Kisah ‘Snake Oil Salesman (SOS)’ di kalangan Bani Melayu.

Kisah ‘Snake Oil Salesman (SOS)’ di kalangan Bani Melayu.

*****
 
Salesman: Makcik beli produk supplemen ambo ni, 1001 penyakit pasti sembuh. Sudah berpuluh orang cuba dan alhamdulillah, berkat tawakal mereka kini mereka dah tak perlu makan ubat pon.
 
Dulu customer saya, ramai yang sakit kencing manis, darah tinggi, gout, buasir, sakit lutut, sakit otak dan sakit hati dengan ubat doktor sebab tak sembuh-sembuh.
Penyakit makcik ini pon, insyallah akan hilang selepas diamalkan berterusan. Ubat doktor pon murah-murah jadi biasanya tak berkesan. Ubat saya mahal dan berkualiti tinggi. Siap ada logo halal negara Zimbabwe dan dikilangkan di kilang berstatus JMP (Janji Mudah Pitih).
 
Z - Kisah ‘Snake Oil Salesman (SOS)’ di kalangan Bani Melayu.
Makcik: Betul juga cakap ko ni nak. Bui sekotak mokcik nok try. Hok stokin ni gapo dio pulok? Supo stokin musim sejuk jah tebalnya.
 
Salesman: Eh ni stokin berteknologi tinggi buatan Estonia mek. Bila pakai, mokcik akan rasa badan segar, jantung berdegup dengan seiring seirama, minda rasa tenang dengan kata lain booster untuk pill mujarab saya ni.
 
Harga RM2000 jah mokcik. Muroh doh ni. Kalo ore lain, ambo minta RM4000 tapi untuk mokcik hargo spesel diskaun 50% selaluh.
 
Makcik: Hoh molek benor tu. Acu bui sini, mokcik nok try gak skalo. Bosan ngadap ubat doktor tiap-tiap hari. Kaki koho dok raso gapo.
 
Salesman: Ye doh mokcik, ubat doktor bahaya untuk buah pinggang. Ramai saing ambo pah makan ubat doktor koho kena cuci buah pinggang. Bila ambo bui produk supplemen tambah pakai stokin ni memang ramai call balik ambo.
 
Makcik: Bakponya call demo balik?
 
Salesman: Set dio ucap tahniah mokcik. Goyat timo kasih ke ambo sebab bui cuba produk ni. Lo ni rasa segar, ada yang takdok masalah terus pah guno.
 
Ni ambo tunjuk ko mokcik, testimoni-testimoni produk ambo oleh pelanggan yang puas hati.
 
Makcik: Eh Mek Nab pon ado dalam testimoni ni.Tapi Mek Nab mati doh minggu lepas di hospital.
 
Salesman (cuak sedikit): Innalillah. Itulah. Ambo pesan doh ke arwah, makan produk ambo, jangan make ubat doktor. Nanti banyak masalah campur ubat.
 
Makcik: Uish, takut mokcik dengar. Bui 3 botol campur sepasang stokin. Nak cuba etek. Boleh bayar ansuran dulu?
 
Salesman pulang dengan girang kerna komisyen masyuk bakal menanti. Mokcik pula bakal gering tak lama lagi kerna terpedaya dengan helah Salesman lalu meninggalkan nasihat doktor dan mempercayai kata-kata si scammer kesihatan.
 
============

Selepas 3 bulan

===========
 
Di bilik kecemasan Klinik Kesihatan,
 
Tabib moden: Eh bakpo ni mokcik? Dado sekok? Dok lepah nyawo? Tekanan darah 250/140. Gula pula 31.9, kaki kiri dah berlubang teruk dan bernanah. Mata koho gelap. Dok amik satu pon ubat saya……..aduh, berat nanang ni.
 
Mokcik mengerang kesakitan,memegang erat dadanya dan mengangguk setuju dengan segala nasihat doktor untuk dibawa ke hospital.
 
Mokcik didiagnosis dengan Darah Tinggi tahap Kecemasan bersama Serangan Sakit Jantung serta kebarangkalian Diabetic Ketoacidosis atau paras acid ketone yang tinggi di dalam badan.
 
====

SOS

====
 
Ramai salesman atau agen kesihatan tidak bertauliah yang menjadi parasit masyarakat, menghisap duit daripada kesengsaraan orang lain dan tidak bertanggungjawab ke atas produk kesihatan yang dijual.
 
Namun, ramai juga pesakit yang terdesak dan sering menjadi mangsa-mangsa penipuan ini.
 
Snake Oil Salesman (SOS) adalah gelaran diberikan kepada penjual produk scam kesihatan sejak kurun ke 19.
 
SOS di AMerika
Sejarahnya bermula apabila kaum Cina yang dibawa ke Amerika untuk membuat landasan keretapi di sana turut membawa masuk minyak ular sebagai rawatan melegakan sakit sendi dan lenguh badan.
 
Produk minyak ular itu pada asalnya diekstrak daripada ular air China atau nama saintifiknya adalah Myrrophis chinensis sebagai penawar kerana tinggi Omega 3 Fatty acid yang mempunyai pelbagai khasiat kesihatan menurut perubatan tradisional Cina.
 
Kemudian, pekerja Cina berkongsi produk minyak kepada orang Barat dan mereka amat teruja dengan keajaiban produk minyak ular tersebut lalu dikomersilkan. Walau bagaimanapun, akibat persaingan dalam perniagaan produk kesihatan di Barat maka wujud penipuan dan pelbagai dakwaan demi melariskan jualan produk tersebut.
 
Lama kelamaan, tiada lagi kandungan minyak ular kecuali campuran herba atau air semata-mata dan bersulamkan taktik pemasaran, mereka menjual produk scam tersebut.
 
Sejak daripada itu, produk-produk scam / penipuan kesihatan digelar Snake Oil.
 
Di Barat, SOS membawa caravannya bergerak dari satu bandar ke bandar lain menjual produk scam kesihatan. Mereka tidak akan tinggal dalam tempoh yang lama kerna bimbang masyarakat akan mengetahui penipuan mereka.
SOS bersama Caravan melawat bandar ke bandar
Pada zaman moden ini, modus operandi mereka juga semakin hebat.
 
Produk ‘Hit and Run’ adalah salah satu contoh evolusi SOS pada hari ini.
 
Di samping penggunaan teknik pemasaran ampuh, produk scam mereka kononnya disandarkan ke atas kajian saintifik (hakikatnya kajian tidak berkesan atau kajian ke atas haiwan/makmal sahaja), atau natural / tiada bahan kimia.
 
Bahkan mereka sanggup melabur wang membeli pangkat doktor dan mencari darjat sosial untuk mengaburi mangsa.
 
Lebih malang, anggota profesional seperti doktor turut dipergunakan untuk menyalahi etika mereka dan menjual produk scam kesihatan serta menjadi SOS berkolar putih.
 
Lebih parah, agama juga dijadikan tunggangan oleh golongan SOS untuk melariskan penjualan.
 
Kitaran penipuan ini sama sahaja dengan sejarah lalu dan akan berterusan sehingga masa hadapan.
 
Mengapa?
 
Penipu akan mewarisi kemahiran penipuannya kepada orang lain.
 
Apakah kita telah menjadi mangsa atau bakal mangsa seterusnya?
 
Be smart,
Be aware,
Be careful.
 
Sila kongsikan artikel SOS ini ye.
 
Dr Afiq Rahim
 
#DAR
#MedTweetMy
#MedicalMythBustersM3
 
Rujukan:
Graber, C (2007-11-01). “Snake Oil Salesmen Were on to Something”. Scientific American. Retrieved 2011-12-04.
 
Kunin, R A (August 1989). “Snake oil”. Western Journal of Medicine. 151 (2): 208. ISSN 0093-0415. PMC 1026931 . PMID 2773477.
 
https://www.scientificamerican.com/article/snake-oil-salesmen-knew-something/
 
https://www.npr.org/sections/codeswitch/2013/08/26/215761377/a-history-of-snake-oil-salesmen

Apa Komen Anda?

Leave a Reply

Your email address will not be published.