GribblesDapatkan keputusan saringan Kanser, Kencing Manis, Kolesterol dan banyak lagi sepantas 1-3 Hari sahaja. Hanya di Gribbles

“Geng Kuku Hitam – Bingkisan Hari Malaysia”

“Geng Kuku Hitam – Bingkisan Hari Malaysia” 
*****

“Afiq, ko nak ‘join’ gi Perak tak Sabtu ni? ‘Senior’ ajak” Tanya sahabat saya Yusof.

“Oh menarik tu, ada programa apa di sana?” Balas saya.

“Aku pun tak berapa ‘sure’. Tapi program untuk Orang Aslilah di sana” Balasnya kembali.

“Ok” saya terus memberi nama untuk menyertai program tersebut tanpa berfikir panjang.

Mendengar program untuk Orang Asli sudah menerbitkan rasa minat dan mengeluarkan hormon gembira di dalam badan.

Walaupun pada ketika itu, saya dan rakan-rakan lain baru sahaja mendaftar untuk kemasukan program Sarjana Kesihatan Awam di HUSM, Kubang Kerian, namun ianya tidak menghalang saya untuk menyertainya.

Kali terakhir saya menyertai misi kemanusiaan adalah semasa banjir 2014 di Kuala Krai. Sebelum itu pernah juga menyertai misi-misi lain dalam dan luar negara antara ke Gaza, Palestin dan Baling di Kedah.

Kami bertolak jam 7 pagi daripada Kota Bharu ke Hutan Royal Belum di Perak berbekal informasi cetek berkenaan program tersebut.

Memandangkan pensyarah kami iaitu Dr Ismail dan Dr Nazri juga turut sama menyertainya maka sedikit sebanyak kegusaran beransur kurang.

Sampai sahaja di Rumah Bot atau “Boat House” jam 10 pagi hari Jumaat, barulah kami faham dan sedar apakah misi sebenar kami.

Bahaya betul juga bila direfleksi kembali apabila pergi tanpa informasi lengkap. Dibuatnya misi-misi yang diharam atau dilarang kerajaan, kami semua boleh ditimpa bala.

Misi Sebenar Terbongkar
—–

Program Bersama Orang Asli ini adalah kolaborasi di antara Penang Medical College, Universiti Sains Malaysia, Universiti Putra Malaysia dan Universiti Kebangsaan Malaysia.

Misi tersebut adalah kesinambungan projek pencegahan penyakit bawaan haiwan atau zoonotik terutama daripada haiwan anjing di kalangan penduduk orang Asli di Kampung Sungai Tiang.

Asal usul kewujudan kajian ini adalah apabila Profesor Datuk Dr Rashid, Pensyarah Kesihatan Awam di PMC bersama Dr Fatimah, juga pensyarah di sana mendapati populasi anjing-anjing di kawasan kampung Orang Asli semakin bertambah sekali gus meningkatkan risiko penyakit bawaan haiwan seperti Rabies, Kencing Tikus dan lain-lain lagi.

Anjing-anjing tersebut pada mulanya dipelihara oleh Orang Asli untuk tujuan memburu di hutan namun perkembangan ekonomi terutama sektor perlancongan dan tabiat masyarakat yang berubah menyebabkan anjing tersebut dibiarkan tanpa tuan dan tidak diperlukan lagi.

Lantas, pihak universiti merasakan pentingnya diwujudkan satu langkah pencegahan melalui promosi kesihatan kepada penduduk Orang Asli terutama di kalangan kanak-kanak bagi mencegah penularan penyakit bawaan haiwan terutama daripada anjing di sana.

Langkah pencegahan yang disyorkan adalah kaedah membasuh tangan yang betul dan perkara yang perlu dielakkan apabila masyarakat orang Asli berhadapan dengan Anjing.

Menarik Tentang Royal Belum dan Kaum Jahai
—–

Royal Belum adalah hutan tertua di dunia berusia lebih 130 tahun dan lebih tua berbanding Hutan Hujan Amazon dan di Congo.

Asal usul nama Belum diperolehi apabila Sultan Perak melawat kawasan tersebut. Pada suatu hari, baginda dan rombongan berhenti di satu kawasan dan terdengar bunyi “Belum..Belum..Belum”.

Baginda terpana pada bunyi tersebut dan tercari-cari siapakah gerangan yang membuat bunyi menarik itu.

Kemudian anggota rombongan baginda mencari-cari asal usul bunyi tersebut dan mereka terkejut apabila menjumpainya.

Rupa-rupannya, bunyi tersebut dihasilkan oleh serangga seperti belalang yang sedang mematuk pokok lalu terhasillah bunyi “Belum…Blom..Beluuummmm”.

Lantas baginda Sultan menamakan tempat ini sebagai Belum bersempenan penemuan bersejarah semasa lawatan baginda ke sana.

Kaum Jahai pula adalah antara suku kaum Negredo yang menghuni hutan belantara di situ.

Sejarah suku kaum mereka adalah lebih tua daripada kaum-kaum utama di negara kita dan hidup secara nomadic.

Teringat Prof Rashid berkata kepada pasukan kami semasa taklimat di awal sesi perkenalan:

“Kita membina empangan untuk elektrik dan sumber air bagi penduduk Ipoh, Taiping dan daerah sekitarnya.

Namun Orang Asli di sini walaupun hidup di dalam kawasan empangan air masih tidak mempunyai sumber air bersih dan elektrik. Jadi fikirkanlah.”

Kami semua tersentap mendengarnya.

“Esok semasa kita melawat Kampung mereka, kamu semua akan melihat realiti pahit itu sendiri.”

Program Promosi Kesihatan di Kampung Sg. Tiang.
—–

Malam sebelum program tersebut, kami melakukan ‘brainstorming’ tentang kaedah yang paling berkesan untuk dilaksanakan promosi kesihatan kepada Orang Asli.

Daripada ‘Situational Analysis’ dan ‘SWOT Analysis’ kami mendapati, penduduk Orang Asli adalah kaum yang pemalu namun kini sudah terbuka dengan orang luar.

Kehidupan mereka kini walaupun masih jauh berbeza dengan penduduk di kampung apatah lagi di bandar tetapi menunjukkan kemajuan ketara berbanding 20 – 50 tahun sebelumnya.

Setiap kumpulan berkongsi idea ampuh untuk menambat hati kanak-kanak di SK Sg Tiang seterusnya memudahkan mesej promosi kesihatan diterima oleh mereka.

Keesokannya, kami bertolak menaiki bot ke sekolah tersebut.

Sepanjang perjalanan di pagi yang indah itu, kami dihidangkan dengan santapan minda dan rohani daripada alam semula jadi dan keindahan flora dan faunanya.

Sempat kami menangkap kelibat sang kijang liar yang meneguk air di gigi tasik bagi menghilangkan dahaga sebelum melompat jauh ke perut hutan belantara.

Sampai sahaja di SK Sg Tiang, kami menyangka program tersebut barangkali tidak mendapat sambutan memandangkan UPSR akan berlangsung pada minggu hadapan manakala guru-guru sekolah tiada kecuali Guru Besarnya.

Namun, sangkaan kami salah. Selang beberapa jam, anak-anak comel Orang Asli daripada yang baru lahir hinggalah remaja ‘menyerang’ kami secara berjemaah.

Mereka semua teruja dengan kedatangan orang luar ke Kampung mereka.

Kanak-kanak dipecahkan kepada 3 kumpulan mengikut umur. Setiap kumpulan melaksanakan aktiviti yang telah dirancang sesuai dengan faktor umur mereka.

Paling penting mesej utama yang kami ingin sampaikan kepada mereka iaitu kaedah membasuh tangan dengan betul dan apakah risiko jika mereka bermain dengan anjing-anjing tersebut berjaya disampaikan.

Lebih menarik, kaum ibu atau ‘Bek’ dalam bahasa Jahai turut sama mengikut program yang dianjurkan pihak urusetia.

Pada akhir sesi tersebut, kami dapat melihat kefahaman yang ditunjukkan oleh kanak-kanak tersebut melalui sesi amali dan ianya amat menggembirakan kami.

‘Beyond Expectation’
—–

Banyak kami pelajari dan selami daripada penduduk Orang Asli di sana.

Seperti yang didakwa oleh Professor Datuk Dr Rashid juga benar. Sumber Air Bersih mereka adalah terhad. Mereka bergantung kepada sumber air ‘Gravity Feed’ dan selebihnya air tadahan hujan dan air tasik.

Sumber elektrik pula bergantung kepada panel solar yang dibekalkan pihak JAKOA dan badan-badan NGO.

Kehidupan nomadic mereka menyukarkan pembekalan sumber air dan elektrik kepada penduduk di sana. Jika ada pula, pengurusan ‘maintainance’ pula antara punca sumber tidak dapat diberi secara konsisten.

Namun, kehidupan mereka sudah banyak perubahan terutama dari sudut pendidikan dan penerimaan orang luar.

Berkat kesungguhan pendidikan kepada anak-anak orang asli bersama komitmen para guru mendidik mereka telah menunjukkan pencapaian yang membanggakan (Guru Besar mereka dan seorang guru bernama Wan sudah menetap di SK Sg. Tiang lebih 5 tahun dan mereka berdua bangga menjadi tenaga pengajar di sana).

Begitu juga dari sudut perkhidmatan kesihatan. Walaupun risiko penyakit berjangkit amat tinggi untuk berlaku di kalangan mereka namun perkhidmatan sudah banyak menunjukkan kejayaan dalam menangani masalah kesihatan dan penyakit berjangkit yang sebelum ini menghantui mereka.

Pernah berlaku wabak penyakit yang dikenali sebagai ‘Serawan” di kalangan Orang Asli di sana. Penyakit tersebut mendapat liputan media dan ditangani bersama setiap agensi berkaitan.

Kami melihat isu masalah kesihatan akan terus menyelubungi penduduk Orang Asli di sekitar Royal Belum. Pelbagai faktor dalaman dan luaran yang menyumbang kepada risiko terjadinya wabak penyakit mahupun beban kesihatan yang lain.

Fasa seterusnya
——

2 minggu selepas program ini akan diadakan pula fasa mengumpul data dan melihat sejauh mana effektifnya promosi kesihatan yang dijalankan oleh kumpulan kami.

Walaupun mungkin data yang dikumpul adalah kecil namun impaknya kepada kesihatan penduduk di sana adalah besar.

Melalui pemerhatian kolektif kami, banyak lagi potensi kajian kesihatan, teknologi dan alam sekitar yang boleh dilakukan kepada Orang Asli di Royal Belum, Perak.

Bagaimanapun, perlu dinilai juga cabaran dan kos yang diperlukan untuk membuat kajian di kawasan Orang Asli.

Kosnya tidaklah murah bahkan boleh mencecah puluhan ribu ringgit.

Oleh kerana itu, amat penting bagi setiap pengkaji mendapat sokongan kewangan yang kukuh untuk menjalankan aktiviti kajian di lapangan.

Dengan kerjasama agensi kerajaan, universiti dalam dan luar negara bersama komitmen jitu semua pihak yang terlibat, pastinya kemajuan dan kebajikan orang Asli dapat dicapai seiring dengan arus pemodenan negara kita.

Pada sesi post mortem di malam harinya, salah seorang peserta berkongsi antara pemerhatiannya dalam usaha meningkatkan kebersihan di kalangan kanak-kanak Orang Asli apabila dirinya terlihat kuku-kuku hitam mereka.

Ianya manifestasi daripada aktiviti harian mereka bermain di tanah, haiwan dan alam semula jadi kemudian makan tanpa membersih tangan dengan baik. Lantas mengundang risiko penyakit berjangkit kepada mereka.

Kemudian Prof selaku Ketua Rombongan kami memberitahu:

“Jadi, setiap kali anda melihat kuku anda, ingatlah kuku hitam yang anda lihat di Kampung Tiang.

Fikirkan bagaimana anda boleh menjadikan kuku hitam mereka kembali bersih sebagaimana anda mahu kuku anda bersih.”

Satu soalan yang dilontarkan jauh ke benak fikiran kami untuk berfikir bahawa banyak lagi aktiviti dan kajian yang perlu dilakukan untuk Orang Asli selaku penduduk asal di negara kita.

Dan saya muntahkan kembali persoalan tersebut kepada netizen Malaysia di media sosial untuk bersama memikirkannya.

~ Selamat Hari Malaysia ~

Daripada Geng Kuku Hitam

pss: Maaf tiada update dalam seminggu ini kerana telefon saya lemas di Air Terjun Sungai Ruok dan gagal diresusitasi kembali. Sob..sob…

Dr Afiq Rahim
Kedamaian flora dan Fauna di Royal Belum masih menggamit jiwa…

Lihat gambar-gambar menarik kami di sini –> https://www.facebook.com/drafiqrahim/posts/10155206885941896 

Apa Komen Anda?