GribblesDapatkan keputusan saringan Kanser, Kencing Manis, Kolesterol dan banyak lagi sepantas 1-3 Hari sahaja. Hanya di Gribbles

Scam Kanser: Durian Belanda, Habbatus Sauda dan Madu Penawar Kanser

Scam Kanser !

Terbaru, viral sekeping gambar yang kononnya info tersebut disampaikan oleh seorang pakar bedah tentang kanser.

Setelah dihubungi pihak kami, ternyata mesej yang disampaikan oleh pakar bedah tersebut telah disalah erti oleh pihak tertentu.

Lalu dijaja saranan pakar tersebut untuk melariskan produk jualan mereka yang berasaskan Durian Belanda, Habbatus Sauda dan Madu.

Berhati-hati semua.

Jika info atau tips kesihatan itu sampai daripada BUKAN orang kesihatan atau perubatan, sila SAHkan dahulu info tersebut dengan AHLInya.

Jangan pakai serkap jarang sahaja.

Kelak kita dan ahli keluarga kita yang menyesal. Berikut adalah penjelasan oleh Dr Suhazeli tentang info yang salah di dalam gambar tersebut di FB Page: Medical MythBusters Malaysia

Pesanan Kepada Pesakit Kanser

Mesej yang disebarkan: [gambar]

Sumber: M3

Dicatat pesanan dari Prof Norlia Abdullah, Pakar Bedah Pusat Perubatan UKM yang melarang memakan Ginseng, Spirulina dan Daun Belalai Gajah. Puncanya herba tersebut mengandungi estrogen (sejenis hormon wanita) yang tinggi dan penyebab kepada kanser membesar dan merebak. Nota tambahan dari pesanan tersebut, tiga makanan lain yang disarankan kepada pesakit kanser yang menjalani kemoterapi adalah Durian Belanda, Jintan Hitam (habbatussauda) dan Madu.

Berdasarkan pengesahan melalui SMS kepada Prof Norlia berkaitan isu ini, beliau menyatakan bahawa kenyataan beliau telah disalah tafsir oleh pihak tertentu. Beliau cuma mendapat makluman bahawa pakar bedah dari Hong Kong dan Korea menemui kandungan estrogen dalam Ginseng.

Begitu juga dimaklumkan juga Spirulina boleh menyebabkan kerosakan buah pinggang dan Belalai Gajah penyebab kerosakan hati. Manakala seorang pakar bedah Dr Azlina Firzah dari Hospital Pantai KL juga mengulas dalam isu yang sama menyatakan bahawa sehingga kini tiada kaedah (herba seperti yang dinyatakan) boleh mencegah kanser.

Jika ada produk yang dikeluarkan oleh syarikat tertentu, ianya perlu mempunyai bukti kukuh (bukti saintifik) sebelum mendakwa produk berkenaan berkesan mencegah atau merawat kanser.[1] Dr Mastura Md Yusof, Pakar Onkologi dari Pusat Perubatan Sime Darby pula menyatakan bahawa estrogen (bernama phytoestrogen) yang terdapat dalam Belalai Gajah atau buah-buahan/sayuran adalah terlalu lemah/sedikit. Manfaat dari khasiat buah-buahan atau sayur-sayuran tersebut lebih banyak berbanding risiko yang kecil.

Estrogen adalah sejenis hormon yang terdapat dalam manusia. Secara semulajadi wanita mempunyai banyak estrogen berbanding lelaki. Kehadiran estrogen inilah menyerlahkan sifat kewanitaan seseorang.[2] Secara umumnya estrogen dalam wanita akan mengatur kitaran haid, mengekalkan kejelitaan dalam pembentukan dan keutuhan organ seksual serta beberapa kegunaannya lagi bagi wanita.

Kajian menunjukkan hormon estrogen akan menggalakkan pertumbuhan kanser, terutama pengidap kanser payu dara (hormone receptor positive breast cancers).[3]

Oleh yang demikian, rawatan akan diberikan kepada pengidap kanser payudara bagi merencat pengeluaran estrogen dari menyuburkan pertumbuhan sel kanser. Pun begitu terdapat satu kajian tikus makmal yang diberikan ginseng oleh para pengkaji Korea mendapati tiada kesan yang ketara. Estrogen yang terdapat dalam Ginseng tidak mempengaruhi sistem badan tikus.[4] Menunjukkan bahawa estrogen yang terdapat dalam ginseng adalah rendah dan tidak memberikan kesan fisiologi sehingga tercetusnya kanser dalam ujikaji tersebut.

Dalam satu keadaan yang lain, menjadi kerisauan para pengamal perubatan, jika terdapat makanan atau herba yang mengandungi estrogen ini secara semulajadi. Antara yang dibincangkan adalah Ginseng. Berdasarkan pengalaman dari para pakar perubatan, pesakit pembedahan akan mengalami perdarahan yang sukar dihentikan jika mengamalkan memakan herba seperti Ginseng. Tetapi ianya hanya permerhatian selanjar dari pakar berkenaan. Terdapat beberapa persediaan herba lain juga yang mengganggu proses pembekuan darah seperti Ginkgo dan bawang putih.[5]

Berkaitan dengan saranan mengambil durian belanda, pernah saya bincang satu ketika dahulu. Durian Belanda, Daun Rerama dan seumpamanya yang katanya lebih mujarab 10,000 kali ganda dari ubat kemoterapi. Sebenarnya, kajian hanya baru dalam peringkat makmal. Tiada bukti secara klinikal lagi Durian Belanda atai Daun Rerama lebih kuat 10,000 kali dari ubat kemoterapi. Kajian perlu dijalankan ke atas manusia bagi mempastikan teori makmal itu terbukti (Fasa 2 kajian klinikal).[6]

Ustaz Dien dan Dr Rafidah pernah membincangkan isu habbatussauda dalam twitter/blog mereka.[7] Tulisan Ustaz Dien ini merujuk kepada pengalaman Dr Rafidah Abdulah (Pakar Perunding Nefrologi) yang menemui ramai pesakitnya mengidap komplikasi sakit buah pinggang setelah mengamalkan habbatussauda. Bukan zat habbatussauda yang pernah disebut oleh Rasulullah SAW itu perlu dipersalahkan, tetapi penyediaan, kaedah dan dos yang tidak mengikut sukatan yang menjadi puncanya.

Semoga penjelasan ini memberi pencerahan kepada kekeliruan yang ditimbulkan oleh pihak-pihak tertentu yang mungkin mencari sedikit keuntungan dunia. Prinsip kita adalah nyatakan sesuatu yang betul dan buat betul-betul sesuatu yang betul itu.

Sekian, semoga bermanfaat.

Rujukan
[1] Petikan perbincangan doktor di facebook. https://www.facebook.com/groups/mydobbs/ (closed group)
[2] Apakah Estrogen. http://www.hormone.org/diseases-and-cond…/…/what-is-estrogen
[3] Kesan Hormon Estrogen. http://www.livescience.com/38324-what-is-estrogen.html
[4] Estrogen dalam Ginseng Merah. https://www.ncbi.nlm.nih.gov/pmc/articles/PMC3659583/
[5] Herba yang mengganggu pembekuan darah. https://www.openanesthesia.org/herbal_medicines_anticoagul…/
[6] Durian Belanda, Keladi Tikus, Daun Rerama Rawat Kanser? http://suhazeli.com/wp/?p=1278
[7] Salah faham hadith Habbatussauda. http://addienblog.blogspot.my/…/salah-faham-hadith-habbatus…

Dr Suhazeli Abdullah
Pakar Perubatan Keluarga
#drsuhazeli
fb.com/drsuhazeli

Apa Komen Anda?