GribblesDapatkan keputusan saringan Kanser, Kencing Manis, Kolesterol dan banyak lagi sepantas 1-3 Hari sahaja. Hanya di Gribbles

Bulan Ceria dan Bahagia

Credit to Red Mosquito

Syaaban kini telah menjelma sebagai penanda aras bahawa sebulan sahaja untuk umat Islam bersiap sedia menyambut Bulan Barakah iaitu Ramadhan al Mubarak.

Ahli hikmah menyifatkan bulan Rejab adalah kesempatan meminta ampun dari segala dosa, bulan Syaaban adalah kesempatan untuk memperbaiki diri dan bulan Ramadhan adalah masa untuk menerangkan hati dan jiwa. Di samping itu juga, pada bulan Syaaban maka berkembanglah kebaikan pada manusia dengan banyak sekali seperti hadith Rasulullah SAW yang bermaksud:

“Tahukah kamu sekalian mengapa dinamakan dengan bulan Syaaban ?” Lalu para Sahabat menjawab: “Hanya Allah dan Rasul-Nya yang lebih mengetahui.” Kemudian rasulullah SAW berkata: “Kerana di dalam bulan itu berkembanglah kebaikan dengan banyak sekali” [dipetik daripada Kitab Raudatul Ulama]

Nabi S.A.W. memberikan simbolik bahawa bulan Syaaban sebagai bulan baginda. Ini diertikan sebagai bulan di mana baginda banyak melakukan amal ibadah. Simbolik ini juga bererti kita sebagai umat baginda sepatutnya melakukan banyak amal ibadah sebagaimana banyak yang telah dilakukan oleh baginda.

Antara amalan yang amat digalakkan dilakukan dalam bulan ini ialah puasa. Amalan ini bolehlah dianggap sebagai satu amalan yang agak sukar, kerana ia benar-benar menguji ketahanan mental, emosi dan fizikal seseorang. Bagaimanapun, inilah antara amalan yang banyak ganjarannya jika dilakukan dalam bulan ini.

Pelbagai kelebihan lain yang Allah kurniakan untuk para hamba-Nya di dalam bulan Syaaban ini. Allah yang bersifat Maha Pemurah akan tetap memberi semua kelebihan ini kepada hamba-hamba-Nya yang benar-benar ikhlas dan bersungguh-sungguh dalam beribadah. Semua ganjaran ini juga adalah sebagai perangsang kepada umat Muhammad SAW untuk melipatgandakan amalan dan usaha kita dalam mencari mardhatillah atau Redha Allag SWT.

Rasulullah SAW bersabda:

“Barangsiapa yang mengagungkan bulan Syaaban, bertaqwa kepada Allah, taat kepada-Nya serta menahan diri daripada perbuatan maksiat maka Allah taala mengampuni dosanya dan menyelamatkannya di dalam tahun itu dari segala macam bencana dan penyakit.” [dipetik daripada kitab Zubdatul Wa’izhin]

Bulan Bahagia

Namun, saya tidak dapat menafikan bahawa bulan Syaaban 1431 H pada tahun ini juga adalah bulan ceria, kasih sayang dan tercantumnya dua hati di dalam satu masjid yang penuh keberkatan dan limpah rahmat daripada Allah SWT.

Inilah juga bulan di mana lafaz akad nikah bagai bersahutan di antara masjid-masjid di seluruh negara. Saya sendiri menerima hampir 10 jemputan ke walimah sahabat-sahabat pada bulan ini sahaja. Jumlah undangan itu mungkin menyamai jemputan yang diterima oleh wakil rakyat Dewan Undangan Negeri.

Saya bersyukur dan gembira melihat sahabat-sahabat menyempurnakan agama mereka dan melaksanakan sunnah Rasulullah SAW. Bagaikan bom jangka. Tiba-tiba berduyun-duyun sahabat menjemput ke hari bersejarah mereka. Meriah sungguh tahun ini.

Saya menjangkakan Dublin akan bertambah padat pada tahun hadapan sekitar bulan April hingga Jun 2011 dengan kelahiran cahaya mata oleh pasangan yang berkahwin pada musim panas ini. Mudah-mudahan Allah mengurniakan rezeki awal kepada sahabat-sahabat saya nanti.

Buat sahabat-sahabat yang masih belum lagi (termasuk penulis),

Sekiranya dirimu sudah berasa MAMPU maka jangan berlengah dan jangan pula melambatkan sunnah nabi seperti sabda Rasulullah SAW :

“Wahai pemuda-pemuda, sesiapa yang mampu di antara kamu (mempunyai harta serta keinginan) hendak berkahwin, hendaklah ia KAHWIN, kerana sesungguhnya perkahwinan itu akan memejamkan matanya (terhadap orang yang tidak halal dilihatnya) dan terkawal kehormatannya dan sesiapa yang tidak mampu berkahwin hendaklah ia BERPUASA, bahawa puasa itu menjadi benteng”. [Hadis Riwayat Muslim]

Bagaimana mengetahui dirimu sudah MAMPU ? Di sini ada bahan rujukannya. Sila klik di sini

Teringat pesanan seorang sahabat yang mengakhiri zaman bujangnya tahun lepas:

Marriage is a celebration of LOVE and welcoming a new RESPONSIBILITY in your life

– Selamat Menyambut Bulan Bahagia wa Rahmah –

Ibn Abd Rahim

Klang, Selangor

Apa Komen Anda?

One Comment