Miskin Bandar: Dilema kehidupan rakyat di celahan menara pencakar langit

Sudahlah jatuh, ditimpa tangga pula.
=====

andaimasablhundur 1 504x381 - Miskin Bandar: Dilema kehidupan rakyat di celahan menara pencakar langit

Seorang budak perempuan berusia 4 tahun maut tergelincir dari tingkat 17 Blok A, Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kota Damansara, Selangor semalam. 

Dalam kejadian jam 7.10 pagi itu, Siti Nur Nadhira Hairul Anuar ditinggalkan sendirian sebab kakaknya, Siti Nur Natasha, 14, menghantar seorang adiknya ke sebuah tadika di Blok D PPR itu.

Mereka enam beradik semuanya dengan mangsa merupakan anak bongsu kepada pasangan Hairul Anuar Kusnan, 45 dan Rozneen Hashim, 36.

Suami isteri itu keluar dari rumah sejak jam 6 pagi menjual nasi lemak demi menyara keluarga besar mereka. 

Natasha seorang pelajar sekolah menengah Tingkatan 2 diamanahkan menjaga adik-adiknya – satu ciri tipikal bagi keluarga berpendapatan rendah di kawasan bandar.

kanak kanak jatuh di flat kota damansara - Miskin Bandar: Dilema kehidupan rakyat di celahan menara pencakar langit

Ini secebis kisah sedih yang memberi gambaran bagaimana warga kota bertungkus lumus demi kelangsungan hidup.

Mereka tidak malas.

Warga miskin kota tidak hanya bergantung harap bantuan wang tunai dari kerajaan yang suka digelar “tongkat” oleh Perdana Menteri. 

Ibu bapanya terpaksa keluar begitu awal mencari rezeki. Kalau keluar rumah saja jam 6 pagi, bayangkan jam berapa mereka bangun tidur memasak dan menyediakan segala persiapan jualan.

Mereka perlu keluar awal untuk mengelak terperangkap dalam jalan sesak. Dalam keadaan terdesak itulah, anak yang lebih tua akan memikul sebahagian tanggungjawab menguruskan adik-adiknya. 

Natasha terpaksa menghantar adiknya ke Tadika dan pada masa sama bersiap untuk ke sekolah. Timbul persoalan juga, selama ini anak kecil berusia 4 tahun itu siapa yang jaga sepanjang kakaknya ke sekolah dan ibu bapanya berniaga? 

Itu sebabnya isu KEMISKINAN terutama di kawasan bandar masih perlu diberi perhatian di negara kita.

Kemiskinan bandar terdedah kepada ancaman keselamatan, kesihatan dan pelbagai masalah sosial yang lain. 

Itu belum lagi masalah teknikal seperti penyelenggaraan yang lemah di flat-flat kos rendah sekitar lembah Klang. 

Kelemahan pihak pemaju dalam merancang bangunan yang sesuai untuk diduduki juga turut dipersoal.

Bagaimana perancangan dan kelulusan pihak penguasa untuk flat tersebut dibina dengan hanya ada dua lif sahaja disediakan untuk kegunaan 1000 penduduk?

Mana tak jahanamnya lif tersebut. 

Di sinilah peranan utama pemimpin setempat sehingga kementerian berkaitan untuk mewujudkan polisi kerajaan yang memberikan kesejahteraan kepada rakyatnya. 

ppr flat bernama fmt 109181 - Miskin Bandar: Dilema kehidupan rakyat di celahan menara pencakar langit
Kerajaan cadang wujud program sokongan komuniti asuh kanak-kanak di PPR

Jadi, kerajaaan pusat dan negeri mempunyai tanggungjawab besar untuk mengutamakan nilai KEMANUSIAAN dan KESEJAHTERAAN dalam polisi perancangan bandar mahupun perumahan yang akan dibangunkan. 

Inilah antara cabaran kepada kerajaan baru dan lama untuk memastikan rakyat hidup lebih sejahtera dan menikmati persekitaran hidup lebih selamat.

Jangan digadai keperluan asasi rakyat dan dipejamkan mata demi kegelojohan agenda politik untuk diangkat menjadi pemimpin utama kerajaan.

Utamakan keperluan rakyat dahulu sebelum keperluan peribadi Yang Berhormat.

p/s: post ini ditujukan kepada semua pemimpin dari atas hingga bawah tanpa mengira latar belakang.

Al Fatihah kepada Adik Siti Nur Nadhirah.

DAR
drafiqrahimdotcom

Apa Komen Anda?