GribblesDapatkan keputusan saringan Kanser, Kencing Manis, Kolesterol dan banyak lagi sepantas 1-3 Hari sahaja. Hanya di Gribbles

“SAMPAI HATI STAFF KLINIK BERI NOMBOR TELEFON DIA KEPADA IBU SAYA!”

Ini adalah luahan perasaan seorang anak yang berkongsi pengalamannya membawa ibubapa beliau ke klinik kami untuk rawatan penyakit kronik.

Ibu beliau adalah penghidap kencing manis dan sering mengabaikan rawatannya sebelum ini.

Al kisah, semasa saya mula berkhidmat di KK Badang, peratusan pencapaian penanda aras bagi penyakit kencing manis klinik ini memang sangat teruk. Barangkali antara paling teruk dalam Malaysia.

Jadi pihak negeri turun menjalankan audit dan melaksanakan latihan serta membimbing kepada kami dengan istiqamah.

Hasilnya, klinik kencing manis dengan staf yang berdedikasi berjaya ditubuhkan.

Usaha ini memerlukan kerjasama antara staff dan penduduk tempatan dan memakan masa yang panjang. Namun sangat berbaloi.

Ibarat menanam benih padi dan menuainya selepas berbulan-bulan.

Pengalaman kami menguruskan pesakit kencing manis terutama di kalangan orang dewasa/warga emas adalah mereka mahukan PERHATIAN LEBIH dan KASIH SAYANG semasa rawatan.

Itu kunci utama.

Kami juga berusaha mendapatkan sokongan ahli keluarga pesakit untuk sama-sama memikul beban pesakit agar berjaya menjalani rawatan. Ini juga ternyata amat berkesan.

Setelah 3 tahun berkhidmat di sana, saya berpindah ke peringkat negeri untuk tugas yang lebih mencabar.

Namun, menerima berita daripada portal UTUSAN ini cukup menggembirakan saya.

Legasi perkhidmatan cemerlang ini telah diteruskan oleh sahabat-sahabat saya di Klinik Kesihatan Badang.

Kebimbangan saya kepada pesakit kencing manis yang saya jaga sebelum ini kini terurai dengan berita ini.

Boleh baca luahan perasaan anak pesakit kami di bawah ini:

DAR
Bekas Pegawai Perubatan Klinik Kesihatan Badang


=====

SAYA ada terbaca tentang aduan sikap petugas di Klinik Kesihatan Badang di sebuah akhbar. Baru berkesempatan untuk menulis disebabkan kesibukan kerja. Saya seorang kakitangan swasta dan terpanggil untuk menulis atas permintaan ibu dan ayah.

Saya sebenarnya jarang mendapatkan rawatan di klinik tersebut, cuma ada beberapa kali menemani ibu ke klinik berkenaan. Ibu adalah penghidap kencing manis. Paras gula dalam tubuh ibu boleh dikatakan tidak terkawal. Sering juga ibu berputus asa dan itu yang kadang-kadang dia enggan makan ubat yang diberikan.

Apapun ibu tetap minta saya sampaikan ucapan terima kasih yang tidak terhingga kepada semua petugas di klinik itu atas perkhidmatan yang diberi. Menurut ibu, ada seorang doktor lelaki yang sering menasihatinya dan kemudian telah mengesyorkan rawatan insulin.

Selepas itu saya menemani ibu dan kami telah diberikan khidmat nasihat oleh kakitangan farmasi cara mana untuk mengambil suntikan berkenaan. Pada mulanya ibu enggan. Bagaimanapun kakitangan tersebut berjaya memujuk ibu apabila dia turut berkongsi pengalaman mempunyai ibu yang menghidap kencing manis.

Menurutnya, saya bertuah kerana berpeluang memantau ibu secara dekat. Berbanding dengannya, ibu kakitangan tersebut berada jauh di kampung. Saya pun lebih bermotivasi untuk membantu ibu. Saya kagum dengan kesungguhan kakitangan berkenaan termasuk memberikan ibu nombor telefon peribadinya untuk dihubungi sekiranya memerlukan nasihat.

Kata ibu lagi, panggilan ibu sentiasa dijawab dengan ramah, hingga ibu berkeyakinan semula dan Alhamdulillah, paras gula ibu semakin terkawal. Ayah pula memberitahu saya, dia juga mendapat layanan mesra di klinik berkenaan.

Bermula daripada pendaftaran, pemeriksaan doktor, perkhidmatan farmasi, semuanya memberikan senyuman dan layanan yang mesra. Sekali lagi saya ucapkan terima kasih tidak terhingga kepada semua petugas Klinik Kesihatan Badang.

ANAK PESAKIT KLINIK KESIHATAN BADANG
Kota Bharu

Apa Komen Anda?