GribblesDapatkan keputusan saringan Kanser, Kencing Manis, Kolesterol dan banyak lagi sepantas 1-3 Hari sahaja. Hanya di Gribbles

Kanser di dalam Keluarga Millenia

Kanser di dalam Keluarga.
*****

Baru-baru ini, saya menyertai hari sukan Tadika Little Aulad bersama anak perempuan saya, Asma Imaniyyah. Hari penuh aktiviti itu sangat meriah dan penuh warna warni. Ianya dihadiri oleh ibubapa bersama anak-anak lain.

Sedang sibuk aktiviti berlangsung di dewan, saya terpana pada satu pemandangan yang membuatkan saya berfikir panjang dan terus bermuhasabah diri.

Kanser di dalam keluarga zaman ini.

Pemandangan yang menggambarkan masyarakat kita sememangnya sudah lari daripada prioriti dan fokus utama sebuah keluarga. Satu realiti pahit keluarga pada hari ini.

Ibubapa sibuk melayan telefon pintar masing-masing sementara membiarkan anak masing-masing menghiburkan diri dengan aktiviti yang dijalankan. Hanya beberapa kerat ibubapa sahaja yang bersungguh bersorak dan mengambil bahagian sepanjang aktiviti tersebut.

Mereka sibuk melayan Newsfeed FB, Whatsapp malahan melayan video di dalam Youtube daripada melihat anak-anak bermain di hadapan mata.

Pantas kejadian tersebut mengimbas satu video daripada negara Bangladesh yang pernah saya tonton. Video tersebut memang menjentik hati saya. Video yang mesejnya sangat jelas dan mendalam tentang masalah masyarakat pada hari ini.

Kisah Toppa

Video tersebut mengisahkan seorang guru yang bertanya kepada anak muridnya di tadika atau sekolah rendah sekiranya mereka diberi peluang untuk menjadi apa sahaja maka apakah yang mereka mahu jadi.

Kemudian, para murid bangun dan menyatakan hajat mereka.

“Saya mahu menjadi burung.
Saya mahu menjadi arnab.”

Setelah bertanya kepada beberapa murid, sampailah giliran seorang murid perempuan.

“Baik Toppa, apakah yang kamu mahu jadi?” tanya guru kelas.

“Saya mahu menjadi telefon pintar (smartphone) cikgu!” balas Toppa, kanak-kanak comel yang leka menulis berbanding rakan-rakan lain di dalam kelas.

Namun, wajahnya muram penuh kedukaan.

“Kenapa Telefon Pintar?” tanya gurunya lagi sambil tersenyum.

“Ibubapa saya amat menyayangi telefon pintar mereka.”

“Bapa saya selalu membawa telefon pintarnya tetapi tidak pernah membawa saya.”

“Ibu saya akan mencapai telefon sepantas kilat apabila ia berdering tetapi ibu saya tidak mengendahkan saya apabila saya menangis.”

“Bapa saya bermain permainan di dalam telefon pintarnya tetapi dia tidak bermain dengan saya.”

Kali ini, air muka gurunya sudah berubah. Senyuman manisnya tadi bertukar hiba mendengar rintihan si anak kecil.

“Saya minta bapa saya mendukung saya tetapi dia enggan.”

“Jika saya mahu bermain dengan ibu saya, dia akan memarahi saya kembali kerana mengganggu dia berborak menggunakan telefon pintarnya.”

“Bapa saya selalu meletak telefon pintarnya bersebelahan bantalnya tetapi bapa tidak pernah mendodoikan saya untuk tidur.”

“Ibu saya tidak pernah lupa untuk mengecaj telefonnya tetapi ibu saya kadangkala terlupa untuk memberikan saya makan.”

“Oleh itu, saya berhajat menjadi telefon pintar yang akan sentiasa berada dekat pada ibubapa saya.”

Video tersebut berakhir dengan satu mesej:

“Anak-anak kita lebih berhak mendapat perhatian yang lebih berbanding telefon pintar kita.”

Air mata saya akan bergenang apabila habis menonton video ini.

Inilah kanser yang merosakkan keluarga kita sedikit demi sedikit.

Kajian Perubatan Ibubapa dan Penggunaan Telefon Pintar

Satu kajian bertajuk Parent Perspectives on Their Mobile Technology Use: The Excitement and Exhaustion of Parenting While Connected yang diterbitkan di dalam Journal of Developmental & Behavioral Pediatrics mendapati ibubapa yang sering menggunakan telefon pintar akan mengalami konflik, interaksi negatif dan masalah sikap bersama anak mereka.

Tambahan lagi, kajian tersebut mendapati ibubapa akan bersikap reaktif dan negatif apabila membaca perkara negatif samada di dalam email atau media sosial.

Dan sikap tersebut akan diterjemahkan ke anak-anak mereka dengan memarahi atau menjerit kepada mereka. Kesannya, anak-anak juga akan menjadi tantrum dan mempunyai masalah komunikasi dengan kita.

Tersentak dengan senario itu, saya segera mencari anak saya di celah-celah kanak-kanak yang ramai. Tidak saya duga, anak saya Iman juga sedang mencari ibubapanya kerana gilirannya akan berlangsung sebentar lagi.

Dari jauh, terus saya melambai tangan kepadanya dan saya dapat melihat raut wajah penuh kegusaran pada anak saya bertukar menjadi penuh ceria dan bersemangat. Dia melompat gembira saya melambai kepadanya.

Apakah perasaan anak kita tatkala mereka akan bertarung untuk membanggakan kita lalu menoleh ke arah kita untuk mencari kekuatan namun mereka hanya melihat kita sedang leka bermain telefon tanpa mengendahkan mereka.

Saya berdiri di hujung garisan penamat. Apabila wisel ditiupkan, kakak iman pantas berlari ke garisan tersebut dan berjaya memenangi tempat ketiga. Walaupun jika dia gagal memenangi perlumbaan tersebut, saya tahu kakak Iman tetap amat gembira kerana saya dan isteri memberikannya perhatian kepadanya.

Pesanan buat diri sendiri

Duhai ibubapa zaman millenia ini, berilah keutamaan kepada ahli keluarga apabila bersama. Jangan lukai hati anak-anak mahupun pasangan kerna kesibukan bersama telefon pintar kita.

Telefon Pintar ibarat pedang yang mempunyai dua bilah. Boleh jadi bermanfaat buat kita dan boleh melukakan kita.

Susun masa penggunaan telefon pintar dengan sebaiknya.

Telefon pintar tidak akan mendoakan kita apabila kita mati nanti tetapi doa anak yang solehlah akan menjadi saham akhirat dan penyelamat buat kita nanti.

#kisahparentingahad
Dr Afiq Rahim
Masih merangkak dalam menguruskan perihal keluarga.

Rujukan:
https://www.ncbi.nlm.nih.gov/pubmed/27802256
https://www.sciencedaily.com/releases/2016/10/161012102648.htm

Apa Komen Anda?