GribblesDapatkan keputusan saringan Kanser, Kencing Manis, Kolesterol dan banyak lagi sepantas 1-3 Hari sahaja. Hanya di Gribbles

Nikmat Tuhanmu yang manakah kamu dustakan?

Lelaki X

Saya acap kali melihat seorang lelaki berkulit gelap berusia dalam lingkungan usia saya, berjalan menuju ke masjid untuk menunaikan rukun Islam berjamaah. Yang membuat saya tertarik adalah kesungguhannya dalam keadaan dirinya yang kekurangan berbanding manusia lain (jejaka itu mempunyai gait disability atau pergerakan yang bermasalah atas faktor perubatan) untuk mengimarahkan rumah Allah setiap hari.

Bukan sahaja setiap hari bahkan setiap waktu solat !

Setiap kali tiba waktu solat, saya akan melihatnya berjalan dengan penuh sabar ke masjid dan kemudian pulang ke rumahnya. Itulah antara rutin hariannya yang mengagumkan.

Walaupun dengan kecacatan fizikal, itu bukanlah penghalang baginya.

Lelaki Y (Bukan DSAI)

Suatu ketika dahulu, saya sering melihat seorang lelaki berbasikal membawa tongkat pemapahnya menuju ke masjid untuk bersolat berjemaah.

Sahabat tersebut gigih mengayuh basikal berulang alik dari rumahnya semata-mata ingin mengejar ganjaran yang tidak ternilai di sisi Allah hatta dalam dirinya yang kekurangan.

Mungkin bagi dirinya, selagi mana dia masih boleh bergerak maka tiada alasan untuk dirinya tidak ke masjid.

Walaupun diuji dengan kemalangan pada kakinya, itu bukanlah penghalang baginya.

Lelaki Z

Saya sendiri merasa seronok melihat sahabat yang tinggal berjauhan dari masjid sanggup berjalan atau berusaha ke masjid hanya untuk solat berjemaah.

Sehingga saya teringat kisah bagaimana seorang sahabat yang berpindah berdekatan masjid untuk memudahkan dirinya ke masjid tetapi ditegur oleh Rasulullah SAW untuk kembali menghuni rumah asalnya.

Ini kerana Allah akan memberi pahala yang lebih banyak jika hambanya yang tinggal berjauhan sanggup berusaha mengimarahkan rumah-Nya mengikut jejak kaki daripada rumah kita hinggalah ke masjid.

Walaupun tinggal berjauhan dengan masjid, itu bukanlah penghalang baginya.

Nikmat mana yang tidak kamu syukuri ?

Saya merefleksi kisah-kisah di atas kepada diri saya.

Alhamdulillah, sehingga saat menulis ini diri masih dikurniakan kesihatan tubuh badan.

Alhamdulillah, pondok berteduh juga berdekatan masjid.

Alhamdulillah, Allah mempermudahkan banyak perkara buat diri saya.

Masyallah…..

Saya sendiri berasa malu kepada jejaka-jejaka tersebut kerana segala nikmat yang dikau berikan itu, masih kadang kala itu saya terlewat bahkan adakalanya tidak ke masjid kerana kesibukan hal-hal dunia.

Maka, alasan apakah yang ingin saya berikan kepada malaikat di dalam kubur dan di hari pembalasan nanti jika saya ditanya tentang perihal di atas ?

Alasan apalagi jika masjid telah berada didepan mata dan sihat tubuh badan serta bermacam-macam nikmat lain lagi.

Alasan apalagi ?

Saya tujukan soalan ini kepada diri saya sendiri dan diri pembaca:

“Maka nikmat Tuhanmu yang manakah kamu dustakan ?” Surah Ar-Rahman. 

Ibu saya sering berpesan:

“Jangan banyak mengomel(merungut) dengan kesusahan yang diterima tetapi syukurilah dengan kesenangan yang kita sedia ada.”

Maka saya kongsikan sebuah video seorang hamba yang sentiasa mensyukuri nikmatnya:

[youtube=http://www.youtube.com/watch?v=BfL2U0BJ48g&feature=player_embedded]

************
Alhamdulillah, setelah 5 tahun berhempas pulas membanting keringat, akhirnya saya telah menamatkan zaman universiti pada khamis yang lalu. Buat masa ini masih menunggu keputusan akhir samada saya bakal ditauliahkan sebagai seorang doktor atau sebaliknya. Mudah-mudahan Allah mengurniakan kejayaan kepada saya dan sahabat-sahabat yang lain.

Tahniah juga kepada sahabat-sahabat yang telah menerima gelaran Doktor Perubatan baru-baru ini.

Ibn Abd Rahim

Dublin 8

Apa Komen Anda?

2 Comments