GribblesDapatkan keputusan saringan Kanser, Kencing Manis, Kolesterol dan banyak lagi sepantas 1-3 Hari sahaja. Hanya di Gribbles

Iman Roller Coaster

 

Dua orang sahabat duduk berbual di dalam masjid Dublin usai solat Jumaat.

********************

Sahabat A: “Ana risaulah sheikh… Ana rasa gusar.”

Sahabat B: “Hah, enta nak menikah k? Jika tiada duit boleh pinjam duit ana dulu ? Jika mak ayah tak beri lagi, jangan putus asa. Usaha lagi! ” balas sahabat B dengan penuh keyakinan dan keriangan.

Sahabat A: “Eh, ke situ pula dia. Bukan itu maksud ana. Ana risau tentang Iman ana ni. Turun naik macam lift.

Sahabat B: “Lorrrrr…, ana baru berhajat nak belanja enta makan tadi sebagai meraikan berita gembira tadi. Rupanya isu lain.” katanya sambil tersenyum lega.

“Jika enta risau iman enta turun naik macam lift maka ana lagilah risau dengan iman ana yang turun naik macam Roller Coster tu. Lebih laju berbanding lift bagai nak tercabut nyawa.”

Sahabat A: “Eh takkanlah iman enta macam tu. Muka dah nampak berseri bagaikan terpancar cahaya keimanan malahan berjanggut panjang pula tu. Lainlah orang macam ana ni.”

Sahabat B: “Enta bodek ana ye supaya ana belanja enta lepas ni ye hehe…..Enta, janganlah kita ditipu oleh rupa luaran seseorang. Boleh jadi rupanya nampak alim tapi dalamannya penuh gelap pekat dosa dan begitu juga sebaliknya”.

“Seperti kata Adnan Sempit, luar nampak ganas tapi dalam hati ada Taman.”

Sahabat A: “Oh enta tengok filem Adnan Sempit itu juga ka?”

Sahabat B: “Ana tak layan cerita tu cuma dengar daripada sahabat-sahabat ‘rempit’ ana.”

“Ana teringat pesanan Imam Ghazali di dalam kitab Ihya’ Ulumuddin,

“Jangan terlalu memuji orang yang alim atau soleh kerana boleh jadi dirinya itu mati dalam kekafiran dan jangan pula mengeji orang yang jahil atau kafir kerana boleh jadi dirinya itu mati dalam kebenaran sedangkan kamu pula mati dalam kekufuran

Sahabat A: “Oh. Betul juga tu. Enta ada tips macam mana nak mengekalkan tahap iman kita atau bagaimana nak pastikan iman kita ini sentiasa mantap ?”

Sahabat B: ” Enta, kita ni bukan malaikat. Lumrah anak Adam, iman kita turun naik. Bezanya bila dan bagaimana keadaan kita ketika perubahan iman itu.”

“Ana tak adalah banyak tips tapi masa ana belajar dalam Deen Intensive Dublin waktu summer dulu-dulu, ana belajar ada tiga cara yang insyallah dapat membantu kita menghadapi kebuntuan ini. Sebentar ye. Ana cuba check dalam nota usrah dan tazkirah ana di dalam beg.”

“Alhamdulillah ada. Ok yang pertama segera melakukan kebaikan setelah enta melakukan dosa. Mudah-mudahan dosa itu dapat dihapuskan dengan kebaikan yang enta lakukan. Contohnya derma kepada masjid sebanyak 5 euro atau berpuasa sunat esok harinya. Firman Allah SWT:

“Kecuali orang-orang yang bertaubat, beriman dan melakukan amal salih, maka kejahatan mereka ditukarkan oleh Allah dengan kebaikan. Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” (Surah Al-Furqan, ayat 68-70)

“Yang kedua, dengan segera bertaubat seperti firman Allah di dalam al-Furqan:

“Dan sesungguhnya Aku Maha Pengampun bagi orang yang bertaubat, beriman, beramal soleh dan tetap berada di jalan yang benar.” (Surah Taha, ayat 82)

“Yang terakhir adalah dengan bersabar.”

Sahabat A: “Bersabar ? Apa maksud enta?”

Sahabat B: “Maksud ana bersabar dengan musibah yang bakal menimpa kita nanti. Ana selalu niatkan dalam hati jika ana telah melakukan dosa maka ana perlu bersabar dengan musibah yang menimpa selepas itu dan segera bertaubat.”

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Seorang Muslim yang ditimpa kecelakaan, kemiskinan, kesedihan, sakit mahupun dukacita hatta tertusuk duri sekalipun nescaya Allah akan menebus dosa-dosanya dengan apa yang menimpanya itu.” (Hadis Muttafaqun Alaih)

Sahabat A: “Ana rasa ana dah buat hampir ke semua yang enta cakap tetapi ana masih mengulangi benda – benda maksiat ini walaupun ana dah berusaha menghalangnya dan banyak kali bertaubat.”

Sahabat B: “Mungkinkah enta terlupa bahawa Allah itu Maha Pengampun dan Penyayang”

“Dalam hal ini menurut catatan di dalam nota ana, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

“Sesungguhnya seorang hamba sudah melakukan dosa, lalu dia berdoa: Wahai Tuhanku, sesungguhnya aku sudah berdosa, maka ampunilah aku! Maka Tuhannya berfirman: Hamba-Ku tahu bahawa dia mempunyai Tuhan yang mengampunkan dosa dan menghukumnya maka Aku mengampuninya. Kemudian dia tetap dalam keadaannya menurut ketentuan Allah. Dia pun melakukan dosa lain lalu berdoa: Ya Tuhanku sesungguhnya aku melakukan dosa lain, ampunilah aku. Tuhannya berfirman: Hamba-Ku tahu bahawa dia mempunyai Tuhan yang mengampunkan dosa dan menghukumnya, maka Aku mengampuninya. Kemudian dia tetap dalam keadaannya menurut ketentuan Allah. Dia pun melakukan dosa lain lalu berdoa: Ya Tuhanku sesungguhnya aku melakukan dosa lain, ampunilah aku. Tuhannya berfirman: Hamba-Ku tahu bahawa dia mempunyai Tuhan yang mengampunkan dosa dan menghukumnya, maka Aku mengampuninya, hendaklah dia melakukan menurut kehendaknya.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

“Dan Sheikh Yusof Al-Qardawi ada mengulas hadis itu yang bermaksud:

“Ungkapan maka hendaklah dia melakukan menurut kehendaknya, makna yang sebenar hanya Allah saja Yang Maha Mengetahuinya. Penafsirannya ialah setiap kali hamba melakukan dosa, dia bertaubat, yang demikian itu menjadi penghapus dosa-dosanya. Ia bukan bermakna sengaja melakukan dosa, rela dan suka bermaksiat dengan tujuan untuk mempermain-mainkan Allah SWT.”

“Kuncinya adalah kesungguhan. Bersungguh menghapuskan dosa tersebut. Bersungguh menghalangi maksiat tersebut daripada berulang dan bersungguh-sungguh mencari keampunan Allah”

Sahabat A: “Allahu Akhbar ! Terasa bagai menerima taujihad. Alhamdulillah, hilang benak yang tersimpan di hati dan fikiran ana ini. Kerana itu penting bersahabat dengan orang-orang soleh macam enta ni. Seperti kata pepatah arab: Cari dahulu jiran sebelum mencari rumah dan cari dahulu kawan sebelum mengembara.”

(Perut sahabat A memainkan lagu ‘rindu’ ) “Aiseh perut ana berkeroncong pula lah enta. Ana yakin enta juga ada kunci kepada masalah perut ana ini juga.” sambil membuat muka innocent.

Sahabat B: “Yela, yelah, jom ana belanja enta Bakso Cinta. Mudah-mudahan cepat skit jodoh enta. Ana pun dah lama mengidam makan nasi minyak di rumah enta”

Kemudian, Sahabat A dan Sahabat B ketawa sambil bergerak menuju gerai Bakso Cinta di hadapan masjid Dublin.

Bakso Cinta

-Tamat-

*****************

Ibn Abd Rahim

Dublin 8

Apa Komen Anda?

One Comment