Categories
Kesihatan Awam Lensa Kehidupan Penyakit Tidak Berjangkit

Kematian Mengejut di usia muda, apa punca dan faktor risikonya?

Kematian pra matang, punca, faktor risiko dan langkah pencegahan

Baru-baru ini, saya telah kehilangan seorang sahabat, Hakim yang saya kenali sejak di bangku sekolah.

Dunia remaja kami dibesarkan di sekolah yang sama dari Kuala Selangor hinggalah bersama mengembara, bertapa mencari ilmu di Kuala Berang, Terengganu.

Banyak kenangan manis dan pahit bersama.

Allahyarham Hakim memang seorang ahli sukan sejak bersekolah rendah di Tanjung Karang. Mewakili sekolah sehingga peringkat daerah dalam acara bolasepak dan beberapa acara sukan lain.

Bahkan arwah adalah exco sukan di maktab suatu ketika dahulu.

Malah dikhabarkan, allahyarham masih aktif bersukan walaupun setelah berkeluarga.

Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada hari ulangtahun perkahwinannya dengan meninggalkan seorang isteri dan anak.

Menurut isteri arwah, allahyarham mengadu sakit dada sebelum rebah dan kemudian meninggal dunia di Hospital Serdang.

Bedah siasat mendapati terdapat saluran darah yang tersumbat di jantung arwah.

Timbul persoalan, bagaimana seorang yang tidak pernah mempunyai masalah kesihatan yang serius sepanjang hayatnya, masih boleh mengalami serangan jantung?

Allahyarham Hakim bersama Anaknya

*Disclaimer: Info di bawah adalah panduan atau dapatan daripada kajian perubatan secara umum sahaja. Info dikongsikan tidak bermaksud arwah mempunyai masalah kesihatan atau penyakit yang dikongsikan. Saya hanya menghuraikan punca dan risiko kematian pra matang berdasarkan kajian perubatan tanpa merujuk punca atau risiko sebenar pemergian arwah sahabat saya. Harap maklum.

=====

Kematian pra-matang

Kematian arwah sahabat saya ini boleh dikategorikan sebagai kematian pra-matang. Apakah kematian pra-matang?

Kematian pra matang adalah kematian yang berlaku sebelum usia kematian bagi kebanyakkan kes dalam populasi tertentu (1).

Sebagai contoh: jangka hayat bagi penduduk Malaysia adalah sekitar 75 tahun mengikut statistik terbaru oleh Jabatan Statistik Malaysia (DOSM) (2). Jadi kematian pada sebelum umur 75 tahun boleh dikategorikan sebagai kematian pra-matang.

Jangka hayat penduduk Malaysia dari 2013-2019

Menurut definisi WHO pula, kematian pra-matang adalah merujuk kepada kematian tanpa syarat antara usia 30 hingga 70 tahun (3).

Kematian pra-matang atau sebelum usia 70 tahun ini adalah satu kerugian kepada ekonomi dan modal insan kerana mereka yang meninggal dunia ini masih dalam kategori produktif.

=====

Punca-Punca Kematian Pra-Matang

Punca utama kematian pra matang rakyat Malaysia ialah penyakit-penyakit tidak berjangkit (Non-communicable Diseases, NCD) terutamanya masalah jantung, kencing manis, angin ahmar dan kanser.

Setiap tahun, masalah penyakit tidak berjangkit masih menunjukkan peningkatan.

5 punca utama kematian pra-matang di Malaysia pada tahun 2008

Satu kajian tentang beban kematian pramatang di Malaysia pada tahun 2008 mendapati, punca utama kematian adalah penyakit berkaitan jantung. (4)

Menurut laporan daripada Jabatan Statistik Malaysia pula, penyakit berkaitan jantung kekal penyebab utama kematian pada tahun 2020. Manakala punca utama kematian pra matang selepas 10 tahun masih dalam kajian.

Namun, saya berpendapat, selepas 12 tahun, secara relatifnya penyakit berkaitan jantung kekal punca utama kematian pra matang di Malaysia jika mengikut data statistik terkini dari DOSM, KKM dan kajian-kajian di jurnal perubatan.

5 Punca Utama Kematian pada tahun 2020 dari DOSM

Pendapat saya ini, disokong dengan statistik kematian pada tahun 2018 mengikut kategori umur. Kita akan dapati punca utama kematian mengikut kategori umur adalah berbeza di mana penyebab utama kematian bagi umur 40 tahun dan ke bawah adalah kemalangan jalanraya manakala punca bagi kematian bagi yang berumur 41 ke atas adalah penyakit berkaitan jantung (2).

Kematian pra matang bukan sahaja memberi beban kepada keluarga tetapi juga kepada produktivi negara secara tidak langsung. Dalam satu laporan KKM, perbelanjaan kos rawatan penyakit berkaitan jantung, diabetes dan kanser telah meningkat sebanyak RM 8.91 bilion, setara dengan kira-kira 0.65% daripada produk domestik kasar (KDNK) negara kita (5).

=====

Faktor Risiko Penyakit Tidak Berjangkit (NCD) di Malaysia

Faktor utama dikaitkan dengan dengan penyakit jantung di Malaysia adalah faktor merokok, darah tinggi dan kencing manis (diabetes) dan gaya hidup tidak aktif.

Tinjauan Kesihatan dan Mobiditi Kebangsaan 2019 yang dijalankan oleh KKM mendapati 1.7 juta atau 8.1% rakyat Malaysia Dewasa mengidap masalah tiga serangkai iaitu darah tinggi, kencing manis dan kolesterol (6).

Ini statistik lengkap tahap kesihatan rakyat kita termasuk anda yang sedang membaca blog ini:

Statistik Diabetes mendapati 1 daripada 5 rakyat kita menghidap kencing manis.

NHMS 2019

3 daripada 10 orang rakyat Malaysia menghidap penyakit Darah Tinggi. Lebih membimbangkan, lebih separuh daripada mereka tidak tahu yang mereka sebenarnya menghidap penyakit darah tinggi.

NHMS 2019

4 daripada 10 orang rakyat Malaysia mempunyai masalah kolesterol yang tinggi.

NHMS 2019

1 daripada 4 orang rakyat Malaysia menjalani kehidupan yang tidak aktif.

nHMS 2019

1 daripada 2 orang rakyat Malaysia melaporkan bahawa mereka terdedah kepada bahaya asap rokok di kedai makan tidak berhawa dingin.

NHMS 2019

95% rakyat kita tidak mengambil jumlah buah-buahan dan sayur-sayuran yang dinasihatkan. Tak percaya, cuba lihat pinggan nasi yang anda makan tadi. Lebih sayur-sayuran atau lebih nasi/daging/ayam?

NHMS 2019

1 daripada 2 orang rakyat Malaysia mempunyai masalah lebihan berat badan atau obesiti. Tak percaya? Cuba lihat perut masing-masing.

NHSM 2019

Kesemua risiko ini menyumbang kepada komplikasi serius terutama masalah jantung, saluran darah, buah pinggang dan kanser.

=====

Langkah Pencegahan Kematian Pra-Matang

Ada dua perkara penting untuk mencegah penyakit tidak berjangkit / NCD.

  1. Mengamalkan gaya hidup sihat.

Jika boleh lakukan sendiri, lebih baik kerana lebih jimat, kita boleh menentukan tempoh dan momentum yang dimahukan serta lebih fleksibil.

Sekiranya sukar, saya mencadangkan anda mengikuti program-program kesihatan yang telah dirancang oleh pihak KKM dan swasta seperti melibatkan diri bersama aktiviti KOSPEN di tempat anda atau menyertai kelas-kelas kesihatan berbayar.

Saya mencadangkan, kita lakukan kedua-duanya. Buat jadual senaman sendiri, jaga diet pemakanan dan ikuti aktiviti kesihatan yang ada di komuniti kita.

Amalkan gaya hidup sihat

Namun, ramai yang terlepas pandang kepada perkara kedua dalam aspek pencegahan penyakit tidak berjangkit iaitu SARINGAN KESIHATAN.

2. Saringan Kesihatan Secara Berkala

Sekarang, jika anda gagal untuk mendapatkan saringan kesihatan, masalah itu berpunca daripada diri anda sendiri.

Ini kerana pelbagai inisiatif dan usaha daripada KKM, kerajaan, badan NGO dan swasta yang membuat saringan kesihatan kepada masyarakat samada secara berbayar atau PERCUMA!

Saringan Kesihatan PEKA di klinik kerajaan dan swasta

Antara inisiatif KKM dan kerajaan dalam menjaga kesihatan kita semua adalah:

  1. PeKa B40
    Memperkenalkan Skim Peduli Kesihatan untuk kumpulan B40 (PeKa B40) yang berumur 40 tahun ke atas. Aktiviti saringan penyakit tidak berjangkit merupakan salah satu komponen utama skim. Boleh baca info lanjut di sini.
  2. KOSPEN dan Enhanced Primary Health Care (EnPHC)
    KKM turut menjalankan program-program komuniti berkaitan NCD yang menekankan aspek saringan seperti KOSPEN dan Enhanced Primary Health Care (EnPHC) dengan aktiviti saringan dilakukan oleh pasukan sukarelawan terbabit. Boleh berhubung dengan klinik kesihatan terdekat anda.
  1. MySalam kepada B40 dan M40
    Skim Perlindungan Kesihatan MySalam bagi golongan B40, M40 atau semua penerima Bantuan Sara Hidup Rakyat berumur 18 hingga 55 tahun beserta pasangan mereka adalah layak mendaftar ke dalam skim ini.

    Skim ini menyediakan bayaran RM8,000 secara terus sejurus penerima yang berdaftar didiagnos dengan mana-mana penyakit yang tersenarai dalam 36 penyakit kritikal yang mana hampir separuh darinya adalah penyakit tidak berjangkit atau komplikasi darinya.

    Info lanjut berkenaan MySalam, boleh rujuk di link ini.

=====

Kesimpulan

Dengan meningkatnya kesedaran kita tentang bahaya penyakit tidak berjangkit atau NCD ini, ada 3 perkara yang berlaku iaitu:

  1. Gaya hidup kita akan ke arah yang lebih sihat,
  2. Kos rawatan dan perbelanjaan kesihatan berkaitan penyakit tidak berjangkit berkurangan. Kita dan KKM antara manfaat terbesar pengurangan ini.
  3. Produktiviti kita meningkat.

Masih belum terlambat untuk kita memulakan gaya hidup sihat yang baru.

Mari mulakan gaya hidup yang sihat

Buat Reena sekeluarga, salam takziah saya ucapkan. Semoga roh Allahyarham Hakim dicucuri rahmat.

Al-Fatihah~

*Disclaimer: Info di atas adalah panduan atau dapatan daripada kajian perubatan secara umum sahaja. Info dikongsikan tidak bermaksud arwah mempunyai masalah kesihatan atau penyakit atau risiko-risiko lain yang berkaitan. Harap maklum.

Sumber:

  1. https://www.cancer.gov/publications/dictionaries/cancer-terms/def/premature-death#:~:text=(PREE%2Dmuh%2DCHOOR%20deth,death%20in%20the%20United%20States.
  2. https://www.dosm.gov.my/v1/index.php?r=column/cthemeByCat&cat=401&bul_id=QTU5T0dKQ1g4MHYxd3ZpMzhEMzdRdz09&menu_id=L0pheU43NWJwRWVSZklWdzQ4TlhUUT09
  3. https://www.who.int/data/gho/indicator-metadata-registry/imr-details/3411
  4. https://www.researchgate.net/publication/319904779_Burden_of_Premature_Mortality_in_Malaysia
  5. https://www.who.int/malaysia/news/detail/08-09-2020-cardiovascular-diseases-diabetes-and-cancer-cost-nearly-rm-9-billion-productivity-losses-annually-to-malaysian-economy
  6. http://iptk.moh.gov.my/images/technical_report/2020/4_Infographic_Booklet_NHMS_2019_-_English.pdf

By Dr Afiq Rahim

A public health trainee, health content creator, sophisticated investor and father of a beautiful family. I love sharing ideas and my thoughts in this personal blog.

Feel free to share your ideas and thought too in this blog.

View Archive