GribblesDapatkan keputusan saringan Kanser, Kencing Manis, Kolesterol dan banyak lagi sepantas 1-3 Hari sahaja. Hanya di Gribbles

Perutusan Aidilfitri oleh Presiden PPIMI

Assalamualaikum wbt,

Alhamdulillah, segala puji dan syukur dirafaqkan kepada Allah SWT, tuhan sekalian alam di atas segala nikmat dan rahmat yang telah dianugerahkan kepada kita selaku para Hamba-Nya. Marilah kita bertasbih, bertasmid dan beristighfar bagi menyucikan segalas dosa, noda, dan kedhaifan diri yang tidak pernah lekang daripada diri kita. Selawat dan kasih juga buat Junjungan Rasul tercinta yang membawa agama Allah untuk menyinari kehidupan kita agar lebih bermakna dan bermanfaat pada hari ini.

Begitu juga kita ucapkan kepada keluarga baginda SAW dan para sahabat baginda keseluruhannya serta mereka yang mengikuti susur jalur perjuangan baginda yang penuh ibrah dan barakah buat kita tatapi dan teladani sehingga tibanya hari kiamat nanti. Sesugguhnya, tiada yang lebih nikmat melainkan merasai secangkir nikmat iman dan Islam yang telah dianugerahkan Allah kepada kita.

Sahabat-sahabat seperjuangan dan warga PPIMI sekalian,

Pertama-tamanya saya ingin mengucapkan selamat menyambut Hari Raya Aidilfitri kepada semua. Hari raya Aidilfitri adalah hari kebesaran umat Islam dan menurut bahasa Arabnya ialah ‘Idul Fitri yang bermaksud kembali kepada FITRAH.

Hari raya juga merupakan hari kemenangan buat umat Islam terutama kepada ahli ibadah yang tidak pernah jemu mengecur peluh di atas tikar sejadah sepanjang malam, mentarbiah nafsu sepanjang hari, membersihkan hati dan jiwa daripada daki-daki kejahilan dan memuliakan Ramadan dengan sunnah dan amalan yang digalakkan oleh para ulama. Semua yang dilakukan itu menjadikan mereka bersih dan suci bagaikan seorang bayi yang baru dilahirkan ke dunia. Inilah yang dikatakan kembali kepada fitrah selagi mana diri itu tidak dinodai virus yang menjerumuskannya ke lembah kehinaan di sisi Allah SWT.

Justeru itu, sebagai tanda meraikan kemenangan ini maka kita diseru untuk membesarkan hari istimewa ini dengan cara meninggalkan kediaman masing-masing untuk bertakbir dan menunaikan solat sunat Aidilifitri berjemaah. Sabda baginda Nabi:

“Kami telah diperintahkan supaya keluar pada hari raya sehinggakan anak-anak pingitan dan diperintahkan juga wanita-wanita yang sedang haid supaya keluar, lalu berada di belakang kaum lelaki dan bertakbir mengikut takbir mereka serta berdoa dengan doa mereka dengan mengharap keberkatan pada hari raya serta kesuciannya.” [Diriwayatkan Ummi ‘Atiyyah r.a]

Umat Islam juga digalakkan menyambut hari lebaran dengan tahmid sebagai tanda syukur kepada Allah bersempena dengan hari yang mulia itu. Firman Allah SWT:

Dan supaya kamu cukupkan bilangan puasa sebulan Ramadhan dan supaya kamu mengagungkan Allah (dengan Takbir dan Tahmid) atas petunjuk-Nya yang diberikan kepadamu, agar kamu bersyukur.” [Al-Baqarah:185]

Warga PPIMI yang dikasihi sekalian,

Sebagai mahasiswa Islam maka wajiblah kita meraikan hari kemenangan ini mengikut acuan Islam. Raikanlah hari kebesaran kita dengan penuh adab dan berakhlak. Isikanlah kemeriahan Aidilfitri dengan cara kita. Cara Islam, cara yang diredhai oleh Allah. Bukan cara Syaitan, bukan cara nafsu, bukan cara Yahudi dan bukan cara Nasrani. Janganlah kita menjadi pengikut hedonis sehingga hilang jati diri Islam dan identiti mahasiswa harapan agama, bangsa dan negara daripada kita.

Madrasah Ramadan seharusnya menjadikan mahasiswa cemerlang di dunia dan akhirat. Pendidikan di sepanjang bulan yang barakah ini sepatutnya menjadikan kita tabah dalam melaksanakan tugas, mengikat kehidupan jasad kita dengan ruh, kehidupan dunia dengan akhirat sehingga kita digolongkan sebagai orang yang bertakwa di sisi Allah SWT. Sekiranya Ramadan gagal mendidik kita menjadi lebih baik daripada sebelum ini maka beristighfarlah. Semoga Allah mengampuni kelemahan kita yang gagal menggunakan peluang sekali setahun yang dihidangkan oleh-Nya kepada kita.

Marilah kita bermuhasabah menjelang Aidilfitri ini.

Apakah kita layak meraikan Syawal kali ini seperti seorang Juara ?

Benarkah kita telah berjaya menundukkan diri daripada belenggu hawa nafsu kita?

Berjayakah kita dalam mendidik diri mematuhi perintah Allah dan menjauhi larangan-Nya?

Apakah kualiti ibadah kita telah meningkat selepas menyertai Madrasah Ramadan ?

Kini Iblis dan Syaitan akan kembali menghantui dan sedaya-upaya menyesatkan kita untuk baki sebelas bulan lagi.

Maka sudah bersedia iman kita menangani asakan daripada regu Nafsu dan Syaitan untuk bulan-bulan seterusya ?

Jika Nafsu dan Syaitan bukan lagi ancaman kepada iman dan akidah kita, maka kita berhak untuk bergembira di hari lebaran ini dan berbahagia di bulan-bulan seterusnya.

Cukuplah sekadar di sini sahaja coretan daripada saya. Marilah kita menikmati hari raya ini sebagai tanda kemenangan buat kita dan raikanlah hari kebesaran ini dengan cara Islam. Sambutlah hari raya kali ini dengan penuh rasa keinsafan dan rasa syukur kepada ilahi.  Gunakalah masa dan peluang yang ada di hari lebaran mengeratkan sillaturrahim dan ukhuwah di antara kita dengan kaum keluarga, jiran tetangga, sahabat- handai dan umat Islam secara amnya. Semoga amalan yang dilaksanakan oleh kita sepanjang Ramadan benar-benar diterima oleh Allah SWT sebagai harta kita di akhirat kelak.

– Eid Mubarak from PPIMI-

Sekian,

Afiq Izzudin A. Rahim,

Presiden Persatuan Pelajar Islam Malaysia Ireland, PPIMI

Apa Komen Anda?