Mengapa Lebih 50 Peratus Pesakit Kanser Di Kelantan Lambat Mendapatkan Rawatan di Hospital?

Kisah Duka Pesakit Kanser
——

Dengar nama kimoterapi pun saya takut, inikan pula jalani rawatannya sebab difahamkan penyakit jadi lebih teruk,” kata pesakit kanser payudara yang mahu dikenali sebagai Ina, 50.

Suri rumah itu berkata, dia hanya mengetahui menghidap penyakit itu ketika berusia 42 tahun ketika penyakitnya berada di tahap kedua.

Katanya, dia dinasihatkan rakan supaya tidak menjalani rawatan kimoterapi kerana dikhuatiri keadaan akan menjadi lebih teruk.

“Saya dimaklumkan saudara terdekat bahawa jarum boleh menyebabkan kanser merebak lebih cepat.

“Ketika itu saya tidak fikir panjang dan terus menjalani rawatan alternatif di beberapa lokasi di luar negeri yang dikatakan mampu merawat pelbagai penyakit termasuk kanser tanpa ke hospital,” katanya.

Beliau berkata, dia berulang alik beberapa bulan ke sana dan hanya diberi air dibacakan doa serta sejenis daun.

Bagaimanapun, dia mendapati tiada perubahan berikutan luka di bahagian payudara semakin teruk dan merujuk ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) serta terkejut dimaklumkan penyakit kanser payudaranya merebak ke tahap empat.

Ina yang mengakui menyesal kerana mengutamakan rawatan alternatif berbanding mendapatkan rawatan di hospital berkata, dia kini masih menjalani rawatan kimoterapi di HRPZ II dan berharap penyakit itu dapat sembuh.

Bagi Ros, 30, anak kepada seorang pesakit kanser payudara yang meninggal dunia awal tahun ini, kalau boleh diundurkan masa, arwah emaknya sepatutnya menjalani rawatan penuh di hospital.

Ros yang tinggal di Kota Bharu berkata, ibunya berusia 55 tahun disahkan menghidap kanser payudara pada tahap tiga ketika membuat pemeriksaan di hospital berhampiran, dua tahun lalu.

“Pada mulanya ketika pemeriksaan awal di hospital, doktor mengambil sampel payudara namun selepas luka semakin teruk kami mencuba rawatan alternatif dengan menangguhkan beberapa bulan rawatan di hospital.

“Sebut saja di mana, kami pergi tanpa memikirkan kosnya kerana hanya mahu pastikan mak sembuh.

“Namun keadaan mak semakin teruk apabila semakin hilang selera makan, sesak nafas, kedua-dua tangan membengkak dan memerlukan kerusi roda untuk bergerak,” katanya.

Dia berkata, melihat keadaan ibunya yang semakin teruk, mereka sekeluarga merujuknya ke hospital.

“Mak sempat jalani lima kali rawatan kemoterapi namun keadaan kesihatannya semakin merosot kerana kanser merebak sebelum meninggal dunia,” katanya.

Katanya, mereka sekeluarga terkesan dengan pemergian ibunya.

“Kami sekeluarga reda kerana ketentuan Ilahi. Namun jauh di sudut hati, saya berasa terkilan kerana tidak dapat membantu menyediakan rawatan terbaik untuk mak.

“Harapan saya kisah ini dapat jadi pengajaran kepada orang lain,” katanya.

Bagi seorang penjawat awam, Norhayati Md Zain, 41, berkata, pada mulanya dia menjalani pemeriksaan percuma di hospital sebelum dimaklumkan dia menghidap kanser payudara tahap tiga.

“Luluh hati sebaik dimaklumkan perkara itu, malah suami dan anak terkejut kerana saya tidak menunjukkan sebarang tanda menghidap penyakit.

“Ada orang mencadangkan saya menjalani rawatan alternatif namun saya menolak kerana yakin dengan rawatan hospital,” katanya.

Mengapa Lebih 50 Peratus Pesakit Kanser Di Kelantan Lambat Mendapatkan Rawatan di Hospital?
—–

Satu pendedahan oleh Pakar Bedah Endokrine dan Payudara, Hospital Raja Perempuan Zainab II iaitu Datuk Dr Imi Sairi Ab Hadi mendapati bahawa lebih separuh pesakit Kanser di Kelantan lebih mempercayai rawatan alternatif atau tradisional seperti rawatan homeopathy, pengambilan herba dan berjumpa bomoh.

Mengapa pesakit kanser lebih mempercayai perawat alternatif berbanding doktor pakar?
—–

Kajian mendapati sebanyak 54 peratus pesakit kanser di negeri Cik Siti Wan Kembang lebih bergantung kepada rawatan alternatif apabila menghidap kanser berbanding terus berjumpa doktor pakar untuk rawatan lanjut.

Namun, para pesakit ini tetap akan berjumpa dengan doktor pakar.

 

17ntcancer2 1521073881 1 - Mengapa Lebih 50 Peratus Pesakit Kanser Di Kelantan Lambat Mendapatkan Rawatan di Hospital?

Bila Pesakit Kanser akan Berjumpa Doktor?
—–

Apabila tahap kanser mereka telah berubah daripada tahap awal kepada tahap akhir dan setelah segala usaha dan wang dihabiskan untuk rawatan alternatif maka barulah pesakit ini mula mencari doktor pakar kanser.

Tegas Datuk Dr Imi Sairi Ab Hadi  lagi:

Pesakit mempunyai persepsi salah tentang rawatan kanser di hospital. Apabila situasi pesakit telah semakin parah maka barulah mereka mencari rawatan di hospital.

Jika pesakit datang pada tahap akhir kanser maka risiko dan komplikasi kanser adalah amat tinggi.

Mitos-mitos popular berkaitan kanser
——

Antara mitos yang popular bagi kanser payudara adalah payudara mereka tidak boleh disentuh oleh objek tajam kerana dibimbangi kanser akan merebak ke tempat lain.

Ada juga mitos berkaitan kanser dan pengambilan jus belanda, air herba dan pelbagai produk kesihatan yang didakwa dapat menyembuhkan penyakit kanser. Walaupun ianya mungkin baik untuk kesihatan tetapi diet tersebut tetap tidak dapat merawat kanser.

Lebih menyedihkan, pesakit kanser ini kadangkala lebih sanggup menahan sakit dengan mendengar nasihat ahli keluarga berbanding nasihat pakar di hospital.

Menurut Dr Imi Sairi:

Pesakit kanser perlu mendapatkan rawatan segera di hospital untuk mengelakkan sel kanser merebak dan tahap kanser semakin parah.

Pakar bedah tersebut bimbang kerana kebarangkalian pesakit kanser meninggalkan rawatan hospital setelah beralih kepada rawatan tradisional atau alternatif adalah amat tinggi. Ini sekaligus menyukarkan proses rawatan kepada pesakit secara holistik atau menyeluruh.

Pesanan Pakar Bedah
—–

kanser payudara
Datuk Dr Imi Sairi Ab Hadi, Pakar Bedah Payudara

Sudah semestinya Dr Imi Sairi mencadangkan agar setiap pesakit kanser segera mendapatkan rawatan kanser di hospital setelah disahkan oleh pihak perubatan.

Menurutnya, pihaknya tidak menghalang pesakit mendapatkan rawatan alternatif namun keutamaan harus diberi kepada rawatan di hospital dahulu.

“Sebagai pengamal perubatan, saya tidak menghalang pesakit menjalani rawatan alternatif sebagai usaha tambahan mereka untuk merawat penyakit itu. Namun apa yang saya bimbang, pesakit abaikan rawatan di hospital,” katanya.

Beliau juga menggesa pesakit kanser untuk mendapatkan nasihat tentang kanser daripada anggota kesihatan yang bertauliah agar ilmu yang sahih dapat menyelamatkan nyawa pesakit kanser.

Pada masa yang sama, orang ramai disarankan menjalani program saringan kanser yang disediakan oleh pihak kesihatan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dalam usaha meningkatkan pengesanan awal kes kanser di kalangan masyarakat.

tanda-tanda awal kanser
Kenali Tanda-tanda Awal Kanser

#DAR

#scamkesihatan

#mitoskanser

Sumber: Klik di sini dan sini

Apa Komen Anda?

Leave a Reply

Your email address will not be published.