GribblesDapatkan keputusan saringan Kanser, Kencing Manis, Kolesterol dan banyak lagi sepantas 1-3 Hari sahaja. Hanya di Gribbles

Kisah di Sebalik Keengganan Ibu ini Menvaksinkan Anaknya

“Doktor, kita ada satu kes bayi berumur setahun yang tidak divaksinkan sejak lahir kecuali ketika bayi itu baru dilahirkan.”

Jururawat saya memaklumkan kepada saya selepas mengetuk pintu dan memberi salam.

“Akhirnya…..” balas saya menyebabkan jururawat saya kebingungan kerana respon jawapan saya.

Akhirnya, kes penolakan vaksin menjengah jendela kawasan Badang, sebuah kawasan antara termiskin di Kota Bharu dengan majoriti penduduk Melayunya adalah bekerja buruh atau nelayan kampung.

Bagi penduduk di bandar, sudah kedengaran beberapa kes sebegini kebelakangan ini tetapi kebiasaannya datang daripada keluarga berpendidikan dan ibu bapa yang berjawatan.

“Kes apa Kak Ta(Bukan nama sebenar)?”

“Bayi ini baru keluar daripada hospital minggu lepas. Dia didiagnosis menghidap batuk kokol (Pertussis) oleh pakar kanak-kanak di HRPZ. Pihak hospital minta kita menjadualkan semula vaksinisasi bayi tersebut dan memeriksa keadaan bayi ini selepas didiscaj daripada hospital. Ini surat rujukan daripada pihak hospital”

Bayi tersebut hampir menemui ajal namun umurnya masih panjang.

“Bagaimana ibubapanya? Adakah mereka setuju untuk vaksin anak mereka?”

“Hmm……….itu yang susah doktor. Mereka masih tidak bersetuju” Balas jururawat saya dalam nada yang sedih.

“Baiklah, boleh jemput mereka untuk berjumpa dengan saya? Saya perlu bercakap dengan mereka.”

“Insyallah kami sedaya upada memujuk ibubapanya.”

Selang beberapa jam menuju pengakhiran waktu kerja saya, jururawat saya memaklumkan kepada saya bahawa mereka bejaya memujuk ibu bayi tersebut.

Kemudian, melangkah masuk seorang wanita bertudung labuh mendukung anaknya yang kecil itu ke bilik saya ditemani jururawat kami. Saya mengenalinya kerana saya juga yang menjaga kandungannya ketika dirinya mengandung. Pesakit yang tidak banyak masalah.

“Assalamualaikum Puan Aida (Bukan Nama Sebenar). Apa khabar puan? Bagaimana keadaan anak-anak?”

Saya memulakan bicara.

“Waalaikumsalam WBT. Sihat.” Ringkas sahaja balasnya sambil tiada eye contact antara kami.

“Puan, kami difahamkan anak puan telah dimasukkan ke hospital selama beberapa hari dan dirawat kerana menghidap batuk kokol. Bagaimana keadaannya sekarang?”

“Masih demam dan batuk-batuk?”

“Dia ok.” Sekali lagi, ibu muda itu menjawab ringkas sambil mulut muncung ke depan.

“Saya faham, kenapa doktor minta saya datang berjumpa hari ni. Saya nak bagi tahu bahawa saya tak mahu vaksin anak saya ni.”

Tiba-tiba suhu bilik kami menjadi panas walhal penyaman udara kami bersuhu 20 darjah celcius. Saya juga menjadi panas punggung mendengar jawapannya.

Tenang anak muda, tenang…..bisik hati saya.

“Maafkan saya puan jika saya bertanya. Salah satu tanggungjawab saya adalah membantu pesakit menyelesaikan masalah. Boleh puan kongsikan dengan kami, mengapa puan enggan menvaksinkan anak bongsu ini sedangkan abang dan kakaknya seramai empat orang, semuanya divaksin. Kami sudi mendengarnya.”

“Semua orang tak faham keadaan saya” jawab wanita tersebut.

Kemudian, air mata berlinangan di pipinya dan dia menangis teresak-esak. Suasana hening seketika.

Saya memberikannya ruang untuk melepaskan emosi yang terpendam di benak dada. Selepas saya menghulurkan tisu muka, dia kembali berbicara,

“Doktor di hospital sedaplah sinis saya, kata saya tak sayang anak, kata saya nak bunuh anak dan macam-macam lagi. Set dio bukan tahu masalah saya.”

“Maaf mencelah puan, boleh saya tahu apakah masalah yang puan alami kini?”

“SAYA TAK MAHU JAGA ANAK INI” balasnya yang masih hiba.

Terkejut kami mendengarnya. Oh God, what happen?

“Puan, melihat kepada raut wajah puan yang kelihatan stress, maaf jika saya bertanya adakah puan mengalami masalah rumahtangga?”

“Benar doktor….”kali ini pertama kali dia memandang wajah saya.

“Biar saya meneka, puan mengalami keretakan rumahtangga kerana suami tidak bertanggungjawab. Suami mengabaikan puan dan anak-anak. Maaf jika tekaan ini salah, suami puan juga mungkin bermain kayu tiga.”

Terkejut dia dengan tekaan saya tersebut.

“Semuanya benar belaka…”

“Puan tidak mahu anak ini bukan kerana puan tidak sayang kepadanya tetapi kerana puan stress dengan sikap suami dan mempunyai anak kecil menambah beban serta tekanan jiwa kepada puan.”

Dia menangguk setuju sambil kepala tertunduk.

Pastinya anda juga tertanya bagaimana saya boleh mengetahuinya?

Saya banyak berborak dengan pesakit dan selalu cuba memahami masalah pesakit saya. Bacaan demographic saya, kebanyakan punca masalah pesakit di Badang adalah masalah sosial dan ekonomi.

Sosial seperti masalah rumahtangga kerana suami tidak mempunyai pendapatan tetap tetapi keluarga yang besar. Anak-anak membesar tanpa secukup kasih sayang lalu menimbulkan masalah sosial yang lain.

Ekonomi contohnya kebanyakan pesakit adalah miskin maka mereka menghadapi kekangan untuk hadir ke klinik kerana tiada kemudahan pengangkutan dan jika ada pun, tiada wang untuk ke klinik.

Rata-rata pesakit yang saya kaunseling atau nasihatkan serta selepas memberi solusi praktikal, mereka biasanya setuju dan berkerjasama untuk mengoptimumkan kesihatan mereka.

Selepas beberapa hela perkongsian masalah bersama saya serta pemeriksaan ke atas bayinya. Masih kedengaran bunyi desiran (crepitation) yang sedikit pada paru-paru bayi. Namun, yang lain semuanya ok dan bayi juga kelihatan aktif serta sihat.

“Baiklah puan, kami akan membantu sedaya upaya yang mampu. Ada beberapa perkara yang ingin saya tekankan di sini.”

“Pertama, anak puan perlu divaksinkan kembali. Ini kerana dia baru sahaja menghidap batuk kokol dan tidak mustahil akan mendapatkannya sekali lagi. Saya pasti puan tidak sanggup melihatnya menderita di wad dan puan sendiri menghadapi masalah di hospital lagi.”

“Puan juga perlu sedar bahawa batuk kokol adalah salah satu penyakit berjangkit yang merbahaya. Vaksin bukanlah ubat tetapi sebagai salah satu cara perlindungan dan pencegahan. Oleh itu, jika kita tidak bertindak segera, kami khuatir, kuman batuk kokol akan merebak bukan sahaja ahli keluarga tetapi mungkin jiran dan tidak mustahil membawa maut kepada bayi lain.”

“Vaksin yang diberikan akan meminimakan proses jangkitan tersebut dan juga melindungi anak puan serta anak-anak lain di persekitaran rumah puan.”

“Tetapi doktor, jika saya tidak mahu vaksin juga bagaimana? Bagaimana jika saya berubat secara tradisional atau dengan makanan sunnah?”

“Boleh puan dengan lima syarat.”

“Syarat pertama, puan tidak tinggal bersama perokok atau kawasan yang bebas asap rokok. Asap rokok boleh menyebabkan paru-paru anak puan menjadi tidak sihat. Juga boleh mengaktifkan kembali kuman-kuman yang lemah di dalam paru-parunya.”

“Kedua, puan tidak dibenarkan membawa anak ini ke kawasan awam seperti pasar, shopping mall atau mana-mana tempat tumpuan awam. Ini kerana, dikhuatiri kuman batuk kokol akan menjangkiti bayi lain atau kuman yang lebih kuat menjangkiti anak puan.”

“Ketiga, puan tidak dibenarkan mengambil makanan yang siap diproses. Ini kerana makanan proses adalah tidak sihat. Daya ketahanan badan, datang daripada sumber vitamin dan mineral tumbuhan, buah-buahan dan produk makanan yang segar. Tidak boleh makanan fast food seperti KFC, makanan di gerai yang mengandungi banyak Ajinomoto dan sebagainya.”

“Keempat, puan perlu ikut displin pemakanan sunnah yang ketat dan gaya hidup yang sihat. Maksudnya banyakkan makan kurma, minyak zaitun, sayur dan buah-buah segar serta bersenam.”

“Akhir sekali, puan perlu pastikan kawasan tempat tinggal dan kampung bersih dan bebas pencemaran. Pencemaran/ tempat tinggal yang kotor mengundang pembiakan bakteria atau kuman yang merbahaya kepada kesihatan.”

Ibu muda itu tertunduk mendengar penjelasan saya.

“Syarat-syarat itu ternyata sukar saya penuhi tuan doktor. Terutamanya kerana suami saya perokok.”

“Baiklah puan seterusnya, kami akan rujuk puan ke pakar kerana puan mempunyai tanda-tanda awal depresi. Namun yang lebih merisaukan kami adalah penjagaan ke atas anak-anak puan.”

“Saya mencadangkan sekiranya puan tidak mahu anak ini maka silalah berikan kepada keluarga lain yang sudi menjaganya. Jangan biar anak tidak berdosa ini menderita kerana masalah kita.”

Terbeliak matanya mendengar cadangan saya.

“Puan, cadangan penyerahan untuk dijaga pada keluarga lain ini hanyalah sehingga masalah puan selesai. Kami perlu pastikan anak ini sihat dan kami khuatir sebarang kejadian buruk bakal berlaku keatasnya. Puan sendiri yang kata tadi puan tidak mahu menjaganya.”

Saya mengujinya.

“Eh, insyallah saya boleh jaganya lagi.” balasnya segera.

“Baiklah saya pegang janji puan. Ingatlah, anak ini pinjaman Allah kepada kita maka jagalah ia sebaiknya. Lebih banyak kasih sayang, kebaikan dan didikan yang kita berikan kepada mereka, lebih banyak rahmat dan kebaikan yang masuk ke dalam keluarga kita.”

“Boleh saya minta tangguh dulu jawapan tentang vaksin tersebut. Saya perlu berbincang dengan suami.” tanya ibu muda tersebut.

“Maaf puan tetapi saya tidak nampak perbincangan itu akan membuahkan hasil dengan masalah hubungan suami-isteri yang puan hadapi sekarang ini. Saya mencadangkan puan memaklumkan kepada suami bahawa dia perlu berjumpa dengan saya untuk penjelasan lanjut. Let me do the talk.”

“Baiklah doktor. Nanti saya maklumkan kepadanya segera.” jawapnya.

“Ada apa-apa lagi yang puan ingin tanya kepada kami?”

“Insyallah tiada doktor. Saya berpuas hati dengan penerangan doktor.”

“Puan, itu adalah tugas saya. Skop tugas saya ini bukan sahaja merawat kesihatan tetapi juga kadang-kadang menjadi kaunselor masalah rumahtangga dan bermacam-macam lagi. Al maklumkan doktor kampung.”

“Hihihi…….” Akhirnya terukirlah senyuman di wajahnya.

Senyuman pertama sejak dia melangkah masuk. Wajah kelegaan jelas di mimik mukanya. Beban dipundak terasa ringan selepas meluahkan segala perasaan yang terbuku di hati.

Dalam etika perubatan, para petugas kesihatan wajib memahami kata-kata ini:

“Seek First to Understand and then to be Understood” 

Kata-kata yang dipopularkan oleh Stephen Covey di dalam buku famousnya ‘7 Habits of Highly Effective People’ ini tidak terikat dalam ruang lingkup kesihatan sahaja bahkan keseluruhan kehidupan kita.

Jangan mudah berprasangka.

Bersangka baik dan bertanya dahulu.

Dapatkan jawapan kepada persoalan bukan prasangka.

Insyallah Kebahagiaan akan mengekori kita nanti.

 

#DAR

Apa Komen Anda?