Informasi Ringkas tentang Penyakit Tangan, Kaki & Mulut (HFMD) buat Ibubapa

Informasi Ringkas tentang Penyakit Tangan, Kaki & Mulut (HFMD) buat Ibubapa

11th July 2018 0 By Dr Afiq Rahim

Wabak penyakit HFMD di Pulau Mutiara atau Pulau Pinang sedang melanda dengan lebih 1000 kes direkodkan Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang. Pada masa yang sama, kes HFMD di Malaysia sedang menunjukkan peningkatan yang ketara.

Pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sedang memantau perkara ini dengan teliti dan mengambil langkah strategik dalam mengawal penularan wabak penyakit HFMD di negeri yang terbabit.

Bagaimanapun, masyarakat terutama ibubapa yang mempunyai anak kecil masih perlu cakna dan mengambil langkah proaktif bagi mengelakkan penularan wabak kepada keluarga mereka.

Berikut adalah beberapa informasi ringkas berkenaan penyakit HMFD.

Epidemilogi Penyakit HFMD
=====

Sehingga 30 Jun 2018, jumlah kes yang dilaporkan adalah sebanyak 27,296 kes berbanding hanya 21,303 kes pada tempoh yang sama pada tahun 2017 iaitu peningkatan sebanyak 28%.

Bilangan kes di 12 buah negeri telah melepasi paras amaran kecuali Johor, Sabah dan Sarawak.

Paras amaran adalah purata bilangan kes HFMD untuk lima (5) tahun kebelakangan dan nilainya berbeza-beza mengikut bilangan kes HFMD bagi setiap negeri.

Sehingga kini, di seluruh Malaysia, sebanyak 341 buah taska / tadika / tabika / pra-sekolah telah melaporkan kluster HFMD di premis mereka, iaitu 50% dari jumlah wabak yang dilaporkan pada tahun ini.

Survelan virus HFMD juga mendapati peningkatan aktiviti virus EV71 dalam persekitaran semenjak bulan Mac  2018.

Faktor Jangkitan HFMD
=====

Penyakit HFMD mudah menjangkiti orang lain terutamanya kanak-kanak  di premis tempat tumpuan mereka seperti taska dan tadika.

Ianya disebabkan oleh enterovirus dengan majoriti kes disebabkan oleh Coxsackie Virus A16 dan Enterovirus-71 (EV71).

Virus ini merebak secara kontak dengan air liur, cecair lepuh (blister) dan najis kes.

Tanda-tanda dan Rawatan Penyakit HFMD
=====

Kebiasaan jangkitan adalah ringan (mild) dengan gejala demam diikuti ruam melepuh (blister) pada tangan, kaki, mulut dan lidah.

Hampir keseluruhan pesakit yang menghidap penyakit HFMD pulih tanpa rawatan dalam masa tujuh (7) ke 10 hari.

Walau bagaimanapun, jangkitan EV71 boleh menyebabkan komplikasi teruk seperti encephalitis, pulmonary edema dan myocarditis.

Tiada ubat atau vaksin yang boleh mencegah jangkitan penyakit HFMD.

Tanda-tanda Penyakit Tangan Kaki dan Mulut

Langkah Pencegahan Penyakit HFMD
=====

Bagi menghalang sebaran virus HFMD, KKM menggesa orang ramai khususnya pengusaha dan penjaga kanak-kanak di taska / tadika / tabika / pra-sekolah untuk:

  1. Sentiasa memastikan kebersihan premis terutama peralatan yang digunakan oleh kanak-kanak dengan membersihkan dan menyahkuman meja, kerusi serta alatan mainan kanak-kanak tersebut;
  2. Membuat saringan di pintu masuk bagi memastikan kanak-kanak tiada tanda-tanda jangkitan HFMD. Kanak-kanak dengan gejala dinasihatkan untuk tidak hadir ke sekolah bagi mengelakkan jangkitan kepada kawan-kawannya;
  3. Sentiasa mengamalkan kebersihan diri termasuk mencuci tangan selepas menguruskan seorang kanak-kanak sebelum mengendalikan kanak-kanak lain;
  4. Membersihkan dan memastikan kebersihan tandas dengan menggunakan larutan campuran klorin;
  5. Memastikan lampin pakai-buang dibuang dalam tong sampah bertutup; dan
  6. Melaporkan kluster HFMD kepada pejabat kesihatan daerah berhampiran untuk tindakan kawalan dan pencegahan.

KKM juga ingin menasihatkan ibu bapa atau penjaga kepada kanak-kanak yang mempunyai tanda-tanda jangkitan HFMD supaya:

  1. Meningkatkan kesedaran dan keupayaan mengenalpasti tanda-tanda penyakit HFMD pada kanak-kanak yang kurang sihat seperti tanda lepuh pada tangan, kaki dan mulut;
  2. Memastikan anak berada di rumah dan tidak membawa anak ke tempat-tempat awam / sekolah / taska / tadika / pusat asuhan kerana boleh merebakkan jangkitan;
  3. Mengamalkan budaya mencuci tangan dengan sabun dan air bersih selepas ke tandas, selepas menukar lampin dan selepas menyentuh / merawat lepuh;
  4. Membersihkan permainan anak serta lantai rumah termasuk tandas dengan menggunakan larutan campuran klorin; dan
  5. Memastikan pembuangan lampin pakai-buang dibuat dengan betul.

tips pencegahan penyakit tangan kaki dan mulut

Jom bersama kita mencegah dan membanteras penularan kejadian penyakit tangan kaki dan mulut di rumah dan taska anak-anak kita.

Jangan lupa kongsikan artikel ini.

#DAR

#kesihatanawam

Sumber:  Blog Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia  

Apa Komen Anda?