GribblesDapatkan keputusan saringan Kanser, Kencing Manis, Kolesterol dan banyak lagi sepantas 1-3 Hari sahaja. Hanya di Gribbles

|MENGAPA LAKSA SARAWAK ITU DIBAZIRKAN?|

Kelopak mata saya mengalir air mata jernih tatkala membaca sebuah pusat membeli belah di Kuching, telah membuang 600kg Laksa Sarawak selepas berjaya mencipta nama di dalam Malaysia Book of Record.
laksa_sarawak
Kredit gambar – Malaymail
Pengurusan pusat membeli belah tersebut pada hari sebelumnya memaklumkan bahawa makanan itu tidak sihat dimakan namun menukar alasan pada hari ini kerana laksa tersebut telah mengeluarkan bau yang tidak menyenangkan.
 
Walau apapun alasan, membuang 600kg laksa yang seeloknya diedarkan segera semalam sebelum laksa tersebut bertukar basi adalah satu tindakan yang membazir dan merugikan.
 
Pembaziran yang telah mereka lakukan mengimbau kenangan saya sewaktu tinggal di rumah flat sekitar Batu Caves semasa bekerja di Hospital Selayang.
 
Rumah Flat yang saya duduki tersebut kebanyakkannya dihuni oleh rakyat miskin bandar. Hidup mereka ada yang kais pagi, makan pagi, kais petang makan petang.
Rumah Flat di Selangor. Kredit – Mudah.com
Sepanjang setahun saya menetap di rumah flat tersebut, pelbagai rencah kehidupan penduduk miskin yang saya saksikan. Saya tidak pernah mendedahkan identiti sebagai seorang doktor. Bila ditanya jiran-jiran di surau, saya akan berkata saya bekerja di hospital.
 
Bunyi bekerja di hospital sahaja menaikkan kening mata dan memberikan wajah berbeza pada mereka. Ini kerana rata-rata yang tinggal di flat tersebut bekerja kilang, sendiri dan ada juga menanam anggur di rumah (menganggur).
 
Suatu hari, saya menerima satu keluarga baru berjiran dengan rumah sewa saya. Sepasang suami isteri yang berumur lanjut bersama anak kembar mereka tinggal di rumah flat itu atas ihsan adik kepada si isteri.
 
Saya sedar bahawa mereka hidup di dalam kesusahan namun sering kesuntukan masa untuk beramah dengan jiran kerana kesibukan kerja sebagai seorang HOUSEMAN. Saya tidak tahu sesusah mana jiran saya itu.
 
Si suami turut sama-sama sibuk mencari rezeki. Kesibukan itu membuatkan saya kadangkala terlupa tanggungjawab saya sebagai seorang jiran yang dituntut agama.
 
Pada satu hari di dalam bulan Ramadhan, saya membeli seekor Ikan Merah untuk dibuat sup di pasar basah berdekatan. Hajat di hati untuk memberikan sebahagian sup kepada jiran saya sebagai juadah berbuka puasa mereka.
 
Saya mengetuk pintu jiran, muncul si isteri yang kelihatan sibuk ‘berperang’ di dapur menyiapkan juadah berbuka.
 
Masih jelas di ingatan saya, air mata jiran saya (si isteri) bergenang apabila menerima sepinggan mangkuk sup ikan merah yang kami sediakan.
 
Mereka meminta maaf tidak dapat membalas apa-apa pada hari itu. Saya memberitahu mereka bahawa saya tidak meminta apa-apa sebagai balasan.
 
Keesokan hari, beberapa minit sebelum azan Maghrib berkumandang, pintu rumah kami diketuk. Rupa-rupanya jiran saya menghantar pulang pinggan kami dan berisi lauk.
 
Apabila masing-masing masuk ke rumah, saya membuka penutup pinggan yang dibalas jiran.
 
Air mata kami bercucuran.
 
Mereka membalas lauk sup juga.
 
Tetapi sup air dengan SEPOTONG DADU LOBAK MERAH dan SEPOTONG KECIL KACANG PANJANG. Sup tersebut lebih kepada air rebusan yang diletakkan garam dan sedikit kunyit.
 
Itu sahaja yang mereka mampu.
 
Ya Allah, betapa susahnya kehidupan jiran kami.
 
Saya dan isteri tetap menikmati juadah yang diberikan jiran baru kami. Kami mahu merasai sendiri, air tangan perit jerih jiran kami yang berhempas pulas mencari duit untuk membeli bahan memasak agar dapat disediakan juadah balas buat kami.
 
Setiap hirupan sup tersebut, disulami dengan rasa sebak di dalam hati kami.
 
Selepas itu, kami sering bertegur sapa dan mendapati, si suami bekerja sebagai penebar roti canai di kedai orang pada sebelah pagi manakala petang bekerja kontrak.
 
Isterinya pula terpaksa menjadi surirumah kerana anak-anak kembar mereka yang lahir pra-matang mempunyai masalah kesihatan.
 
Mereka berpindah masuk ke rumah tersebut kerana tidak mampu membayar sewa rumah sebelum itu. Namun tetap bersyukur kerana adik si isteri yang masih bujang membenarkan keluarga mereka menetap bersamanya.
 
Oleh itu, apabila membaca laporan bahawa laksa tersebut ‘terpaksa’
dibuang, saya berasa amat-amat sedih. Ini kerana masih ramai rakyat Malaysia yang hidup serba kekurangan.
 
Cerita yang saya kongsikan adalah setitik kisah duka daripada beribu lagi rakyat Miskin di Malaysia. Pastinya rakyat di Sarawak juga ada yang kesempitan hidup.
 
Masih ramai yang hidup kelaparan.
Masih ramai yang diisytiharkan miskin malahan ada yang papa kedana.
Masih ramai kehidupan mereka yang kais pagi makan pagi.
Kais petang, kais punya kasi tetap tiada rezeki untuk mereka.
Jadi terpaksa kais pagi keesokannya semula….
Jika alasan tidak sihat, rakyat yang kesempitan hidup hanya sekali sekala sahaja dapat menikmati hidangan yang lazat dan berkhasiat. Tidak mengapa jika didermakan kepada mereka. Setidak-tidaknya menikmati lauk percuma yang tidak berkhasiat sekurang-kurangnya membangkitkan kesan positif pada psikologi mereka.
 
Jika atas alasan makanan tersebut akan basi, maka mengapa penganjur, chef dan pengurusan tidak mengedarkan segera laksa tersebut selepas majlis dilancarkan?
 
Dan jika benar laksa tersebut didakwa sudah menunjukkan tanda-tanda basi hanya beberapa jam selepas dimasak, adakah pihak pengganjur benar-benar mematuhi Akta Makanan 1983 dalam penyediaan lauk tersebut?
 
Penganjur sepatutnya telah menjangkakan jika laksa tersebut dimasak pagi secara terbuka dan banyak maka lauk tersebut tidak akan bertahan lama dan perlu segera dimakan.
 
Kisah jiran kami sentiasa saya dan isteri jadikan pedoman buat keluarga kami.
 
Teringat pesan orang tua-tua,
 
Apabila kita berada di ATAS,
Rajin-rajinlah memandang ke BAWAH,
Apabila rezeki kita semakin LUAS,
Jangan dilupa manusia yang SUSAH.
 
DAR
Hidup Bermanfaat

Apa Komen Anda?