GribblesDapatkan keputusan saringan Kanser, Kencing Manis, Kolesterol dan banyak lagi sepantas 1-3 Hari sahaja. Hanya di Gribbles

Bila lagi hendak beramal, kelapa muda lagikan gugur…

Membeli ragi di Pekan Jermal,

Singgah sebentar ke Tasik Gelugur;

Bila lagi hendak beramal,

Kelapa muda lagikan gugur…

Itulah pantun empat kerat yang menusuk kalbu oleh En Amran, pegawai Pusat Pungutan Zakat yang disampaikan untuk para peserta PUISI sewaktu lawatannya ke Ireland.

Sempat saya menoleh kebelakangan melihat reaksi para peserta. Ada yang terkebil-kebil macam terkesima, ada yang tunduk seolah-olah insaf atau tertidur gayanya, ada yang tersenyum lebar mungkin terpesona dengan keindahan sastera di dalam pantun itu dan pelbagai reaksi lagi.

En Amran dan Ustaz Burhan (Credit to Afham)

Apabila pulang, pantun ini telah diolah dalam pelbagai versi oleh para peserta mahupun ajk PUISI tetapi mesejnya tetap sama memperlihatkan tanda hidayah itu telah sampai ke hati para pendengarnya. Masing-masing pulang dengan iltizam yang jitu untuk berubah dan memberi manfaat kepada setiap makhluk Allah. Alhamdulillah.

Saya sendiri tersentap akan intipati pantun ini. Kalimah ini benar-benar menginsafkan diri :

Bila lagi hendak beramal,

kelapa muda lagikan gugur

Bait ini benar-benar menyedarkan saya daripada lamunan fantasi duniawi yang penuh kesibukan dan kebejatan yang nyata.

Bait-bait itu mengimbas kembali artikel saya yang lalu Beruntungnya kamu..Part 2.

Kemahuan itu bakal mengubah segala-galanya

“Saya belum bersedia lagi”

“Saya dah lama belajar di sekolah agama, jadi biarlah saya merasai nikmat dunia sebentar di luar negara ni”

“Saya nak beramal tetapi saya seganlah. Nanti orang kata saya ni peliklah dan banyak lagi kata-kata negatif”

“Saya ni ilmu dan akhlak ni kurang sikitla bang. Jika saya terus berubah ni, takut orang pandang serong pada saya. Jadi fitnah kepada agama pula nanti”

Mungkin itu sebahagian bait atau ungkapan harian yang kita dengari daripada orang-orang di sekeliling kita.

Untuk kita mula beramal maka ia memerlukan satu perubahan kecil pada diri iaitu kemahuan.

Kemahuan untuk mencari guru atau bahan-bahan mentarbiyyah (mendidik) diri. Kemahuan untuk berubah. Berubah kepada kebaikan. Seperti kata Ustaz Hasrizal sewaktu program MHI. Klik di sini.

“Dalam kehidupan kita ini, ada sesuatu yang lebih susah daripada susah iaitu BERUBAH”

Jika kita berhajatkan sesuatu itu kita perlukan perasaan MAHU. Seseorang itu tidak akan menjamah Briyani Gam hatta itulah makanan kegemarannya jika tidak wujud perasaan Mahu itu.

Dan kemahuan yang baik menuntut pengorbanan daripada setiap individu. Kemanisan hanya akan dirasai selepas kepahitan yang kita telan. Kemanisan iman melalui amalan yang diredhai Allah adalah melalui daripada kepahitan kita dalam berusaha mengenal Allah dan mendalami ilmu-ilmu-Nya.

Tiada jalan pintas untuk ini. Seperti menikmati peria yang pahit tetapi hasilnya diberikan kesihatan fizikal berbanding menikmati makanan berlemak yang lazat tetapi menuntut nyawa kita suatu hari nanti.

Kepahitan itu pasti ada nikmat di akhirnya

Pengorbanan kita menuntut ilmu, menginfaqkan harta ke jalan Allah, meninggalkan kesenangan dan kemewahan dunia adalah kepahitan dan mahar yang perlu dibayar untuk memperoleh ganjaran yang lebih besar di sisi Allah.

Kesungguhan kita dalam setiap perkara pasti ada ganjaran baik di akhirnya. Itulah sunnatullah kehidupan. Carilah mana-mana individu yang berjaya, kelak kita akan menjumpai di dalam diari kehidupannya tiada erti kejayaan melalui pengorbanan dan kemahuan.

Sabda Rasulullah SAW:

‘Bahawa setiap amalan itu ada puncak kesungguhan-nya, setiap puncak kesungguhan itu ada surutnya. Maka sesiapa yang surutnya adalah pada sunnahku, maka di telah mendapat petunjuk, dan sesiapa yang surut kepada yang lain, bererti telah binasalah dia’

Dan pengorbanan itu akan memberi kita kefahaman.

Kerana melalui kefahaman itu maka kita akan lebih mudah mengerti dan menghayati kepentingan amal-amal yang dituntut dalam Islam.

Dengan kefahaman itu maka kita akan istiqamah atau Kaizen (continous improvement) dalam melaksanakan sunnah dan amalan yang dituntut di dalam agama kita tanpa perlu dipaksa atau ditolak.

Kefahaman itu akan menjadikan kita mukhlis (orang yang ikhlas) dalam beramal dan beribadah kepada Allah.

Akhirnya kefahaman itu akan memobilisasikan kita kepada merasai Kenikmatan dalam beramal.

Pada ketika itu, tiada ungkapan mampu menggambarkan nikmat melaksanakan amal itu. Hanya mereka yang benar-benar istiqamah dalam beramal dapat merasai nikmat itu. Hanya mereka yang benar-benar mencari dengan hati yang kudus akan menemui keindahan amalan itu.

Lihatlah para sahabat, pemimpin Islam yang berjaya dan lihatlah para ulamak kita.

Mulut mereka terkumat-kamit dan senantiasa basah dengan bacaan al-Quran dan zikir yang tidak putus-putus. Jiwa mereka sentiasa terang dengan semangat mujahadah dan muhasabah sehingga menerbitkan kesedaran jiwa dan pencerahan hati.

Kalangan mereka, ada yang mengerjakan solat Isya’ dua jam lamanya. Kalangan mereka tenggelam dan lemas dalam tangisan sehingga orang menyangka mereka hilang akal pemikiran. Kalangan mereka menjadikan al-Quran sebagai sahabat mereka sehingga mereka boleh resah jika berjauhan dengan al-Quran.

Mereka berjuang untuk Islam dan dalam masa yang sama mereka menjaga hati dan ibadat mereka, seolah-olah merekalah singa di siang hari dan abid yang soleh di malamnya.

Mengapa sehingga begitu tahap kegilaan mereka?

Kerana mereka telah merasai nikmatnya beramal.

Bila saya boleh sampai kepada tahap itu

Nikmat itu discrete dan berbeza pada setiap orang. Nikmat adalah ganjaran Allah kepada hamba-Nya. Jika kita benar-benar mahu kepada-Nya hatta dengan amal yang kecil pun seperti memindahkan paku di atas jalanraya kita akan merasai nikmatnya.

Hanya kita yang tahu rasa nikmat itu. Tidak usah bertanya kepada orang lain bagaimana rasanya nikmat beramal. Nak rasa kena buat dahulu baru kita sendiri akan tahu.

Cukuplah bermula pada amal-amal yang kecil dahulu seperti menderma, senyum kepada setiap insan, solat di awal waktu dan lain-lain. Buatlah amalan mengikut keupayaan diri.

Sabda Rasulullah SAW:

“Sebaik-baik amal ialah amalan yang kekal walaupun sedikit”

Ingat, yang penting kita MAHU.

Video untuk renungan kita bersama

[youtube=http://www.youtube.com/watch?v=GW7wcND-tEg]

Ibnu Abd Rahim

Dublin 8

Apa Komen Anda?

5 Comments