FAKTA & MITOS DURIAN DI MALAYSIA

fakta dan mitos durian
Fakta dan Mitos Tentang Durian: Kredit gambar: Rojak Daily

Sekarang ini musim durian dan buah ini memang menjadi kegemaran ramai orang di negara kita. Durian adalah pokok buah yang tergolong di dalam keluarga Durio.

Perkataan durian adalah berasal daripada kulit buahnya yang berduri. Terdapat lebih kurang 30 spesis pokok durian.

Cuma durian daripada spesis Durio zibethinus yang boleh diperolehi di pasaran antarabangsa, manakala spesis-spesis lain hanya terdapat di tempat ianya tumbuh.

Memandangkan buah durian adalah buah yang sangat terkenal dan digemari oleh ramai orang terutama orang Asia, maka terdapat banyak pendapat yang disebarkan oleh orang ramai, ada yang benar dan ada yang tidak benar.

FAKTA YANG BENAR MENGENAI DURIAN

fakta dan mitos durian
Fakta tentang Durian. Sumber: KKM

1. DURIAN BOLEH MENINGKATKAN BERAT BADAN.

Buah durian mempunyai kalori yang tinggi.

Sebiji durian yang purata beratnya 1 kg mempunyai jumlah kalori hampir 1400 kalori, jadi mengambil sebiji buah durian sudah meliputi 70% daripada sejumlah 2000 kalori sehari yang disyorkan kepada seorang dewasa.

Seulas buah durian mempunyai berat lebih kurang 40 gram ataupun 59 kalori.

2. DURIAN KAYA DENGAN NUTRIN.

Durian kaya dengan potassium, serat, vitamin C dan vitamin B kompleks.

Ia juga mengandungi asid amino tryptophan yang juga dikenali sebagai “pil tidur semulajadi” yang mungkin dapat membantu tidur.

Durian juga mengandungi kandungan potasium yang lebih tinggi daripada buah pisang.

3. PESAKIT DIABETES MESTI MENGHADKAN PENGAMBILAN DURIAN.

Disebabkan durian mempunyai kandungan gula yang tinggi yakni gula ringkas seperti sukros, fruktos dan glukos (Indek Glisemik yang tinggi).

Oleh itu, buah ini memang tidak sesuai diambil oleh pesakit diabetes, kecuali jika diambil dalam kuantiti yang sedikit.

4. DURIAN BOLEH MEMBERI TENAGA SEGERA.

Disebabkan oleh kandungan karbohidrat yang tinggi dalam bentuk gula ringkas, ia boleh menjadi sumber tenaga segera.

Sekiranya anda berasa lapar, seulas durian sudah dapat membekalkan tenaga yang diperlukan segera!

MITOS MENGENAI DURIAN

fakta dan mitos durian
Mitos Durina. Sumber: KKM

Berikut adalah kepercayaan yang salah ataupun mitos mengenai durian.

1. DURIAN MENGANDUNGI KOLESTEROL YANG TINGGI.

Jika dilihat di dalam jadual fakta nutrin buah durian jelas menunjukkan bahawa sebenarnya TIDAK ADA kolesterol di dalamnya.

nutrisi durian
Kandungan Nutrisi dalam Durian. Sumber: FB Dr Rushdan

2. DURIAN ADALAH PANAS DAN PERLU DIAMBIL DENGAN BUAH MANGGIS YANG SEJUK.

Tidak ada istilah buah sejuk dan panas di dalam perubatan moden.

Ianya tidak disokong oleh kajian saintifik.

Tabiat mengambil buah durian bersama dengan manggis mungkin disebabkan oleh kedua-dua pokok durian dan manggis mempunyai musim buah yang sama.

Mungkin juga ini adalah taktik penjual buah-buahan untuk melariskan perniagaan mereka.

3. MEMAKAN DURIAN MENINGKATKAN NAFSU/TENAGA SEKS (LIBIDO).

Mungkin rasa bahang atau panas selepas memakan durian menyebabkan orang ramai mengaitkannya dengan gelojak nafsu yang turut sama meningkatkan suhu badan manusia.

4. MENGAMBIL DURIAN BERSAMA DENGAN BEER / COLA / MINUMAN BERKARBONAT BOLEH MEMBUNUH.

Tidak ada bukti kajian saintifik yang menyokong dakwaan.

Meminum alkohol atau berkarbonat sudah sememangnya memudaratkan, tetapi mengambil alkohol atau coke bersama dengan buah durian tidak menambah kemudaratan jika durian tidak diambil berlebihan.

Pengambilan durian dan alkohol/berkarbonat yang berlebihan boleh menyebabkan kembong perut dan rasa tidak selesa di bahagian perut sebab organ hati perlu bekerja lebih kuat untuk menjalankan metabolism ke atas lemak dan gula yang terkandung di dalam alkohol/karbonat dan durian.

Kesimpulan

Hanya 2 ulas durian sahaja
Hanya 2-3 ulas durian sahaja diperlukan kita

Kesimpulannya buah durian memang mempunyai nilai nutrisi yang tinggi, jika diambil secara sederhana boleh menjadi sumber tenaga, mineral dan vitamin yang baik.

Ia juga mengandungi lemak monotidaktepu yang lebih baik daripada lemak tepu.

Mengambil sebanyak 2-3 ulas sekali makan adalah memadai tetapi disebabkan oleh ketagihan dan obses, orang ramai seringkali memakan buah durian secara berlebihan.

Pengambilan durian yang berlebihan sudah tentu tidak baik untuk kesihatan kita

#tipskesihatan
#faktadurian
#mitosdurian
#duriandankesihatan

Sumber: FB Dato Dr Rushdan

Apa Komen Anda?