GribblesDapatkan keputusan saringan Kanser, Kencing Manis, Kolesterol dan banyak lagi sepantas 1-3 Hari sahaja. Hanya di Gribbles

Bingkisan Jiwa Merdeka….

Bingkisan Merdeka Anak Muda
Oleh Afiq Izzudin A. Rahim, Presiden PPIMI 09-10

Assalamualaikum wbt,

Alhamdulillah, setinggi-tinggi kesyukuran dirafakkan kepada ilahi yang telah memberi kita peluang menikmati kemerdekaan untuk kali yang ke-52. Hari kebangsaan pada kali ini yang disulami dengan keberkatan Ramadan, wajib menerbitkan keinsafan kepada kita semua tentang erti sebenar sebuah perjuangan. Lebih setengah abad yang lalu, pejuang-pejuang kemerdekaan bermandikan darah dan bergadai nyawa demi erti sebuah kebebasan. Tempoh 52 tahun merdeka seharusnya menghambat kita sebagai mahasiswa untuk berfikir sejenak, apakah kita sebenarnya telah merdeka atau bebas ? Apa yang telah kita isi dalam rongga-rongga kemerdekaan negara sebagai seorang mahasiswa dan yang paling utama sebagai warganegara yang berdaulat ini ?

” Sesungguhnya pada kisah-kisah mereka itu ada pengajaran bagi orang-orang yang mempunyai akal” [Surah Yusof:111]
“Maka ceritakanlah (kepada mereka) kisah-kisah itu agar mereka berfikir” [Surah al-A’raaf: 176]

Pelbagai kisah perjuangan yang boleh kita teladani. Daripada kisah para anbia’ hinggalah sejarah negara kita sendiri semuannya membawa mesej yang sama menggapai erti kemerdekaan hakiki. Kemerdekaan hakiki merujuk kepada pembebasan secara menyeluruh daripada segala bentuk penjajahan, kurungan, naungan dan lain-lain. Ini bermaksud kita harus memerdekakan diri daripada ancaman globalisasi.  Merdekakan diri daripada serangan pemikiran yang merosakkan akidah kita. Paling penting, merdeka daripada perhambaan dunia dan manusia kepada perhambaan yang Haq. Firman Allah SWT:

“Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu” [Surah Az-Dzaariyaat:56]

Namun hakikatnya, kita sebenarnya belum benar-benar merdeka. Bukalah kesemua pancaindera kita melihat keadaan di sekeliling kita :

Anak-anak muda kecelaruan jati diri,
Hukum hakam Islam dipandang sepi,
Adat resam bangsa ditolak tepi,
Masyarakat berkejar mencari duniawi,
Dan kita masih berdiam diri….

Kita sebagai anak muda berperanan penting untuk mengisi kemenangan negara kita yang berusia dua tahun setengah abad ini. Sebatang pokok akan kekal utuh jika akarnya teguh. Itulah perumpamaan kepada kita. Kita adalah nadi masa depan negara. Kemerdekaan hakiki tidak membawa sebarang erti jika kita hanya membatukan diri. Pengertian jiwa merdeka yang hakiki perlu benar-benar meresapi diri kita jika kita ingin mengubah masa depan agama, bangsa dan negara kita ke arah yang lebih baik. Amatlah rugi jika jiwa dan ruh kita telah disaluti dengan daki-daki penjajahan dan perhambaan selain kepada Allah SWT. Namun begitu, masih belum terlambat untuk kita menggeledah jiwa merdeka yang suci.

Formula yang saya rasakan terbaik untuk jiwa merdeka yang hakiki adalah “Begin with the end in mind“. Melalui formula ini, kita akan kenal jati diri kita. Siapa pemilik nyawa ini?  Daripada mana asal kita ? Dan ke mana kita akan pergi ? Imam Al-Ghazali ada menyebut dalam karyanya Kimia Kebahagiaan, seorang yang berjiwa merdeka adalah mereka yang mengetahui dirinya, Tuhannya, dunianya dan tahu tentang hari akhirat. Tambahan lagi, formula ini merencanakan sifat berlumba-lumba ke arah kebaikan dan penambahbaikan kepada diri kita. Kita akan melakukan setiap perkara dengan bersungguh-sungguh ibarat inilah usaha terakhir kita. Rasulullah SAW pernah bersabda :

“Carilah duniamu seolah-olah engkau akan hidup selama-lamanya dan carilah akhiratmu seolah-olah engkau akan mati esok pagi” [Hadis Riwayat Ibnu Asahin]

Konklusinya, kemerdekaan tidak akan diperolehi tanpa pengorbanan, tanpa penat lelah dan tanpa ujian daripada Allah SWT.  Pengorbanan para nabi dan pengikutnya demi menyampaikan risalah agung ilahi kepada umat masing-masing wajar diteladani untuk masa depan kita. Pengorbanan para pejuang kebangsaan demi harga sebuah kemerdekaan yang kita kecapi kini wajar dihormati dan disanjungi terutamanya oleh generasi pasca kemerdekaan. Ayuh kita perkukuhkan jati diri kita, perkasakan amalan kita dan fahami maksud sebenar jiwa merdeka yang hakiki.

“Fikiran yang baik membawa kepada pekerjaan. Pekerjaan membawa kepada kejayaan. Kejayaan membawa kepada impian”

– Selamat Menyambut Hari Kebangsaan yang ke-52 –

05350, Alor Setar

Apa Komen Anda?