GribblesDapatkan keputusan saringan Kanser, Kencing Manis, Kolesterol dan banyak lagi sepantas 1-3 Hari sahaja. Hanya di Gribbles

SCAM KESIHATAN SIRI 15 : STOKIN AJAIB, PENAWAR MASALAH KESIHATAN MELALUI KAKI SAHAJA

|SCAM KESIHATAN SIRI 15 : STOKIN AJAIB, PENAWAR MASALAH KESIHATAN MELALUI KAKI SAHAJA|

Stokin kesihatan sudah lama berada di pasaran dunia. Stokin ini wujud untuk pelbagai fungsi.

Ada ‘compression sock’, stokin anti bakteria, ada stokin merawat luka terbakar/Burn, stokin untuk pesakit kencing manis, stokin untuk sakit sendi dan bermacam-macam produk.

Namun kebelakangan ini wujud satu produk stokin ajaib yang mampu menyelesaikan pelbagai jenis masalah kesihatan sehingga 15 jenis penyakit. Betapa dahsyatnya pemasaran untuk stokin ajaib ini.

Dakwaan Stokin Ajaib

Kunci keberkesanan stokin ini kepada kesihatan adalah dengan dakwaan utamanya mampu melancarkan perjalanan darah di dalam badan seterusnya membaiki kerosakan pada tubuh badan manusia lalu menyembuhkan penyakit [1]

Daripada situ, syarikat dan para penjualnya membuat kesimpulan ekspress berdasarkan hipotesis (sangkaan) mereka. Mereka mengaitkannya terus kepada rawatan penyakit kronik seperti kencing manis, darah tinggi, kanser dan pelbagai penyakit lain lagi.

Persoalannya benarkah dakwaan tersebut?

=====
Kajian terhadap Ion di dalam Kandungan Stokin Ajaib
=====

Isi kandungan Ion dalam Stokin

Stokin ajaib ini didakwa mengandungi:

1. Nano Titanium ion,
2. Nano Garmenium ions,
3. Silver Copper ions,
4. Turmalin Negative Ions
5. Nano Mineral Far Infrared Ray (FIR) [1]

Stokin ini diionkan agar dapat memancarkan sinar FIR, negative ion dan memberi kesan lain untuk kesihatan.

—–
Ion Titanium, Stokin Dan Kesan Kesihatan
—–

Titanium ion wujud dalam pelbagai bentuk seperti gelang tangan, rantai dan terkini di dalam stokin.

Ianya dapat menstabilkan aliran eletrik yang digunakan oleh sistem saraf untuk berkomunikasi seperti yang didakwa oleh Yoshihiro Hirata, seorang pengamal perubatan alternatif yang menubuhkan syarikat Phiten yang menjual pelbagai jenis produk berasaskan titanium. [2]

Namun kajian yang dilakukan di dalam PubMed, Google Scholar, Medline hanya menemukan kajian titanium dalam bentuk selain nano titanium ions. Antaranya adalah dalam bentuk titanium dioxide, Oxide, Nitride dan lain-lain.

Tiada kajian klinikal yang kukuh untuk mengaitkannya dengan kelancaran perjalanan darah seterusnya merawat penyakit kronik seperti didakwa.

Malahan ada syarikat yang menjual gelang tangan titanium mengakui tiada kajian saintifik ke atas ion tersebut dan ianya bersandarkan kepada testimoni semata-mata. [3]

—–
Sinaran Far Infrared (FIR), Stokin dan Kesan Kesihatan
—–

Topik ini pernah saya bincangkan semasa menyelidik Kad Ion Ajaib La Genius. Boleh klik di sini: Kad Ajaib

Memang ada kajian khusus ke atas stokin yang mempunyai Celliant sejenis fiber polyethylene terephthalate (PET) untuk menghasilkan sinaran FIR daripada ‘ceramic nanoparticles’ yang berada di dalam stokin tersebut.

Kajian ke atas 55 subjek oleh York dan Gordon ke atas pesakit yang mempunyai masalah kronik sakit kaki seperti pesakit saraf akibat kencing manis dan lain-lain masalah kaki mendapati kesakitan pada kaki mereka berkurang selepas menggunakan stokin tersebut. [4]

Tidak dinafikan sinaran FIR mempunyai beberapa kebaikan di dalam kesihatan lain seperti alternatif rawatan arthitis, masalah insomnia, menurunkan berat badan, masalah sengugut / menstrual pain atau masalah jangkitan kuman pada kulit/ cellulitis. [5].

Namun setiap kajian yang dijalankan adalah bersifat spesifik untuk satu penyakit sahaja dan bergantung kepada alat yang digunakan.

Ianya juga tidak konklusif dan kekurangan kajian klinikal (kajian ke atas manusia) serta bukan bersifat umum.

Sebagai contoh, pesakit kencing manis mempunyai manfaat dengan menggunakan stokin yang mempunyai bahan Celliant sahaja untuk masalah saraf kaki / neuropathy.

Akan tetapi, TIADA KAJIAN KHUSUS yang merujuk penggunaan apa sahaja stokin ajaib yang mempunyai FIR dapat merawat terus penyakit kronik seperti kencing manis, darah tinggi, gout, mental dan sebagainya selepas stokin dipakai.

—–
Ion Germanium, Stokin dan Kesan Kesihatan
—–

Germanium adalah sejenis elemen semikonduktor yang effektif. Dari sudut kesihatan ianya hanya memberi sedikit kelebihan sahaja terutama dalam bentuk supplemen.

Ianya dipercayai dari sudut kesihatan dapat mengeluarkan ion negatif secara semulajadi dan meningkatkan penetrasi atau pancaran FIR ke dalam badan manusia melalui bahan PET [5].

Capaian “Germanium Ion” di PubMed, Medline gagal mengaitkan kewujudan ion tersebut bersama stokin serta kesannya kepada kesihatan.

Kajian sedia ada germanium adalah dalam bentuk organic iaitu perlu dimakan / dicucuk.

Namun tiada bukti kajian klinikal yang kukuh untuk mengaitkan fungsi germanium dalam memberi kesan kepada kesihatan apatah lagi dalam bentuk ion [6]

—–
Ion Perak (Silver Copper), Stokin dan Kesan Kesihatan
—–

Memang ada kajian Nano Silver Ion terutama dalam mencegah pembiakan bacteria terutama bacteri E.Coli dan Staph. Auerus. [7]

Juga saya temui kajian tentang kesan stokin yang mengandungi ion copper ke atas kaki pesakit kencing manis dan kesan anti-kulatnya. [8]

Namun begitu, kajian ini mempunyai conflict of interest di mana Ketua Saintis Perubatan sebuah syarikat medikal yang membiayai kajian ini diketahui umum menggunakan banyak copper oxide sebagai bahan aktif dalam penghasilan produk syarikat mereka.

Jadi ada kemungkinan kajian tersebut mempunyai ‘bias’ atau berat sebelah.

—–
Ion Negatif Turmalin, Stokin dan Kesan Kesihatan
—–

Turmalin diketahui dapat menjana elektrik dan dinamakan “Electronic Stone” oleh Carolus Linnaeus (1707-1778) seorang doktor dan pakar tumbuhan (botanist) dari Sweden.

Turmalin menghasilkan ion negatif hanya apabila wujud tekanan luar (external pressure) ke atasnya. Ini kerana ciri-ciri piezoelectric yang ada padanya.

Kesan kesihatan pula terlalu banyak dakwaan seperti melancarkan darah, kesan haba, menghilangkan stress dan pelbagai lagi dakwaan.

Juga melalui pencarian di dalam PubMed, Google Scholar dan enjin jurnal perubatan, secara keseluruhannya tiada kajian klinikal yang membuktikan ion negatif Turmalin dapat merawat penyakit kronik atau menyembuhkan masalah kesihatan lain seperti didakwa.

Kesan-kesan kesihatan Turmalin adalah lebih kepada testimoni pengguna berbanding kajian saintifik.

=====
Kesimpulan
=====

Kesemua ion nano yang didakwa mampu menyembuh atau merawat penyakit kronik seperti kencing manis, darah tinggi, gout, mental, jantung dan sebagainya adalah kekurangan atau tiada langsung kajian klinikal yang kukuh untuk membuktikan keberkesannya.

Sekiranya ada, sampelnya adalah sedikit manakala mungkin dilakukan oleh syarikat pengeluar sendiri (ada kemungkinan unsur berat sebelah)

Saya juga mendapati melalui laman web syarikat, mereka hanya mendakwa stokin ini melancarkan perjalanan darah sahaja. Tiada dakwaan lain seperti menyembuhkan luka kencing manis, gout apatah lagi masalah penyakit lain.

Namun seperti biasa, kesan kesihatan yang didakwa adalah lebih bersifat TESTIMONI majoritinya.

Laman web juga tidak mengemukakan kajian yang telah dilakukan sebagai bukti stokin mereka dapat memberi kesan seperti didakwa.

Dakwan manfaat kesihatan yang dikongsi di laman web mereka lebih bersifat cedokan daripada jurnal atau kajian orang lain pada hemat saya.

Pemasaran stokin ajaib ini juga menepati ciri-ciri scam kesihatan. Rujuk link ini tentang apa itu ciri-ciri scam kesihatan: Ciri-Ciri Scam Kesihatan

Oleh itu, masyarakat diminta berhati-hati sekiranya ada penjual yang mempromosikan stokin ajaib ini bagi mengelakkan ditipu seterusnya membahayakan nyawa akibat komplikasi penyakit kronik.

Nanti saya kongsikan testimoni staff dan ahli keluarga saya yang pernah mencuba stokin ajaib ini.

Sila kongsikan artikel ini agar lebih ramai menyedari tentang penipuan ini.

Semoga Bermanfaat

DAR
drafiqrahim.com
=====
Rujukan
=====
1. What is V***? Available at: http://v***.com.my/index.php?route=information/information&information_id=4
2. Fox, Stuart. “Do those Phiten titanium necklaces actually enhance athletic ability and promote healing?” http://scienceline.org/2008/10/ask-fox-phiten-necklace/. 2015. Web. 3 June 2016.
3. “MAGNETIC JEWELLERY.” http://www.amgloglobal.com/benefits.htm. n.d. Web. 3 June 2016.
4. York RM, Gordon IL, Effect of optically modified polyethylene terephthalate fiber socks on chronic foot pain. BMC Complement Altern Med. 2009 Apr 22; 9():10.
5. Vatansever, Fatma, and Michael R. Hamblin. “Far Infrared Radiation (FIR): Its Biological Effects and Medical Applications.” Photonics Lasers Med. 2012 Nov 1; 4:255-266.
6. Thiele, Ulrich K. (2001). “The Current Status of Catalysis and Catalyst Development for the Industrial Process of Poly(ethylene terephthalate) Polycondensation”. International Journal of Polymeric Materials 50 (3): 387–394. doi:10.1080/00914030108035115.
6. Ades TB, ed. (2009). “Germanium”. American Cancer Society Complete Guide to Complementary and Alternative Cancer Therapies (2nd ed.). American Cancer Society. pp. 360–363. ISBN 9780944235713.
7. Chaloupka, K., Malam, Y. and Seifalian, A.M. (2010) ‘Nanosilver as a new generation of nanoproduct in biomedical applications’, 28(11), pp. 580–588. doi: 10.1016/j.tibtech.2010.07.006
8. ‘Using copper to improve the well-being of the skin’, 8(2). Borkow G,

Apa Komen Anda?