GribblesDapatkan keputusan saringan Kanser, Kencing Manis, Kolesterol dan banyak lagi sepantas 1-3 Hari sahaja. Hanya di Gribbles

Scam Kesihatan: Pencabulan Tanpa Sedar di Klinik Buasir

Seorang pakar bedah tersohor di Pantai Timur berkongsi dengan kami satu kisah pesakit di kliniknya semasa Kursus Saringan Kanser kepada staff perubatan.

Kisah ini memang sangat sadis.

Seorang wanita yang telah berkahwin mengadu mengalami buasir sejak sekian lama. Akibat tidak tahan dengan masalah di kawasan duburnya, maka dia dan suami nekad berjumpa seorang pengamal perubatan cina di sebuah bandaraya.

Kunjungan ke Klinik Buasir

Tabib Cina ini kononnya mempunyai kepakaran menyelesaikan masalah buasir. Khabarnya sudah berpengalaman lebih 10 tahun dengan hanya menggunakan herba sahaja.

Wanita tersebut bertemu dengan Tabib Cina bersama suaminya.

Lalu Tabib Cina tersebut meminta wanita itu masuk ke bilik pemeriksaan untuk melihat penyakit buasir yang dialaminya.

Namun apa yang menyedihkan adalah, wanita tersebut diperiksa oleh tabib Cina tanpa ditemani oleh seorang Chaperone atau wanita lain pun di dalam bilik tersebut!

Suaminya pula menunggu sahaja di luar.

Bayangkan seorang wanita diperiksa oleh lelaki bukan mahram tanpa ditemani oleh sesiapa.

Marah sungguh pakar bedah itu apabila mendengar perlakuan tidak beretika tersebut.

Namun kisah sadis tersebut tidak terhenti di situ sahaja.

Caj Yang Gila Mahal!

Caj yang dikenakan ke atas wanita tersebut hampir 4000 ringgit!

Termenung sebentar pakar bedah tersebut mendengar caj yang pada hematnya terlampau tinggi dikenakan ke atas wanita malang itu.

“Apa yang tabib itu buat sampai beribu caj dikenakan?” tanya pakar bedah tersebut kepada pesakitnya.

“Dia tepek (letak) herba di bahagian dubur sahaja” balas wanita itu penuh malu. Kemudian, pesakit diberikan pil mengandungi herba untuk rawatan selanjutnya.

Lebih kurang caj rawatan di hospital pakar swasta sahaja beritahu pakar bedah tersebut.

Menurut pakar bedah tersebut, kandungan pil herba tersebut kebanyakkannya mengandungi bahan STEROID.

Ya betul, pesakit akan merasa lega selepas pengambilan pil herba tersebut namun komplikasi akibat pengambilan steroid tersebut lebih teruk berbanding kelegaan yang sementara sahaja.

Namun masalah buasir yang dialami wanita tersebut masih tidak selesai.

Akhirnya, pesakit datang ke klinik pakar bedah seorang diri tanpa ditemani suami kerana bimbang tidak dipersetujui oleh suaminya selepas rawatan herba itu gagal.

Selepas diperiksa, rupa-rupanya bukan masalah buasir tetapi masalah dubur yang lain.

Alhamdulillah masalah tersebut berjaya diselesaikan oleh pakar bedah bertauliah ini.

Kemudian, pakar bedah membuat laporan kepada jabatan kesihatan dan serbuan telah dilakukan ke atas premis berkenaan.

Tuan puan, ada beberapa perkara penting yang ingin dikongsikan oleh pakar bedah tersebut.

Pengajaran Daripada Kisah Sadis Ini

Pertama, semua pemeriksaan terutama pemeriksaan fizikal oleh doktor ke atas pesakit hendaklah ditemani oleh seorang ‘Chaperone” atau peneman yang akan menjaga pesakit tersebut. Kebiasaannya adalah jururawat di hospital atau klinik.

Jika di premis rawatan alternatif atau tradisional sekali pun, hendaklah ada peneman yang dipercayai semasa rawatan / pemeriksaan dijalankan. Banyak kisah wanita dicabul oleh bomoh atau perawat tradisional semasa rawatan.

Mendapatkan seorang peneman yang dipercayai atau Chaperone adalah hak pesakit. Maka sila pastikan para wanita menuntut hak ini semasa diperiksa oleh lelaki lain hatta dalam keadaan darurat sekali pun.

Kedua, sudah menjadi rahsia umum bahawa kadar atau caj yang dikenakan di premis tradisional atau rawatan alternatif kadangkala sangat mahal dan tidak sepadan dengan rawatan yang diberikan.

Benar, kesihatan itu lebih bernilai daripada wang ringgit tetapi pastikan wang ringgit tuan puan dilaburkan pada pihak yang bertauliah dan benar.

Malangnya masyarakat kita lebih rela membayar ribuan ringgit kepada para scammer kesihatan samada pembelian produk mahupun mendapatkan khidmat mereka tanpa mengetahui bahawa rawatan yang diberikan samada tidak selamat mahupun tiada bukti kukuh keberkesanannya.

Dalam keadaan terdesak, emosi lebih banyak mempengaruhi keputusan tuan puan.

Itulah pentingnya bertanya kepada para doktor terlebih dahulu samada berbaloi dan selamatkah mencuba perubatan alternatif yang lain selain melakukan solat Istikharah agar pilihan yang dibuat adalah yang terbaik.

Pihak doktor dan pasukannya akan menilai dan memberikan pandangan terbaik sesuai dengan masalah pesakit.

Tuan puan perlu faham, bukan semua masalah kesihatan dapat diselesaikan dengan satu jawapan sahaja. Setiap cadangan adalah bersesuaian dengan masalah pesakit sebagaimana Rasulullah SAW juga menasihati para sahabat yang meminta nasihat dalam hal ibadah bersesuaian dengan keadaan sahabat tersebut.

Dan yang terakhir sekali, dapatkan rawatan awal dengan pihak doktor terlebih dahulu. Biar kami lakukan pemeriksaan lanjut atas bawah kiri dan kanan.

Jangan apabila baru sahaja dikesan masalah kesihatan seperti kanser, jantung, stroke pantas dicari bomoh, ustaz lempar kopiah terbakar dan perawat alternatif yang lain.

Bukan menidakkan ilmu perubatan alternatif tetapi pihak kami akan menyiasat secara terperinci dan memberikan rawatan berpandukan garis panduan yang ditetapkan. Selepas beberapa fasa rawatan, barulah boleh dipertimbangkan rawatan alternatif yang lain.

Apa yang menyedihkan kami, masih ramai di kalangan masyarakat kita terutama di kalangan Melayu yang datang ke hospital apabila keadaan sudah bertambah parah, kanser sudah memasuki tahap akhir, kencing manis sudah mengalami komplikasi buah pinggang, jantung dan pelbagai komplikasi daripada masalah kesihatan tersebut.

Akhirnya pihak hospital dan doktor dipersalahkan kerana gagal menyelamatkan pesakit.

Be Smart,
Be Safe,
Be Careful with scammers.

Sila kongsikan artikel ini ye. Syukran Jazilan.

#scamkesihatan
DAR
drafiqrahimdotcom

Apa Komen Anda?