Scam Kesihatan Siri 23: Apakah Produk Cuci Usus Memang Berkesan?

Scam Kesihatan Siri 23: Apakah Produk Cuci Usus Berkesan Mencegah Kanser Usus?

Kebelakangan ini kita diperkenalkan dengan beberapa jenis produk ‘mencuci usus’ di pasaran negara kita.

Menurut kebanyakan syarikat usus manusia perlu dicuci sentiasa kerana usus yang mempunyai banyak kekotoran akan menyebabkan pelbagai penyakit dan berpotensi menjadi kanser.

Malah ada syarikat mendakwa 80% penyakit datang daripada usus yang kotor!

Sebelum ini ada pihak Root of Science telah menjelaskan apakah maksud sebenar USUS KOTOR yang sering digembar-gembur oleh penjual dengan memanipulasi gambar kolonoskopi di bawah untuk mempengaruhi pengguna tentang betapa kotornya usus kita.

Keadaan Usus di dalam kolonoskopi
Keadaan Usus di dalam kolonoskopi. Sumber: Root of Science

Isi Kandungan Produk Cuci Usus

Ada banyak formula yang digunakan untuk menghasilkan produk cuci usus. Ada yang menggunakan bahan berasaskan aloe vera, bahan tumbuhan untuk men’detox’, ekstrak buah delima, Apple fiber, stem cell dan bermacam-macam.

Saya tertarik dengan satu produk ini kerana mengandungi pelbagai khasiat tumbuhan. Saya telah membuat satu rumusan khasiat setiap bahan-bahan di dalam produk cuci usus tersebut beserta fungsi setiap bahan tersebut.

Isi kandungan Produk Cuci Usus
Isi kandungan Salah Satu Produk Cuci Usus

Boleh disimpulkan bahawa bahan-bahan di dalam produk tersebut diharap dapat mempercepatkan proses penyembuhan sel/tisu di dalam badan dan meningkat sistem pertahanan badan.

Daripada situ secara umumnya, badan berupaya mencegah penyakit kanser usus atau penyakit kanser lain berpunca daripada usus kotor.

Punca-punca Kanser Usus

kanser kolorektal

Terdapat pelbagai faktor yang menyumbang kepada berlakunya kanser usus.  Di Malaysia, kanser usus adalah kanser kedua tertinggi di kalangan lelaki dewasa dan ketiga tertinggi di kalangan wanita dewasa.

Punca kanser usus terbahagi kepada yang boleh diubah dan faktor yang tidak boleh diubah. Faktor yang tidak boleh diubah adalah:

  1. Umur – Individu dewasa berumur lebih 50 tahun berisiko mendapat kanser usus.
  2. Sejarah keluarga menghidap kanser usus – terutama adik beradik, ibubapa.
  3. Penyakit keturunan – sindrom Lynch dan familial adenomatous polyposis (FAP) berisiko mendapat kanser.
  4. Sejarah menghidap Kera
  5. dangan usus atau Inflammatory bowel disease (IBD).
  6. Pesakit Kencing Manis Jenis 2 (Type 2 Diabetes) mempunyai risiko yang sama seperti Obesiti untuk mendapat kanser. Bagaimanapun, jika berjaya dikawal sekalipun, prognosisnya adalah tidak memuaskan.

Faktor seterusnya adalah faktor risiko yang boleh diubah. Kebanyakkan faktor risiko ini adalah daripada gaya hidup kita. Punca yang boleh diubah untuk mengelakkan kanser usus adalah:

Risiko kanser usus yang boleh diubah
Sumber: MOH Singapore
  1. Obesiti/Kegemukan – Risiko utama kanser usus terutama di kalangan lelaki.
  2. Merokok – Meningkatkan pertumbuhan sel kanser di dalam badan.
  3. Pengambilan Alkohol yang berlebihan.
  4. Diet yang tidak seimbang seperti kurang pengambilan serat, pengambilan daging proses seperti burger, hotdogs etc dan pengambilan daging merah yang berlebihan seperti daging lembu, kambing akan meningkatkan risiko kanser usus.
  5. Pendidikan – Kajian mendapati semakin tinggi pendidikan seseorang maka tahap kesihatannya juga akan semakin bagus.

Saya simpulkan bagaimana dan kaitan faktor-faktor boleh ubah di bawah gambarajah ini.

Faktor-faktor Kanser Usus
Faktor-faktor Kanser Usus

Apakah produk cuci usus berkesan mencegah/merawat kanser usus?

Untuk mengetahui jawapannya, sila tonton video yang dirakamkan semasa sesi pembelajaran kami.

p/s: Video ini menggunakan senario saya berada di sebuah rancangan televisyen untuk berkongsi informasi kesihatan. kredit kepada sahabat saya Dr Solihah yang merakamkan sesi pembentangan saya.

Kesimpulan

Penggunaan produk cuci usus mungkin boleh membantu dari sudut kekurangan pengambilan serat.

Namun kajian lanjut tentang keberkesanannya serta keselamatan produk perlu dikenalpasti terlebih dahulu sebelum memasarkan produk sebagai alternatif pencegahan pelbagai penyakit kononnya berpunca daripada usus.

Melalui penerangan di atas, kita boleh memahami bahawa risiko kanser usus adalah banyak tetapi risiko utamanya pada umur, obesiti, merokok, sejarah keturunan dan sejarah kanser.

Oleh itu, sekiranya seorang individu mengamalkan gaya hidup tidak sihat, berilah apa jua supplemen atau 1001 produk cuci usus sekalipun maka ia tidak dapat mencegah berlakunya kanser usus atau penyakit kronik yang lain seperti penyakit jantung. 

Disamping itu amat penting kita menjalani saringan kesihatan kanser usus terutama individu yang berisiko di atas. Saringan tersebut boleh dijalankan di klinik kesihatan terpilih atau mana-mana makmal kesihatan swasta berdekatan anda.

Kanser Kolorektal atau usus

Be smart, be aware and be careful.

DAR

#scamkesihatan

#produkcuciusus

 

Rujukan:

  1. Haggar FA, Boushey RP. Colorectal Cancer Epidemiology: Incidence, Mortality, Survival, and Risk Factors. Clinics in Colon and Rectal Surgery. 2009;22(4):191-197. doi:10.1055/s-0029-1242458.
  2. Veettil, S.K., Lim, K.G., Chaiyakunapruk, N., Ching, S.M. and Hassan, M.R.A., 2017. Colorectal cancer in Malaysia: its burden and implications for a multiethnic country. Asian journal of surgery40(6), pp.481-489.
  3. http://www.myhealth.gov.my/kanser-kolorektal/
  4. http://mohsingapore.sg/11-risk-factors-of-colorectal-cancer-and-its-prevention

 

 

Apa Komen Anda?