GribblesDapatkan keputusan saringan Kanser, Kencing Manis, Kolesterol dan banyak lagi sepantas 1-3 Hari sahaja. Hanya di Gribbles

Perspektif baru dalam hidupku

Assalamualaikum wbt,

Sudah lama saya memikirkan untuk memiliki sebuah diari maya aka blog, namun terdapat pelbagai perkara yang menjadi penghalang.  Saya sering mengikuti blog-blog samada daripada sahabat-sahabat di sekeliling sehingga para pemimpin tanahair kita. Di akhir-akhir ini, saya melihat kebanjiran sahabat-sahabat saya yang berhijrah ke medan maya ini samada yang mahu berkongsi coretan hidup mereka mahupun yang bersifat komentar dalam pelbagai perkara. Namun, saya bukanlah mengikuti trend semasa ini tetapi mungkin lebih senang dikatakan “telah sampai seru” untuk saya menyertai bidang ini. 

Mencari idea baru
Mencari sebuah dimensi baru dalam hidupku

Tujuan saya menceburi bidang ‘blogging’ ini adalah untuk berkongsi bersama anda, hikmah atau ibrah daripada pengalaman yang saya perolehi sepanjang berkelana di bumi Allah SWT ini dan pada masa yang saya menjadi sumber rujukan kepada saya sendiri dewasa kelak.  Kerana itu saya memilih moto blog saya “Melangkah-Melihat-Menginsafi”. Dengan itu, setiap detik kehidupan yang berlaku di sekeliling saya akan saya manfaatkan hikmahnya dan ini secara tidak langsung memberi saya peluang melihat serta memuji keagungan ilahi. Kemudian akan saya abadikan setiap detik-detik istimewa itu ke dalam diara maya ini untuk perkongsian kita bersama.  

Ada juga yang pernah bertanya kepada saya sebelum ini, bilakah mahu memiliki blog? Kenapa tidak berblog sebelum ini dan seribu satu perosalan yang lain. Sebelum ini saya mempunya stigma terhadap blog. Sehingga kini, terdapat sedikit kegusaran ketika mewujudkan blog ini. Saya merenung panjang dan melihat komplikasi dan kesan ber’blogging’ ini. Antara pengamatan saya terhadap bidang ini setelah lama mengikuti blog-blog di sekeliling saya adalah:

1. Blog memberi peluang untuk kita berdakwah dan merawat penyakit sosial di kalangan kita. Namun kadangkala ada yang menjadikan blog medan mengutuk dan mengeji seseorang, tempat membuka aib samada perihal rumah tangga mahupun aib individu/ jemaah / persatuan dan lain-lain yang bersifat negatif.

2. Blog sepatutnya menjadi laman pautan hati ke hati di antara kita. Bloglah tempat kita menyelami perasaan, memahami masalah mereka dan mengenali minda sahabat-sahabat kita. Oleh itu, blog seharusnya membantu kita memahami sahabat kita dengan lebih mendalam dan bukan menjadikan kita bersifat judgemental terhadap setiap artikel yang dikeluarkannya. 

3. Apabila mempunyai blog, kita seharusnya mempunyai matlamat dan objektif yang ingin dibawa ketika berblog. Mengapakah ‘blogger’ seperti Ustaz Hasrizal dan Ustaz Nasarudin Tantawi sentiasa ‘update’ sepanjang masa kecuali pada waktu-waktu yang tertentu sahaja? Ini kerana mereka jelas dengan matlamat mereka berblog dan apa yang ingin disampaikan kepada pembaca. Oleh itu, mereka bersungguh memanfaatkan blog mereka untuk kebaikan semua. Jika kita jelas akan matlamat kita menjadi blogger maka ini akan mengurangkan risiko blog kita menjadi hangat-hangat tahi ayam suatu hari nanti.

4. Blog sepatutnya menjadi tempat perkongsian ilmu atau diskusi yang intelek bukan tempat perkongsian rahsia peribadi atau masalah peribadi! 

Sebelum ini, saya risau diri sendiri terjebak ke dalam masalah di atas jika berblog awal-awal dahulu. Sekarang alhamdulillah, setelah dikurniakan kekuatan daripada Allah dan panduan daripada sahabat-sahabat sekeliling maka saya bertambah yakin untuk membuka lembaran baru dalam hidup saya.

Walaubagaimanapun, saya masih baru dan mentah dalam bidang ini. Jika ada kesilapan pada diri ini sepanjang mengendalikan blog, mohon ditegur dan diperbetulkan. Sesungguhnya pesanan buat saya sendiri dan semua :

Daripada Amirul Mukminin Abu Hafsin ‘Umar ibn al-Katthab r.a. beliau berkata: Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda : 

” Bahawa sesungguhnya setiap amalan itu bergantung kepada niat, dan bahawa sesungguhnya bagi setiap orang apa yang dia niatkan. Barangsiapa yang hijrahnya menuju kepada Allah dan Rasul-Nya, maka hijrahnya kepada Allah dan RasulNya. Barangsiapa yang hijrahnya kerana dunia yang dia mahu mencari habuannya, atau kerana seorang perempuan yang dia mahu kahwininya, maka hijrahnya ke arah perkara yang ditujunya itu” 

 

Sehubungan dengan itu, ayuh kita perbaiki dan perbetulkan niat kita. Semoga aktiviti berblog ini  menjadi ibadah buat kita dan diredhai Allah SWT, seterusnya mempermudahkan urusan kepada kita dalam melaksanakannya. 

Semoga saya terus istiqamah menulis di dalam blog ini,

Sekian,

Jzkk.

Afiq Izzudin A. Rahim

Pelajar Tahun 3 RCSI

 

 

 

 

Apa Komen Anda?

3 Comments