Kes Pok Din Homibit  Semakin Panas! Polis Kata Tiada Kaitan Dengan Doula Tetapi KKM Berkata Sebaliknya.  

Kes Pok Din Homibit  Semakin Panas! Polis Kata Tiada Kaitan Dengan Doula Tetapi KKM Berkata Sebaliknya.  

13th February 2018 0 By Dr Afiq Rahim

Kes Pok Din Homibit  Semakin Panas! Polis Kata Tiada Kaitan Dengan Doula Tetapi KKM Berkata Sebaliknya.  

Kisah Pok Ya Cong Codei dan Pok Din Homibit telah menjadi viral di media sosial. Polemik kes Pok Din Homibit kerana kelahiran tidak selamat (unsafe delivery) secara songsang oleh isterinya di rumah semakin hangat diperkatakan. Sebelum ini pihak polis telah mewar-warkan bahawa kes tersebut tidak melibatkan Doula Ekstremis yang membantu Suri, isteri Pok Din semasa kelahiran anak mereka.

Polis Johor Mengatakan Tiada Kaitan Doula

 

Maka melompatlah golongan yang menyokong Doula ekstremis ini dan mula mengugut anggota kesihatan malahan ke tahap mahu menyaman staf yang terlibat di dalam kes tersebut bersama pihak yang menularkan berita di media sosial.

Namun, kenyataan tersebut telah disanggah oleh pihak KKM menerusi kenyataan rasmi daripada Ketua Pengarahnya pada hari yang sama beberapa jam selepas kenyataan pihak polis yang mengesahkan bahawa kejadian tersebut ada kaitan dengan anggota bukan kesihatan dan mempunyai bukti dan saksi untuk kes tersebut di pihak kesihatan.

kenyataan KPK bahawa KKM juga punyai bukti dan saksi

KKM juga punya bukti dan saksi. Sumber: The Reporter

Bagaimanapun, belum ada kakitangan kesihatan yang dipanggil bagi memberikan keterangan kepada pihak polis menerusi kenyataan beliau. Oleh itu, pada pendapat pihak kesihatan, siasatan masih belum tamat dan siasatan lanjut akan diambil oleh pihak polis dan kesihatan bagi kes ini.

Kelahiran Selamat

Berdasarkan definisi daripada WHO, “kelahiran selamat” (safe delivery) ialah kelahiran yang dikendalikan oleh anggota kesihatan terlatih (skilled health personnel).

Malaysia telah mencapai peratus kelahiran selamat sebanyak 98% semenjak tahun 2009; suatu pencapaian yang juga setanding dengan negara maju.

Peratus kelahiran tidak selamat pula telah menurun daripada 24.8% pada tahun 1990 kepada 1.7% pada tahun 2012 dan 0.42% pada tahun 2016.

Kelahiran tidak selamat berisiko tinggi menyebabkan kematian kepada ibu dan anak serta komplikasi lain.

Namun begitu, mutakhir ini terdapat tren yang membimbangkan, misalnya di negeri selatan tanahair di mana terdapat peningkatan kadar kelahiran tidak selamat yang berkaitan dengan advokasi pro-natural birthing, atau gentle birthing yang digerakkan oleh individu atau kumpulan yang juga dikenali sebagai “doula”atau peneman kelahiran.

Inisiatif KKM dalam Meningkatkan Kelahiran Selamat Di Malaysia

Antara usaha yang telah dan akan sentiasa dilakukan oleh pihak kesihatan adalah:

  • Perbincangan dengan kumpulan gentle birthing bagi memahami isu yang ingin diketengahkan dan memberi penekanan tentang kepentingan kelahiran selamat.
  • Mengeluarkan Surat Pekeliling Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia bertajuk “Langkah-Langkah Bagi Mempertingkatkan Usaha Untuk Mengurangkan Kelahiran Tidak Selamat” pada 13 Mac 2014 yang mengarahkan agar:
    • Semua hospital dan klinik diminta untuk meningkatkan aktiviti promosi kesihatan dan memberikan maklumat yang tepat kepada masyarakat, termasuk memaklumkan kepentingan kelahiran selamat, risiko kehamilan dan kelahiran serta fasiliti tempat bersalin.
    • Semua Pakar Obstetrik/Pakar Perubatan Keluarga/Pegawai Perubatan/Anggota Jururawat yang mengendalikan ibu hamil, adalah diminta untuk berbincang dengan klien dan pasangan beliau mengenai perancangan tempat bersalin berdasarkan status kesihatan klien serta memberi nasihat sewajarnya.

surat pekeliling kelahiran selamat

Apakah tidak ada ruang langsung untuk kelahiran di rumah (homebirth)?

Sudah pasti ada namun beberapa perkara dan syarat-syarat yang perlu dipatuhi sebelum keputusan melahirkan anak di rumah boleh ditimbangkan antaranya:

  • Hanya kes-kes berisiko rendah yang memilih untuk bersalin di rumah, semua anggota terlibat diarah untuk mengendalikan ibu mengikut Garis Panduan Pengurusan Ibu Hamil Yang Memilih Untuk Bersalin Di Rumah dan Garis Panduan Senarai Semak Mengikut Sistem Kod Warna Penjagaan Kesihatan Ibu dan Bayi, KKM.
  • Kehadiran anggota kesihatan yang terlatih adalah diperlukan untuk kelahiran di rumah (termasuk untuk kes risiko rendah).
  • Ini supaya anggota kesihatan tersebut dapat segera bertindak memberi bantuan kecemasan jika terdapat sebarang komplikasi yang mungkin timbul terhadap bayi dan ibu semasa atau selepas kelahiran.

Garis panduan kelahiran selamat

Jadi bagi kes Suri, isteri Pok Din Homibit yang sudah dua kali menjalani pembedahan semasa bersalin dan bayi mereka pula dalam posisi songsang maka kandungannya diklasifikasikan sebagai berisiko tinggi dan tidak digalakkan melahirkan anak kecuali di fasilit kesihatan dengan anggota yang terlatih disisi mereka.

Apakah Doula tidak dibenarkan langsung menemani pesakit semasa bersalin?

Sejak 2012, komponen mother friendly care (MFC) telah dimasukkan dalam Inisiatif Hospital Rakan Bayi (BFHI), dan di dalamnya terdapat elemen menggalakkan ibu untuk mempunyai teman yang boleh bersama sepanjang proses kelahiran untuk memberi sokongan emosi dan fizikal sewaktu melahirkan.

Di sinilah peranan doula boleh diperkasakan dengan kelahiran alami dan selamat di bawah pengawasan staf kesihatan terlatih.

Namun, apa yang berlaku pada hari ini adalah kebanyakan doula ekstremis dalam kes Pok Din Homibit yang memberikan nasihat yang salah kepada seperti kelahiran tanpa staf kesihatan di rumah, menasihati pesakit agar ingkar saranan doktor dan lain-lain nasihat songsang kepada pesakit lalu mengundang risiko bahaya kepada mereka.

Berapa Kes Kelahiran Tidak Selamat Berkaitan dengan Doula?

Statistik oleh Bahagian Pembangunan Kesihatan Keluarga KKM mencatatkan kes kematian ibu dan anak akibat kelahiran tidak selamat berkaitan dengan doula, ada EMPAT iaitu:

  • Dua (2) kes kematian ibu pada tahun 2013; dan

  • Dua (2) kematian bayi (pada tahun 2016 dan 2018)

Apakah ada undang-undang untuk mendakwa Doula Ekstremis di dalam Kes Pok Din Homibit?

Undang-undang yang mengawal selia amalan perbidanan ialah Akta Bidan 1966 [Akta 436], di mana selain daripada doktor, hanya anggota kesihatan yang terlatih di dalam bidang perbidanan dan berdaftar dengan Lembaga Bidan Malaysia sahaja yang boleh mengendalikan kelahiran.

Subseksyen 14(1) Akta 436 memperuntukkan mana-mana individu yang mengamal amalan perbidanan tanpa pendaftaran di bawah Akta tersebut adalah melakukan suatu kesalahan yang boleh dihukum dengan denda tidak melebihi dua ribu ringgit atau pemenjaraan tidak lebih dari satu tahun atau kedua-duanya. Namun begitu, peruntukan kesalahan di bawah Akta 436 tidak mempunyai peruntukan penguatkuasaan dan amnya ia akan dikuatkuasakan oleh pihak polis. Dalam hal ini, kerjasama pihak polis untuk menjalankan siasatan yang terperinci serta mengambil keterangan semua pihak adalah diperlukan.

Sebelum ini pihak KKM telah pun mempertimbangkan tindakan undang-undang melalui Akta Bidan 1966, namun begitu, seringkali doula ekstremis mendakwa bahawa mereka tidak terlibat secara aktif di dalam proses kelahiran seperti yang ditakrif di dalam Akta, sebaliknya hanya memberikan sokongan moral dan motivasi. Penafian juga sering dibuat oleh pasangan yang mendapatkan perkhidmatan daripada doula.

Walaubagaimanapun, sekiranya berlaku komplikasi dan kematian, waris atau wanita yang melahirkan itu sendiri boleh mempertimbangkan tuntutan sivil di mahkamah terhadap doula itu sekiranya terdapat bukti bahawa komplikasi atau kematian adalah akibat tindakan atau kelakuan doula tersebut.

Apakah kes-kes seperti Pok Din Homibit akan berterusan?

Masalah Aurat dan trauma menjalani pembedahan ketika bersalin dan omokan mengenai layanan buruk kakitangan perubatan di hospital menjadi faktor masyarakat kita masih terpedaya dengan pengaruh doula atau peneman kelahiran walaupun khidmat itu tidak pernah diiktiraf di negara ini.

Walaupun perkhidmatan KKM sentiasa berusaha untuk meningkatkan mutu perkhidmatan mereka saban tahun namun pastinya di dalam setiap sistem dan perkhidmatan akan wujud lompong kelemahan.

Melalui lompong inilah akan wujud golongan seperti doula yang memanipulasi keadaan dan mewujudkan ‘solusi’ sementara kepada pesakit.

Begitu juga dengan ekspektasi pesakit terhadap khidmat yang ditawarkan oleh anggota kesihatan dan tawaran meleleh oleh golongan doula yang mendorong pasangan seperti Pok Din Homibit dan Suri untuk mencuba kelahiran tidak selamat.

Oleh itu, kes-kes seperti ini akan berterusan namun bergantung kepada usaha dan program KKM dan keprihatinan masyarakat dalam melindungi komuniti mereka daripada kelahiran tidak selamat.

Kesimpulan

Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan telah mengeluarkan pandangan mereka bahawa berkenaan penggunaan doula ini:

Kami berpandangan penggunaan khidmat doula adalah tidak boleh dilakukan tanpa pemerhatian doktor atau bidan yang terlatih.

Alasan tidak mahu melahirkan anak di hospital kerana isu aurat tidak timbul kini dengan adanya seluar bersalin mesra aurat, hospital-hospital tertentu yang menawarkan khidmat bersalin dengan menutup aurat, disamping perlu difahami bahawa nyawa adalah jauh lebih penting maslahatnya berbanding aurat dalam situasi tersebut.

Selain itu, meyakini bahawa melahirkan anak di rumah adalah mencontohi Maryam alahissalam adalah tidak benar kerana kejadian yang berlaku di zaman tersebut adalah kehendak Allah SWT untuk membuktikan kekuasaan-Nya.

Adapun bagi manusia selainnya, tidak terlepas daripada aspek sabab-musabab-musabbib al-asbab (causality).

مَنْ تَطَبَّبَ، وَلَا يُعْلَمُ مِنْهُ طِبٌّ، فَهُوَ ضَامِنٌ

Maksudnya: “Barangsiapa yang mengubati dan tidak diketahui daripadanya (tidak mahir) ilmu perubatan, maka dia bertanggungjawab (atas apa-apa yang terjadi).”

(Riwayat Abu Daud, no. 2633)

Mulla ‘Ali al-Qari menjelaskan kalimah (وَلَا يُعْلَمُ مِنْهُ طِبٌّ) dengan katanya:

مُعَالَجَةٌ صَحِيحَةٌ غَالِبَةٌ عَلَى الْخَطَأِ فَأَخْطَأَ فِي طِبِّهِ وَأَتْلَفَ شَيْئًا مِنَ الْمَرِيضِ

Maksudnya: “(Dia tidak mengetahui) Rawatan yang sahih, yang kebiasaannya boleh membawa kepada kesalahan. Maka dia tersilap dalam rawatannya dan menyebabkan terjadi sesuatu yang buruk (atau kecacatan/kematian) pada pesakit. (Lihat Mirqat al-Mafatih Syarh Misykat al-Masabih, 6/2293)

Al-Muzhiri menjelaskan,

مَنْ شرع في علم الطب ولا يكون مشهورًا فيه، فإذا عالج مريضًا فهو ضامن

Maksudnya: Barangsiapa yang memasuki ilmu perubatan dan dia tidak menjadi masyhur dalamnya (tidak menguasainya), jika dia mengubat pesakit, dia bertanggungjawab (atas apa-apa yang terjadi).” (Lihat al-Mafatih Syarh al-Masabih, 4/217)

Ini juga satu bentuk peringatan daripada Rasulullah SAW untuk tidak bermudah-mudahan dalam ilmu perubatan sekiranya tidak ada pengetahuan yang cukup mendalam tentangnya kerana ia akan membawa risiko kepada pesakit sendiri.

Adalah diharapkan kes seperti Pok Din Homibit ini dapat dielak agar kematian ibu dan bayi akibat kelahiran tidak selamat dapat dibendung.

Adalah menjadi tanggungjawab kita semua termasuk KKM untuk mewujudkan komuniti yang selamat dan saling melindungi antara satu sama lain.

Katakan TIDAK kepada KELAHIRAN TIDAK SELAMAT.

DAR

#saynotounsafebirth

#scamkesihatan

Rujukan:

  1. https://kpkesihatan.com/2018/02/12/kenyataan-akhbar-kpk-12-februari-2018-isu-tular-kematian-bayi-di-johor-akibat-kelahiran-tidak-selamat/
  2. http://muftiwp.gov.my/ms/bayan-linnas-cat/2292-bayan-linnas-siri-ke-125-hukum-menggunakan-khidmat-doula
  3. http://www.bernama.com/bernama/v8/bm/ge/newsgeneral.php?id=1435673

 

 

Apa Komen Anda?