kehilangan satu lagi permata dakwah yang bernilai untuk Islam. Bertambah sayu apabila mengenangkan pemergian arwah sewaktu melaksanakan salah satu sunnah Rasulullah SAW.

Sesungguhnya kematianmu menjadi peringatan buatku. Semoga roh kamu ditempat bersama orang-orang yang soleh.

Firman Allah SWT:

“Setiap jiwa (pasti) merasai mati. Dan hanya sa-nya kamu semua disempurnakan balasan kamu pada hari kiamat. Barangsiapa dijauhkan dari api neraka dan dimasukkan ke dalam syurga maka dia telah berjaya. Dan kehidupan dunia ini tidak lain melainkan kesenangan (sementara) bagi orang yang terpedaya” [Ali ‘Imran 185]

Hati kecil ini terdetik:

Ya ! Aku masih BERUNTUNG kerana masih diberi nyawa untuk terus hidup. Tetapi:

  • Cukupkah amalanku jika nyawaku ditarik sebentar lagi?
  • Sudah bersediakah aku dengan soalan-soalan yang akan ditanya di alam kubur nanti?
  • Sudah terampunkah dosa-dosaku yang bertimbun ini?

Dan sejuta persoalan bermain di benak fikiran yang segera mengajak saya kembali mengenal fitrah dan asbab kelahiran saya ke dunia ini.

Oleh itu, penting untuk kita memanfaat setiap masa lapang yang ada dengan sebaiknya selagi hayat di kandung badan. Kita tidak tahu bilakah malaikat maut akan datang menjemput kita.

Itulah hikmah dirahsiakan tarikh kematian dan hari kiamat agar manusia bersungguh-sungguh dalam mencari redha Allah dan beribadah kepada-Nya.

Memanfaatkan masa lapang sebelum ajal menjemput

Allah S.W.T berfirman:

Demi masa, sesungguhnya manusia itu dalam kerugian, kecuali mereka yang beriman dan beramal soleh. Mereka berpusu-pusu dengan kebenaran dan berpusu-pusu dengan kesabaran.” [Al-Asr: 1-3]

Sewaktu kita masih muda ini, kita dianugerahkan oleh Allah masa lapang yang menimbun. Selagi individu itu belum berkerjaya, berumah tangga dan bergerak sebagai aktivis maka masa lapang sentiasa banyak untuknya.

Namun, kebanyakkan manusia terutama golongan muda masa kini apabila kedapatan masa lapang, akal fikiran mereka terus terarah kepada kegiatan-kegiatan atau aktiviti-aktiviti yang mendatangkan keseronokan semata-mata. Cinema, pusat hiburan, karaoke dan shopping complex adalah destinasi pilihan berbanding masjid, majlis ilmu atau program-program yang bermanfaat.

Majlis Ilmu yang dipayungi oleh para malaikat

Padahal, �kita perlu mengisi masa berharga itu dengan amalan yang boleh menghalakan hati untuk memberi sepenuh perhatian dan tumpuan terhadap Allah S.W.T. Ibadah yang boleh menjadi saham untuk dituai diakhirat kelak.

Ada yang memberi alasan sibuk bekerja, berpersatuan, belajar dan bermacam-macam lagi sehingga kurang masa untuk beribadah, kurang masa untuk bertemu Allah sedangkan terlebih masa untuk buaya-friend atau geli-friend, terlebih masa bersuka-ria, berjoget dan pelbagai alasan lagi.

Telah berkata Abdullah bin Mas’ud:

Belum pernah daku menyesal melainkan penyesalan daku di setiap hari apabila matahari terbenam. Semakin singkat umurku ini sedangkan amalanku ini takut-takut tidak bertambah

Huzura Doğru.. by Hayal Tamircisi.

Masa lapang adalah peluang atau nikmat yang diberikan oleh Allah SWT kepada kita untuk kita mempersiapkan diri menghadapi MATI.�Justeru tabiat suka membuang masa ketika lapang perlulah dielakkan. Apatah lagi waktu lapang adalah nikmat yang manusia jarang syukuri dan sering mensia-siakannya.

Sabda Rasulullah SAW:

� Dua nikmat yang manusia terpedaya dengannya adalah waktu sihat dan masa lapang� [Riwayat Imam Bukhari]

Justeru itu, kita sebagai anak muda terutama mahasiswa�perlu menghargai masa sebagai simbol kejayaan sebagaimana manusia yang goblok mendewakan emas sebagai simbol kekayaan. Kerana hanya mereka yang menghargai masa memahami nilai sebuah kehidupan.

Masa itu perlulah dibahagi-bahagikan sebaik-baiknya dalam kehidupan kita.

Dalam hal ini, Rasulullah s.a.w pernah menceritakan mengikut apa yang tersebut di dalam kitab Nabi Ibrahim a.s yang bermaksud:

Sewajarnya setiap yang berakal, selagi akal fikirannya tidak hilang, membahagikan masanya kepada empat waktu iaitu:

  • Waktu untuk dia bermunajat (berzikir dan berdoa) kepada Allah.
  • Waktu untuk dia bermuhasabah terhadap dirinya.
  • Waktu untuk dia berfikir mengenai ciptaan Allah.
  • Waktu untuk dia menumpukan kepada keperluannya seperti mencari makanan dan minuman.

Memandangkan kini umat Islam menyambut kalendar baru hijrah maka marilah kita berhijrah dan berazam untuk sentiasa memanfaatkan masa yang ada dengan sebaiknya dan mempersiapkan diri kita menjadi teknokrat agama Allah yang terbaik.

Juga kita tambahkan pelaburan kita di akhirat sebanyak mungkin. Janganlah kita menjadi kedekut di dalam hal ibadah dan dakwah. Kerana inilah laba akhirat yang diimpikan oleh orang-orang mukmin.

Ingatlah,

Ketika peperiksaan di dunia, kita tidak akan disediakan jawapan sebelum ditanya tetapi ketika �peperiksaan di akhirat, Allah telah beri semua jawapan kepada kita sebelum kita menghembuskan nafas yang terakhir. Tinggal mampu atau tidak kita menjawapnya nanti.

Dan kemampuan itu datang daripada persiapan yang baik sebelum menghadapi peperiksaan itu.

– Selamat Menyambut Maal Hijrah 1431 –

Al -Fakir Ila Allah,

Dublin 8, Ireland

Apa Komen Anda?

5 Comments