GribblesDapatkan keputusan saringan Kanser, Kencing Manis, Kolesterol dan banyak lagi sepantas 1-3 Hari sahaja. Hanya di Gribbles

Hikayat Gomo Pro-Choice dan Medical Profesional

(Artikel ini agak panjang demi memberi kefahaman kepada pihak yang berkenaan)

Di Dublin, Ireland,

AIAR: Selamat pagi Mr Brown. Apa khabar hari ini? Saya difahamkan anda telah mendapat penyakit Atrial Fibrillation (sejenis penyakit jantung berdegup tidak seirama) dan telah dimaklumkan tentang penggunaan ubat bernama ‘Warfarin’.

Mr Brown: Selamat pagi tuan doktor. Gembira berjumpa dengan awak. Ya, saya ada dimaklumkan tentang ubat Warfarin yang dicadangkan oleh pasukan doctor sebelum ini. Boleh tuan doktor jelaskan sekali lagi, apakah dia ubat tersebut dan kenapa saya memerlukannya? Saya agak keliru tentang hal ini.

AIAR: Sudah pasti boleh. Warfarin adalah sejenis ubat cair darah (blood thinner) yang diberi kepada pesakit seperti awak. Ianya bertujuan untuk memastikan saluran darah awak tidak tersumbat. Ini kerana penyakit tersebut akan menyebabkan perjalanan darah awak tidak sekata lalu menjadi punca pembentukan gumpalan darah (blood clots) seterusnya menjadi punca serangan jantung (heart attack) dan angin ahmar (stroke).

Mr Brown: Oh begitu, saya pasti ianya mempunyai kesan sampingan juga bukan?

AIAR: Sudah tentu Mr Brown. Kesan sampingan paling utama adalah pendarahan (bleeding). Ini kerana fungsinya menjadi pencair darah maka pesakit berisiko mendapat pendarahan yang teruk jika mengambil dos berlebihan. Namun, pihak kami akan memantau risiko tersebut dengan ujian darah bersiri dikenali sebagai INR dan temu janji bersama awak secara berkala.

Mr Brown: Saya ada terbaca di dalam internet bahawa warfarin ini adalah sejenis racun tikus. Adakah awak akan memberi racun tikus kepada saya?

AIAR: Oh sudah tentu saya tidak akan memberikan racun membunuh tikus yang ada di pasaran kini kepada awak. Warfarin pada asalnya dihasilkan daripada sejenis kumpulan tumbuhan bernama Coumarin. Pada asalnya sekitar tahun 1940-1950, ubat ini digunakan untuk membunuh tikus kerana ketika itu manusia tidak mempunyai alat untuk menguji darah dan mengawal kesan pendarahannya (blood thinning effect). Namun, setelah beberapa siri kajian dan eksperimen yang berjaya serta peralatan perubatan menjadi semakin canggih, ubat ini yang pada awalnya dianggap sangat merbahaya kepada manusia kini menjadi selamat digunakan kepada pesakit. Akan tetapi pesakit akan seringkali diingatkan dan dinasihatkan berhati-hati dengan kesan sampingannya.

Mr Brown: Jadi ubat yang ada sekarang ini adalah selamat untuk saya gunakan?

AIAR: Benar sekali dan awak jangan risau kerana kami akan senantiasa melakukan follow up tentang kesihatan awak.

Mr Brown bertanyakan beberapa siri soalan dan dijawap sebaiknya oleh AIAR….

Di penghujung perbualan mereka,

Mr Brown: Saya amat berpuas hati dengan penjelasan yang diberikan oleh awak namun saya memerlukan sedikit masa untuk membuat keputusan. Sejujurnya, saya amat takut akan risiko pendarahan yang dimaklumkan tadi ditambah pula saya mempunyai fobia kepada darah (hemophobia).

AIAR: Tidak mengapa Mr Brown. Kami akan memberikan awak ruang masa untuk berfikir dan membuat keputusan tentangnya. Sekali lagi saya ingin menyatakan kepada awak bahawa pihak kami akan menghormati sebarang keputusan yang awak pilih dan awak perlu tahu bahawa kami akan senantiasa di sisi awak untuk MEMBANTU walau apa pun keputusannya. Jika awak masih mempunyai soalan lagi, tolong maklumkan kepada saya dan pihak kami sangat gembira untuk menjawabnya. Baiklah saya akan biarkan awak sementara untuk berfikir tentangnya dan saya ada di bilik sebelah jika awak perlukan apa-apa. Sebelum saya pergi, ini ada sebuah phamplet tentang ubat Warfarin. Semoga ia dapat membantu anda membuat keputusan tepat nanti.

Mr Brown: Terima kasih doktor.

==========================

Dialog tersebut adalah sisa-sisa kenangan yang masih tersimpan di dalam kotak memori saya semasa saya menjalani peperiksaan “Communication Skills Examination” tahun Empat jurusan perubatan di Royal College of Surgeons in Ireland. Peperiksaan itu dijalankan di antara saya dan seorang pelakon yang dengan jayanya melakonkan watak seorang pesakit. Perbincangan kami dirakamkan di dalam video dan para pemeriksa peperiksaan akan menganalisa video tersebut seterusnya memberi markah yang akan dibawa ke peperiksaan tahun akhir pula.

Kesemua pelajar diberikan jawapan skema kepada setiap soalan yang ditanya tetapi jawapan tersebut adalah berbentuk point. Oleh itu, para pelajar terpaksa menggunakan teknik komunikasi masing-masing untuk menjawab soalan tersebut. Pelakon itu juga sangat handal mewujudkan suasana. Ada kalanya, dia akan menangis, marah, terlalu emosianal atau bersikap provokatif. Semuanya bergantung kepada personaliti pelajar tersebut.

Tetapi ayat terakhir itu akan memberikan markah yang tinggi kepada pelajar tersebut jika diucapkan kepada pesakit.

Mengapa saya berkongsi pengalaman di atas dan cuba membawanya ke dalam polemik semasa ini?

Dialog diatas merangkumi isu yang membelenggu golongan Pro-Choice dan Profesional.

Doktor dan Medical Ethics

Semua pelajar perubatan di seluruh dunia akan didedahkan kepada sebuah silibus yang dinamakan etika perubatan / medical ethic. Namun sejauh mana tahap serius ilmu tersebut diajarkan kepada para pelajar dan dipraktiskan adalah bergantung kepada universiti masing-masing. Empat prinsip utama yang diserapkan di dalam teks pembelajaran kami adalah:

1. Respect for autonomy – pesakit mempunyai hak untuk memilih atau menolak rawatan ke atas mereka.

2. Beneficence – ahli perubatan perlu memastikan kebajikan pesakitnya terbela dan pesakit memperoleh kebaikan maksimum daripada rawatan tersebut.

3. Non – Maleficence – Pertama, tidak menyakiti pesakit.

4. Justice – Keadilan semasa memberikan rawatan kepada pesakit.

Kesemua elemen ini wajib dihayati dan ditanam dalam jati diri seorang profesional perubatan walaupun hakikatnya semasa peperiksaan semuanya cantik dan sempurna tetapi realitinya adalah sangat berbeza. Semasa di universiti, kami diajar untuk menjunjung dan menyelami keempat-empat elemen tersebut. Markah peperiksaan kami bergantung kepada kemahiran kami memanipulasikan kesemua elemen tersebut. Namun, semasa bertugas semuanya bergantung kepada diri kita dan persekitatan kita.

Isu Dr BeLittle

Baru-baru ini, heboh di dalam media sosial isu homebirth yang mendapat komplikasi selepas bersalin di rumah. Ruangan media di dalam Facebook tersebut mendapat cemuhan dan hinaan daripada anggota profesional. Amat malang apabila komen-komen negatif tersebut ditulis oleh anggota kesihatan. Ia tidak sepatutnya berlaku pada hemat saya.

Tindakan negatif hanya akan mengundang respon yang negatif.

Pernahkah golongan profesional berfikir mengapakah sokongan kepada kumpulan Pro-Choice semakin meningkat sejak beberapa tahun lepas?

Selain faktor ledakan informasi di internet, antara punca kumpulan ini semakin meningkat adalah kerana faktor pengabaian empat eleman penting di atas semasa merawat mereka.

Saya pernah dijemput masuk ke dalam sebuah kumpulan media sosial milik kumpulan Pro-Choice (dijemput untuk jadi ahli counter-argument tetapi saya memilih berdiam diri) dan saya agak terkejut dengan segala tomahan dan cemuhan terhadap sistem pengurusan kesihatan kita (walaupun saya tahu adakalanya tuduhan tersebut lebih bersifat emosi dan tanpa usul periksa)

Paling banyak aduan adalah apabila mereka sendiri atau anak-anak mereka menerima rawatan di hospital/klinik dan mendapat kesan sampingan yang teruk selepas rawatan dijalankan. Kemudian, pasukan perubatan gagal memberi penjelasan ataupun penjelasan yang diberikan pula tidak menyakinkan mereka. Penjelasan yang diberikan kepada keluarga pesakit lebih bersifat ‘defensive’ atau ‘damage-control’. Hanya apabila laporan kepada pihak atas dibuat barulah pasukan yang terbabit bersungguh-sungguh menyelesaikan dan mententeramkan jiwa amarah pesakit.

Itulah realiti yang saya perhatikan selepas saya pulang ke Malaysia.

Pendekatan sistem kesihatan walaupun semakin baik tetapi masih dalam ruang lingkup “damage-control” dan bukan pada “preventive and education empowerment” kepada para pesakit.

Mengapa saya berkata sedemikian? Ini kerana jika ditanya kepada pesakit kita hari ini,

“Mengapa pakcik perlu menjalani pembedahan ini? adakah pakcik faham akan risiko pembedahan ini?” atau

“Adakah makcik tahu kenapa makcik memerlukan Insulin untuk Rawatan kencing manis?” atau

“Apakah kesan sampingan pengambilan ubat tahan sakit seperti NSAID” atau

“Adakah puan faham tentang penyakit SLE yang menimpa anak puan?”

nescaya rata-rata pesakit / keluarga mereka hanya memberi jawapan yang mudah atau lebih teruk tidak tahu apa-apa tentang penyakit tersebut atau rawatan yang diterima.

Pesakit tidak diberikan maklumat yang secukupnya dan kita membiarkan mereka mencari maklumat sendiri melalui sahabat kita iaitu Dr Google. Kemudian kita marah kepada mereka selepas mereka membuat keputusan (Informed Decision) berdasarkan pandangan kaki lima atau cadangan Dr Google.

Pesakit kita pula akan menjadi lebih sensitif kepada masalah kesihatan mereka hanya selepas komplikasi rawatan terjadi atau kesan sampingan yang dahsyat menimpa mereka/ ahli keluarga mereka.

Dan untuk mengatasinya maka penerangan yang berkualiti perlu diberikan kepada pesakit oleh para doktor. Kita perlulah melakukan banyak “homework” membaca dan mencari artikel berkaitan dengan masalah pesakit kita, memperbaiki teknik komunikasi mereka dan meningkatkan keyakinan diri kita. Pada masa yang sama, kita juga perlulah meluruskan niat membantu pesakit sedaya upaya dan menyokong keputusan yang mereka buat hanya SETELAH BERBINCANG DENGAN KITA.

Kumpulan Pro-Choice 

Akibat daripada manifestasi  kesan sampingan perubatan moden dan sikap tidak profesional di kalangan anggota kesihatan yang menyebabkan kebanyakkan anggota kumpulan ini atau ahli keluarga mereka menanggung derita maka sokongan kepada kumpulan ini semakin bertambah saban hari.

Mereka mahu diberi lebih maklumat dan maklumat yang diberikan pula perlu telus, ruang untuk membuat keputusan, diberikan pilihan rawatan dan pelbagai lagi permintaan. Namun kumpulan ini perlu sedar bahawa setiap keputusan yang dibuat perlulah merujuk dan berbincang dengan ahli perubatan terlebih dahulu.

Bukannya membuat keputusan setelah berbincang dengan ahli kumpulan sendiri atau setelah mendapat informasi daripada internet tanpa rujukan pakar.

“Informed Decision” adalah bermaksud bahawa setiap pesakit diberi pilihan untuk membuat keputusan sendiri tentang rawatan atau prosedur yang bakal dilakukan ke atasnya setelah diberi penerangan oleh doktor perubatan yang terlibat.

Jika ia melibat prosedur atau intervansi maka mereka akan memberikan pula “Informed Consent” iaitu pesakit memberikan kebenaran bertulis untuk menjalani prosedur tersebut setelah memahami beberapa perkara berkaitan seperti tujuan dan risikonya yang mana semua ini diterangkan oleh doktor yang terlibat dan bukannya ahli perubatan KAKI LIMA atau Ahli Perubatan KEPOCHI atau Dr Google atau sewaktu dengannya.  Firman Allah SWT;

فَاسْأَلُوا أَهْلَ الذِّكْرِ إِنْ كُنتُمْ لَا تَعْلَمُونَ

“Bertanyalah kepada ahli ilmu jika engkau tidak tahu.” [An-Nahl: 43]

Adakalanya pesakit telah menilai dan menimbang tara kebaikan dan keburukan sesuatu rawatan sebelum berjumpa dengan doktor namun mereka tetap juga perlu merujuk kepada doktor masing-masing untuk memohon pandangan pakar. Ini kerana, dikhuatiri informasi yang diterima daripada luar adalah bercanggah atau lebih malang membahayakan nyawa mereka atau ahli keluarga.

Contohnya kes HomeBirth.

Benar, semua wanita mahukan kelahiran yang baik dan dilakukan secara lembut. Namun, mereka juga perlu tahu bahawa tidak semua kelahiran adalah sama. Adakalanya kelahiran melalui pembedahan adalah yang terbaik untuk isteri dan bakal bayi mereka dan begitu juga beberapa kes masalah kandungan lain.

Mereka boleh mendengar pandangan Doula atau rakan yang berpengalaman dalam proses kelahian anak tetapi para ibu mengandung WAJIB berjumpa dan berbincang dengan doktor sebelum membuat apa-apa keputusan untuk melahirkan anak mereka.

Sekali lagi, konsepnya “Bertanyalah kepada yang ahli Ilmu” dan bukannya individu yang claim dirinya ahli setelah pergi kursus sehari atau menjadi pakar selepas sebulan bertalaqi dengan Dr Google.

Kadangkala, kumpulan ini juga menjadi terlalu skeptikal terhadap perubatan moden.

Pernah saya terbaca perkongsian tentang isu ubat syntocin di dalam group tersebut. Entah bagaimana tiba-tiba muncul isu suntikan syntocin kepada ibu selepas bersalin. Secara tiba-tiba, mereka menjadi ahli farmakologi tidak berlesen dan tidak bertaraf. Lebih membuatkan saya menggelengkan kepala dan ‘FacePalm’ apabila rata-rata golongan tersebut tidak memahami terminologi perubatan dalam artikel atau rencana yang dikongsikan kerana kesemuanya ditulis di dalam bahasa Inggeris lalu mereka menggunakan Google Translator untuk membantu mereka demi mencari isu dan menyokong hujah dangkal mereka. Amat menyedihkan.

Sedarlah bahawa ilmu perubatan adalah satu cabang ilmu yang sangat kompleks dan pastinya sukar difahami oleh orang awam. Kebanyakkan bahan bacaan perubatan yang diperolehi daripada internet adalah ringan dan mengikut kesesuaian pembaca. Oleh itu, kebanyakkan informasi adalah ‘tips of the iceberg’.

Mahu meletakkan diri anda di dalam kasut seorang doktor?

Anda boleh layari laman web ini The New England Journal dan cuba memahami artikel-artikel yang dikongsikan di dalamnya. Oh ya, sila jangan bertanya kepada saya pula tentang artikel yang anda baca di dalam tersebut.

Kesimpulan

Sahabat-sahabat saya dalam bidang perubatan, kita perlu sedar bahawa pesakit berhak menentukan rawatan yang diingini, tanpa prejudis, tahap kesakitan paling minima dan yang terbaik buat diri mereka. Tugas kita adalah membantu mereka membuat keputusan yang sewajarnya selepas BERBINCANG bersama mereka, MENGHORMATI sebarang keputusan mereka dan MEMBANTU mereka dalam apa jua keadaan sekali pun.

Kita juga ada pilihan. Pilihan untuk berbuat baik, bersabar dan menjalankan tanggungjawab kita seperti yang diamanahkan atau pilihan menjalankan tanggungjawab kita dengan perasaan benci, marah dan geram di atas kedegilan pesakit.

Jika ditanya apa yang akan saya lakukan sekiranya saya berhadapan kes sedemikian, saya akan melayani pesakit saya seperti mana saya mahu saya atau ibubapa atau ahli keluarga saya dilayan sebaiknya, tanpa prejudis, adil, dan penuh hormat.

Sebagai frontliner perubatan, saya sudah berjumpa kes-kes sedemikian dan kebanyakkannya diselesaikan secara baik dan diterima semua pihak dengan kaedah komunikasi berkesan. Berikut adalah contoh kes yang saya sendiri laluinya:  http://bit.ly/kisahibuengganvaksin

Buat ahli atau penyokong kumpulan Pro-Choice,

Ya benar anda berhak membuat keputusan terbaik buat diri anda.

Namun, pinta kami silalah datang dan berjumpa dengan kami sebelum anda membuat sebarang keputusan. Jangan terpengaruh dengan info-info tidak sahih atau perkongsian dangkal di dalam media sosial atau daripada yang bukan AHLINYA.

Amat bagus mempunyai pesakit dan masyarakat yang semakin celik ilmu namun jangan pula dengan sedikit ilmu yang baru dibaca anda sudah mahu mendabik dada, mencabar keilmuan para doktor dan berijtihad dengan kejahilan sendiri.

Ilmu yang kami belajar di sekolah perubatan pun baru sejengkal dalamnya daripada lautan ilmu perubatan inikan pula anda yang baru belajar setitik ilmu daripadanya.

“Aku tidak tahu satu yang lebih mulia selepas ilmu halal dan haram melainkan ilmu perubatan”

(Ar-risalah Imam Syafie, Muqaddimah Tahqiq.)

Yang tahu, belajar untuk BERITAHU,

Yang tidak tahu, belajar untuk AMBIL TAHU,

Yang tahu dan tidak tahu,

Semua perlu belajar untuk MENGHORMATI ORANG LAIN!

#DAR

=======

[optin-cat id=”2106″]

Apa Komen Anda?