GribblesDapatkan keputusan saringan Kanser, Kencing Manis, Kolesterol dan banyak lagi sepantas 1-3 Hari sahaja. Hanya di Gribbles

Di mana kan ku cari ganti ?

Tanggal 20 June 2010 sambutan hari BAPA sedunia.

Tanggal 8 June 1959 lahirlah seorang putera, bakal hero Kampung Bukit Pak Kiau di dalam daerah Pokok Sena, Kedah.

Ketika berumur 18 tahun, putera berkulit sawo matang itu berhijrah ke kota raya mencari rezeki dan menimba pengalaman dengan hanya berbekalkan sijil SRP dan sedikit wang simpanan.

Pengalaman demi pengalaman dikutip dalam meniti liku kehidupan kota yang sukar dan penuh helah. Daripada kerja sambilan kepada bidang pertukangan kepada mekanik kenderaan hinggalah beliau mengikat kontrak dengan Jabatan Kerja Raya, JKR sebagai pelukis pelan JKR.

1985, beliau menamatkan zaman bujangnya dengan seorang gadis dengan rupa paras ala-ala Cina lulusan Universiti Malaya.

10 June 1986, kelahiran seorang putera kacukan Melayu, Siam, Cina dan Kerichi di sebuah hospital kerajaan di Klang, Selangor. Putera yang menjadi harapan ayahanda dan bondanya.

Bonda dan putera yang bertuah itu

Putera nan satu dalam keluarga itu pula dibesarkan dengan displin dan penuh kasih sayang.

Putera itu tidak pernah dibelikan mainan ketika zaman kecilnya. Hanya mainan yang dihadiahkan oleh saudara maranya yang mengisi kotak mainan putera kecil itu.

Putera itu jarang dimanjakan tetapi kasih sayang diberikan sangat mencukupi.

Hasilnya,

Selepas tantrum dan segala ragam sewaktu kecil yang cuba diumpan agar kehendak putera itu dituruti ibubapanya gagal maka putera kecil itu berpendapat jika mahukan sesuatu, perlu berusaha untuk mendapatkannya bukan dengan meminta.

Dulu,

Putera itu masih ingat, sewaktu kecil jarinya pernah ‘dititik’ oleh ayahandanya dek hodohnya tulisan. Bonda mengambil minyak gamat dan menyapu pada jari putera itu manakala putera itu dalam tangisan teresak-esak menulis secantik mungkin agar digemari ayahanda.

Hasilnya,

Tulisan putera itu kadangkala itu dipuji seperti tulisan seorang perempuan. Sekurang-kurangnya kemas dan sejuk mata memandangan jika dibaca.

Dulu,

Putera dan adindanya selalu dimarahi jika pulang lewat selepas maghrib jika bermain petang. Kadangkala itu, putera itu dihambat pulang oleh ayahandanya dengan rotan daripada padang bola jika sudah lewat petang.

Malam pula, putera dan adindanya dikehendaki makan malam bersama. Tiada siapa berani membantah arahan ayahanda. Berkelahi adik beradik atau sebagainya, makan malam mesti bersama, kerja sekolah mesti disiapkan sebelum tidur dan ayahanda tidak membenarkan keluar rumah selepas Isyak.

Hasilnya,

Malam adalah masa untuk bersama keluarga. Sekiranya lambat pulang, putera itu akan segera menghabiskan urusannya dan berusaha untuk pulang sebelum jam 12 malam supaya sempat bertemu ahli keluarganya sebelum mereka tidur.

Dulu,

Saudara mara dan adik beradik ayahanda pernah beranggapan ayahanda terlalu tegas dalam membesarkan anak-anaknya. Putera itu masih ingat bagaimana merah padam muka ayahanda apabila melihat putera remajanya itu menaiki motosikal Suzukinya. Kerana takut ‘dibantai’ ayahanda, segera dicampak motosikal itu dan berlari ke bendang menyelamatkan diri.

Hasilnya,

Bukan ayahanda tidak benarkan kesemua itu tetapi kehidupan ini ada peraturan dan displinnya. Jika kita culas dalam mendisplinkan kehidupan kita maka punah-ranahlah masa depan kita nanti.

Alhamdulillah, putera itu dan adinda-adindanya kini meniti masa depan yang cerah.

…………………………

Terlalu panjang untuk ditulis bagaimana ayahanda ‘mentarbiyah’ kami sejak daripada kecil. Mungkin berhari bahkan bertahun untuk mengarang pengalaman itu.

Tetapi yang menghairankan putera itu, apakah resepi yang digunakan ayahanda dalam membesarkan anak-anaknya. Tidak pernah dilihat buku Tarbiyatul Aulad karya Dr Abdullah Nasih Ulwan dalam rak buku di rumah atau buku-buku Stephen Covey.

Mungkin pengalaman mudanya itulah kamus dan sumber rujukannya.

Buat ayahandaku, Haji Abdul Rahim Hamid,

Terima kasih kerana membesarkan putera ini bersama adindanya dengan penuh hikmah sehingga kami berada di tahap ini.

Tidak pernah terkurang walau sesaat pun kasih sayangmu walaupun ku tahu dalam ketegasanmu mendidik kami ada kelembutan dan harapan jauh di sudut disanubari ayahanda agar kami menjadi insan berguna pada masyarakat dan agama.

Sesungguhnya dirimu amat berharga di sisi kami.

Terima kasih ayah

Ibn Abd Rahim

Dublin 8

Apa Komen Anda?

8 Comments