“Jangan jadi seperti Kalinic!”

“Jangan jadi seperti Kalinic!”

15th July 2018 Off By Dr Afiq Rahim

“Jangan jadi seperti Kalinic!”

Hanya beberapa jam sebelum sepak mula perlawanan akhir Piala Dunia FIFA 2018 yang di tunggu-tunggu peminat seluruh dunia.

Namun, ada seorang penduduk bumi yang akan menonton perlawanan akhir ini di rumahnya berbanding bersama rakan sepasukan di stadium.

Dia adalah pemain Croatia bernama Nikola Kalinic.

jangan-jadi-seperti-Kalinic

Nikola Kalinic, pemain kebangsaan Croatia

Ini adalah thread pedoman diri.

Croatia sedang menempah sejarah baru bolasepak dunia. Negara dengan populasi lebih kecil daripada Malaysia ini melangkah ke final dengan laluan penuh berliku dan mencabar. Tatkala Perancis melangkah agak mudah dengan memenangi perlawanan mereka dalam tempoh 90 minit sahaja, Croatia dipaksa bekerja keras sehingga masa tambahan dan penentuan sepakan penalti empat kali berturut-turut untuk tampil ke final di Moscow .

Namun, di sebalik tekad kesungguhan pasukan Croatia, ada seorang pemain yang dihantar pulang awal seawal perlawanan pertama mereka menentang Nigeria di peringkat kumpulan.

Nikola Kalinic, pemain AC Milan yang pernah bermain di Liga Perdana Inggeris telah dihantar pulang awal gara-gara masalah displin menurut jurulatih mereka Zlatko Dalic.

=====
Apa yang telah berlaku dengan Nikola Kalinic?
=====

Nikola Kalinic adalah seorang penyerang daripada dua penyerang selain Mario Mandzukic yang ada di dalam skuad Croatia ke Piala Dunia kali ini. Dia mempunyai 41 caps dan telah menjaringkan 15 gol untuk negaranya.

Ketika perlawanan pertama mereka menentang Nigeria, Kalinic hanya diletakkan di bangku simpanan.

jangan-jadi-seperti-Kalinic

Kalinic tidak berpuas hati diletakkan di bangku simpanan oleh jurulatihnya, Dalic.

Dengan perlawanan berbaki lima minit sahaja lagi, Dalic ingin memasukkan Kalinic menggantikan Mandzukic yang keletihan. Namun apa yang dilakukan Kalinic jelas mengundang kemarahan dan kekecewaan jurulatihnya.

Kalinic enggan bermain untuk baki perlawanan tersebut. Dia menyatakan masalah sakit belakang antara sebab dia enggan bermain walhal semasa sesi memanaskan badan, dia tidak menunjukkan sebarang masalah dan sudah diarahkan untuk bersedia masuk ke padang pada bila-bila masa.

Lalu, Dalic menggantikan Mandzukic dengan Marko Pjaca dan Croatia memenangi perlawanan pertama mereka di Piala Dunia.

=====
Punca Sebenar Keengganan Kalinic
=====

Dalic memaklumkan kepada wartawan bahawa Kalinic enggan bermain kerana menghadapi masalah sakit belakang dan tindakannya bukan kali pertama.

Semasa perlawanan persahabatan menentang Brazil, pemain tersebut yang diletakkan di bangku simpanan juga enggan memasuki ke padang dengan menggunakan alasan yang sama.

Kesabaran jurulatihnya telah sampai pada kemuncaknya.

Dalic tahu masalah sakit belakang yang dijelaskan Kalinic adalah alasan semata-mata kerana punca sebenar adalah satu protes oleh Kalinic terhadap keputusannya meletakkan pemain berprofil tinggi sepertinya di bangku simpanan.

jangan-jadi-seperti-Kalinic

Kalinic merasakan bermain dengan pasukan gergasi seperti AC Milan menjamin tempatnya di dalam kesebelasan utama Croatia.

Kalinic merasakan dirinya adalah pemain berstatus bintang di dalam skuad Croatia kali ini. Croatia bukanlah sebuah pasukan seperti Brazil atau Perancis yang hampir setiap posisi skuad mereka diisi oleh pemain bertaraf dunia yang bermain di liga utama eropah.

Namun, pemain tersebut membayangkan dirinya yang bermain di liga Itali bersama pasukan gergasi AC Milan dan pernah menyarung jersi Blackburn Rovers di Liga Inggeris antara pemain yang wajar diberi penghormatan sebagai pemain kesebelasan utama skuad Croatia pada edisi Piala Dunia kali ini.

Malahan rekodnya dengan 15 jaringan antarabangsa meletakkan dirinya antara penyerang handalan Croatia dan bakal menjaminnya tempat di dalam kesebelasan utama skuad kebangsaan Croatia.

Dan bagi seorang pemain yang berasakan dirinya berstatus bintang untuk diturunkan dalam baki lima minit perlawanan sahaja menentang pasukan yang dianggap lemah adalah satu tindakan sia-sia dan tidak sesuai dengan status dirinya.

Bagaimanapun, sebagai jurulatih, Dalic mempunyai perancangan dan taktikalnya tersendiri. Beliau terpaksa mengorbankan pemain bintang seperti Kalinic demi mewujudkan keseimbangan di dalam pasukannya dan membentuk skuad yang berjaya.

Ternyata percaturannya berhasil dan Croatia kini hanya selangkah memenangi Piala Dunia buat kali pertama.

Selepas perlawanan, Kalinic dilaporkan enggan meminta maaf kepada jurulatih dan rakan sepasukannya atas tindakannya itu walaupun telah dinasihatkan oleh anggota pasukan mereka.

Lantas, Dalic mengarahkannya untuk mengemas beg dan segera meninggalkan pasukan kebangsaan mereka.

=====
“Don’t be like Kalinic”  

=====

Kini, pasukan Croatia berbangga melangkah ke final Piala Dunia dengan hanya 22 pemain berbanding 23 pemain oleh pasukan Perancis. Kesemua 22 pemain termasuk barisan kejurulatihan telah dianggap sebagai wira negara.

Pada masa yang sama, netizen dan majalah sukan seluruh dunia sedang berbicara tentang kisah Kalinic ini yang wajar dijadikan pedoman kepada semua dengan hashtag dan tajuk berita “Don’t be like Kalinic”

Hanya kerana ego dan gagal mengawal emosi amarahnya serta tidak menghormati keputusan pasukan, Kalinic bukan sahaja dibenci peminat bolasepak, bahkan bakal terlepas peluang memenangi Piala Dunia yang berprestij ini.

Melangkah ke dalam stadium pada aksi final Piala Dunia sahaja sudah menerbitkan rasa bangga dan satu penghormatan bagi seorang pemain bola sepak.

Kalinic mungkin sedang menyesal pada hari ini tetapi semuanya telah terlambat bagi dirinya.

jangan-jadi-seperti-Kalinic

Kalinic diarahkan pulang oleh Dalic kerana masalah displin

=====
Tiga Pedoman daripada Kisah Kalinic
=====

Kisah Kalinic wajar dijadikan pedoman kepada kita semua samada di tempat kerja, belajar mahupun bersama keluarga.

Pertama, kita perlu belajar untuk mengawal ego kita.

Kita mungkin mempunyai wang dan kuasa tetapi kita tetap perlu sedar kita hidup bukan berseorangan. Manusia yang mempunyai ego tinggi tidak akan mencapai kejayaan.

Ego tinggi melangit antara punca parti pemerintah terdahulu tersungkur di dalam pilihan raya yang lepas. Eh…apakah ini?…  

Kedua, kerja berpasukan perlu diberi keutamaan.

Hari ini, tiada seorang CEO atau ketua boleh mendabik dada bahawa hanya dirinya seorang sahaja boleh membawa syarikat atau pasukannya ke mercu kejayaan. Kita hidup di dalam sistem yang terdiri daripada pelbagai lapisan dan jawatan. Setiap anggota atau ahli di dalam sistem tersebut mempunyai sumbangan dalam kejayaan syarikat atau pasukannya.

Ketiga, belajar mengawal kemarahan.

Daripada Abu Hurairah bahawa Rasulullah telah bersabda: ”Bukanlah orang yang kuat itu orang yang selalu menumpaskan orang lain, sesungguhnya orang yang kuat itu adalah orang yang dapat mengawal diri ketika marah.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Sekiranya Kalinic dapat mengawal kemarahan dan emosinya pada perlawanan pertama mereka, mungkin dia akan memimpin barisan serangan Croatia bersama Mandzukic pada perlawanan akhir Piala Dunia dan membawa pulang sekurang-kurangnya pingat perak.

Benarlah, manusia yang sabar adalah manusia yang paling beruntung.

Semoga kisah Kalinic ini akan memuhasabah diri kita ke arah menjadi insan yang cemerlang dan bertakwa di sisi tuhan kita.

Kongsikan artikel ini kepada orang lain. Sebarkan manfaatnya.

DAR

#refleksidiri

#MedTweetMy

Sumber info:

https://www.nation.co.ke/sports/football/worldcup/Why-Croatia-Kalinic-will-miss-medal-after-World-Cup-final/4600428-4662216-i8k52az/index.html

https://www.cbssports.com/soccer/world-cup/news/croatia-is-one-win-away-from-first-world-cup-title-and-nikola-kalinic-wont-be-a-part-of-it/

World Cup fans roast Croatia player who got sent home after the opening match

Apa Komen Anda?