Hijrah Terakhir Si Remaja

Hijrah Terakhir Si Remaja Perempuan

Si Remaja A: Aku dah tak tahan hidup di rumah ni. Aku nak bebas. Bebas melakukan apa sahaja yang aku mahukan. Aku mahu tinggalkan rumah ini.

Si Remaja B: Kau mahu ke mana? Bukankah kita sudah dapat apa yang kita perlukan di rumah ini. Tempat tinggal, makanan, hiburan dan pelbagai lagi.

Si Remaja A: Tak cukup. Cuba kau tengok kawan-kawan kita di luar sana, mereka boleh hidup tanpa kekangan. Bebas ke mana-mana dan kita pula terperangkap di dalam rumah ini.

Si Remaja B: Tapi rumah ini lebih selesa berbanding rumah kita sebelum ini. Kita masih bebas melakukan apa sahaja walaupun di sebalik larangan yang ada.

Si Remaja A: Aku benci dengan apa jua larangan atau peraturan yang dikenakan ke atas kita. Aku mahu hidup dengan cara aku sendiri.

Si Remaja B: Jadi apa yang kau mahu lakukan sekarang untuk kejar kebebasan yang kau impikan itu?

Si Remaja A: Aku mahu lari dari rumah ini!

Si Remaja B: Kau gila! Banyak bahaya di luar sana.

Si Remaja A: Ahhhhh! Apakah kau mahu ikut sama aku bebas bergerak di luar sana atau kau mahu tinggal di rumah ini buat selama-lamanya?

Si Remaja B terdiam dan berfikir penuh kecelaruan. Dia sedar, tanpa Remaja A, hidupnya akan kesunyian. Dia tertekan dengan situasi yang ada.

Akhirnya dia mengangguk tanda setuju.

Si Remaja A: Baik malam ini aku dah rancang untuk kita lari dan tinggalkan rumah ini. Kau ikut sahaja rancangan aku.

Malam Maal Hijrah itu, remaja berdua itu nekad melarikan diri demi mengejar kebebasan yang mereka dambakan.

Apakah yang berlaku kepada mereka?

Teruskan membacanya.

=====
Pengakhiran Yang Tragis
=====

Hijrah Terakhir Si Remaja

Pada malam penghijrahan mereka, kedua-dua remaja tersebut bertembung dengan sekumpulan kongsi gelap yang sedang aktif melakukan jenayah.

Mereka berdua cuba melarikan diri namun Si Remaja B berjaya ditangkap.

Remaja B telah dirogol bergilir-gilir oleh ahli kumpulan tersebut dan dibunuh serta merta.

Kejadian tragis tersebut disaksikan oleh Si Remaja A yang menyorok di dalam hutan tetapi takut hendak berbuat apa-apa. Dia terkejut dengan kejadian yang berlaku dengan pantas sekali.

Keesokan paginya, Si Remaja A ditemui oleh penduduk setempat dalam keadaan penuh ketakukan dan trauma. Bahkan dia hampir gila.

Mayat Si Remaja B pula ditemui oleh pihak berkuasa tanpa kepala.

Si Remaja A bermonolog “Saya menyesal………Andai ku tahu akibatnya……”

=====
Kisah Sebenar Remaja Tersebut
=====

Kisah dua remaja ini adalah cerminan kisah sebenar dua ekor arnab (Remaja A dan B berusia remaja milik saya).

Hijrah Terakhir Si Remaja
Si Remaja A kini tinggal berseorangan

Apa yang berlaku adalah dua ekor arnab putih betina milik saya telah melarikan diri daripada sangkar besar yang saya bina. Arnab tersebut telah mengorek lubang di tanah dan melarikan diri pada malam Maal Hijrah untuk mencapai kebebasan dan makanan (tumbuhan dan pokok yang kami tanam di halaman rumah) yang lebih enak di mata mereka.

Dalam usaha mereka meloloskan diri di dalam kawasan rumah saya pula, seekor arnab saya (Remaja B telah ditangkap oleh seekor kucing jantan liar (ahli kongsi gelap) yang sering berkeliaran di kawasan perumahan kami dan dibunuh untuk dijadikan habuannya.

Keesokan pagi, arnab yang seekor lagi (Remaja A) ditemui oleh jiran saya di dalam kawasan rumah mereka dalam keadaan ketakutan. Manakala bangkai arnab (Remaja B telah ditemui di bawah kereta jiran sebelah lagi tanpa kepala yang sudah dibaham oleh kucing jantan liar itu.

Hijrah Terakhir Si Remaja
Bangkai Remaja B ditemui tanpa kepala oleh jiran

=====
Hikmah Kisah Arnab (Remaja)
=====

Maal Hijrah bukan sahaja meraikan peristiwa penghijrahan Baginda Nabi SAW dan umat Islam dari kota Mekah ke Kota Madinah tetapi mempunyai mesej yang lebih daripada itu.

Hijrah menuntut kita melakukan transformasi yang memerlukan pengorbanan demi mencapai kebaikan kepada diri, keluarga dan masyarakat secara amnya.

Bagaimanapun, hijrah memerlukan tiga kunci penting untuk berjaya iaitu:

1. Objektif Hijrah
2. Ilmu
3. Pertahanan.

Pengertian Maal Hijrah
  1. Objektif Hijrah
    —–
    Objektif Hijrah perlulah mempunyai eleman SMART iaitu Specific, Measurable, Actionable, Relevant and Time Bound.

    Sebagai contoh, saya mahu kuruskan badan saya. Bagaimana? Dengan menurunkan berat badan sebanyak 20kg dalam masa 6 bulan dengan cara senaman selama 30 minit setiap hari dan mengawal kalori pemakanan saya.

    Matlamat remaja yang mahu melarikan diri semata-mata mahu hidup bebas adalah tidak jelas. Bebas daripada apa? Mahu kejar apa?

    Tetapkan matlamat yang jelas dan rancangan peta menuju kejayaan (Road Map to Success) kita.
  2. Ilmu
    —–
    Hijrah tanpa ilmu ibarat berjalan di dalam kegelapan. Ilmu adalah cahaya yang menerangi jalan ke arah mencapai objektif penghijrahan kita.

    Sebagai contoh, matlamat hijrah adalah mahu menukar status obesiti kepada berat badan yang ideal, maka ilmu-ilmu seperti diet pemakanan seimbang, senaman yang sesuai dan mentaliti yang betul penting untuk mencapai hasil yang diimpikan berdasarkan objektif yang ditetapkan.

    Apa yang berlaku pada remaja pada hari ini adalah kebanyakkan mereka terikut-ikut dengan suasana atau tekanan di sekeliling mereka. Si Remaja B boleh sahaja menolak permintaan remaja A tetapi kerna kekurangan ilmu dan tekanan tersebut maka dia mengikuti lari bersama Remaja A. Akhirnya, dia menjadi mangsa kesilapan mereka berdua.

    Oleh itu penting bagi kita mendalam ilmu yang bermanfaat agar dapat membantu kita mengejar impian dengan pantas dan selamat.
  3. Pertahanan
    —–
    Akhir sekali sebelum kita melakukan penghijrahan maka kita perlulah bersiap sedia menghadapi sebarang risiko mehnah dan tribulasi dalam mencapai transformasi yang diingini.

    Sebagai contoh, jika kita mahu berhenti bekerja makan gaji dan memulakan perniagaan, kita perlulah menyediakan simpanan sekurang-kurangnya enam bulan perbelanjaan dan ilmu perniagaan yang secukupnya.

    Remaja dalam kisah ini tidak mempunyai ilmu secukupnya, kemahiran kendiri yang baik dan kurang sokongan ibubapa yang menyebabkan mereka merasakan masih tidak cukup dengan apa yang dimiliki.

    Maka mereka mudah menjadi mangsa.

=====
Kisah Realiti Seorang Remaja 
=====

Kisah arnab ini juga mendapat inspirasi daripada kisah seorang remaja perempuan belasan tahun yang menjadi pelajar bonda saya di sebuah sekolah di Kedah.

Remaja tersebut telah melarikan diri mengikuti teman lelakinya ke sebuah negeri Pantai Timur selama sebulan.

Apa yang mereka lakukan selama sebulan?

Remaja perempuan tersebut mengemis untuk makan dan minum dan tidur di merata-rata tempat bersama teman lelakinya.

Mahkota dirinya usah ditanya. Sudah habis diserah dan digadaikan kepada sang durjana.

Selepas sebulan, sang durjana mencampaknya di sebuah stesen bas di negeri Kedah selepas tiada apa yang boleh ditawarkan lagi.

Bila disoal siat mengapa si remaja melarikan diri dan bagaimana dia mengenali teman lelakinya,

Dia menjawab bahawa dia berasa seronok apabila mendapat teman lelaki buat pertama kali (tekanan sekeliling apabila rakan-rakan sekelas juga berpacaran) dan mengenalinya menerusi aplikasi WeChat.

Oh apa yang sedang terjadi kepada masyarakat kita?

Hijrah Terakhir Si Remaja

=====

Belajar sesuatu daripada kisah remaja dan arnab di atas?

Kongsikan pandangan dan cadangan saudara saudari di ruangan komen di bawah.

Dan jangan lupa kongsikan kisah ini untuk pengajaran bermanfaat kepada orang lain juga.

DAR
drafiqrahimdotcom
Meratapi pemergian arnabku……

Apa Komen Anda?