Ciri-ciri Pemasaran Yang Tidak Patuh Syariah

Ciri-ciri Pemasaran Yang Tidak Patuh Syariah

7th January 2016 0 By Dr Afiq Rahim

Ciri-ciri Pengiklanan/Pemasaran Yang Tidak Patuh Syariah

Semasa saya menyertai sebuah program kewangan di Kuala Lumpur baru-baru ini, Ustaz Zaharuddin Abdul Rahman atau lebih dikenali sebagai UZAR turut berkongsi beberapa bentuk produk dan pemasaran yang tidak patuh syariah.

pemasaran salah

Sebagaimana artikel sebelum ini Mengapa Ramai Peniaga Menjalankan Perniagaan tidak Patuh Syariah

Ramai peniaga terutama usahawan Muslim yang barangkali tidak sedar bahawa mereka sebenarnya menjalankan perniagaan tidak patuh syariah walaupun produk mereka sudah mendapat sijil Halal, tiada pelaburan dalam instrumen yang mempromosikan Riba atau skim cepat kaya dan sebagainya.

Ramai peniaga yang melakukan kesilapan dalam aspek PEMASARAN atau MARKETING yang tidak patuh syariah.

Untuk pengetahuan anda, hal sebegini turut dilakukan oleh para ustaz atau ustazah yang berkecimpung dalam bidang perniagaan yang mana mereka masih cetek ilmu muamalat dalam Islam.

Apakah bentuk Pemasaran yang tidak Patuh Syariah menurut UZAR?

Ada banyak sebenarnya.

1. Menggunakan testimoni palsu bagi memujuk pengguna.

Dek kerana terlalu terdesak, ramai usahawan terutama produk kecantikan dan kesihatan mencipta testimoni palsu untuk mendorong dan memperdaya pengguna bagi mendapatkan produk mereka. Produk yang dipasarkan pula mempunyai banyak masalah sebenarnya. 

Bagaimana modus operandinya?

testimoni palsu

Contoh aplikasi yang boleh mencipta testimoni palsu

1 (a) Mengupah dan berpakat dengan rakan untuk membeli dan memuji barangan jualan sendiri.

Mengupah dan berpakat dengan rakan untuk membeli dan memuji barangan jualan sendiri di hadapan pelanggan, dengan niat untuk mempengaruhinya dan meyakinkan kebaikan barang yang dijual.

2 (a) Mereka-reka testimoni yang mengakui kehebatan produk yang dijual.

Mencipta testimoni yang mengakui kehebatan produk yang dijual, sedangkan itu hanyalah rekaan sendiri sahaja. Mungkin ramai yang akan terpengaruh dengan hasil testimoni yang begitu hebat walaupun hanya tiruan. Ketika itu, perniagaan tersebut akan hilang keberkatannya dan haram pendapatannya.

testimoni palsu

Contoh ayat founder yang ‘desperado’

Lembaga Pengiklanan Perubatan, telah menerbitkan garis panduan yang jelas mengenai penggunaan ‘testimonials’. Garis panduan berikut adalah bagi memperjelaskan peruntukan Akta Ubatan (Iklan dan Jualan) 1956 (Pindaan 1983) dan Lembaga Pengiklanan Perubatan 1976:

5.5.3 Criteria for testimonials

(a) Testimonials are allowed for products registered under category ‘X’ with the Drug Control Authority.

(b) Testimonials should not:

i. Contain any statement(s) which is exaggerated by the improper use of superlatives.

ii. Contain any medical statement(s) which refers of implies that the use of the product may be used for the purpose of diagnosis, treatment or prevention of disease(s) or condition(s) of human beings.

iii. Contain any statement(s) that indicates or implies its effectiveness or superior quality and that good health is endangered because diets are not complemented with health supplements.

2. Mencipta Promosi Palsu terutama ayat Call To Action dalam menarik pengguna.

Katanya jualan terhad kepada 10 orang pertama yang mesej dia tapi sebenarnya 100 orang mesej pon masih mendapat jualan atau harga promosi itu. Katanya diskaun sehingga hujung bulan tetapi sampai hujung tahun diskaun masih ada lagi. Haih….macam-macam.

3. Syarikat yang membuat marketing (promosi) menggunakan imej model yang tidak menutup aurat dengan sempurna (tidak kira lelaki/perempuan) dan di tempat yang ditegah agama.

Menutup UZAR sendiri, mempromosi kesalahan khususnya ke tahap merosakkan kesucian dan reputasi Islam contohnya:

A. Tudung dari jenis potongan dan fesyen yang tidak menurut syara’,
B. Dilancarkan di tempat maksiat
C. Pelancaran dengan cara maksiat juga.

model buka aurat

4. Pengiklanan produk dengan jaminan yang palsu.

Sebagai contoh, produk kesihatan yang dijamin dapat membantu menyembuhkan 1001 penyakit tanpa bukti kajian saintifik yang sohih dan tulen.

Ada pula peniaga yang mengambil produk OEM tetapi ‘claim’/menipu dengan mengatakan produk mereka adalah berdasarkan kajian universiti, formula produk mereka dicipta oleh saintis antarabangsa dan sebagainya. Ini jelas bertentangan dalam urusan mualamat.

Sebaiknya produk yang dijual mendapat pengiktirafan HALAL dan SELAMAT digunakan melalui badan yang berautoriti memberikan pengiktiran tersebut seperti JAKIM atau KKM atau MOSTI.

pemasaran tidak patuh syariah

Katanya jaminan kulit cantik selepas beberapa hari. Lepas tu gambar model edit kaw2 sampai nampak gebu padahal rupa makin hodoh adalah sebab produk beracun jadi kulit jadi terhakis. Inilah namanya penipuan.

pengiklanan tidak patuh syariahSenang kerja doktor ada patch macam ni. Sepatutnya pesakit berkurang tetapi kenapa saban hari jumlah kehadiran pesakit meningkat di hospital/klinik? Musykil ambo….

5. Pengiktirafan PAKAR kepada diri sendiri dalam bidang tersebut tanpa pentauliahan institusi atau badan berautoriti.

Memberitahu penggunan bahawa mereka adalah PAKAR dalam bidang yang mereka ceburi tanpa sebarang pengiktirafan daripada badan yang SAH, tanpa pensijilan yang SAH, tanpa pengalaman yang luas dan sewaktu dengannya.

Ada seorang mentor perniagaan memberitahu para pelajarnya untuk menggunakan ayat ini “Kepakaran saya adalah…bla, bla, bla” tetapi penggunaan ayat ini dengan bersyarat.

Contoh pengalaman lebih 10 tahun dalam bidang tersebut, atau memiliki Ijazah Sarjana (Master) atau PhD dalam bidang tersebut.

Namun apa yang berlaku, para pelajarnya yang baru setahun jagung berkecimpung dalam bidang perniagaan terus mewar-warkan kepada pengguna: “Kepakaran saya adalah memberikan nasihat perubatan alternatif…..” tanpa sebarang pensijilan yang sah atau akreditasi yang sesuai.

Tindakan ini diselar oleh UZAR yang nyata menipu para pengguna dan membahayakan mereka.

pengiklanan tidak patuh syariah

6. Membuat promosi yang tidak masuk Akal sehingga mengganggu pasaran sedia ada yang menyebabkan kerugian yang besar kepada pemain lain dalam pasaran tersebut.

Ini contoh di luar perniagaan produk kesihatan/kecantikan/makanan sunnah iaitu perniagaan tudung yang sangat jelas permainannya dalam hal ini.

Ada seorang peniaga bermain harga dengan meletakkan harga yang tidak masuk akal seperti harga sehelai tudung seperti Neelopak/ Fareedo / Adijomo berharga RM2 sahaja walhah harga untuk fesyen tudung tersebut sekitar RM100-RM200.

Ini sebenarnya mengganggu pasaran tersebut dan membunuh perniagaan orang lain yang telah melabur banyak untuk memberi nilai tambah kepada harga yang ditawarkan. Ini juga menurut UZAR adalah tidak patuh syariah.

7. Pengiklanan yang memburuk-burukkan pesaingnya.

Persaingan dalam perniagaan adalah lumrah dan sebenarnya adalah bagus untuk check and balance perniagaan kita.

Namun, kerana PHD (perasaan hasad dengki) maka dibuatnya iklan yang menghina produk lain.

Contoh ketara adalah persaingan Coca-Cola dan Pepsi suatu masa dahulu.

8. Pengiklanan PERADUAN yang mengelirukan pengguna.

Contoh pengiklanan di surat khabar  “Beli produk A dan menangi kereta Jaguar tajaan syarikat kami”.

Di bahagian bawah iklan biasanya akan tertera ayat ini “TERTAKLUK KEPADA TERMA DAN SYARAT”.

Syarat-syarat ini pula hanya boleh didapati dalam website mereka sahaja dan antara syarat-syaratnya adalah syarikat berhak membatalkan peraduan atau kemenangan pemenang tanpa sebarang sebab.

Ini secara tidak langsung wujud unsur penipuan dan penindasan kepada para pengguna.

9. Mengiklankan produk yang membahayakan kesihatan / nyawa pengguna.

Ramai usahawan produk OEM tidak menjalankan kajian terperinci tentang kandungan bahan-bahan di dalam produk yang diniagakan.

Apabila pengguna membelinya, mereka menderita penyakit lain seperti kegagalan hati (Liver Failure) atau kegagalan buah pinggang (Kidney Failure) atau Kencing Manis (Diabetes Mellitus) atau Alahan yang Teruk (Allergic Reaction) dan banyak lagi.

Saya sendiri sudah berjumpa ramai pesakit saya yang mengalami akut kegagalan hati atau Acute Liver Failure kerana pengambilan produk kesihatan yang terkenal pemasarannya di kaca televisyen dan bermacam-macam lagi komplikasi kesihatan akibat pengambilan produk supplemen kesihatan/kecantikan.

pengiklanan tidak patuh syariah

10. Menggunakan ayat Copywriting yang tidak patuh syariah.

Contoh ayat copywriting yang tidak patuh syariah mengandungi perkataan ini:

> PASTI
> Confirm
> Gerenti

Contoh ayat: “Kulit anda menjadi gebu selepas 7 Hari” atau “Jaminan pulangan pelaburan sebanyak 300% sebulan”.

Sesungguhnya Tiada yang pasti di dunia ini kecuali MATI dan CUKAI. Sebarang produk yang dihasilkan adalah daripada Allah SWT jua keberkesanannya.

Lebih baik ucapkan “Insyallah berkesan selepas digunakan 5 hari…..”.

Namun pengecualian kepada ayat ini –>  “Jaminan Pulangan Wang” kepada pelanggan jika mereka tidak berpuas hati akan perkhidmatan / produk adalah dibenarkan.

pengiklanan tidak patuh syariah

Kesimpulan

Menurut Akta Ubat (Jualan & Iklan) 1956, sebarang pengiklanan mengenai sesuatu produk kesihatan tidak boleh mendakwa bahawa produk tersebut dapat menyembuh penyakit yang disenaraikan di bawah ini :
  • Diseases or defects of the kidney (Penyakit Buah Pinggang)
  • Diseases or defects of the heart (Penyakit Jantung)
  • Diabetes (Kencing Manis)
  • Epilepsy or fits (Sawan)
  • Paralysis (Lumpuh)
  • Tuberculosis (Batuk Kering)
  • Asthma (Lelah)
  • Leprosy (Kusta)
  • Cancer (Kanser)
  • Deafness (Pekak)
  • Drug addiction (Ketagihan Dadah)
  • Hernia (Angin Pasang) 
  • Diseases of the eye (Penyakit Mata)
  • Hypertension (Darah Tinggi) 
  • Mental disorder (Penyakit Mental)
  • Infertility (Kemandulan)
  • Impairment of the sexual function @ impotency (Mati Pucuk)
  • Venereal disease (eg: AIDS, Hepatitis etc) (Penyakit Berjangkit Melalui Alat Kelamin)
  • Nervous debility, or other complaint or infirmity, arising from or relating to sexual intercourse.
  • Frigidity (masalah kurang berminat melakukan hubungan seks/kesukaran mencapai orgasma)

pengiklanan tidak patuh syariah

Menurut UZAR dalam komen terbarunya kepada seorang selebriti terkenal dan usahawan tudung tanahair, JIKA ada orang Islam yang terbuka dan bangga serta terus mempromosi kesalahan khususnya ke tahap merosakkan kesucian dan reputasi Islam contohnya:

A. Tudung dari jenis potongan dan fesyen yang tidak menurut syara’, 
B. Dilancarkan di tempat maksiat 
C. Pelancaran dengan cara maksiat juga,
D. Kemudian apabila dinasihat dan ditegur, dijawab ‘I don’t care’

Maka WAJIBLAH kita berusaha menjadikan mereka ‘care’ dengan cara yang berkesan & hikmah.

Samada doa, nasihat padu ataupun boikot produknya.

Jawapan ‘i don’t care’ itu seperti suatu kesombongan mungkin akibat secebis ‘kejayaan’ dalam bisnes & sokongannya.

Nabi bersabda apabila ditanya apakah erti kesombongan, jawab baginda :

“Apabila ditolak hal yang benar dan memperlekeh manusia”

JIKA ia berterusan & pertahankan kesalahan dan promosi maksiat itu tetapi kemudiannya KELIHATAN semakin pula berganda untung bisnesnya, itu pula dibimbangi suatu istidraj, sebagaimana hadis Nabi

إذا رأيتَ اللَّهَ يعطي العبدَ منَ الدُّنيا علَى معاصيهِ ما يحبُّ ، فإنَّما هوَ استدراجٌ
ertinya “ apabila engkau Allah terus memberi nikmat dunia kepada pelaku maksiat yang berterusan dalam maksiat sesungguhnya itulah istidraj” ( Riwayat Ahmad)

Allah swt mengingatkan hal ini dalam surah al-an’am : 44 ertinya

‎فَلَمَّا نَسُوا مَا ذُكِّرُوا بِهِ فَتَحْنَا عَلَيْهِمْ أَبْوَابَ كُلِّ شَيْءٍ حَتَّىٰ إِذَا فَرِحُوا بِمَا أُوتُوا أَخَذْنَاهُم بَغْتَةً فَإِذَا هُم مُّبْلِسُونَ

Maka tatkala mereka melupakan peringatan yang telah diberikan kepada mereka, Kamipun membukakan semua pintu-pintu kesenangan untuk mereka; sehingga apabila mereka bergembira dengan apa yang telah diberikan kepada mereka, Kami siksa mereka dengan sekonyong-konyong, maka ketika itu mereka terdiam berputus asa.

Iaitu nikmat melimpah ruah diberi kpd pelaku maksiat sebagai hukuman awal bagi menipiskan lagi peluang rahmat kepada pelaku terbabit.

Semoga kita semua dapat mengambil pelajaran, bukan hanya dituju kepada sesuatu kes yang khusus tetapi terpakai kepada semua keadaan yang serupa.

pengiklanan tidak patuh syariah

#DAR

#scamkesihatan

Sumber Rujukan:

  1. http://zaharuddin.net/pelaburan-&-perniagaan/485-kenali-skim-haram-a-mungkin-tipu-di-internet.html
  2. http://zaharuddin.net/peribadi,-tazkirah-&-fikir/812-kerjaya–rancanglah-jadi-pakar.html
  3. http://doktorpemasaran.com/umum/patuh-syariah/
  4. http://www.majalahniaga.com/tip-memastikan-produk-dan-pelaburan-patuh-syariah.html
  5. http://kpkesihatan.com/2015/11/24/kenyataan-akhbar-kpk-24-nov-2015-kempen-kesedaran-waspada-pembelian-ubat-online/
  6. http://farisosman.com/lafaz-jualan/
  7. http://aididmuaddib.blogspot.my/2010/12/panduan-pengguna-testimoni-kelentong.html

Apa Komen Anda?