GribblesDapatkan keputusan saringan Kanser, Kencing Manis, Kolesterol dan banyak lagi sepantas 1-3 Hari sahaja. Hanya di Gribbles

Kita bekerja untuk ISLAM

Perbalahan, pertelingkahan dan konflik di antara persatuan, jemaah atau badan yang menggunakan nama Islam seringkali berlaku setelah kehadiran pelajar-pelajar baru ke UK dan Ireland.

Setiap tahun, acap kali kedengaran keluhan daripada sahabat yang kecewa dengan sikap sesetengah individu, marah dengan tindakan tidak profesional sahabat yang lain, tidak puas hati jika persatuan/jemaahnya tidak diberikan peluang dan berbagai-bagai lagi.

Gambar sekadar hiasan

Budaya tidak sihat ini sukar dibendung malahan telah berpuluh tahun menjadi barah kepada kesatuan hati mahasiswa dan mahasiswi Islam di sini. Di luar nampak semuanya ok tetapi di hati hanya Allah yang tahu.

Saya risau melihat penularan virus yang lebih buruk daripada virus selsema ‘lembu katik’ ini.

Hakikat ini jarang berlaku di peringkat atasan. Mungkin mereka di peringkat atasan jemaah / persatuan / badan Islam memahami pengertian sebenar bekerja untuk Islam dan mungkin juga mereka malas melayan kerana mereka sendiri pernah mengalaminya suatu ketika dahulu.

Sahabat-sahabatku,

Untuk apa kita bertelingkah tentang perkara ini. Banyak lagi kerja dakwah yang kita perlu buat. Perjalanan masih jauh selagi taghut tidak tumbang menyembah bumi.

Kerjasama di antara kita tidak semestinya melaksanakan program bersama. Jika ada perkara yang boleh dijalankan bersama kita cari caranya. Jika tidak, cukuplah dengan cara sokong-menyokong, tolong menolong dan prihatin dengan program-program anjuran persatuan, jemaah atau badan Islam yang lain selagi tidak terpesong daripada tuntutan syarak.

Sebagai contoh:

1. Jika seorang mahasiswa tidak mahu ke PUISI, pastikan dia pergi ke PMS atau FUIYO. Jangan dibiar dirinya kosong mengigil kesejukan sepanjang musim sejuk. Begitu juga sebaliknya.

2. Jika dia tidak mahu mengikuti usrah MSM / PPIMI, jangan dihalang sahabat itu mengikuti usrah yang lain. Yang penting sahabat itu mengikuti usrah kerana di situ dia mengenali Islam bukan maksiat.

Boikot, sabotaj, merendahkan kredibiliti persatuan lain, menghasut sahabat lain membenci jemaah atau badan Islam yang lain adalah perbuatan tidak matang bagi seorang yang bergelar mahasiswa dan lebih memalukan buat mereka yang bergelar MUSLIM.

Di pihak musuh yang fobia dengan Islam atau membenci Islam :

Mereka bergelak sakan, berdansa kerana berjaya melaga-lagakan kita, mabuk dengan keindahan dunia kerana kita sibuk fokus pada target group kita, berhimpit-himpit di antara arak dan zina dan pelbagai kegiatan maksiat yang lain.

Wahai pejuang-pejuang agama Allah,

Janganlah kita terlalu taksub kepada persatuan / jemaah / badan Islam yang kita sertai sehingga tidak rasional dalam bertindak. Sebaliknya, taksublah dalam mengejar Mardhatillah iaitu keredhaan Allah. Jika anda sayang persatuan / jemaah / badan Islam anda maka laksanakan amanah yang diberikan dengan sebaiknya.

Persatuan, jemaah, badan atau yang sewaktu dengannya hanyalah wasilah atau cara untuk mempermudahkan kerja dakwah. Inilah cara yang memberi kita peluang menyemai benih takwa di dunia untuk di tuai di hari akhirat.

Jika kita berlumba-lumba membuat kebaikan, janganlah kita tolak-menolak semasa perlumbaan, sebaliknya kita pimpin sahabat-sahabat yang lain  sehingga kita sama-sama melintas ke garisan penamat iaitu di pintu SYURGA ciptaan Yang Maha Esa.

Kita tidak tahu bila kita akan terbabas ketika berlumba. Maka pandulah dengan berhemah dan bijaksana.

Marilah kita bermuhasabah dan memperbetulkan niat kita berdakwah selama ini kerana apa dan untuk apa. Mudah-mudahan Allah mengampuni kesalahan kita yang lalu.

Rapatkan saf dan mantapkan ukhuwah sesama kita.

– Lets build a new BRIDGE –

Presiden PPIMI,

Dublin 8, Ireland

Apa Komen Anda?

3 Comments