GribblesDapatkan keputusan saringan Kanser, Kencing Manis, Kolesterol dan banyak lagi sepantas 1-3 Hari sahaja. Hanya di Gribbles

[MEMBETULKAN FAKTA ‘ISU VAKSIN’ YANG DIJELASKAN USTAZ AZHAR IDRUS DI DALAM VIDEO BERTARIKH 1 JULAI 2016]

[MEMBETULKAN FAKTA ‘ISU VAKSIN’ YANG DIJELASKAN USTAZ AZHAR IDRUS DI DALAM VIDEO BERTARIKH 1 JULAI 2016]
.
Alhamdulillah, baru-baru ini saya sekeluarga mengikuti sebuah program qiyamulail perdana di sebuah masjid besar di sini. Program besar-besaran ini turut disertai oleh para VVIP, saf kepimpinan kerajaan negeri dan turut dimeriahkan dengan ceramah perdana oleh Ustaz Azhar Idrus, penceramah terkenal yang tidak asing lagi.
.
Program tersebut dihadiri oleh ribuan jemaah daripada pelbagai latar belakang sosioekonomi. Daripada yang kecil sehingga pakcik makcik yang bertongkat. Daripada golongan bangsawan sehingga fakir miskin serta asnaf yang dijemput khas.
.
Akan tetapi kami agak kesal dengan aturcara majlis pada malam 27 Ramadan itu. Mana tidaknya, solat Isyak TERPAKSA ditangguh sehingga jam lebih kurang 1030 malam gara-gara terpaksa menunggu orang kenamaan hadir untuk solat bersama.
.
Akibatnya perjalanan majlis tertangguh lebih dua jam. Sejurus selepas solat Isyak, ibadah pada malam itu disambung dengan solat terawih 20 rakaat yang selesai sekitar jam 12 tengah malam. Kemudian tentatif disambung dengan ceramah oleh ustaz selebriti dan pendakwah terkenal tanah air, Ustaz Azhar Idrus.
.
Semasa sesi soaljawab bersama beliau, ada ahli jemaah bertanyakan soalan tentang kewajiban menvaksin. Memandangkan ianya isu yang sedang hangat diperkatakan pada masa ini samada di dada-dada akhbar mahupun di media sosial.
.
AL fadhil Ustaz Azhar Idrus (UAI) memberikan penerangan sedikit tentang apa itu vaksin, penjelasan dan disusuli dengan ulasan beliau tentang isu hangat tersebut.
.
Walau bagaimanapun, wujudnya beberapa percanggahan fakta tentang vaksin di dalam penerangan al fadhil ustaz yang mana saya rasa perlu diperbetulkan bagi mengelakkan kekeliruan kepada orang awam.
. 13507092_10153542905636237_873488082679447693_nSebelum itu, ingin saya nyatakan bahawa saya amat menghormati ketokohan dan keilmuan al fadhil UAI. Saya telah mengikut siri ceramahnya samada di dalam Youtube mahupun ke layar realiti sejak di zaman universiti di Ireland lagi.
.
Sifat tawaduq, istiqamah dalam menyampaikan ilmu bermanfaat dan tsiqahnya amat saya kagumi. Beliau antara contoh teladan yang baik buat para pendakwah dengan metadologi dakwah yang berkesan, melekat di minda dan dekat di hati para mad’unya.
.
Di bawah ini, saya kongsikan beberapa poin yang disebut oleh beliau semasa ceramah pada malam tersebut bersama beberapa pembetulan fakta.
.
Soalan yang diajukan kepada beliau adalah “APAKAH HUKUMNYA AMBIL VAKSIN?”
.
=====
ISU 1: VAKSIN ADALAH PILIHAN
=====
.
Menurut al-fadhil UAI di dalam ceramah tersebut, Rasullullah SAW mengarahkan kita, jika kita sakit maka kita perlu berubat. Tatabahasa ini adalah fe’el ammar yang bermaksud arahan. Jadi kewajiban untuk kita berubat bila jatuh sakit.
.
Akan tetapi suruhan ini mengandungi 3 hukum. Dalam hal vaksin, wujudnya 3 hukum dalam hal ini iaitu harus, sunat dan wajib selari dengan tuntutan berubat yang diarahkan baginda nabi. Bagi yang mahu vaksin, tiada masalah, bagi yang tidak mahu vaksin juga tidak ada masalah dan tidak berdosa. Tidak perlu berbaloh pesan ustaz.
.
——
Ulasan
——
.
Saya ingin merujuk kata-kata Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, Naib Ketua Ulama Sedunia semasa pertemuannya bersama Dr Suhazeli, Pakar Perubatan Keluarga yang menyebut:
.
“Vaksin adalah darurah, mesti diambil! Percayalah kepada orang yang ahli dalam bidang ini,” tegas beliau di dalam pertemuan tersebut. [1]
.
Para ulama sedunia dan Malaysia sudah banyak kali berbincang perihal kewajiban vaksin dan berkali-kali memperbaharui resolusi ke atas penggunaan vaksin. Suntikan vaksin adalah satu keperluan asasi pada masa ini dengan pengesahan dari pakar-pakar perubatan muslim yang berwibawa dan diakui oleh para alim ulamak [2]. 13528963_10153545896751237_3293854558444474359_n.
Islam mengarahkan ummatnya agar merujuk kepada yang ahli/pakar di dalam merungkaikan sesuatu isu. Setelah merujuk kepada pakar dalam bidang tersebut, para ulamak memutuskan bahawa kerajaan berhak mewajibkan suntikan vaksin tersebut ke atas rakyat dengan bertujuan untuk mencegah kemudoratan kepada umat Islam.
.
Usaha ini tidaklah boleh dianggap penyelewengan dalam pegangan akidah, bahkan sebaliknya ia selari dengan arahan nabi Muhammad SAW yang menyuruh ummatnya agar merawat penyakit yang dihadapi.
.
=====
ISU 2: VAKSIN SEBAGAI UBAT BUKAN PENCEGAH
=====
.
Semasa ceramah tersebut juga, al fahil UAI memberitahu bahawa vaksin boleh diberi untuk mencegah penyakit atau sebagai ubat yakni selepas kita mendapat penyakit.
.
Sebagai contoh, jika kita disengat binatang berbisa seperti ular maka vaksin akan diberi kepada kita untuk merawatnya.
.
——
Ulasan
——
.
Ubat yang diberikan selepas penyakit terjadi bukanlah vaksin. Ianya boleh digelar dengan antibiotik, anti-viral, anti-kulat, anti-venom dan bermacam-macam gelaran lagi.
.
Definisi vaksin menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) adalah penyediaan melalui proses biologi bagi meningkatkan sistem IMUNITI badan untuk melawan penyakit tertentu. [3]
.
Vaksin digunakan untuk mencegah penyakit merbahaya dengan cara menguatkan immuniti badan dan bukan dengan cara merawat penyakit. 13438931_10153556734336237_7502281541825239542_n.
Merujuk kepada contoh yang diberikan oleh al-fadhil UAI, ubat yang diberikan selepas dipatuk binatang berbisa dinamakan anti-venom dan bukannya vaksin di dalam bidang perubatan. Ianya berfungsi melawan bisa binatang tersebut dan bukan menguatkan antibodi atau meningkatkan sistem immuniti badan.
.
=====
ISU 3: JIKA SUDAH ADA PENAWAR MAKA TIDAK PERLU VAKSIN
=====
.
Di dalam ceramah tersebut juga, al-fadhil UAI juga ada mengutarakan pandangannya tentang isu penyakit merbahaya. Pada zaman dahulu vaksin dicipta kerana tiada penawar untuk penyakit merbahaya. Jadi nak elak penyakit maka perlu diberikan vaksin. Kini ada penyakit yang mempunyai penawarnya.
.
Lalu ustaz mengutarakan soalan, adakah kita masih perlu vaksin jika sudah dijumpai penawarnya?
.
Ustaz memberitahu sekiranya sudah ada penawar untuk penyakit tersebut, maka tidak perlu diberikan suntikan vaksin.
.
—–
Ulasan
—–

13507250_10153542905731237_2604235688077443048_nBaru-baru ini kita digemparkan dengan kes kematian empat orang kanak-kanak kerana penyakit Difteria dan angkanya kian bertambah saban hari.
.
Difteria adalah penyakit yang satu ketika dahulu berjaya dibasmi melalui program immunisasi kebangsaan. Akan tetapi, kini penyakit tersebut kembali menyerang manusia akibat kealpaan dan kedegilan segelintir manusia.
.
Vaksin dan penawar adalah dua perkara berbeza. Vaksin mencegah manakala penawar untuk merawat.
.
Ya memang benar, pihak kesihatan mempunyai garis panduan merawat dan menguruskan penyakit-penyakit berjangkit seperti Difteria, Campak, Polio dan lain-lain.
.
Namun, mengapa pihak kesihatan serius dan tetap menekankan vaksin?
.
Ini kerana kami ingin mengelakkan berlakunya komplikasi penyakit berjangkit ini yang lebih serius dan merbahaya kepada bayi seperti kecacatan anggota badan, masalah pernafasan jangka panjang dan pelbagai lagi. Ini adalah mudarat yang besar bagi kanak-kanak.
.
Melihat bayi-bayi kecil yang menderita kerana penyakit berjangkit ini di wad-wad ICU atau NICU pasti akan meruntun jiwa sesiapa sahaja.
.
Itu belum diambil kos rawatan untuk merawat dan menyelamatkan kanak-kanak yang ditimpa musibah penyakit berjangkit. Bayangkan jika seorang pesakit sahaja kos rawatan mencecah puluhan malahan ratusan ribu ringgit, bagaimana pula jika anggaran kos yang perlu ditanggung kerajaan bagi ratus atau ribuan mangsa penyakit berjangkit akibat wabak.
.
Sudah pasti apabila berlakunya wabak yang tidak terkawal maka kos rawatan meningkat dengan mendadak dan penyakit tersebut akan membebankan ramai pihak.
.
Oleh itu, dengan merujuk kepada Deklarasi Persidangan Fekah Sedunia 2009, Majmak Fiqh sedunia telah mengeluarkan deklarasi mengggesa kementerian kesihatan dalam negara ummat Islam untuk melancakan kempen suntikan vaksin bagi menyelamatkan kanak-kanak dari penyakit yang merbahaya bagi mengelak mudarat yang lebih besar kepada umat[4]
.
=====
ISU 4: SYARAT-SYARAT DIBENARKAN VAKSIN
=====
.
Al Fadhil ustaz turut menyampaikan empat syarat sebelum boleh diberikan vaksin yang tidak halal kepada seseorang menurut para ulama. Syarat-syaratnya adalah:
.
i – Tidak ada ubat/penawar lain
ii – Tidak ada vaksin daripada sumber yang suci maka vaksin daripada sumber yang haram adalah dibenarkan.
iii – Ianya untuk melawan penyakit merbahaya bukan penyakit biasa-biasa.
iv – Penyakit itu wujud
.
—–
Ulasan
—–
.
Semua vaksin yang digunakan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) adalah berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD).
.
Vaksin-vaksin ini telah dinilai mengikut keperluan piawaian antarabangsa termasuk Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dari aspek kualiti, keselamatan dan keberkesanannya (efikasi). Dengan erti kata lain, vaksin yang diberi di Malaysia Insyallah benar-benar selamat dan berkualiti.
.
10 vaksin yang perlu diberi ke atas bayi di dalam rancangan program immunisasi kebangasaan di premis kesihatan KKM adalah bebas dari DNA babi.[5]
.
Cuma yang menjadi pertikaian adalah hanya 2 jenis vaksin iaitu Polio dan Rubella. Ini kerana tapak semaian kuman kedua-duanya adalah di janin dan ginjal monyet.
.
Walaupun begitu, tapak semaian tersebut hanya digunakan semasa pembiakan, kemudian hanya kuman yang petik, disulingkan, dibersihkan agar kuman menjadi tulen sebelum dilakukan proses nyahaktif atau teknik rekombinan. Satu proses yang teliti secara berperingkat serta kompleks di dalam makmal dengan prosedur ketat.
.
Menurut para ulama, vaksin yang mengandungi bahan yang diharamkan ataupun ia najis pada asalnya akan tetapi ia telah dirawat dengan bahan kimia ataupun ia telah dicampur dengan bahan-bahan lain yang menukarnya dari namanya kepada ciri bahan yang diharuskan penggunaannya. Inilah yang dipanggil sebagai proses istihalah (proses perubahan kepada halal) serta mempunyai kesan-kesan yang bermanfaat.
.
Vaksin kategori ini tidak syak lagi diharuskan penggunaannya. Ini kerana proses transformasi yang berlaku telah mengubah nama dan sifatnya telah mengubah hukumnya lalu boleh untuk digunakan.[6]
.
=====
ISU 5: ISU KEWUJUDAN PENYAKIT MERBAHAYA
=====
.
Timbul persoalan berkenaan kewujudan penyakit kata al fadhil ustaz. Ada pihak mendakwa penyakit masih wujud maka perlu diberi vaksin. Ada satu pihak pula mendakwa, penawar bagi penyakit merbahaya sudah ada, maka tidak perlu vaksin.
.
Oleh itu ustaz menjawab, jika ada pihak mahu mencegah dan berlindung daripada penyakit bahaya maka boleh mengambil vaksin manakala jika ada pihak yang mahu tunggu sehingga anaknya jatuh sakit, kemudian ke hospital untuk berubat dengan penawarnya maka tidak ada masalah untuk tidak vaksin. Tidak perlu berbaloh.
.
——
Ulasan
——
Isu ini adalah lebih kurang sama dengan isu ke-3 yang diutarakan di atas tadi. 13507234_10153542951711237_4720519558492526565_nKami di bahagian kesihatan sangat mengutamakan konsep perubatan ini yang mana turut digalakkan di dalam agama Islam iaitu:

“Mencegah itu lebih baik daripada merawat”

=====
Isu 6: Teori Konspirasi Yahudi Melemahkan Umat Islam
=====
.
Akhir sekali, al-fadhil ustaz berpesan agar kita berhati-hati dengan konspirasi Yahudi dan Nasrani yang ingin melemahkan umat Islam.
.
Kemudian sesi soal jawab disambung dengan soalan lain pada malam itu.
.
——
Ulasan
——
.
Kami amat menyokong kenyataan ini. Umat Islam diminta berhati-hati dengan agenda Yahudi dan Nasrani di dalam usaha mereka melemahkan dan menguasai kita.
.
Akan tetapi di dalam hal perubatan ini, para ulama dunia dan tempatan telah berbincang dan bertukar pandangan dengan pakar-pakar perubatan dari masa ke semasa. Ianya bukanlah perkara baru yang diperolehi daripada khabar angin semata-mata.
.
Konklusi majoriti perbincangan dua hala antara pakar perubatan dan para ulama menjurus kepada keperluan program immunisasi bagi mencegah penyakit berjangkit yang merbahaya ke atas manusia terutama umat Islam sendiri bersandarkan kepada kajian-kajian saintifik, keperluan yang mendesak dan bukti-bukti kejayaan secara sistematik dalam mengawal wabak merbahaya ini.
.
Oleh itu, sekiranya masih ada pihak mengaitkannya dengan teori konspirasi atau faktor kapitalisme syarikat farmasi maka mereka adalah golongan yang masih enggan berpijak di bumi yang nyata atau golongan yang masih belum mendapat pencerahan.
.
=====
Kesimpulan
=====
.
Ustaz Azhar Idrus adalah figura dakwah yang hebat dan ikon anak-anak muda muslim masa kini. Adalah satu penghormatan bagi saya kerana dapat mengutip mutiara ilmu yang disampaikan oleh beliau secara langsung pada malam tersebut bersama ahli keluarga.
.
Penerangan isu vaksin yang disampaikan oleh beliau kepada umum dalam bahasa yang amat mudah difahami dan dekat kepada audiens adalah satu pendekatan yang baik. Ianya juga adalah antara bukti bahawa beliau mengikuti isu-isu semasa dan mengkajinya sebelum memberikan pendapat.
.
Walau bagaimanapun, terdapat beberapa fakta yang memerlukan pembetulan oleh ahli perubatan.
.
Diharapkan pembetulan fakta-fakta tersebut dapat mengelak berlakunya kekeliruan yang boleh mengundang musibah besar jika disalah tafsir oleh orang awam.
.
Di dalam isu vaksin ini, saya ingin mengajak para pembaca menilai saranan Datuk Dr haron Din (Penasihat Pesatuan Perubatan, Pengubatan dan Kebajikan Islam Malaysia, Darussyifa’):
.
“Jika terdapat bukti-bukti nyata bahawa kanak-kanak akan bermasalah sehingga ke tahap kematian, maka suntikan itu perlu diwajibkan atas nama ijtihas hukum baharu yang dibuat berdasarkan keperluan.”[7] 13606433_10153555249211237_7886243410341195224_nInsyallah, pihak MedtweetMy akan mengaturkan perjumpaan dengan beliau untuk menerangkannya lebih lanjut dalam masa terdekat sekiranya al fadhil ustaz tidak keberatan.
.
Sebagai hamba yang daif, saya juga tidak terlepas daripada melakukan kesilapan. Sekiranya ada kesilapan fakta atau terkasar bahasa di dalam artikel ini, mohon dimaklumkan kepada saya melalui aplikasi Facebook Messenger.
.

======

Ini adalah video yang hampir sama isi kandungannya semasa ceramah perdana beliau di program qiyamulail tersebut. Malahan rakaman dibuat pada hari yang sama tetapi pada waktu berbeza.

https://youtu.be/KMwLB9DoBGs
Salam Ramadan ke-29
.
DAR
.

[optin-cat id=”2106″]
=====
Rujukan
=====
1. Dr Suhazeli Abdullah, “Tuan guru Hj Abdul Hadi Sokong Vaksin”. Available at: http://suhazeli.com/wp/?p=1336 (Accessed: 3 July 2016).
2. Dr Suhazeli Abdullah, “Suntikan Vaksin Menurut Para Ulamak”. Available at: http://suhazeli.com/wp/?p=1220 (Accessed: 3 July 2016).
3. WHO (2016) Vaccines. Available at: http://www.who.int/topics/vaccines/en/ (Accessed: 3 July 2016).
4. http://www.iifa-aifi.org/2647.html (Accessed: 3 July 2016).
5. https://www.facebook.com/drafiqrahimdar/posts/1067719569976760
6. Rusli, M.F. (2015) BAYAN LINNAS SIRI 59: VAKSIN: SUDUT PANDANG DARI NERACA FIQH & MAQASID SYARIAH. Available at: http://www.muftiwp.gov.my/v3/index.php/perkhidmatan-s/bl/951-bayan-linnas-siri-ke-59-vaksin-dan-pandangan-islam-mengenainya (Accessed: 3 July 2016).
7. RAHIM, O.M.S. (2016) Wajibkan vaksin bayi. Available at: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/wajibkan-vaksin-bayi-1.349623 (Accessed: 4 July 2016)

Apa Komen Anda?