GribblesDapatkan keputusan saringan Kanser, Kencing Manis, Kolesterol dan banyak lagi sepantas 1-3 Hari sahaja. Hanya di Gribbles

Memo untuk Pejuang

Berikut adalah email yang telah dikongsi oleh Allahyarham Mas Afzal kepada kami beberapa minggu selepas beliau ditauliahkan sebagai seorang Doktor dalam keadaan dirinya menghidap penyakit Hodgkin Lymphoma dan menjalani rawatan Chemotherapy. 

***************************

Allahyarham bersama bondanya yang tercinta

Assalamualaikum wbt. 

Sebelum saya mula berbicara panjang, ingin saya tegaskan terlebih dahulu bahawa segala kejayaan dan kegagalan yang kita kecapi adalah semuanya ketentuan Allah yang sudah tertulis di Lauh Mahfudz semenjak azali lagi. Segala usaha yang kita buat adalah ikhtiar di pihak kita, tetapi adalah menjadi sebahagian daripada tunjang keimanan kita untuk percaya bahawa Allah pemegang semua kesudahan.

“…Dan sekali-kali tidak dipanjangkan umur seorang yang berumur panjang dan tidak pula dikurangi umurnya, melainkan (sudah ditetapkan) dalam Kitab (Lauh Mahfudz)…” [Fatir : 11]

Saya mendapat inspirasi menulis warkah ini daripada perbualan YM dengan seorang sahabat yang mencadangkan agar saya berkongsi pengalaman bagaimana saya melalui semua cabaran yang telah saya lalui sepanjang 10 bulan yang lalu. Beliau sendiri punya cabaran yang menanti dihadapannya kini dan saya doakan beliau hasanah di dunia dan di akhirat, insya Allah.

Lebih 10 bulan yang lalu, saya baru sahaja masuk ke tahun akhir perubatan dan bakal menduduki peperiksaan akhir bertulis (final written examination) pada 15 dan 16 Januari 2009. Peperiksaan ini adalah antara ujian terpenting kerana ia melibatkan kefahaman pelajar terhadap semua aspek klinikal dan pra-klinikal yang telah dipelajari sepanjang 5 tahun pengajian.

Semuanya bermula apabila saya telah disahkan doktor menghidap penyakit Hodgkin’s Lymphoma (sejenis kanser darah) pada awal Disember 2008. Oleh itu, saya perlu menjalani rawatan chemotherapy sebanyak 12 kali, pada kekerapan 2 minggu sekali, selama 6 bulan. Kesan paling signifikan daripada rawatan chemotherapy adalah kepenatan yang amat (extreme fatigue) dan loya (nausea). Simptom-simptom ini biasanya paling ketara pada minggu pertama selepas rawatan.

Saya bernasib baik kerana dibenarkan untuk meneruskan pengajian tetapi terpaksa ponteng sebanyak 5 hari untuk setiap selang seminggu apabila menerima rawatan. Ini bermaksud saya hanya dapat hadir ke setengah daripada jumlah masa yang diperuntukkan untuk clinical attachment.

Tips 1 : Manfaatkan masa sihat sebelum sakit

Saya mendapat diagnosis lebih kurang sebulan sebelum tarikh peperiksaan bertulis saya pada bulan Januari dan oleh kerana rawatan chemotherapy, saya telah menghitung masa ‘sihat’ yang saya ada sebelum peperiksaan tersebut adalah selama 2 minggu, separuh daripada jumlah masa sebenar (ie 4 minggu). Justeru, saya meletakkan mindset bahawa peperiksaan saya tinggal 2 minggu sahaja lagi, dan BUKANNYA 4 minggu.

Dengan meletakkan mindset sedemikian, saya tidak meletakkan risiko untuk cuba belajar pada tempoh pemulihan (recovery period) daripada rawatan chemotherapy, yang biasanya memakan masa seminggu. Tempoh 2 minggu ‘sihat’ saya dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya, dan saya benar-benar berehat pada 2 minggu ‘sakit’ tersebut bagi memberikan hak untuk badan saya pulih daripada rawatan. Langsung tak sentuh buku. Ini telah membolehkan badan saya benar-benar segar dan sihat apabila tiba hari peperiksaan.

Kebiasaannya, saya tidak berasa penat atau loya ketika sedang menjalani rawatan chemotherapy itu sendiri. Oleh itu, masa-masa seperti itu juga dimanfaatkan dengan sebaiknya untuk mengulangkaji pelajaran. Ketika ubat chemotherapy sedang dimasukkan ke dalam badan saya, saya akan duduk menelaah buku buat memanfaatkan masa yang ada. Ingat, manfaatkan masa sihat sebelum sakit!

 

Tips 2 : Kenali cara pembelajaran anda!

Saya tidak berhasrat untuk mengulas panjang berkenaan tips belajar kerana semuanya pasti punya cara masing-masing dan lebih cemerlang daripada saya sendiri. Apa yang saya sekadar ingin tegaskan hanyalah satu; kenali cara pembelajaran anda, dan jangan jadikan diri gelabah dengan bertukar-tukar teknik pembelajaran, apatah lagi apabila peperiksaan sudah semakin dekat!

Untuk diri saya sendiri, saya percaya pada kaedah pembelajaran melalui latih tubi. Saya suka membuat banyak bank soalan daripada past year papers dan buku-buku bank soalan. Buku-buku seperti EMQ for Medical Students, Case Studies in Medicine and Surgery dan lain-lain memang menjadi kegemaran saya bagi meguatkan kefahaman dan ingatan saya terhadap semua teori klinikal yang saya pelajari. Adalah penting sebelum membuat latih tubi ini untuk saya membaca terlebih dahulu nota klinikal saya sebagai tapak asas pemahaman saya (foundation). Untuk tujuan ini, saya hanya biasanya menggunakan buku Oxford Handbook of Clinical Medicine dan Kumar and Clark Pocket Handbook sebagai rujukan utama.

Untuk pelajar perubatan tahun akhir, saya mendapati website Ask Dr Clarke sebagai salah satu sumber pembelajaran yang sangat membantu. Ini kerana website ini merupakan bank yang mengumpulkan soalan-soalan peperiksaan tahun akhir bagi kebanyakan universiti-universi ti seluruh UK. Ia juga mempunyai banyak tips-tips bagi menghadapi OSCE yang saya dapati sangat praktikal lagi realistik dalam membantu persediaan para pelajar.

Kaedah latih tubi ini telah saya gunakan semenjak tahun pertama pengajian lagi, dan ia sangat membantu mengukuhkan (consolidate) teori-teori yang telah saya pelajari samada daripada buku ataupun melalui clinical attachment. Anda perlu kenal kaedah pembelajaran yang paling sesuai dengan anda, yakin dengannya dan cuba konsisten menggunakannya!

 

Tips 3 : Belajar perkataan-perkataan lazim orang kebanyakan

Tips ini mungkin lebih bersifat spesifik kepada mereka yang menduduki OSCE. Sudah tentu antara persediaan penting OSCE yang kita sedia maklum adalah memperbanyakkan praktis dalam history taking dan clinical examination, disamping pengukuhan teori-teori klinikal. Tetapi jangan lupa bahawa examiner dan pesakit juga meletakkan markah yang signfikan pada overall impression. Selalu saya mendengar ramai pelajar perubatan yang gagal dalam sesuatu station dalam OSCE kerana overall impression yang tidak memberansangkan, walaupun secara asanya tidak banyak kesilapan pada aspek knowledge.

Overall impression ini termasuklah keramahan, menghormati pesakit dan lain-lain. Kebanyakannya tak perlu kita lakonkan pun, sebab kebanyakan kita orang Melayu sudah punya ciri-ciri tersebut dalam diri kita. Cuma mungkin apa yang kita kurang adalah pada bahasa kita. Cuba duduk di hospital, dengar, belajar dan praktikkan perkataan-perkataan yang digunakan oleh para doktor atau jururrawat, khasnya mereka yang berasal dari kalangan orang tempatan (locals). Ketahui local jokes dan local idioms, ia banyak membantu saya membina hubungan rapat (rapport) dengan pesakit.

Semua ini biasanya kita takkan dapat belajar daripada buku, kuncinya adalah pada banyak mendengar perbualan orang kebanyakan, dan kalau ada peluang, turut serta dalam bicara. Selamat berjaya!

Dan siapakah yang lebih baik kata-katanya berbanding orang yang mengajak kepada ALLAH, dan dia beramal soleh, serta mengatakan, “Sesungguhnya aku ini di kalangan orang-orang yang menyerah diri (kepada ALLAH)” Al-Fussilat, Ayat 33

 

Tips 4 : Tepis persepsi, “Kerja jemaah/persatuan asing, belajar asing”.

Saya akur sesetengah individu ada prinsip bahawa apabila sedang belajar, tidak mahu fikir apa-apa berkenaan kerja jemaah/persatuan/komuniti, atau apabila sedang buat kerja tersebut, tidak mahu fikir tentang belajar. Pada hemat saya, melihat waqi’ mahasiswa di UK dan Ireland, saya rasa masalah yang lebih merisaukan bukannya pada former, tetapi latter.

Apatah lagi bila semangat membara-bara selepas baru hadir tamrin atau madrasah atau program motivasi sedang membuak-buak dalam diri, ahli nak buat sebanyak mungkin kerja jemaah/persatuan/komuniti tetapi kemudian lupa terus pada akademik. Tinggal sekejap nota kuliah dan ulangkaji, katanya. Kesudahannya terkapai-kapai selepas beberapa bulan ketinggalan gerabak dalam akademik.

Tanggapan negatif yang pada pandangan saya wajar diketepikan adalah apabila kita terlalu pantas melabelkan seseorang sebagai tidak serius atau tidak committed bila suka mencampur-adukkan belajar ketika sedang buat kerja jemaah/persatuan/komuniti. Kadang-kadang kita tidak melafazkan persepsi tersebut, tetapi ia mendominasi pemikiran kita, sampai kadang-kadang menjadi buruk sangka. Nauzubillah.

Apa yang saya maksudkan dengan belajar ketika sedang buat kerja jemaah/persatuan/komuniti adalah memanfaatkan ‘masa-masa lapang’ dalam kesempitan masa yang ada. Beberapa contoh yang saya selalu buat, tapi saya perasan bukannya satu budaya dikalangan mahasiswa di sini :

i. Mengulangkaji pelajaran sambil menunggu mesyuarat jemaah bermula, baik secara bersemuka mahupun di alam maya. Apatah lagi bila kita sudah bersedia dengan mesyuarat dan hanya menunggu ia untuk bermula, contohnya sudah membaca minit mesyuarat, sudah melaksanakan tindakan dalam minit mesyuarat, dsb.

ii. Mengulangkaji pelajaran ketika dalam kapal terbang, bas, dsb dalam perjalanan ke tempat program. Tidaklah perlu buat setiap kali pergi program, sebab saya faham inilah biasanya masa mengeratkan ukhuwwah berborak dengan ahli yang lain, atau mungkin juga menghafal ayat hafazan program (jika ada). Tetapi kalau dah tiada kerja lain nak dibuat, kenapa tidak?

iii. Berkongsi ilmu pengajian dengan sahabat yang sama bidang ketika bertemu di program. Saya kadang-kadang tersenyum bila ada sesetengah mahasiswa yang berseloroh mengatakan perbuatan sedemikian sebagai ‘menyedihkan’ atau ‘asabiyyah medik’ dan bermacam-macam gelaran lagi. Kenapa perlu dimatikan semangat itu dengan kata-kata yang langsung tidak memberikan manfaat kepada orang lain dan diri sendiri?

Saya sedih kadang-kadang melihat ramai sahabat-sahabat seperjuangan yang sangat baik kerja jemaah/persatuan mereka tetapi kandas dalam pembelajaran masing-masing. Mari kita muhasabah semula, mungkinkah ada lompong-lompong yang boleh kita perbaiki, contohnya dengan cara-cara seperti di atas?

 

Tips 5 : Melihat amal ijtimai’e lebih daripada sekadar tanggungjawab

Semasa saya mula-mula mendapat diagnosis, seringkali saya duduk keseorangan cuba untuk meredakan tekanan yang semakin membina dalam diri. Terfikir-fikir bagaimana agaknya dalam keadaan perlu menjalani rawatan kemoterapi ini, saya nak menghadapi peperiksaan bertulis yang bakal menjelang, menguruskan hal penceramah dari tanah air untuk program besar mahasiswa ketika itu, dan pelbagai lagi.

Masing-masing pasti punya cara tersendiri buat meredakan tekanan. Saya dapati terapi terbaik untuk diri saya sendiri adalah pada amal ijtimai’e yang saya lakukan. Apabila saya berpeluang untuk memberi, menyumbang mahupun menjadi penerima dalam mana-mana aktiviti-aktiviti kemasyarakatan.

Tekanan mahupun stress yang membina dalam diri seolah hilang bila saya berjumpa dan berukhuwwah dengan kawan-kawan, bukan sekadar di kalangan mahasiswa tetapi juga famili postgraduate dan anak-anak mereka, rakan-rakan seMuslim di masjid dan rakan-rakan Malaysia yang lain. Aktiviti kerohanian seperti solat hajat, Eid gathering, ceramah agama mahupun aktiviti riadah seperti bermain bola sepak menjadi terapi buat diri. Kadang-kadang orang bertanya kenapa saya susah-susah mahu menghadirkan diri ke program-program ini dalam keadaan kesihatan yang kurang mengizinkan?

Jawapan saya mudah, “Kalau saya tak datang program ini, alamat lagi tertekanlah saya duduk di rumah menahan sakit!

Libatkan diri dalam apa yang kita minat, kerana ia boleh menjadi terapi kepada meredakan stress. Saya minat menyanyi walaupun suara tidaklah sedap mana, maka sebab itulah saya tidak pernah terlupa untuk bertanding dalam pertandingan nasyid anjuran persatuan mahasiswa di Sheffield setiap tahun. Bukan sahaja saya dapat mainkan peranan menyumbang untuk menyebarkan dakwah melalui hiburan, tetapi saya juga dapat bergembira dengan apa yang saya lakukan.

Semua ini sebahagian daripada amal ijtimai’e, dimana kita cuba sebaik mungkin untuk mendekati mad’u dan cuba bawak mesej Islam melalui cara yang sesuai dengan keadaan. Tapi pada masa yang sama ia juga boleh menjadi terapi untuk kita. Jangan sekadar melihat kerja-kerja ini sebagai hanya tanggungjawab yang membebankan, kerana itu hanya akan mengundang stress

Saya dapati melalui terapi ini, saya menjadi lebih bersemangat dalam mengulangkaji pelajaran. Saya dapat bayangkan kalau saya tidak rajin turun ke aktiviti kemasyarakatan dan berpendirian sekadar ingin beruzlah sahaja dibilik, pasti saya cepat give-up bila mahu mula mengulangkaji pelajaran. “Asyik-asyik menghadap buku!!”, begitulah barangkali perasaannya.

 

Tips 6 : Jadikan belajar sebagai cara taqarrub

Satu kaedah yang saya sangat gemar gunakan semenjak zaman saya belajar A-Level lagi adalah menjadikan belajar sebagai agen taqarrub kepada Allah SWT. Caranya mudah sahaja, bahkan saya yakin ramai juga yang mempraktikkan kaedah yang sama.

Saya suka selang-selikan sesi pembelajaran saya dengan pembacaan al-Qur’an, tidak semestinya setiap kali, tetapi sekurang-kurangnya sekali sehari. Bak kata orang, membaca al-Qur’an ini secara tidak langsung membantu menguatkan ingatan kita. Saya kenal sesetengah orang yang berkongsi pengalaman mereka bahawa menghafaz ayat-ayat al-Qur’an akan lebih menguatkan lagi ingatan kita terhadap apa yang kita pelajari.

Khususnya apabila semakin dekat dengan peperiksaan, saya juga lebih selesa mengulangkaji pelajaran di masjid yang berhampiran dengan kediaman saya berbanding di rumah. Itu memang tabiat saya semenjak zaman pembelajaran A-Level lagi. Bukan sahaja ia sebaik-baik tempat, saya juga dapat pastikan solat saya sentiasa diawal waktu, dan secara berjamaah. Barulah tak rasa malu bila duduk berdoa nak meraih nusrah Allah dalam membantu imtihan saya, sebab ibadah saya insya Allah jadi lebih kemas.

Saya kira untuk mahasiswi di bumi UK/Ireland, pasti lebih sukar nak mengulangkaji pelajaran di masjid berbanding ketika zaman belajar di Malaysia. Rasanya yang penting adalah mencipta suasana ala ‘madrasah’ di tempat belajar anda. Yang mengizinkan anda untuk belajar, pada masa yang sama menjadi tempat beribadah, beramal jamai’e, dsb. Sekadar pandangan.

Itulah yang saya maksudkan dengan menjadikan belajar sebagai agen taqarrub. Ibarat menyelam sambil minum air.

 

Tips 7 : Jangan jadikan kerja jemaah/persatuan sebagai part-time job

Ada yang kata ia konsep ideal semata-mata, tetapi saya percaya sepenuhnya bahawa kalau saya ikhlas buat kerja jemaah/persataun, walau dalam kesempitan mana sekalipun, Allah pasti akan lorongkan nusrah dalam pembelajaran saya.

Saya rasa nusrah Allah itu paling saya rasai bermula Disember yang lalu. Ketika itu, saya perlu cope dengan rawatan chemotherapy yang meletihkan, pada masa yang sama mempersiapkan diri dengan peperiksaan pada bulan Januari, dan memegang jawatan yang agak signifikan dalam kem mahasiswa ketika itu. 3 perkara besar yang masing-masing ada hak untuk diberikan masa kepadanya.

Sebelum saya berbicara sedikit panjang tentang topik ini, suka saya memberikan amaran awal bahawa isu ini mungkin sedikit sensitif dan boleh mendatangkan banyak perbahasan. Saya dinasihati sesetengah sahabat agar cool down dengan kerja mahasiswa pada ketika itu, dan berikan masa untuk berehat dengan chemotherapy serta fokus kepada peperiksaan yang bakal menjelang. Pandangan yang saya hormati dan merupakan cerminan sayangnya mereka kepada sahabat seperjuangan mereka, sesuai dengan sifat ruhamaa u-bainahum.

Namun saya punya pendirian tersendiri, dan saya merasakan membuat kerja jemaah/persatuan adalah antara saham utama saya untuk mengatakan saya membantu agama Allah. Dan berani saya mengatakan bahawa tidak dapat membuat kerja-kerja jemaah/persatuan seolah-olah mencabut salah satu kekuatan dalam diri saya. Kerana saya melihat amal jamai’e saya sebagai satu terapi menguatkan iltizam saya untuk berjaya dalam pengajian, disamping pencetus sabar untuk menempuh ujian dalam kesihatan diri. Tidak sekali-kali saya melihat komitmen saya dalam jemaah/persatuan sebagai kerja part-time.

“Hai orang-orang yang beriman, jika kamu menolong (agama) Allah, niscaya Dia akan menolongmu dan meneguhkan kedudukanmu.” [Muhammad : 7]

“…Sesungguhnya Allah pasti menolong orang yang menolong (agama) Nya…” [Al-Hajj : 40]

Pada masa yang sama, tidaklah bermaksud saya ingin menaja konsep ‘one man show’ disini. Itu bukan budaya kita berkerja dalam jemaah/persatuan. Ketika itu, banyak tanggungjawab saya telah saya delegasikan kepada sahabat-sahabat yang lain, yang lebih daripada bersedia untuk membantu. Kalau pun tidak sihat sangat, paling kurang pun saya cuba untuk tidak lupa membaca email dan memberikan respons jika ada pandangan yang ingin dikongsikan. Tidak mahu terus sirna dan melayan dunia sendiri.

Sedikit video motivasi yang dihasilkan oleh beliau sendiri :

[youtube=http://www.youtube.com/watch?v=Tb68NnDAWz8&feature=player_embedded]

 

Semoga semangat dan iltizamnya akan terus menjadi pemangkin kebangkitan mahasiswa Islam di mana-mana sahaja.

Ikuti kisahnya yang penuh motivasi di blog ini

Ibn Abd Rahim

Dublin 8

 

Apa Komen Anda?

4 Comments