GribblesDapatkan keputusan saringan Kanser, Kencing Manis, Kolesterol dan banyak lagi sepantas 1-3 Hari sahaja. Hanya di Gribbles

Hikayat Gomo ProChoice dan Medical Professional Part 3: Perkongsian Enam Mata di Forum Vaksin

Alhamdulillah, baru-baru ini berkesempatan mendengar isu panas yang kini hangat dibicarakan di media sosial iaitu isu Vaksinisasi.

Adakah sangat perlu vaksin ini diberikan kepada anak-anak kecil atau benarkah vaksin sebenarnya merbahaya?

Bagaimana pula immuniti boleh diperolehi daripada pemakanan sunnah atau daripada sudut naturopathy?

Ahli panel yang dijemput adalah berkaliber dan berkredibiliti tinggi dalam bidang masing-masing.

Forum bermula dengan panelis bidang perubatan moden / allopathy iaitu Dr Suhazeli, pakar perunding perubatan keluarga. Beliau mengupas daripada perubatan daripada perspektif Islam yang mana vaksin adalah menepati sunnatullah dan hukum alam. Beliau menerangkan vaksin telah terbukti secara sciantifiknya menyelamatkan jutaan manusia.

Terdapat 261 penyakit berjangkit yang merbahaya kepada kesihatan manusia akan tetapi hanya 10 penyakit sahaja telah terbukti berkesan dan boleh dicegah melalui vaksin mengikut kajian sains yang sahih dan tepat. Selebihnya masih di dalam kajian dan berisiko tinggi jika menjangkiti manusia.

Sebagai contoh keberkesanan vaksin di Malaysia, pada sekitar tahun 1960-1970-an, negara kita mengalami peningkatan mendadak kes cacar. Penyakit cacar ini sangat merbahaya sehingga meningkat jumlah kematian kanak-kanak bukan sahaja di Malaysia bahkan di seluruh dunia pada ketika itu. Lalu kerajaan Malaysia meWAJIBkan ibubapa mendapatkan vaksinisasi cacar atau Smallpox dan jika didapati anak-anak mereka tidak menerima vaksin selepas tempoh yang ditetapkan maka ibubapa malang itu akan didenda sebanyak RM1000. Satu jumlah yang besar pada ketika itu. Setiap pelalian vaksin yang diberi akan ditanda pada sijil kelahiran kita sebagai tanda pengesahan.

Akhirnya pada tahun 1977, penyakit cacar berjaya dibasmi 100% dan kanak-kanak yang hidup pada ketika itu, kini telah menjadi seorang atuk/nenek/ayah atau ibu pada hari ini.

Kemudian moderator bertanya kepada Puan Sharifah, pengamal pemakanan sunnah. Saya sertakan video penjelasan vaksin daripada perspektif beliau.

Konklusi penjelasan beliau adalah immunisasi badan bukan sahaja diperoleh daripada vaksin suntikan semata-mata tetapi vaksin pemakanan sunnah, makanan sunnah, vaksin spiritual dan vaksin emosional. Tetapi beliau sendiri tidak menolak perubatan moden bahkan memandang tinggi cabang ilmu perubatan tersebut.

Seterusnya moderator meminta Dr Fatimah (ND) pakar naturopathy mengupas vaksin daripada perspektif bidang beliau.

Saya juga sempat mengambil video kupasan beliau di sini.

Konklusinya adalah bidang naturopathy meliputi holistic approach. Pada hemat beliau, badan manusia adalah ciptaan manusia yang paling agung. Hanya memerlukan penjagaan diet dan gaya hidup sihat serta mengukuhkan spiritual kita maka vaksin natural dalam badan kita secara tidak langsung akan kuat dengan sendirinya.

Kemudian sesi diteruskan dengan soal jawab bersama para audiens.

Seorang bukan Muslim bertanya kedua-dua ahli panel bukan aliran perubatan moden, apakah mereka memvaksin anak-anak mereka dan pendapat mereka tentang suntikan pelalian vaksin yang dilaksanakan.

Kedua-duanya menyebut “Saya tidak vaksin anak-anak saya tetapi saya tidak menolak vaksin”

Saya merasakan pernyataan itu sedikit bercanggah dan lebih kepada kata-kata ‘safe play’ oleh kedua-dua ahli panel.

Lalu bangun seorang wanita bertanya kepada Puan Sharifah, apakah jaminan keselamatan daripada penyakit merbahaya jika mereka mengikuti cara beliau dengan tidak memvaksinkan anak-anak mereka?

Puan Sharifah menyatakan bahawa, jaminan itu adalah daripada Allah SWT. Beliau yakin dengan pemakanan dan makanan sunnah itu dapat memberi immuniti infiniti kepada beliau sekeluarga dan perlindungan kesihatan yang diperlukan. Beliau mengambil contoh pemakanan mediterranean yang banyak bersumberkan minyak zaitun dan kurma yang sangat bernutrisi dan berkhasit. Kajian mendapati walaupun penduduk Itali mempunyai tabiat pemakanan yang tidak sihat seperti mengambil minuman keras, namun kerana diet makanan mereka yang berasaskan makanan sunnah maka penduduk Itali antara terendah menghidap penyakit Jantung di Eropah.

(saya sedikit terkeliru di sini mendengar pernyataan beliau. Adakah beliau bermaksud diet pemakanan Arab (merujuk diet pemakanan kawasan mediterranean) atau diet pemakanan sihat?)

Dewan menjadi panas apabila seorang profesor USM bertanya kepada ketiga-tiga ahli panel tentang etika profesionalisme jika kita mengajak manusia lain mengikuti pendapat kita. Lebih-lebih lagi pendapat kita tanpa sokongan kajian klinikal. Ini kerana, kita bertanggungjawab sepenuhnya dengan apa yang kita perkatakan dan lebih besar jika kita mengajak manusia lain mengikuti saranan kita.

Dr Suhazeli menjawab soalan tersebut di dalam video ini:


Konklusinya vaksin telah terbukti keberkesanannya menghapuskan penyakit dan mencegah penyakit berjangkit merbahaya berdasarkan kajian sciantifik dan klinikal yang boleh didapati di journal-journal perubatan. Dari sudut etika professionalnya, keputusan dan cadangan kepada masyarakat adalah berdasarkan kajian perubatan yang lengkap dan terbukti berkesan. Bukan testimoni individu semata-mata.

Kedua-dua ahli panel lain pula mengatakan bahawa apa yang dicadangkan oleh mereka adalah berdasarkan keyakinan mereka terhadap pemakanan sunnah dan perubatan natural. Namun, untuk tidak menvaksinkan anak mereka memerlukan displin pemakanan sunnah yang ketat dan gaya hidup yang sihat pada pandangan Puan Syarifah atau bagi Dr Fatimah, memerlukan displin ilmu perubatan natural yang tinggi dan memahami fisiologi tubuh badan manusia.

Dengan kata lain, maksud kedua-dua ahli panel yang dapat saya terjemahkan adalah:

“Anda boleh tidak memvaksinkan anak-anak anda tetapi BERSYARAT”

Syarat-syaratnya:

1. Anda perlu mengikuti displin pemakanan SUNNAH yang ketat,

2. tidak mengambil makanan proses cth makanan fast food, makanan dalam tin, makanan di restoran etc.

3. mengamalkan gaya hidup sihat seperti tidak merokok atau tidak tinggal dengan perokok atau persekitaran perokok.

4. Tinggal di persekitaran yang bersih tanpa PENCEMARAN

5. Tidak tinggal berdekatan dengan kawasan pendatang asing kerana kebanyakan kes-kes penyakit berjangkit adalah berpunca daripada persekitaran mereka.

6. Anda WAJIB mempunyai ilmu perubatan alternatif/naturopathy untuk merawat keluarga anda jika ditimpa masalah.

Itu adalah apa yang saya faham. Jika anda mampu hidup dengan gaya hidup dan persekitaran di atas, maka anda mungkin boleh cuba tidak memvaksinkan anak anda.

Seterusnya salah seorang peserta bertanya kepada Dr Fatimah tentang air Kangen Beralkali dan keberkesanannya dalam merawat serta meningkatkan imuniti manusia.

Soalan itu dijawab oleh beliau di dalam video ini:

Sebenarnya terlalu banyak soalan-soalan cepumas kepada ahli panel namun moderator terpaksa menghentikan majlis kerana kesuntukan masa dan telah lewat malam.

Konklusi saya:

Forum ini perlu diadakan pada waktu pagi bagi memberi lebih ruang dan masa untuk para peserta mendengar dan memahami hujah-hujah kesemua pihak. Sesungguhnya banyak ilmu dan informasi baru yang kami terima pada malam tersebut.

Jika ditanya kepada saya apa pilihan terbaik untuk masyarakat awam maka ini jawapan saya:

Amalkan pemakanan dan makanan sunnah. Mulakan gaya hidup sihat dan jangan lupa VAKSINKAN anak-anak anda. 

Ini kerana kita hidup dalam dunia yang serba-serbi pencemaran, mikro-organisma perosak pula sering berevolusi, kehidupan dan pemakanan yang tidak sihat atau tidak seimbang maka penjagaan kesihatan kita memerlukan bukan satu cara sahaja tetapi sekurang-kurangnya tiga cara bagi mengelak kita daripada ditimpa sakit.

 

Sesungguhnya yang baik itu datang daripada Allah dan yang tidak baik itu adalah atas kelemahan saya sendiri.

Saya mengalu-alukan komen atau buah fikiran anda untuk dipanjangkan kepada ahli jawatankuasa penganjur. Mudah-mudahan lebih ramai insan yang beroleh manfaat dengan program seperti ini.

"Penghargaan kepada Dr Suhazeli di atas perkongsian mantap beliau semasa Forum Vaksin. 

#DAR 
#ineedahelicopter 
#forumvaksin"

 

Penghargaan kepada Dr Suhazeli kerana menjadi ahli panel forum yang sangat bermanfaat kepada umat

#DAR

[optin-cat id=”2106″]

Apa Komen Anda?