GribblesDapatkan keputusan saringan Kanser, Kencing Manis, Kolesterol dan banyak lagi sepantas 1-3 Hari sahaja. Hanya di Gribbles

Kembali Menulis….

Sudah lama aku meninggalkan meja penulisan ini. Hmm….sudah bersawang dan dipenuhi lingkaran sang lelabah ibarat usai pertempuran Spiderman dan sekutunya.

Pertempuran intelektual yang tidak henti-henti telah membantut perkembangan seni menulis aku.

Peperangan Intelektual !

Peperangan ini akan terus ku tempuhi sehingga akhir nyawaku.

Kau ibarat perang dunia kedua yang kadang kala telah memesongkan perhatian manusia daripada amanah dan tanggungjawab agamanya kepada survival duniawi. Dan aku tidak terlepas daripada belenggumu itu.

Pertempuran demi pertempuran telah ku tempuhi. Daripada satu medan ke medan yang lain. Pada ketika ini, aku masih memimpin batalion perangku untuk menghadapi satu lagi peperangan ke atas penyakit kaum Hawa. Begitu signifikasinya peranan kaum Hawa dalam mencorak dunia maka dahsyat jugalah masalah yang datang daripada rahim mereka !

Di saat ini juga, aku melihat ramai rakan seperjuangan yang telah pulang awal ke kampung halaman setelah berjaya menawan lawan masing-masing  dan aku masih di sini berpencak dengan musuh yang silih berganti.

Antara resepi kejayaan adalah dengan melihat musuh daripada pelbagai sudut rajah persepsi dan kondisi mereka

Sering kali aku merenung ke belakang melihat sisa peperangan yang telah ku tempuhi dan acap kali para tenteraku rebah dan diselebungi depressi kerana kepenatan minda dan jasmani. Namun, di saat itu juga, aku segera meniup ruh jihad kepada tenteraku dengan sering menghamparkan dahiku ke lembaran benang yang menghadap kiblat yang satu.

” Wahai orang-orang yang beriman! Bersabarlah kamu (menghadapi segala kesukaran dalam mengerjakan perkara-perkara yang berkebajikan) , dan kuatkanlah kesabaran kamu lebih daripada kesabaran musuh, di medan perjuangan), dan bersedialah (dengan kekuatan pertahanan di daerah- daerah sempadan) serta bertaqwalah kamu kepada Allah supaya, kamu berjaya (mencapai kemenangan). “ Surah Al-Imran ayat 200

Mungkin peperangan kecil yang berterusan ini diaturkan oleh tuhan kepadaku sebagai persiapan untuk menghadapi peperangan besar yang tidak aku ketahui bila akan berlaku dalam lipatan kehidupanku. Hanya Dia yang Tahu.

“Cukuplah Allah bagiku, tidak ada Tuhan selain dariNya. Hanya kepadaNya aku bertawakkal.” -Surah At-Taubah ayat 129

Gelodak jiwa anak muda ini yang ingin terus menulis tidak dapat dibendung lagi. Terlalu banyak yang sepatutnya dapat dikongsi bersama tetapi hanya tersimpan dan kadangkala hanyut di celahan neuron-neuron otakku.

Terlalu banyak yang ingin dikongsikan sepanjang sejarah 3 bulan yang lalu. Daripada isu global seperti Palestine dan Gaza hinggalah isu tanah air seperti Judi Bola tetapi semua itu berlalu sepi tanpa sempat dihadam sebaik-baiknya oleh aku dek terlalu menumpukan perhatian kepada peperangan intelektual itu.

Aku kembali memasang azam musim panas ini untuk kembali berkongsi pandangan dan mungkin menghasilkan satu dua karya sebagai penghibur lara. Mudah-mudahan Allah memperkenankan azamku ini dan kembali istiqamah menulis.

Ibn Abd Rahim

Dublin 8

Apa Komen Anda?

5 Comments